Hukum Berkorban dengan Binatang yang Terpotong Sebahagian daripada Telinganya
Soalan: Kementerian Hal Ehwal Ugama difahamkan undang-undang di Negara Australia mewajibkan “earmarked Cattle” bertujuan sebagai pengenalan bagi menyatakan binatang tersebut telah disuntik dengan hormon penggemukan.
Sehubungan dengan itu, dipohonkan penjelasan atau ketetapan hukum adakah binatang yang ditanda dengan “earmarked cattle” tersebut boleh dijadikan korban?
Jawapan: Salah satu perkara yang menjadi syarat sah ibadat korban hendaklah binatang yang dijadikan korban itu selamat daripada kecacatan atau aib. Antara perkara-perkara yang dianggap sebagai cacat atau aib itu ialah terpotong atau putus telinga binatang yang hendak dikorbankan itu walaupun sedikit atau yang tidak bertelinga semenjak lahir kerana telah hilang sebahagian anggota yang boleh dimakan.
Berkata al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh ketika mensyarahkan perkataan Imam an- Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj:
Ertinya: [Dan] tidak (memadai yakni tidak sah berkorban dengan) [binatang yang terpotong sebahagian telinganya] walaupun (bahagian telinga) yang terpotong itu sedikit kerana hilangnya bahagian yang boleh dimakan. (Mughnî al-Muhtâj: 4/360)
Adapun jika telinganya koyak atau berlubang tetapi tidak gugur dagingnya walaupun sedikit, maka ia harus untuk dijadikan korban. Begitu juga, harus dijadikan korban binatang yang dicap telinganya atau anggotanya yang lain dengan besi panas. Binatang yang mempunyai telinga yang kecil juga memadai dibuat korban. Ia tidak dikira aib yang menghalangnya untuk dijadikan korban. (Mughnî al-Muhtâj: 4/360-361, Tuhfah al-Muhtâj: 9/408-409 dan I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/377-378).
Kecacatan atau aib kerana terpotong bahagian telinga walaupun sedikit sebagaimana yang disebutkan oleh ulama adalah dengan mengqiyâskannya kepada kecacatan-kecacatan yang disebutkan secara jelas di dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib Radhiallâhu ‘anhu, sabda Baginda:
Maksudnya: Empat perkara yang tidak boleh terdapat pada binatang korban. Lalu Baginda bersabda: “Buta sebelah mata yang nyata butanya, sakit yang nyata penyakitnya, tempang yang nyata tempangnya dan yang sangat kurus.” (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ibnu Majah, Ahmad dan ad-Darimi)
Merujuk kepada persoalan berkenaan dengan binatang yang menjalani penandaan “earmarked cattle”, maka berdasarkan penjelasan di atas binatang tersebut adalah mempunyai cacat atau aib yang menyebabkannya tidak sah dijadikan binatang korban. Ini kerana kaedah penandaan dengan “earmarked cattle” mengakibatkan bahagian daripada telinga binatang tersebut terpotong dan terpisah daripadanya.
Dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn, as-Sayyid ‘Abdul Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar Rahimahullâh ada menyatakan bahawa menurut al-Baghawi, al-Qadhi Husain Rahimahullâh iaitu salah seorang ulama mazhab asy-Syafi‘e ada berfatwa tentang keharusan berkorban dengan binatang yang terpotong bahagian telinganya sebagaimana pendapat dalam mazhab Hanafi apabila susah untuk mendapatkan binatang yang sempurna telinganya daripada aib tersebut. (Bughyah al-Mustarsydîn: 258)
Maka dalam hal ini, sebagaimana fatwa al-Qadhi Husain di atas, harus binatang yang ditanda dengan “earmarked cattle” tersebut dijadikan korban dengan syarat pihak yang diamanahkan untuk mendatangkan binatang yang akan dijadikan korban hendaklah terlebih dahulu berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan binatang-binatang yang sempurna telinganya daripada cacat atau aib. Sekiranya binatang yang selamat daripada cacat atau aib tersebut tidak mencukupi kuantiti atau jumlah yang diperlukan atau sukar mendapatkan binatang yang selamat daripada cacat atau aib sedemikian, maka bolehlah dicukupkan dengan binatang yang telah ditanda dengan “earmarked cattle” tersebut untuk dijadikan korban.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12251
