Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام

Kelonggaran Berbuka Puasa

Soalan: Adakah kelonggaran bagi pekerja-pekerja yang bertugas di dalam pekerjaan yang kritikal seperti di bidang kejuruteraan pengeluaran minyak dan gas, bekerja dengan ‘shift’ terutamanya di luar persisiran pantai (offshore), menjaga, memantau dan bekerja berat di dalam bilik-bilik panas seperti enjin ataupun di luar cuaca yang panas di dalam menjalankan ibadat puasa pada bulan Ramadhan? Adakah sebarang kelonggaran bagi pekerja-pekerja tersebut untuk berbuka puasa, ataupun adakah sebarang sebab uzur syar‘i yang membolehkan mereka berbuka puasa semasa menjalankan tugas? Ini adalah dikhuatiri dalam menjalankan kerja berat di dalam keadaan yang panas semasa berpuasa boleh menimbulkan isu kesihatan yang memudharatkan pekerja seperti mengakibatkan pitam dan sebagainya.

Jawapan: Berpuasa Ramadhan adalah wajib bagi setiap orang lslam yang mukallaf. Akan tetapi Allah Ta‘ala telah memberi kemudahan dan keringanan kepada orang-orang yang sakit atau musafir dengan mengharuskan mereka berbuka pada bulan Ramadhan kemudian dia mengqadha’ dan menggantikan jumlah hari yang telah ditinggalkan itu pada suatu waktu yang lain sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan sesiapa yang sakit atau sedang dalam perjalanan (atau pelayaran pada bulan Ramadhan itu bolehlah dia berbuka) maka wajiblah dia berpuasa pada hari-hari yang lain (sebagai ganti puasa yang ditinggalkan itu). Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan tidak menghendaki kamu menanggung kesusahan. (Surah al-Baqarah: 185)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Minhâj menyebutkan:

Ertinya: Dan harus meninggalkan puasa bagi orang yang sakit apabila dia mendapati (dengan berpuasa itu) sangat memudharatkan dan (harus meninggalkan puasa) bagi orang musafir yang dalam perjalanan jauh yang diharuskan. Kalau pada permulaan dia berpuasa kemudian dia sakit (maka harus) dia berbuka... (Al-Minhâj dalam kitab Mughni al-Muhtâj: 1/588-589)

Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh juga menyebutkan:

Ertinya: Telah memfatwakan al-Adzra‘i Rahimahullâh bahawa sesungguhnya penuai-penuai padi - dan seumpama mereka - adalah berkewajipan berniat setiap malam, kemudian sesiapa daripada kalangan mereka itu menghadapi masyaqqah (kesusahan) yang bersangatan, berbukalah dia puasa; jika tidak, maka tidak boleh berbuka. (Fath al-Mu‘în dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/518-519)

Oleh yang demikian, bagi pekerja-pekerja yang disebutkan oleh penyoal di atas, iaitu “pekerja-pekerja yang bertugas di dalam pekerjaan yang kritikal seperti di bidang kejuruteraan pengeluaran minyak dan gas, bekerja dengan ‘shift’ terutama di luar persisiran pantai (offshore), menjaga, memantau dan bekerja berat di dalam bilik-bilik panas seperti enjin ataupun di luar cuaca yang panas”, adalah mereka tetap dikehendaki berniat pada malam hari untuk berpuasa pada keesokan harinya. Jika ternyata ketika mereka berpuasa itu mereka tidak mampu untuk meneruskan puasa disebabkan menghadapi masyaqqah (kesusahan) yang bersangatan, maka bolehlah mereka berbuka puasa kerana terdapat masyaqqah tersebut pada hari berkenaan, tetapi bagaimanapun, wajib ke atas mereka mengqadha’ puasa-puasa itu kemudian. Perkara ini bertepatan dengan dasar kaedah fiqh yang menyatakan;

Maksudnya: Kesukaran itu dapat mendatangkan kemudahan.

Begitu juga kaedah fiqh yang menyatakan:

Maksudnya: Kemudharatan itu dihilangkan.

Sebagai irsyâd jua, bolehlah pihak pengurusan menyusun shift pekerja-pekerja lslam yang berpuasa untuk mengelakkan daripada melakukan pekerjaan yang kritikal di luar dengan cuaca panas ataupun mengurangkan waktu bekerja di bulan Ramadhan dan menggantikannya pada hari-hari yang lain ataupun apa-apa jua perkara yang bersesuaian demi menjaga ibadat puasa pekerja-pekerja berkenaan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12266