Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Istilah bagi Sumbangan Perkhidmatan Profesional Secara Percuma

Soalan: Pihak konsultan projek masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Telisai telah memberi sumbangan perkhidmatan profesional secara percuma bagi projek tersebut.

Sehubungan dengan itu, sukacita dipohonkan penjelasan istilah mengenai adakah sumbangan perkhidmatan profesional secara percuma pihak konsultan bagi projek masjid STKRJ Telisai itu boleh diterima sebagai waqaf atau sebagai hibah sahaja?

Dihadapkan perkara ini bagi mendapatkan sebarang pandangan, ulasan atau fatwa Pehin Mufti mengenainya.

Jawapan: Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh dalam Kitab Tuhfah al-Muhtâj berkata:

Ertinya: (Waqaf dari segi syara‘ ialah): Menahan harta yang boleh dimanfaatkan dalam keadaan harta tersebut adalah kekal mata bendanya, dengan melepaskan penggunaan (harta yang diwaqafkan itu oleh pewaqaf) daripada tanggungannya untuk keperluan yang diharuskan.

Menurut beliau, syarat-syarat sesuatu yang diwaqafkan itu hendaklah ia berupa ‘ain (mata benda), ditentukan, dimiliki, dapat dipindah milik, menghasilkan faedah (seumpama kebun yang menghasilkan buah) atau menghasilkan manfaat (seumpama rumah yang memberi manfaat tempat tinggal) yang boleh disewakan dalam keadaan benda itu masih kekal. Maka tidak sah berwaqaf sesuatu manfaat sekalipun manfaat tersebut dimilikinya untuk selama-lamanya melalui wasiat.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh menerangkan manfaat itu ada kalanya dalam bentuk perkhidmatan, kata beliau:

Ertinya: Dan ada kalanya (manfaat) itu ditentukan dengan perkhidmatan.

Maka sumbangan berupa perkhidmatan secara percuma adalah tidak sah untuk dijadikan waqaf kerana ia bukan dalam bentuk ‘ain (mata benda).

As-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh menerangkan dalam kitab Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn bahawa sesuatu perkhidmatan yang tidak disyaratkan upah, sama ada tidak disebut upahnya oleh orang yang mengupah atau orang yang diupah, maka orang yang membuat sesuatu perkhidmatan itu tidak wajib diberi upah kerana dia dikira mutabarri‘ atau sukarela; dia melakukan perkhidmatan dengan tidak mengharapkan upah.

Pada kebiasaannya pihak konsultan mengenakan ujrah atau upah bagi perkhidmatan profesional yang mereka lakukan. Namun sekiranya pihak konsultan tidak mengenakan ujrah atau upah, malah mereka menyumbang perkhidmatan profesional itu secara percuma, maka mereka telah dikira sebagai membuat tabarru‘.

Semua perkhidmatan profesional yang dilakukan secara percuma oleh pihak perunding atau konsultan termasuk memberikan tenaga, kemahiran, kepakaran dan pengalaman dalam menjalankan tugas-tugas seperti menyediakan reka bentuk dan lukisan, berurusan dengan pihak berkuasa tertentu bagi mendapatkan kebenaran, menyediakan dokumen kontrak, mengawasi projek dan kerja-kerja lain yang juga melibatkan penggunaan perkakas seperti kertas dan alat tulis bagi penyediaan lukisan dan kertas kerja, jika ia dilakukan secara percuma tanpa mengharapkan upah, maka istilah tabarru‘ adalah lebih sesuai digunakan bagi sumbangan perkhidmatan secara percuma itu, sebagaimana yang diterangkan oleh as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh.

Pada kebiasaannya, seseorang melakukan tabarru‘ adalah bertujuan melakukan kebajikan bertepatan dengan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketaqwaan. (Surah al-Mâ’idah: 2)

Ayat ini menunjukkan bahawa Islam sangat menggalakkan umatya untuk berbuat kebajikan. Kita mendo‘akan semoga perkhidmatan profesional yang ditabarru‘kan atau disumbangkan secara percuma oleh pihak konsultan bagi projek Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Telisai itu dikurniakan ganjaran berlipat ganda oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12255