Bolehkah Jenazah Mangsa Wabak Penyakit Virus Ebola Tidak Dimandikan?
Soalan: Menurut maklumat yang diterima daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia, sehingga 20 Ogos 2014, wabak Penyakit Virus Ebola telah dilaporkan menyebabkan 2,615 kes dengan 1,427 kematian. Semua kes ini dilaporkan berlaku di Afrika Barat. Dalam pada itu, pada 26 Ogos 2014, Republik Congo juga telah mengesahkan 2 kes jangkitan tersebut berlaku di negara berkenaan dengan 13 kematian.
Walaupun risiko wabak ini merebak ke Negara Brunei Darussalam adalah sangat rendah, Kementerian Kesihatan sedang giat membuat persediaan bagi sebarang kemungkinan wabak tersebut berlaku di negara ini.
Garis pandu yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu “Ebola and Marburg virus disease epidemics: preparedness, alert, control, and evaluation (PACE)” telah menggariskan tatacara pengendalian jenazah bagi mangsa wabak penyakit Virus Ebola iaitu tidak memandikan atau mengawet jenazah. Ini adalah kerana mengambil kira bahaya dan kemudharatan virus tersebut kepada orang-orang yang terdedah kepada pesakit/mangsa.
Dalam hubungan ini, bolehkah jenazah mangsa wabak penyakit Virus Ebola itu tidak dimandikan? Dipohonkan fatwa mengenai perkara pengurusan jenazah mangsa wabak penyakit tersebut di Negara Brunei Darussalam, jika ia berlaku di negara ini.
Jawapan: Apabila seorang Islam telah meninggal dunia, maka menjadi kewajipan ke atas orang Islam yang hidup untuk melaksanakan empat perkara terhadap orang Islam yang meninggal dunia itu, iaitu memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan mengebumikannya. Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: Dan hendaklah disegerakan memandikannya (mayat itu) apabila telah diyakini kematiannya, memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan mengebumikannya adalah fardhu Kifayah. (Minhâj ath-Thâlibîn: 1/322-323)
Maka memandikan mayat orang Islam sebagaimana yang disebutkan dalam nash di atas merupakan suatu kemestian yang wajib dilaksanakan. Namun kewajipan memandikan mayat boleh gugur, digantikan dengan mentayammumkannya apabila ada perkara atau sebab yang menghalang mayat tersebut untuk dimandikan.
Berkata lagi Imam an-Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: Dan mayat yang (terdapat) keuzuran untuk memandikannya (wajib) ditayammumkan. (Minhâj ath-Thâlibîn: 1/352)
Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh menjelaskan dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj berkenaan keuzuran yang menghalang mayat daripada dimandikan ketika mensyarahkan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh di atas dengan katanya:
Ertinya: [Dan mayat yang (terdapat) keuzuran untuk memandikannya] kerana ketiadaan air atau kerana terbakar atau sengatan umpamanya, sekiranya dimandikan mayat tersebut nescaya ia akan hancur atau ditakuti mendatangkan mudharat ke atas orang yang memandikannya dan dia tidak dapat menjaga dirinya (daripada kemudharatan itu), maka wajib (ditayammumkan) sama seperti hukum orang yang hidup dan kerana menjaga jasad mayat supaya dapat dikebumikan dalam hal keadaannya yang demikian. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 3/202)
Imam asy-Syarwani Rahimahullâh telah menaqal pendapat Imam al-Kurdi Rahimahullâh ketika mensyarahkan perkataan Ibnu Hajar Rahimahullâh tersebut menyebutkan:
Ertinya: Atau ditakuti (mendatangkan mudharat) ke atas orang yang memandikannya daripada terkena pengaliran racun kepadanya. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 3/202)
Berdasarkan penjelasan nash-nash ulama di atas, sekiranya mayat itu tidak dapat dimandikan kerana adanya keuzuran yang menghalang seperti ketiadaan air atau mayat terbakar yang jika terkena air akan hancur atau ditakuti mendatangkan mudharat kepada orang yang memandikannya seperti terkena racun sengatan, akibat pengaliran racun sengatan itu pula ditakuti menjangkiti atau berisiko kepada orang memandikan mayat itu, maka mayat tersebut tidak wajib dimandikan tetapi ia hanya wajib ditayammumkan sahaja.
Maka dalam hal memandikan jenazah mangsa wabak penyakit virus Ebola ini, oleh kerana menurut pakar perubatan antarabangsa dan disahkan lagi oleh pakar perubatan tempatan yang beragama Islam bahawa memandikan jenazahnya itu akan meningkatkan risiko jangkitan penyakit virus Ebola kepada pengendalinya sekalipun langkah-langkah pencegahan jangkitan diambil, maka jenazah mangsa wabak penyakit virus Ebola itu bolehlah tidak dimandikan, tetapi wajib ditayammumkan sebagai ganti mandi mayat tersebut.
Pelaksanaan tayammum terhadap mayat itu pula tidak semestinya dilakukan dengan menyentuh anggota tayammum mayat secara langsung iaitu muka dan tangannya tetapi ia boleh dilaksanakan sekalipun dengan berlapik atau dengan perantaraan alat yang bersesuaian. Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn mengenai cara menyampaikan debu tanah ketika tayammum:
Ertinya: Dan perkara yang wajib ialah menyampaikan (debu) tanah ke muka dan dua tangan dengan apa jua cara sama ada dengan tangan, kain atau kayu. Dan tidak disyaratkan melalukan tangan di atas anggota tayammum menurut pendapat yang ashah dan sekalipun ia menyapunya dengan tangannya kemudian dia mengangkatnya di pertengahan anggota tayammum dan selepas itu mengembalikannya hukumnya adalah harus dan tidak dituntut untuk dia mengambil (debu) tanah baru menurut pendapat yang ashah. (Raudhah ath- Thâlibîn: 1/147)
Jika jenazah mangsa wabak penyakit virus Ebola tersebut tidak juga dapat disucikan dengan cara mandi atau tayammum kerana disahkan oleh pakar perubatan tempatan yang beragama Islam risiko jangkitan virus yang tinggi kepada pengendalinya sekalipun telah mengambil langkah-langkah pencegahan jangkitan atau kerana anggota tayammum telah hancur dan sebagainya, maka menurut pendapat al-mu‘tamad jenazah mangsa wabak penyakit virus Ebola itu, selain tidak dimandi atau ditayammumkan, ia juga tidak disembahyangkan. Tetapi terus sahaja dikebumikan sebagaimana yang disebutkan oleh Syaikh Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh dalam kitabnya, Fath al-Mu‘în:
Ertinya: Jika mayat jatuh ke dalam lubang atau laut dan sukar untuk dikeluarkan serta disucikan, maka mayat itu tidak disembahyangkan menurut pendapat al-mu‘tamad. (Fath al- Mu‘în: 49)
Namun menurut pendapat yang dipilih oleh Imam ar-Rafi‘e Rahimahullâh dalam perkara orang yang tidak dapat dimandikan kerana mati lemas yang tenggelam di dalam air adalah disembahyangkan juga bagi menjaga daripada menghinakan mayat tersebut dan bagi menenangkan perasaan ahli keluarga si mati sebagaimana yang disebutkan oleh Imam asy- Syarwani Rahimahullâh dalam kitabnya Hâsyiah asy-Syarwani ‘ala at-Tuhfah. (Hâsyiah asy- Syarwani ‘ala at-Tuhfah: 3/208)
Pendapat yang mengatakan mayat yang tidak dapat dimandikan hendaklah juga disembahyangkan itu adalah pendapat yang dipilih oleh ulama al-muta’akhkhirîn dalam kalangan ulama asy-Syafi‘iyyah berdasarkan alasan-alasan berikut:
1. Hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Dan apabila aku menyuruh kamu dengan suatu suruhan, maka laksanakan ia mengikut kadar kemampuan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
2. Kaedah fiqh menyebutkan:
Ertinya: Sesuatu perbuatan yang mudah dilaksanakan tidak dapat digugurkan dengan adanya perbuatan yang susah dilaksanakan.
3. Hakikat sembahyang ke atas mayat adalah bermaksud untuk memohonkan do‘a dan syafaat untuk mayat. (Fath al-‘Allâm: 3/248)
Manakala al-Imam ad-Darimi Rahimahullâh juga berpendapat, mayat yang tidak dapat dimandikan hendaklah juga disembahyangkan sebagaimana yang disebutkan oleh as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh dalam kitabnya Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn:
Ertinya: Ad-Darimi dan ulama lainnya memutuskan bahawa orang yang tidak dapat dimandikan hendaklah disembahyangkan. Berkata ad-Darimi: “Dan jika tidak (disembahyangkan), maka nescaya orang yang terbakar lalu menjadi debu atau yang dimakan oleh binatang buas juga tidak disembahyangkan, dan saya tidak mengetahui adanya seorang pun dalam kalangan ulama kita yang mengatakan pendapat demikian (yakni tidak disembahyangkan orang yang hangus terbakar sehingga menjadi debu dan dimakan binatang buas) ” (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/131)
Kesimpulannya dalam hal pengurusan jenazah mangsa wabak penyakit virus Ebola ini, pengurusannya tidak terlepas daripada keempat-empat perkara yang difardhukan ke atas orang Islam melaksanakannya. Jika terdapat halangan dalam melaksanakan tuntutan memandikannya, maka boleh digantikan dengan mentayammumkannya. Jika mayat tersebut itu juga tidak dapat ditayammumkan kerana tingginya risiko bahaya jangkitan atau kerana anggota tayammum yang hancur, maka memadailah sahaja dia dikafankan kemudian disembahyangkan dan seterusnya dikebumikan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12239
