Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Pentsabitan Barang Waqaf Menurut Syara‘

Soalan: Jabatan Majlis Ugama Islam telah menerima surat bertarikh 13hb. Februari 2014M mengenai dengan “Mewaqafkan Tanah EDR 5939 LOT 12404, Kampong Bunut Untuk Apa-Apa Jua Kegunaan Yang Dapat Memberi Manfaat Kepada Majlis Ugama Islam, Negara Brunei Darussalam.”

Dimaklumkan bahawa keluasan tanah yang hendak diwaqafkan itu adalah 0.489 ekar bagi apa-apa jua kegunaan (am) yang dapat memberi manfaat kepada Majlis Ugama Islam, Negara Brunei Darussalam.

Untuk makluman bahawa pada masa ini permohonan waqaf berkenaan masih dalam penelitian dan akan diproses untuk mendapatkan kebenaran serta urusan-urusan yang berkaitan dengannya.

Untuk makluman juga, semasa penelitian dan urusan yang berkaitan dengan permohonan waqaf ini dibuat, pemohon telah pun meninggal dunia terlebih dahulu iaitu pada 05hb. Jamadilawal 1435H bersamaan 24hb. Februari 2015M. Pihak ahli waris pemohon telah pun dihubungi bagi perkara waqaf berkenaan dan pihak ahli waris menyatakan bahawa pihak mereka tidak mahu meneruskan hasrat Allahyarham untuk mewaqafkan tanah EDR 5939 Lot 12404 Kampong Bunut berkenaan kerana mereka ada rancangan tersendiri bagi tanah tersebut.

Sehubungan dengan para (4) di atas, sukacita dipohonkan sebarang pandangan, irsyâd atau fatwa mengenai perkara-perkara berikut:

i. Kedudukan permohonan Allahyarham dan niat mewaqafkan tanahnya EDR 5939 Lot 12404 Kampong Bunut melalui surat bertarikh 13hb. Februari 2014M, sedangkan pihak ahli waris tidak mahu meneruskan hasrat Allahyarham untuk mewaqafkan tanah berkenaan kerana mereka ada rancangan tersendiri bagi tanah tersebut.

ii. Bagaimana pula kedudukan perwaqafan berkenaan, adakah boleh diproses untuk tindakan selanjutnya sedangkan ahli waris tidak mahu meneruskan hasrat Allahyarham itu?

Jawapan: Menurut syara‘, waqaf mempunyai empat rukun yang wajib dipenuhi agar waqaf itu dihukumkan sah dan tsabit kedudukan barang waqaf. Rukun waqaf yang empat perkara itu ialah:

1. Wâqif (orang yang berwaqaf). 2. Mauqûf (barang yang diwaqafkan). 3. Mauqûf ‘alaih (pihak yang menerima manfaat daripada barang waqaf). 4. Shîghah (lafaz).

Apabila waqaf itu dihukumkan sah dan tsabit menjadi barang waqaf, maka hak milik terhadap benda atau sesuatu barang yang diwaqafkan itu berpindah daripada milik orang yang mewaqafkannya kepada milik Allah Ta‘âla. Perkara ini ada disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn:

Ertinya: Menurut pendapat al-azhhar bahawasanya hak milik pada sesuatu barang yang diwaqafkan itu berpindah kepada Allah Ta‘ala yakni terlucut (hak milik tersebut) daripada kuasa khusus manusia, maka ia (barang yang diwaqafkan itu) tidak lagi menjadi hak milik kepada orang yang berwaqaf dan juga tidak menjadi hak milik kepada orang yang diwaqafkan.

Begitu juga halnya dengan barang-barang yang sudah tsabit menjadi barang waqaf. Barang tersebut tidak boleh dibatalkan. Bahkan, ia akan terus berkekalan menjadi barang waqaf sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh dalam matan kitab Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn:

Ertinya: Dan tidak batal waqaf oleh apa jua keadaan bahkan ia (hukum waqaf) itu berterusan atasnya.

Apabila barang itu telah sah dan tsabit diwaqafkan, ia juga tidak boleh dijual, dijadikan pemberian atau diwariskan kepada sesiapa pun sebagaimana hadits daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ:

Maksudnya: Sesungguhnya (barang yang diwaqafkan itu) tidak boleh dijual, tidak boleh diberikan dan tidak boleh diwariskan. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Adakah Shîghah Waqaf Memadai dengan Niat atau Hasrat?

Merujuk kepada rukun yang telah disebutkan di atas, shîghah adalah antara rukun waqaf yang perlu dipenuhi bagi menjadikan sesuatu barang itu sah dan tsabit menjadi barang waqaf. Shîghah ialah lafaz yang membawa maksud berwaqaf. Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn:

Ertinya: Dan tidak sah (waqaf) kecuali dengan lafaz (yang memberi maksud untuk berwaqaf), dan (lafaz) yang sharîhnya (terang) ialah: “Aku berwaqaf barang ini” atau “tanahku menjadi barang waqaf untuknya.”

Dalam kitab Hâsyiyatân Qalyubi wa ‘Umairah disebutkan:

Ertinya: Dan tidak sah (waqaf) kecuali dengan lafaz (yang memberi maksud untuk berwaqaf), sekalipun (dalam hal hendak) membina masjid, berlainan (halnya) jikalau seseorang itu mengusahakan satu tanah mawât dengan niat untuk mewaqafkan masjid, kubur, perigi atau bangunan untuk fakir miskin atau sekolah (maka waqaf itu sah sekalipun dia tidak berlafaz).

Daripada perkataan para ulama di atas, dapat difahami bahawa apabila seseorang itu berhasrat atau berniat untuk berwaqaf terhadap sesuatu yang menjadi miliknya, maka hendaklah dilafazkannya bahawa barang tersebut adalah untuk waqaf bagi tujuan untuk melepaskan hak miliknya terhadap harta tersebut. Tidak memadai hanya berpegang kepada niat atau hasrat seseorang itu untuk mentsabitkan barang tersebut sebagai waqaf melainkan jika sesuatu yang hendak diwaqafkannya itu merupakan tanah mawât. Dalam hal ini, jika dia mengusahakan tanah mawât dan dia berniat untuk mewaqafkan masjid, kubur, perigi atau bangunan untuk fakir miskin atau sekolah, maka waqaf itu adalah sah sekalipun dia tidak berlafaz kerana tanah mawât bukan milik kepada sesiapa dan tidak perlu ada pelepasan hak pemilikan.

Dalam kata lain, jika seseorang yang hendak mewaqafkan sesuatu miliknya itu belum mengeluarkan ucapan atau lafaz yang memberi maksud berwaqaf, maka dia belum lagi dikira berwaqaf sekalipun dia telah berniat atau berhasrat untuk berwaqaf kerana niat atau hasrat itu belum memenuhi maksud shîghah yang menjadi rukun dalam waqaf.

Memohon untuk Berwaqaf: Adakah Tsabit Hukum Waqaf?

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, bahawa Allahyarham telah memohon kepada Majlis Ugama Islam untuk tujuan mewaqafkan tanahnya, namun semasa permohonan beliau masih dalam penelitian dan urusan yang berkaitan dengan permohonan waqaf tersebut sedang dibuat, pemohon telah pun meninggal dunia terlebih dahulu, adakah telah tsabit hukum waqaf dengan hanya berpandukan kepada permohonan waqaf beliau itu?

Dalam hal ini, apabila diteliti, tanah yang hendak diwaqafkan oleh Allahyarham itu adalah berupa tanah waris yang diberikan kepadanya dan ini jelas bahawa tanah yang hendak diwaqafkan itu bukanlah berstatus tanah mawât.

Seterusnya difahami juga bahawa sepanjang permohonan beliau itu diproses dan diteliti sehinggalah beliau meninggal dunia iaitu bermula 13hb Februari 2014M sehingga 24hb Februari 2015M, tidak ada sebarang shîghah waqaf diucapkan oleh Allahyarham kepada Majlis Ugama Islam.

Apabila dirujuk kepada hukum syara‘, kedudukan tanah yang hendak diwaqafkan oleh Allahyarham tersebut adalah belum tsabit dan tidak sah menjadi harta waqaf memandangkan Allahyarham baru memohon dan mengharapkan pertimbangan agar tujuan atau hasratnya untuk berwaqaf itu dipersetujui oleh pihak Majlis Ugama Islam.

Dalam hal ini, pihak Majlis Ugama Islam tidak boleh memproses tanah tersebut untuk urusan waqaf kerana pemohon asal telah pun meninggal dunia dan secara langsung hak miliknya telah pun berpindah kepada pihak waris. Maka, kedudukan tanah Allahyarham tersebut telah menjadi tanah waris dan akan terpulang kepada pihak waris untuk menyelanggarakannya sama ada untuk meneruskan hasrat Allahyarham untuk mewaqafkannya atau sebaliknya.

Sebagai Irsyâd

Perkara berwaqaf adalah suatu amalan yang berkebajikan dan mulia di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ganjaran pahala yang diterima oleh pewaqaf adalah berterusan selama mana harta waqaf tersebut masih wujud dan masih dimanfaatkan oleh orang lain walaupun si pewaqaf itu sudah meninggal dunia.

Adalah wajar bagi pihak yang bertanggungjawab seperti Majlis Ugama Islam untuk menyegerakan apa jua tindakan ke atas sebarang permohonan khairat seperti ini bagi menyampaikan hajat atau niat pemohon.

Alangkah rugi dan sedih bagi si pemohon dalam kes ini kerana tidak dapat menunaikan niatnya untuk berwaqaf bagi mendapatkan saham akhirat kerana amalan berwaqaf ini merupakan salah satu daripada tiga perkara yang tidak akan terputus diterima ganjarannya walaupun sudah meninggal dunia lebih-lebih lagi beliau tidak mempunyai anak kerana tidak pernah berkahwin.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Apabila mati anak Adam, terputuslah amalnya, kecuali tiga perkara iaitu: Sedekah jariah yang berterusan, ilmu yang dimanfaatkannya dan anak salih yang mendo‘akannya. (Hadits riwayat an-Nasa’i)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12279