Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Menyimpan dan Bermain Anak Patung

Soalan: Saya ada terbaca bahawa Islam tidak membenarkan menyimpan patung-patung, walau sekadar patung mainan dan bukan patung berhala. Tetapi adakah dibenarkan untuk menyimpan patung-patung mainan dari zaman kanak-kanak sendiri, dengan niat hendak menghadiahkan patung tersebut kepada anak-anak atau cucu-cucu di masa depan kelak dan apakah hukum orang dewasa yang masih bermain dengan patung-patung dari zaman kanak-kanak mereka?

Jawapan: Dalam mazhab asy-Syafi‘e, hukum mengenai patung adalah sama kedudukannya dengan hukum gambar lukisan, tenunan dan ukiran. Gambar lukisan, tenunan dan ukiran diistilahkan sebagai gambar yang tidak berjisim atau tidak mempunyai bayang, manakala patung pula diistilahkan sebagai gambar yang berjisim atau yang mempunyai bayang. Oleh yang demikian, dalil-dalil hukum yang menyentuh mengenai gambar lukisan, tenunan dan ukiran terpakai juga kepada hukum mengenai patung.

Dalam hal ini Imam an-Nawawi Rahimahullâh ada menyatakan dalam kitabnya Syarh Shahîh Muslim:

Ertinya: Dan tidak ada beza semua ini (hukumnya) di antara apa (gambar) yang mempunyai bayang dan apa (gambar) yang tidak mempunyai bayang.

Perkara ini juga disebut oleh Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh di dalam kitabnya az- Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir.

Patung boleh dibahagikan kepada dua jenis dan penjelasan hukum mengenainya adalah seperti berikut:

1. Patung makhluk yang bernyawa.

Menyimpan atau menjadikan patung makhluk yang bernyawa, yang lengkap anggotanya sekalipun tidak ada bandingannya seumpama kuda bersayap sebagai perhiasan adalah haram, tidak kira sama ada ia diletakkan di tempat yang mulia ataupun hina.

Yang dimaksudkan dengan ‘lengkap anggota’ di sini ialah patung tersebut dibentuk dengan lengkap segala anggota yang membolehkannya untuk hidup apabila dinisbahkan kepada makhluk yang bernyawa.

Oleh itu, memanfaatkan patung makhluk bernyawa yang lengkap anggotanya sebagai perhiasan adalah haram kerana terdapat unsur-unsur memuliakan dan mengagungkan patung tersebut. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al-‘Abadi: 7/506-507)

Ini adalah berdasarkan riwayat Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sampai dari suatu pelayaran ketika aku menggantung kain tabir di rak kepunyaanku yang terukir di atasnya gambar-gambar (makhluk bernyawa). Maka apabila sahaja Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melihatnya, Baginda menanggalkannya lalu bersabda: “Manusia yang paling berat seksaannya pada Hari Kiamat ialah mereka yang menyerupakan (sesuatu yang diciptanya) dengan ciptaan Allah”. ‘Aisyah berkata (ekoran daripada peristiwa itu): “Maka kami buat ia menjadi sebiji bantal sandaran atau dua biji bantal sandaran.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam riwayat lain daripada Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ juga menyebutkan hal yang sama:

Maksudnya: Sesungguhnya dia (Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ) telah membeli sebiji bantal kecil yang terdapat gambar-gambar (makhluk bernyawa). Maka tatkala Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melihatnya (ketika Baginda pulang), Baginda berdiri di pintu enggan masuk, maka dia (‘Aisyah) mengetahui (ada sesuatu yang menegah Baginda untuk masuk) kerana di muka Baginda ada menunjukkan tanda kebencian. Maka dia (‘Aisyah) pun berkata: “Wahai Rasulullah, aku memohon ampun kepada Allah dan RasulNya, apakah dosa yang telah aku lakukan?” Baginda bersabda: “Apakah gunanya bantal kecil ini?” Dia (‘Aisyah) berkata: “Aku telah membelinya untuk Tuan duduk dan berbantalkan atasnya.” Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya orang-orang yang membentuk/mengukir gambar-gambar ini akan diseksa pada Hari Kiamat, dan dikatakan kepada mereka: “Hidupkanlah apa yang telah kamu buat itu!” Baginda bersabda lagi: “Sesungguhnya rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (makhluk bernyawa) tidak akan dimasuki Malaikat (Malaikat Rahmat).” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Menurut Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ, yang dimaksudkan dengan gambar itu ialah semua gambar yang bernyawa sama ada dalam bentuk patung, diukir pada atap atau dinding, ditenun pada baju atau yang selainnya. Larangan itu juga termasuk kepada gambar yang bernyawa sekalipun tidak ada bandingannya seperti kuda bersayap dan seumpamanya. (Az-Zawâjir: 2/52 & 48 dan Hawâsyî asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al- ‘Abadi: 7/506)

Bahkan menurut Imam al-Qalyubi Rahimahullâhu Ta‘âlâ, meletakkan patung di atas tanah yang bukan untuk dipijak-pijak (dihina) misalnya; patung yang diletakkan di atas tanah di halaman rumah atau di atas lantai sebagai perhiasan, juga termasuk perkara yang mungkar. (Hasyiyatân Qalyubi -‘Umairah: 3/298)

Namun jika patung makhluk bernyawa yang lengkap anggotanya itu dipijak-pijak atau menjadi hina dengan penggunaannya seperti dijadikan hamparan, bantal, sandaran dan yang seumpamanya maka hukumnya adalah harus. (Hawâsyî asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al-‘Abadi: 7/507 dan Nihâyah al-Muhtâj: 6/376)

Manakala patung makhluk bernyawa yang tidak lengkap anggotanya hukumnya adalah harus. Yang dimaksudkan dengan tidak lengkap anggotanya itu ialah tidak mempunyai anggota tubuh badan yang membolehkan ia hidup, seperti patung yang tidak ada kepala atau badan. Tanpa anggota tersebut makhluk yang bernyawa tidak akan hidup. Maka menyimpan patung seumpama ini adalah harus. (Bujairimi ‘ala al-Khathib: 3/576-577 dan Hawâsyî asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al-‘Abadi: 7/507)

Namun terdapat segelintir fuqahâ’ tetap mengharamkannya, antaranya ialah Imam al- Mutawalli Rahimahullâhu Ta‘âlâ yang berpendapat bahawa tidak ada perbezaan di antara patung yang tidak berkepala atau sebaliknya. Pendapat ini berbeza dengan pendapat Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ yang menyatakan bahawa jumhûr ulama berpendapat adalah wajib hukumnya untuk mengubah atau mencacatkan bentuk patung makhluk bernyawa yang lengkap anggotanya. Ini bererti patung makhluk bernyawa yang lengkap anggotanya hendaklah dicacatkan bentuknya dengan memotong anggota yang mana tanpa anggota tersebut ia tidak akan dapat hidup. Ini bermakna patung-patung seumpama ini hendaklah dipotong kepala ataupun badannya. (Hawâsyî asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al-‘Abadi: 7/507 dan az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir: 2/52)

Perkara ini ada disebutkan dalam sebuah hadits riwayat Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jibril telah datang kepadaku dan berkata: “Malam tadi aku datang kepada Tuan, tidak ada apa pun yang menghalangiku untuk masuk ke rumah yang Tuan ada di dalamnya, kecuali di pintu rumah ada patung lelaki, dan di dalam rumah ada tabir nipis yang ada gambar patung, dan di dalam rumah juga ada anjing. Maka perintahkanlah supaya kepala patung yang ada di pintu itu dipotong dijadikan seperti bentuk pohon. Dan perintahkanlah supaya tabir nipis itu dipotong dan dijadikan daripadanya dua bantal hamparan untuk diduduki. Dan perintahkanlah supaya anjing itu dikeluarkan.” Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaksanakan semua itu. Adapun anjing itu adalah anak anjing kepunyaan Husain atau Hasan, (yang berada) di bawah tempat tidurnya, maka Rasulullah memerintahkannya, maka (anjing itu) dikeluarkan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Manakala patung ataupun benda yang disembah atau dipuja adalah haram menyimpannya sebagai hiasan dan begitu juga membuatnya. Ini kerana salah satu ‘illah atau sebab pengharaman patung sedemikian ialah untuk menutup jalan yang membawa kepada perbuatan mengagungkan dan menyembah selain Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang ditegah dalam Islam. Para ulama juga ada berpendapat bahawa pembuat patung untuk disembah itu dihukumkan kafir dan akan mendapat azab yang berat sebagaimana disebutkan dalam hadits pengharaman patung. (Syarh Shahîh Muslim: 9/5746)

Begitu juga haram menyimpan patung atau benda yang menjadi simbol atau mempunyai signifikan khusus kepada agama atau kepercayaan tertentu selain Islam kerana dikhuatiri membawa kepada kufur.

2. Patung benda yang tidak bernyawa.

Patung atau gambar bagi benda yang tidak bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan, pokok, bulan, matahari dan seumpamanya adalah harus membuat dan menyimpannya sebagai hiasan. Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ ada menyebutkan bahawa Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ mengizinkan benda-benda yang tidak bernyawa seperti bulan, pokok dan seumpamanya, untuk diukir dan menegah ukiran makhluk yang bernyawa. (Hawâsyî asy-Syarwânî wa Ibn Qasim al-‘Abadi: 7/507)

Kelonggaran Bermain Patung Jumhûr ulama berpendapat bahawa membuat dan memanfaatkan patung yang bertujuan semata-mata untuk permainan kanak-kanak adalah harus membuatnya. Begitu juga memanfaatkannya sebagaimana pendapat jumhûr ulama. Ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, dia berkata:

Maksudnya: Aku biasa bermain-main dengan patung anak-anak perempuan di sisi Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan aku ada beberapa orang kawan bermain-main bersama-samaku. Apabila Baginda masuk, mereka menyembunyikan (patung-patung tersebut) daripada Baginda, Baginda membiarkan mereka untuk bermain-main bersamaku. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqalani Rahimahullâh hadits di atas adalah dalil pengharusan membuat patung permainan dan bermain dengannya bagi kanak-kanak perempuan.

Al-Qadhi ‘Iyadh Rahimahullâh juga ada menaqalkan pendapat jumhûr ulama yang mengharuskan membeli patung permainan untuk kanak-kanak perempuan untuk melatih dan mendidik mereka dari kecil tentang hal ehwal urusan rumah tangga dan anak-anak mereka kelak. (Fath al-Bârî: 12/158-159)

Dalam hadits yang lain juga ada menyebutkan tentang kelonggaran bermain patung. Daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ berkata:

Maksudnya: Sewaktu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam (sampai di rumah) daripada peperangan Tabuk atau Khaibar, pada rak (kepunyaan ‘Aisyah) ada kain penutup, lalu angin berhembus maka tersingkap tepi kain penutup itu (sehingga) menampakkan beberapa anak patung perempuan mainan ‘Aisyah. Maka Baginda bersabda: “Apa ini wahai ‘Aisyah?” ‘Aisyah menjawab: “Anak-anak patung perempuan milikku”. Dan Baginda terlihat pula di antara patung-patung tersebut ada patung kuda yang mempunyai dua sayap yang bertampal. Lalu Baginda bersabda: “Apakah yang aku lihat di antara anak-anak patung perempuan ini?” ‘A’isyah menjawab: “Kuda”. Baginda bersabda: “Apa benda di atas kuda ini?” ‘Aisyah menjawab: “Dua sayap”. Baginda bersabda: “Kuda ada dua sayap!” ‘Aisyah menjawab: “Tidakkah Tuan pernah mendengar bahawa Nabi Sulaiman mempunyai kuda yang mempunyai beberapa sayap?” ‘Aisyah berkata (menceritakan selanjutnyan): “Maka Rasulullah tertawa sehingga aku melihat gigi-gigi geraham Baginda.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Menurut Imam al-Khathabi Rahimahullâh kelonggaran bagi ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ bermain dengan patung yang disebut dalam hadits ini ialah kerana pada ketika itu dia masih belum bâligh. (Fath al-Bârî: 12/158-159)

Jelasnya, keharusan bermain patung ini adalah berdasarkan hadits di mana ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ telah bermain anak patung permainannya di sisi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan Baginda membiarkannya bermain tanpa tegahan ketika melihatnya. Selain itu terdapat hikmah pada pengharusan tersebut iaitu sebagai pendidikan dan latihan untuk masa depan sebagai ibu. Kelonggaran yang disebutkan ini juga tidak terhad untuk kanak-kanak perempuan sahaja bahkan merangkumi kanak-kanak lelaki sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Bujairimi Rahimahullâhu Ta‘âla. (Hawâsyî asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al-‘Abadi: 7/507, Nihâyah al-Muhtâj: 6/376 dan Bujairimi ‘alâ al-Khathib: 3/577)

Maka begitulah juga patung yang digunakan bagi tujuan pembelajaran, ia adalah harus berdasarkan keperluan dan hajat sebagaimana disebut dalam satu kaedah fiqhiyyah:

Ertinya: Hajat (keperluan) itu (adakalanya) menempati kedudukan dharurat sama ada hajat yang bersifat umum ataupun khusus.

Ini bermakna patung itu hendaklah benar-benar digunakan untuk keperluan pembelajaran dan pendidikan.

Oleh yang demikian berdasarkan penjelasan para ulama di atas, kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak lelaki yang belum bâligh adalah diharuskan bermain dengan anak patung berdasarkan umur ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ yang belum bâligh pada ketika itu.

Manakala hukum memanfaatkan patung sebagai permainan kanak-kanak ataupun alat pembelajaran adalah harus. Sekiranya patung permainan tersebut dijadikan sebagai perhiasan maka kedudukannya adalah sama seperti patung yang dijadikan perhiasan yang telah dihuraikan.

Sementara menyimpan anak patung dengan tujuan atau niat hendak menghadiahkannya kepada anak atau cucu kemudian hari sebagaimana pertanyaan di atas, adalah tidak menjadi suatu kesalahan menurut hukum syara‘. Namun yang perlu diambil perhatian di sini ialah cara menyimpan patung-patung permainan berkenaan agar tidak disimpan di tempat khusus kerana sayang atau sukakan patung tersebut. Perbuatan sedemikian mengandungi unsur seperti memberi penghormatan yang ditegah dalam Islam.

Berkenaan dengan orang dewasa yang bermain dengan anak patung pula adalah dilarang kerana pengharusan ini hanyalah untuk kanak-kanak, sama ada perempuan atau lelaki. Ini kerana had umur yang dimaksudkan berdasarkan huraian para ulama ialah sebelum bâligh mengikut pendapat yang lebih kuat. Maka orang dewasa yang bermain anak patung, sama ada anak patung yang disimpan dari zaman kanak-kanak atau bukan, ia tidak termasuk dalam pengharusan atau kelonggaran yang diberikan syara‘.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12275