Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Garis Pandu Tatacara Pelupusan Abu Kitab Suci Al-Qur’an dan Kitab-kitab Usang/Rosak/Diserang Anai-anai setelah Dibakar

Soalan: Dengan penuh hormat dan sukacita dipohonkan garis pandu atau tatacara pelupusan abu kitab suci al-Qur’an dan kitab-kitab usang, rosak, diserang anai-anai setelah dibakar.

Untuk makluman, pelupusan sebelum ini yang telah dilaksanakan sejak tahun 2006 ialah dengan cara digali lubang yang dalam, dibakar dan seterusnya ditimbus dengan tanah di tempat pembuangan yang dikhaskan, Siri Fatwa (32/2003) Bil: 03-1.2/1 Eg (3) Bertarikh 18 Disember 2003, sepertimana yang dinyatakan dalam surat kebenaran pelupusan. Proses pelupusan dilaksanakan dengan bantuan tenaga dan jentera dari Jabatan Kerja Raya. Kitab suci al-Qur’an dan kitab-kitab yang dibakar telah dipastikan menjadi abu dan telah ditimbus semula dengan tanah. Masalah yang timbul ialah tapak pelupusan tersebut berkemungkinan akan dibina bangunan tambahan seperti dewan atau kelas di atasnya.

Sehubungan itu, bagi menjaga kesucian kitab suci al-Qur’an dan kitab-kitab agama, pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama telah membekalkan mesin Insinerator dengan tujuan mengemaskini tatacara pelupusan serta meningkatkan kesempurnaan proses pelupusan ke arah yang lebih bersistematik.

Dipohonkan sebarang pandangan dan nasihat Pehin Mufti mengenai perkara ini.

Jawapan: Antara kaedah pemusnahan Mushhaf atau tulisan-tulisan ayat suci al-Qur’an yang tidak boleh dibaca atau tidak boleh digunakan lagi ialah dengan cara membasuh tulisannya sehingga tidak kelihatan lagi, membakar atau menanamnya.

Kaedah pemusnahan Mushhaf dengan cara membakarnya adalah kaedah yang lebih utama menurut sebahagian ulama dan itulah cara yang paling ringan dan berkesan dilakukan menurut sesetengah ulama mutakhir ini.

Adapun kaedah pemusnahan dengan cara membasuh tulisan ayat-ayat suci al-Qur’an, ia adalah kurang berkesan selain kerja yang menyusahkan jika tulisan ayat-ayat suci al-Qur’an yang hendak dihapuskan itu suatu jumlah yang banyak.

Berkenaan pemusnahan Mushhaf dengan cara membakarnya, penerangan ulama mengenainya terhenti setakat pada suruhan membakarnya sahaja. Secara mafhûm, tujuan memusnahkan Mushhaf bagi keperluan yang dimaksudkan adalah tercapai semata-mata apabila Mushhaf berkenaan dibakar. Bagaimanapun, apabila pemusnahan dengan cara ini digunakan, segala tulisan ayat-ayat suci al-Qur’an itu hendaklah dipastikan benar-benar hilang daripada lembaran Mushhaf yang dibakar.

Apabila bertukar menjadi abu, adalah jelas bahawa Mushhaf yang dibakar tersebut telah bertukar sifat menjadi sesuatu yang lain. Tidak pula dijumpai keterangan mengenai tatacara yang khusus bagi mengendalikan abu berkenaan. Pada dasarnya, cara pengendaliannya boleh ditentukan sendiri mengikut cara-cara yang difikirkan sesuai (sama ada dengan membuang abu berkenaan ke sungai, ke laut, ditanam atau dibiarkan begitu sahaja sehingga dihilangkan ia oleh angin atau air hujan) asalkan ia tidak dibuang ke tempat yang tidak berpatutan dengan niat sengaja menghina al-Qur’an (walaupun pada peringkat ini ayat-ayat al-Qur’an yang dibakar itu telah pun menjadi abu). Sesetengah ulama menyatakan bahawa seseorang itu boleh dibalas dengan hukuman hatta berdasarkan niatnya untuk melakukan kemaksiatan semata-mata walaupun tanpa diiringi dengan perlakuan maksiat yang dimaksudkan. (Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 2/151 dan Tafsîr al-Qurthubi: 12/34-35)

Oleh kerana itu, perkara yang mustahak untuk diingat ialah apa pun cara yang digunakan untuk memusnahkan Mushhaf atau tulisan-tulisan ayat al-Qur’an yang tidak boleh dibaca atau tidak boleh digunakan itu lagi, tujuan melakukan yang demikian itu hendaklah diniatkan semata-mata untuk memelihara kehormatan dan keagungan al-Qur’an agar tidak timbul soal ia dicuaikan atau diperlakukan dengan cara yang tidak layak baginya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12247