Derma Orang Bukan Islam bagi Pembinaan Masjid
Soalan: Jabatan Hal Ehwal Masjid telah dilantik menjadi Urusetia Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid, Negara Brunei Darussalam.
Dalam mesyuarat bagi membincangkan mengenai pelaksanaan tabung dana tersebut, telah ditimbulkan isu sekiranya ada orang yang bukan beragama Islam ikut sama menderma ke tabung dana berkenaan.
Pada dasarnya, sasaran penderma Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid adalah bagi rakyat dan penduduk di negara ini yang beragama Islam sahaja. Akan tetapi, memandangkan kaedah atau mekanisma kutipan Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid antaranya ialah melalui perkhidmatan SMS, pembelian kupon, online banking, penyimpanan wang ke mesin deposit (cash deposit machine) dan perletakan tabung di bangunan-bangunan tertentu, maka sudah setentunya melalui kaedah tersebut tidak dapat dipastikan orang yang membuat sumbangan ke Tabung Dana itu; sama ada ia beragama Islam atau sebaliknya.
Sehubungan dengan itu, sukacita Jabatan ini ingin mendapatkan penjelasan berhubung dengan isu “Adakah orang-orang yang bukan beragama Islam dibolehkan menyumbang derma ke Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid, Negara Brunei Darussalam?
Jawapan: Derma adalah pemberian atau memberi harta kepada orang lain yang juga termasuk dalam jenis sedekah, hadiah, wasiat dan waqaf. (Raudhah ath-Thâlibîn: 5/3, Fath al-Bâri: 5/509)
Mengenai dengan menerima pemberian atau derma orang bukan Islam tidak dijumpai nash-nash syara‘ yang melarangnya. Bahkan terdapat beberapa hadits yang menunjukkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menerima pemberian dan hadiah orang yang bukan beragama Islam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Humaid as-Sa‘idi, beliau berkata:
Maksudnya: Semasa kami berperang bersama-sama Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam peperangan Tabuk, Raja Ailah (yang dikatakan bernama Yuhanna bin Rubah pemerintah negeri Ailah iaitu sebuah negeri yang terkenal di tepi laut yang menjadi laluan orang-orang Mesir menuju ke Makkah) telah menghadiahkan kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam seekor keldai putih dan (sebagai balasan) Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memakaikan Raja Ailah (menghadiahkan kepadanya) pakaian burd (sejenis pakaian) dan Baginda menetapkannya (sebagai raja) di negeri mereka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam riwayat yang lain, Anas Radhiallâhu ‘anhu berkata:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dihadiahkan jubah sutera, dan sedangkan Baginda telah melarang memakai sutera sehingga orang ramai merasa hairan mengenainya. Lalu Baginda bersabda: “Demi Zat yang jiwa Muhammad dalam genggaman Allah, sapu tangan Sa‘ad bin Mu‘adz di syurga lebih baik daripada ini (jubah sutera).” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga pernah menerima makanan beracun daripada seorang perempuan Yahudi. Perkara ini diceritakan oleh Anas Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Seorang perempuan Yahudi telah menghadap kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan membawa seekor kambing beracun (yang dipanggang). Lalu Baginda pun memakannya. Maka ditangkaplah perempuan Yahudi itu dan dihadapkan kepada Baginda. Lalu dikatakan kepada Baginda: “Apakah perlu kita membunuhnya?” Baginda pun menjawab: “Jangan”. Aku (Anas) masih dapat mengenal kesan racun pada anak tekak Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits-hadits yang disebutkan di atas jelas menunjukkan bahawa harus menerima hadiah daripada orang bukan Islam. (Fath al-Bâri: 5/551 dan 8/283)
Dalam perkara menerima pemberian daripada orang bukan Islam juga telah disentuh dalam kitab-kitab fiqh mazhab asy-Syafi‘e antaranya Syeikh Khatib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj dan Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj yang menyebutkan bahawa sah waqaf daripada orang kafir sekalipun untuk masjid. (Mughnî al-Muhtâj: 2/510 dan Tuhfah al-Muhtâj: 2/488)
Manakala Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan dalam kitab Raudhah ath-Thâlibîn:
Ertinya: Harus bagi orang Islam dan (kafir) dzimmi berwasiat untuk meng‘imârah Masjid al-Aqsha dan lain-lain masjid. (Begitu juga harus) meng‘imârah kubur para nabi, ulama dan orang-orang salih di mana di dalamnya terkandung galakan untuk berziarah dan mengambil berkat dengannya. (Raudhah ath-Thâlibîn: 5/172)
Oleh yang demikian, berdasarkan apa yang telah dijelaskan di atas maka tiada larangan untuk orang bukan beragama Islam untuk menyumbang derma ke Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid dan harus menerima sumbangan derma tersebut daripada mereka untuk pembinaan masjid.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12243
