KUOTA HAJI: Siapakah Yang Lebih Utama Menunaikannya?
Soalan: Kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Hajinya telah menetapkan bahawa setiap negara termasuk Negara Brunei Darussalam adalah dikehendaki untuk mematuhi kuota rasmi yang ditetapkan bagi setiap negara. Bagi Negara Brunei Darussalam, kuota rasminya ialah 400 orang sahaja dan sebarang permohonan tambahan pada masa ini belumlah dibenarkan.
Dimaklumkan bahawa sejak penetapan kuota, pendaftaran untuk menunaikan fardhu haji adalah menurut Syarat-Syarat Menunaikan Ibadat Haji dan Kriteria-Kriteria Yang Boleh Diberikan Pertimbangan Khas iaitu dengan mengutamakan mereka yang belum pernah menunaikan fardhu haji, manakala bagi mereka yang sudah pernah menunaikan fardhu haji akan diletakkan dalam senarai menunggu tertakluk kepada kekosongan kuota.
Dimaklumkan bahawa Jabatan Urusan Haji pada setiap tahun membukakan pendaftaran menunaikan fardhu haji bagi mereka yang berhasrat untuk menunaikannya. Pada tahun 1435H/2014M, baki jumlah pendaftaran untuk menunaikan fardhu haji ialah seramai 541 orang (413 orang belum pernah haji dan 128 orang sudah pernah haji) dan pada tahun 1436H/2015M ialah seramai 1132 orang (893 orang belum pernah haji dan 239 orang sudah pernah haji). Setakat ini (Jun 2015), seramai 1306 orang yang belum pernah haji dan seramai 367 orang yang sudah pernah haji masih tersenarai dalam senarai ‘waiting list’.
Untuk makluman, pemilihan untuk menunaikan fardhu haji menurut syarat-syarat dan kriteria-kriteria yang disebutkan di para (2) di atas ialah mendahulukan pemohon-pemohon yang belum pernah menunaikan fardhu haji. Manakala pemohon-pemohon yang sudah pernah menunaikan fardhu haji akan diberikan peluang untuk menunaikannya setelah tempoh menunggu bagi mereka untuk menunaikan fardhu haji berlaku 3 tahun. Di samping mengambil kira bahawa ibadat haji yang telah mereka kerjakan sebelum ini adalah pada suatu tempoh yang sudah lama (seperti 10 tahun yang lalu) dan boleh difikirkan untuk diberikan pertimbangan untuk mendaftar dan menunaikan fardhu haji semula dan pada waktu yang sama terdapat orang yang belum pernah menunaikan fardhu haji yang tersenarai dalam senarai ‘waiting list’ tersebut.
Sehubungan dengan perkara tersebut, sukacita Jabatan ini ingin mendapatkan pandangan dan nasihat dari segi hukum syara‘ mengenai perkara berikut:
“Kedudukan bakal jemaah haji (yang sudah pernah haji) yang diletakkan dalam senarai menunggu dan tempoh menunggu bagi mereka untuk menunaikan fardhu haji berlaku 3 tahun dan ibadat haji yang telah/pernah dilaksanakan sebelum ini adalah pada suatu tempoh yang sudah lama. Adakah mereka boleh/layak diberikan peluang untuk menunaikan fardhu haji daripada bakal jemaah haji yang baru mendaftar (yang belum pernah menunaikan fardhu haji)?
Jawapan: Ibadat haji adalah fardhu ‘Ain ke atas orang yang belum menunaikannya yang memenuhi syarat-syarat haji. Ia diwajibkan hanya sekali seumur hidup. Perkara ini telah disebutkan dalam sebuah hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Wahai manusia! Sesungguhnya Allah telah memfardhukan haji ke atas kamu, oleh sebab itu kerjakanlah haji itu. Seorang lelaki bertanya: “Adakah setiap tahun wahai Rasulullah?” Baginda diam (tidak menjawab), sehingga lelaki itu mengulang-ulang pertanyaannya sebanyak tiga kali. Maka barulah Baginda menjawab: “Jikalau aku jawab “ya”, nescaya wajiblah ia (setiap tahun) dan kamu tidak akan berupaya melakukannya”. Seterusnya Baginda bersabda lagi: “Biarkanlah aku (jangan kamu tanya) tentang apa yang aku tinggalkan (yang tidak aku sebutkan) kepada kamu. Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu adalah dengan sebab banyaknya pertanyaan dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka. Maka apabila aku menyuruh kamu dengan sesuatu perintah, kamu laksanakanlah sesuai dengan keupayaan kamu dan apabila aku melarang kamu daripada (melakukan) sesuatu, kamu tinggalkanlah ia.” (Hadits riwayat Muslim)
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Syarh Shahîh Muslim menjelaskan bahawa menurut pendapat yang shahîh daripada kalangan ulama usul fiqh mazhab Syafi‘e, hadits di atas bukan satu perintah yang menghendaki untuk melakukan haji berulang-ulang. Ulama telah sepakat bahawa menunaikan haji itu tidak diwajibkan kecuali sekali sahaja dalam seumur hidup. (Al-Minhâj Syarh Shahîh Muslim: 9/101-103)
Menunaikan Haji dengan Tarâkhi (Boleh Ditangguhkan)
Menurut ulama fiqh mazhab asy-Syafi‘e bahawa kewajipan menunaikan haji itu adalah secara tarâkhi (boleh ditangguhkan atau tidak disegerakan). Jika ditangguhkan daripada tahun yang dia mampu menunaikannya ke tahun yang lain, maka dia tidak berdosa dengan sebab penangguhan itu, akan tetapi dengan syarat:
1. Hendaklah berazam akan menunaikan fardhu haji itu di masa akan datang. Azam itu pula wajib dilakukan setelah masuk musim haji pada tahun-tahun dia mula mampu menunaikan haji. Sekiranya tidak ada azam ini, maka haram dia membuat penangguhan itu.
2. Keluasan masa untuk menunaikan fardhu haji itu tidak disempitkan oleh sebab-sebab berikut:
i. Nazar haji; umpamanya dia bernazar untuk menunaikan haji pada tahun sekian, maka wajib ke atasnya menunaikan haji pada tahun tersebut tanpa bertangguh, atau
ii. Qadha’ haji; umpamanya hajinya pada tahun yang lalu telah rosak, maka dia wajib mengqadha’ hajinya dengan segera, atau
iii.Takut lemah badan; umpamanya tidak dapat bergerak dengan sempurna atau takut mati, dengan ada tanda-tanda sedemikian itu sekalipun tanda-tanda itu lemah; umpamanya ada pengesahan doktor atau dia mengetahuinya sendiri kerana sering mengalami sakit, maka haram dia menangguhkan fardhu haji jika takut akan lemah badan di kemudian hari, atau
iv. Takut binasa harta dengan ada tanda-tanda sedemikian itu sekalipun tanda-tanda itu lemah; umpamanya takut wang perbelanjaan untuk menunaikan fardhu haji yang sudah sedia itu akan habis atau hilang sekiranya ditangguhkan, maka menangguhkan dalam keadaan yang demikian adalah berdosa. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim ‘alâ Tuhfah al-Muhtâj: 4/6, Nihâyah al-Muhtâj: 3/235, Mughni al-Muhtâj: 1/620 dan Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/623-624)
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Apabila sudah diperolehi syarat-syarat wajib haji, maka wajiblah dia secara tarâkhi (boleh ditangguhkan). Maka dia boleh menangguhkannya selama dia tidak takut lemah badan (sebelum sempat melaksanakannya), tetapi sekiranya dia takut (akan lemah badan atau mati sebelum sempat melaksanakannya atau peruntukan perbelanjaan untuk haji akan habis atau ada nazar haji atau qadha’ haji), maka haramlah ke atasnya menangguhkannya mengikut pendapat yang ashah. Inilah mazhab kita itu.” (Hâsyiah al- ‘Allâmah Ibnu Hajar al-Haitami ‘alâ Syarh al-Îdhâh: 113-117)
Imam al-Ghazali Rahimahullâh dalam kitab Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn pula menyebutkan bahawa sesiapa yang berkemampuan adalah wajib ke atasnya menunaikan haji dan dia juga boleh menangguhkannya, akan tetapi ada risiko padanya; jika dia ada kemudahan walaupun ketika penghujung umurnya maka gugur kewajipan haji daripadanya, namun demikian jika dia mati sebelum menunaikan haji, maka dia akan menemui Allah ‘Azza wa Jalla dalam keadaan derhaka kerana meninggalkan haji itu. (Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn: 1/329)
Kewajipan Haji Setelah Menunaikan Haji yang Pertama Sebagaimana yang telah disepakati ulama yang telah disebutkan di atas bahawa menunaikan haji itu diwajibkan hanya sekali seumur hidup. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak menunaikan haji selepas diwajibkan haji kecuali sekali sahaja. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim: 4/5)
Manakala menunaikan haji lebih daripada sekali setelah menunaikan haji yang pertama adalah merupakan amalan sunat sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya al-Aqra‘ bin Habis bertanya kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, dia berkata: “Wahai Rasulullah, menunaikan haji itu pada setiap tahun atau sekali sahaja?” Baginda bersabda: “Bahkan sekali sahaja, maka sesiapa yang menambah (lebih daripada sekali) maka dia berbuat yang sunat.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Hadits ini menunjukkan bahawa menunaikan haji dengan berulang-ulang atau beberapa kali selepas haji yang pertama sama ada sekali dalam setiap tiga tahun atau sekali dalam setiap lima tahun adalah sebagai amalan yang sunat. Menunaikan haji lebih daripada sekali hanya diwajibkan jika ada sebab seperti menunaikan haji kerana bernazar dan mengqadha’ haji yang rosak. (‘Aun al-Ma‘bûd: 5/111 dan Nihâyah al-Muhtâj: 3/234)
Memandangkan Kerajaan Arab Saudi menghadkan dan menetapkan kuota jemaah haji pada masa ini, maka adalah lebih utama mendahulukan orang yang cukup syarat-syarat wajib haji yang belum menunaikan haji yang telah mendaftar daripada orang yang sudah mengerjakan haji. Selain daripada apa yang telah dijelaskan di atas mengenai kewajipan menunaikan haji sekali seumur hidup, perkara ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:
Ertinya: Perkara wajib itu lebih afdhal daripada perkara sunat.
Dari sudut yang lain lagi, melihat kepada jumlah baki orang yang mendaftar dalam kalangan orang yang belum menunaikan haji adalah semakin bertambah jika dibandingkan jumlah kuota jemaah yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi pada masa ini. Oleh itu, kewajipan haji ke atas orang yang belum menunaikan haji yang sudah memenuhi syarat-syarat wajib haji adalah perlu diutamakan daripada orang yang sudah pernah menunaikan haji kerana bagi mereka yang sudah pernah menunaikan haji, tuntutan kewajipan haji itu sudah pun gugur daripada mereka.
Sebagai irsyâd jua, keutamaan juga perlu diberikan kepada orang yang belum pernah menunaikan haji dalam kalangan orang tua atau orang yang sering terganggu kesihatannya kerana ditakuti tiada kesempatan bagi mereka untuk menunaikan haji di tahun akan datang atau seseorang walaupun sudah pernah menunaikan haji kerana mendampingi dan menemani keluarganya seperti seorang anak yang terpaksa menemani ayahnya yang sudah tua atau lain-lain sebab yang difikirkan munasabah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12270
