Jari yang Digunakan untuk Menunjuk
Soalan: Saya ada melihat gambar yang mengatakan menunjuk menggunakan ibu jari adalah amalan orang Yahudi dan menunjuk menggunakan jari telunjuk adalah sunnah Nabi. Boleh terangkan dengan lebih detil sama ada yang dimaksudkan itu untuk semasa tasyahhud ataupun menunjuk kepada sesuatu?
Jawapan: Dalam perkara-perkara kebiasaan (عادة), pada dasarnya tidak ada larangan untuk menggunakan sama ada jari telunjuk atau ibu jari sebagai isyarat untuk menunjuk sesuatu. Begitu juga, adalah harus menggunakan mana-mana jari atau apa-apa kaedah yang lain selama mana ia tidak bercampur dengan perkara lain yang bertentangan dengan syara‘ melainkan apabila sesuatu perbuatan itu ada kaitannya dengan perkara ibadat maka hendaklah ia dibuat atas adanya dalil yang mensyariatkan perkara tersebut.
Adakah dilarang menggunakan ibu jari sebagai isyarat untuk menunjuk sesuatu atas dakwaan ia merupakan amalan kaum Yahudi?
Soalan yang diajukan di atas tidak menyatakan dengan jelas daripada sumber apa dakwaan tersebut diperolehi. Berdasarkan penyelidikan yang dilakukan setakat ini, sehingga kini tidak pula ditemui sandaran yang benar-benar boleh mendokong kebenaran perkara yang didakwa. Sebaliknya, dalam laman sesawang Ensiklopedia dalam talian Wikipedia.com ada dinyatakan bahawa isyarat tangan dengan cara menghulurkan ibu jari itu adalah dianggap sebagai sesuatu yang menyakitkan hati (offensive) di negara Israel. Kenyataan ini menunjukkan bahawa perkara yang didakwa di atas adalah sesuatu yang masih boleh dipertikai dan perlu dipastikan keshahîhannya.
Dari sudut yang lain, isyarat menggunakan ibu jari itu telah menjadi isyarat yang umum (common gesture) yang difahami maksudnya menurut pengertian-pengertian yang tertentu oleh kebanyakan masyarakat di seluruh dunia. Dalam kata lain, isyarat sedemikian itu bukan hanya khusus dilakukan oleh kaum Yahudi, bahkan ia turut dilakukan oleh bangsa-bangsa lain. Tambahan pula, tidak ada bukti yang dapat menjadi asas sandaran mengenai asal usul penggunaannya. (http://en.wikipedia.org/wiki/Thumbs_signal,3 Februari 2015)
Di negara Brunei Darussalam, isyarat menggunakan ibu jari tangan sebagai isyarat untuk menunjuk sesuatu telah lama ditanggapi sebagai cara yang lebih bersopan daripada menggunakan jari-jari lain ketika menunjuk sesuatu. Perkara ini boleh dianggap sebagai sesuatu yang dianjurkan oleh agama berdasarkan ‘urf yang berlaku di dalam masyarakat Islam.
Dalam sebuah hadits mauqûf, ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa:
Maksudnya: Apa yang dipandang oleh orang-orang Islam sebagai sesuatu yang baik, maka baiklah juga ia di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, dan apa yang dipandang oleh orang-orang Islam sebagai sesuatu yang buruk, maka buruklah juga ia di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. (Hadits riwayat Ahmad)
Tidak juga ditemui sandaran yang menyatakan bahawa menggunakan jari telunjuk dalam perkara-perkara yang biasa dilakukan seharian (عادة) adalah sesuatu yang dianjurkan agama. Boleh jadi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menggunakan jari telunjuk Baginda ketika menunjuk sesuatu. Namun, tidaklah semestinya setiap perbuatan Baginda itu adalah dimaksudkan untuk tujuan pensyariatan. Dalam ilmu ushul fiqh telah dibahaskan bahawa perbuatan-perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu ada yang dimaksudkan untuk tujuan pensyariatan dan ada juga yang terbit daripada sifat thabî‘i Baginda sebagai manusia ( اِلبلي ).
Dalam perkara ibadat, perbuatan mengangkat jari telunjuk ketika bertasyahhud sama ada tasyahhud awal atau akhir adalah termasuk dalam perkara yang disunatkan iaitu tatkala sampai pada bacaan huruf hamzah pada lafaz إال هللا. Hal ini telah diterangkan oleh para
fuqahâ’ seperti Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan Imam ar-Ramli Rahimahumallâh. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 2/80 dan Nihâyah al-Muhtâj: 1/522)
Perkara ini adalah bersandarkan kepada dalil jelas yang telah disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ meriwayatkan bahawa:
Maksudnya: Bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila duduk (dalam tasyahhud), maka Baginda meletakkan tangan kirinya pada lutut kirinya dan meletakkan tangan kanannya pada lutut kanannya, dan Baginda menggenggam tangan (kanan Baginda) seperti isyarat menunjukkan bilangan lima puluh tiga, dan menunjuk dengan jari telunjuknya yang kanan. (Hadits dikeluarkan oleh Muslim)
Maka begini antara lain contoh suruhan yang mempunyai sandaran di dalam agama. Sebagaimana disebutkan di atas, perkara-perkara yang berhubung kait dengan ibadat hendaklah terhenti atas adanya dalil yang mensyariatkan perkara tersebut. Semata-mata dakwaan yang tidak didasari oleh sandaran yang kukuh tidaklah memadai untuk diambil sebagai sukat-sukat bagi menyatakan apa yang disuruh atau dilarang oleh agama.
Sehubungan dengan hal ini, dalam perkara menggunakan ibu jari sebagai isyarat untuk menunjuk sesuatu, pada dasarnya ia termasuk dalam perkara-perkara kebiasaan (عادة) yang hukum asalnya adalah diharuskan sehinggalah ada dalil dari segi syara‘ yang menunjukkan sebaliknya. Dalam kata lain, hanya apabila telah dibuktikan ia benar-benar merupakan amalan yang khusus bagi kaum Yahudi, barulah dapat ditinjau semula sama ada perbuatan tersebut benar-benar mempunyai unsur yang ditegah dalam agama Islam atau sebaliknya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12259
