Beberapa Perkara Mengenai Hukum Waqaf
Soalan: Saya dan suami sudah berumur 60 tahun, tidak mempunyai zuriat tetapi ada seorang anak angkat lelaki yang sudah berkahwin dan seorang anak angkat perempuan. Jika saya nanti kandila (hari kemudian) sudah tiada, sememangnya mereka ini tidak berhak untuk diberi warisan.
Saya hanya mempunyai sekeping tanah yang berdirinya sebuah rumah. Bagaimana jika saya berhajat untuk mewaqafkannya kepada pihak Baitul-Mal tetapi membolehkan dan membenarkan anak-anak saya dan juga paradian (adik-beradik) dan anak-anak saudara saya menetap di rumah berkenaan, pihak Baitul-Mal sebagai Trustees (pemegang amanah)? Ini kerana ingin menjaga dan mengelak supaya tidak jatuh kepada orang lain atau dijual dan sebagainya, biarlah ia menjadi tanah waris.
Jawapan: Persoalan untuk menjadikan pihak Baitul-Mal sebagai trustee (pemegang amanah) kepada harta yang hendak diwaqafkan adalah tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Majlis Ugama Islam.
Walau bagaimanapun, dari segi syara‘, ada beberapa perkara dapat dilihat dalam persoalan ini, iaitu:
i. Adakah tanah dan rumah yang diwaqafkan itu akan masih menjadi harta waris?
ii. Bolehkah penerima manfaat waqaf ditentukan oleh pewaqaf?
iii. Bilakah harta waqaf ini hendak dilaksanakan, adakah semasa hidup atau sesudah meninggal dunia?
Pengertian Waqaf
Menurut syara‘, waqaf bermaksud menahan harta yang boleh dimanfaatkan dalam keadaan harta tersebut adalah kekal dan pewaqaf memutuskan tasharruf (guna pakai) terhadap barang yang diwaqafnya itu untuk diserahkan bagi keperluan yang diharuskan. Dalam pada itu disebutkan juga di dalam kitab-kitab fiqh bahawa apabila sesuatu harta atau benda itu sudah diwaqafkan, maka keadaan harta waqaf tersebut adalah tertahan yakni tidak boleh dijual, dihibahkan (diberikan) dan dijadikan harta perwarisan. (Mughni al-Muhtâj: 2/510, I‘ânah ath- Thâlibîn: 3/255 dan Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim: 6/312).
Manakala penerima manfaat harta waqaf pula adalah mengikut niat dan shîghah (ucapan) pewaqaf itu sendiri sama ada penerima manfaat waqaf itu ditentukannya atau dinyatakannya secara umum. Walau bagaimanapun, jika pewaqaf ingin mewaqafkan harta waqafnya itu kepada seseorang yang ditentukan atau kepada suatu kumpulan yang tertentu, maka hendaklah penerima manfaat waqaf itu nyata ada dan boleh memiliki manfaat waqaf tersebut ketika pewaqaf melafazkan shîghah waqafnya. Umpamanya, jika seorang bapa berwaqaf kepada anaknya padahal dia tidak mempunyai anak atau belum lagi lahir, maka hukum waqafnya adalah tidak sah. (Mughni al-Muhtâj: 2/513, I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/262 dan Bujairimi ‘ala al-Khathib: 3/308)
Dalam pada itu, menurut Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh dalam kitab I‘ânah ath- Thâlibîn, jika penerima manfaat waqaf yang ditentukan oleh pewaqaf itu telah tiada seperti dia berkata: “Aku waqafkan rumah dan tanah kepada anak-anakku” dan pewaqaf tidak menentukan lagi siapa setelah kematian anak-anaknya atau penerima-penerima manfaat waqaf yang ditentukan oleh pewaqaf itu terputus pada akhirnya seperti dia berkata, “Aku waqafkan rumah kepada Zaid kemudian anaknya” dan pewaqaf tidak menentukan lagi siapa setelah kematian anak Zaid, maka dalam kedua-dua misal tadi, harta waqaf tersebut akan ditasharrufkan kepada kaum kerabat terdekat pewaqaf yang fakir sebaik sahaja terputus penerima manfaat waqaf yang ditentukan oleh pewaqaf. Namun jika pewaqaf tersebut tidak diketahui atau diketahui tetapi tidak mempunyai kaum kerabat yang fakir tetapi hanya mempunyai kaum kerabat yang kaya iaitu mereka yang tidak boleh menerima zakat, maka harta waqaf berkenaan akan ditasharrufkan oleh Imam untuk kemashlahatan kaum Muslimin. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/268-270)
Daripada penjelasan para ulama itu tadi, dapat difahami bahawa berwaqaf ialah menahan suatu harta atau benda yang diwaqafkan dan hanya boleh diambil manfaat daripadanya oleh orang yang dikhususkan atau oleh orang awam, iaitu mengikut niat orang yang berwaqaf dengan syarat penerima manfaat waqaf itu ada dan boleh memiliki manfaat waqaf tersebut ketika shîghah waqaf itu dilafazkan. Apabila sesuatu benda atau harta diwaqafkan, maka benda atau harta waqaf tersebut telahpun menjadi hak milik Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan salah satu kesannya ialah harta tersebut tidak akan menjadi harta siapa-siapa lagi.
Syarat Waqaf
Antara syarat-syarat waqaf ialah waqaf itu hendaklah disempurnakan atau dilaksanakan sebaik sahaja shîghahnya dilafazkan. Ini bermakna pelaksanaan waqaf itu tidak boleh digantungkan kepada sesuatu keadaan atau dipersyaratkan untuk menjadikannya terlaksana. Misalnya: “Saya waqafkan rumah ini kepada Muhammad jika dia datang pada awal bulan”. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/261)
Dalam hal seperti ini, pelaksanaan waqaf tersebut adalah tidak sah kerana telah menyandarkan atau menggantungkan ketibaan “Muhammad jika dia datang pada awal bulan” sebagai syarat untuk melaksanakan waqaf. Ini kerana akad waqaf menghendaki pertukaran hak milik daripada pemilik asal waqaf kepada pemilikan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan manfaat waqaf tersebut diterima terus oleh penerima waqaf.
Jelasnya, akad waqaf ini tidak sama dengan akad jual beli dan hibah (pemberian), kerana akad jual beli dan hibah boleh digantungkan dengan sesuatu keadaan atau peristiwa. Namun begitu, jika lafaz waqaf itu digantungkan dengan suatu peristiwa semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka hukumnya adalah harus seperti, jika seseorang mengatakan: “Apabila bulan Ramadhan tiba, maka bangunanku ini aku waqafkan kepada pengurus masjid”. Menurut Ibnu Rif‘ah, lafaz waqaf seperti itu hukumnya adalah sah kerana memiliki tujuan mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. (Mughni al-Muhtâj: 2/521 dan I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/261)
Begitu juga waqaf yang digantungkan dengan kematian, hukumnya adalah sah seperti seseorang berkata: “Aku waqafkan rumahku ini kepada fakir miskin setelah aku meninggal dunia”. Namun menurut al-Imam Syeikh al-Islam Zakaria al-Anshari Rahimahullâh, lafaz waqaf seperti ini adalah mengikut hukum wasiat, antaranya:
1. Hendaklah harta yang hendak diwaqafkan itu tidak melebihi 1/3 daripada harta peninggalan pewaqaf.
2. Harta yang hendak diwaqafkan itu tidak boleh diberikan kepada ahli waris pewaqaf.
3. Pewaqaf harus menarik kembali daripada berwaqaf jika harta yang hendak diwaqafkannya itu ditawarkan untuk dijual sebelum dia meninggal dunia. (Mughni al- Muhtâj: 2/521, I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/261-262 dan Bujairimi ‘ala al-Khathib: 3/315- 316)
Sebagaimana yang dijelaskan di atas, jika penyoal berwaqaf rumah dan tanah tersebut semasa hidupnya, maka sah manfaat harta waqaf tersebut diterima oleh orang yang ditentukan oleh pewaqaf seperti anak-anak angkatnya, paradian (adik-beradik) dan anak-anak saudara dengan syarat penerima manfaat harta waqaf yang ditentukan itu ada dan boleh memiliki manfaat harta waqaf tersebut sebaik sahaja shîghah dilafazkan.
Apabila penerima manfaat harta waqaf yang ditentukan itu telah tiada atau terputus di akhirnya iaitu tidak ada siapa lagi disebutkan secara khusus selepas anak-anak angkatnya, paradiannya dan anak-anak saudaranya itu, maka manfaat harta waqaf tersebut akan diterima oleh kaum kerabat terdekat pewaqaf yang fakir dan jika tidak ada kaum kerabat yang fakir, barang waqaf tersebut akan ditasharrufkan oleh trustee untuk kemashlahatan kaum Muslimin. Namun yang pasti, rumah dan tanah yang diwaqafkan itu akan selama-lamanya menjadi harta waqaf walaupun orang yang dikhususkan oleh pewaqaf telah tiada. Di samping itu juga, harta waqaf tersebut tidak lagi menjadi harta perwarisan kerana ia telah menjadi harta yang tertahan dan berpindah kepada hak milik Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Jika penyoal ingin melaksanakan waqafnya setelah dia meninggal dunia, maka waqaf tersebut akan mengikut hukum wasiat.
Hukum Mewasiatkan Harta Hukum wasiat jelas disebutkan dalam syara‘. Menurut al-Imam Syeikh al-Islam Zakaria al- Anshari Rahimahullâh dalam kitab Asnâ al-Mathâlib Syarh ar-Raudh, disunatkan harta yang hendak diwasiatkan itu kurang atau tidak melebihi kadar 1/3 daripada harta pusaka orang yang meninggal dunia kepada bukan ahli waris. (Asnâ al-Mathâlib Syarh ar-Raudh: 3/29)
Ini jelas disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Sa‘ad bin Abu Waqqash Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam datang menziarahiku pada tahun haji Wada‘ di waktu aku menderita sakit tenat. Lalu aku berkata (kepada Baginda): “Sesungguhnya aku sedang menderita sakit dan aku mempunyai harta dan tidak ada yang mewarisi hartaku melainkan seorang anak perempuan. Adakah boleh aku mewasiatkan dua pertiga hartaku?” Baginda menjawab: “Jangan.” Aku berkata lagi: “Bagaimana dengan separuh?” Baginda menjawab: “Jangan.” Kemudian Baginda bersabda: “Satu pertiga (sahaja) dan satu pertiga itu (sudah cukup) besar atau banyak. Sesungguhnya engkau meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya adalah lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka dalam keadaan miskin meminta-minta kepada manusia.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Walau bagaimanapun, menurut al-Imam Syeikh al-Islam Zakaria al-Anshari Rahimahullâh lagi, jika pewasiat mewasiatkan hartanya melebihi kadar 1/3 daripada jumlah harta pusakanya, maka kedudukan wasiatnya itu adalah seperti berikut:
1. Jika pewasiat itu mempunyai ahli waris, maka wasiatnya yang berjumlah 1/3 daripada harta pusakanya adalah sah. Manakala jumlah yang melebihi kadar 1/3 daripada harta pusakanya adalah tertakluk kepada persetujuan setiap ahli waris, kerana ia merupakan hak ahli waris.
Dalam hal ini, jika ahli waris bersetuju, maka kadar atau bahagian yang khusus untuk ahli waris yang bersetuju daripada jumlah yang melebihi 1/3 itu adalah sah. Manakala jika ahli waris tidak bersetuju, maka kadar atau bahagian yang khusus untuk ahli waris yang tidak bersetuju daripada jumlah yang melebihi 1/3 itu adalah terbatal.
2. Jika pewasiat itu tidak mempunyai ahli waris, maka wasiatnya yang berjumlah 1/3 daripada harta pusakanya adalah sah. Manakala jumlah yang melebihi daripada kadar 1/3 daripada harta pusakanya adalah terbatal kerana ia merupakan hak orang-orang Islam.
Berwasiat Harta kepada Ahli Waris Sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Asnâ al-Mathâlib Syarh ar-Raudh, berwasiat harta kepada ahli waris sekalipun jumlahnya kurang atau tidak melebihi kadar 1/3 daripada harta pusaka, kedudukannya adalah seperti berikut:
1. Jika pewasiat itu tidak mempunyai ahli waris selain ahli waris yang menerima wasiat, maka wasiatnya itu terbatal.
2. Jika pewasiat itu mempunyai ahli waris lain yang tidak menerima wasiat harta itu, maka wasiat itu tertakluk kepada persetujuan ahli waris yang lain itu.
Ini berdasarkan hadits sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘Amru bin Kharijah bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak ada hak menerima wasiat bagi ahli waris melainkan para ahli waris (yang lain) mempersetujuinya. (Hadits riwayat ad-Daraquthni)
Perkara ini disebutkan juga dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn, Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan sah (wasiat) kepada ahli waris pewasiat dengan adanya persetujuan ahli waris yang lain setelah pewasiat meninggal dunia, sekalipun wasiat itu kurang daripada jumlah 1/3. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/328)
Kesimpulan
Apabila dirujuk kepada kemusykilan yang Dayang kemukakan dan setelah memahami penjelasan para ulama yang telah diberikan di atas, maka Dayang bolehlah menentukan atau mengkhususkan anak-anak angkat, paradian dan anak-anak saudara Dayang untuk menerima manfaat rumah dan tanah yang Dayang hendak waqafkan itu. Namun, perlu diingat, apabila penerima manfaat harta waqaf yang ditentukan itu telah tiada atau terputus di akhirnya iaitu tidak ada siapa lagi disebutkan secara khusus selepas anak-anak angkat, paradian dan anak-anak saudara itu, maka manfaat harta waqaf tersebut akan diterima oleh kaum kerabat terdekat Dayang yang fakir dan jika tidak ada kaum kerabat yang fakir, maka barang waqaf tersebut akan ditasharrufkan oleh pemegang amanah (trustee) untuk kemashlahatan kaum Muslimin. Namun yang pastinya, rumah dan tanah yang diwaqafkan itu tidak lagi menjadi harta perwarisan kerana ia telah menjadi hak milik Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ buat selama-lamanya apabila orang yang dikhususkan oleh Dayang itu telah tiada.
Sebagai irsyâd, adalah lebih elok Dayang merujuk perkara berwaqaf ini kepada pihak Jabatan Majlis Ugama Islam tentang bagaimana cara yang sebaiknya untuk dilaksanakan, agar apa-apa jua harta yang hendak diwaqafkan itu mempunyai rekod yang jelas mengenainya supaya tidak berbangkit sebarang tuntutan ke atasnya oleh mana-mana pihak di kemudian hari.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12235
