Permasalahan Selepas Dibinkan kepada Bapa Angkat
Soalan: Sejak lahir lagi saya telah diserahkan kepada bapa saudara sebelah bapa kandung saya yang sebenar sebagai anak angkat. Surat kelahiran saya telah dibuat dengan ber‘bin’kan nama bapa saudara saya begitu juga dengan nama ibu. Perkara ini telah berlarutan sehinggalah saya meningkat dewasa dan seterusnya berumah tangga.
Bapa kandung saya telah meninggal dunia dan begitu juga dengan bapa saudara saya (nama bapa dalam surat kelahiran saya). Saya mempunyai beberapa orang abang, kakak dan adik daripada ibu bapa kandung saya yang sebenar. Permasalahannya di sini, tarikh lahir abang saya juga telah didaftarkan sama tahun dengan kelahiran saya bahkan lebih muda daripada saya selama 6 hari. Oleh yang demikian, untuk membuat pembetulan ke atas nama bapa saya mungkin akan menimbulkan banyak permasalahan berbangkit terhadap kedudukan abang kandung saya, hubungan kekeluargaan bersama keluarga kandung saya dan begitu juga dengan hubungan kekeluargaan bersama dengan anak-anak bapa saudara saya yang selama ini telah menganggap saya seperti adik-beradik kandung sendiri walhal adalah saudara sepupu yang sebenarnya.
Pernah suatu ketika dulu semasa saya berumur belasan tahun, ketika itu saya tidak mengetahui bahawa saya bukan adik-beradik kandung dalam keluarga berkenaan. Saya pernah diarahkan untuk menjadi imam sembahyang fardhu maghrib berjemaah. Sebaik sahaja selesai sembahyang, saya pun bersalam-salaman dengan adik-beradik saya yang mana bukanlah adik-beradik kandung saya yang sudah setentunya juga bukan mahram saya. Apabila saja masuk waktu ‘Isya’, saya sekali lagi menjadi imam tanpa memperbaharui wudhu’. Saya merasa amat kesal kerana sungguhpun mereka mengetahui kedudukan saya dalam keluarga berkenaan, saya tidak pernah sekalipun dimaklumkan, termasuklah kedua ibu bapa angkat saya.
Saya pernah mengadakan perjumpaan bersama keluarga kandung saya bagi membincangkan mengenai dengan kedudukan saya yang ber‘bin’kan bukan bapa kandung. Di sana, timbul sesetengah pihak yang tidak bersetuju di atas tindakan saya ingin membetulkan keadaan atas alasan menjaga kemashlahatan adalah lebih utama dari menimbulkan perpecahan di antara kedua-dua belah pihak.
Susulan dari itu, saya juga pernah membuat perjumpaan bersama keluarga angkat (sepupu) saya bertujuan untuk membincangkan perkara yang sama. Jawapan yang saya terima juga hampir sama di mana pihak saudara sepupu saya menasihatkan supaya saya tidak menukar nama bapa saya atas alasan kemashlahatan untuk tidak menyinggung perasaan ibu yang menjaga saya sejak kecil. Malahan mereka juga berkata supaya saya menyerahkan saja hal itu kepada Allah. Apa jua kesilapan yang orang tua saya dan bapa saudara saya lakukan dulu, untuk dilupakan sahaja demi menjaga kemashlahatan dunia.
Persoalannya:
1. Bagaimanakah kedudukan sembahyang berjemaah yang saya dirikan sebagai imam sebelum mengetahui hal sebenar?
2. Adakah wajib/wajar bagi saya untuk membetulkan kedudukan nama bapa kandung saya sekalipun ianya akan melibatkan abang kandung saya dan hubungan tali silaturrahim di antara kedua-dua belah keluarga?
3. Bagaimana jika saya tidak membetulkan keadaan bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku bagi memelihara persaudaraan? Bagaimanakah pula dengan kedudukan saya di akhirat kelak?
4. Jika saya tidak membetulkan keadaan nama bapa saya, atas nama bapa yang manakah saya akan dipanggil di akhirat kelak? Bagaimana pula dengan kedudukan talqin?
5. Apakah kemungkinan masalah yang akan timbul ke atas kedua-dua belah pihak keluarga dan juga perkara-perkara yang boleh menjejaskan abang kandung saya jika saya membetulkan kedudukan nama bapa saya yang sebenarnya?
6. Adakah menjaga kemashlahatan bagi mengelakkan perbelahan lebih penting daripada membetulkan keadaan?
7. Merujuk kepada beberapa hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam berkaitan dengan anak angkat: ‘Kamu akan dibangkitkan dengan nama kamu dan nama bapa kamu’. Mohon penjelasan Pehin Mufti mengenai dengan kedudukan saya bersandarkan hadits tersebut.
8. Hukum mem‘bin’kan dengan bapa angkat bukan saja haram malahan tidak akan dapat mencium bau syurga. Jika seseorang itu jahil tentang hukum mengenainya, apakah mereka itu dimaafkan?
9. Bagaimanakah kedudukan bapa saudara saya di alam barzakh, adakah dia akan diseksa atas segala perbuatannya menukar nama bapa saya dengan namanya?
10. Apakah hukum yang akan dikenakan bagi mana-mana keluarga yang menghalang saya daripada bertindak untuk membetulkan keadaan?
Jawapan: Menasabkan Anak Angkat kepada Bapa Angkat
Anak angkat tidak boleh dinasabkan atau tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada bapa angkat. Ini jelas berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Panggillah anak-anak angkat itu (dengan berbinkan) kepada bapa-bapa mereka sendiri, itu yang lebih adil di sisi Allah. Jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka maka mereka itu adalah saudara-saudara kamu seagama dan sebagai ‘maulâ-maulâ’ kamu. Dan bukanlah suatu dosa ke atas kamu dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya tetapi (berdosa melakukan) apa yang disengajakan oleh hati kamu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. (Surah al-Ahzâb: 5)
Dalam ayat ini Allah Ta‘ala memerintahkan supaya dipanggil anak angkat itu dengan nama bapanya yang sebenar, yang diketahui. Jika anak angkat itu tidak mempunyai bapa yang diketahui, maka hendaklah dinasabkan kepada bekas tuannya (jika dia bekas seorang hamba yang telah dimerdekakan). Jika dia tidak mempunyai bekas tuan yang diketahui, maka dipanggil kepadanya ََي َ َأخي (wahai saudara) dalam Islam.
Jika sekiranya menasabkan seseorang itu bukan kepada bapanya kerana tersilap atau tidak disengajakan maka tidaklah dia berdosa. Adapun jika dia memanggil seseorang dengan nama lain daripada nama bapanya, akan tetapi dia menyangka bahawa nama itu nama bapanya, maka hal yang demikian itu tidaklah mengapa, berlainan pula apabila seseorang dengan sengaja dan bertujuan memanggilnya dengan bukan nama bapanya. Panggilan semacam ini adalah salah dan berdosa. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 14/90 dan Jâmi‘ al-Bayân li ath- Thabari: 19/145-146)
Selain itu juga, menasabkan seseorang yang bukan daripada keturunannya atau bukan bapanya kepada dirinya adalah antara perkara dosa-dosa besar sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya az-Zawâjir bahawa daripada perkara-perkara dosa besar itu ialah seorang itu enggan dan berpaling daripada nasabnya atau daripada nasab bapanya atau ia bernasab kepada nasab orang lain daripada bapanya padahal dia mengetahui akan salah perbuatannya itu. (Az-Zawâjir: 2/99)
Ini berdasarkan hadits daripada Sa‘ad bin Abu Waqqash Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:
Maksudnya: Sesiapa mendakwa (mengaku) dalam Islam orang lain sebagai bapanya (sedangkan) dia mengetahui bahawa orang lain itu bukan bapanya maka syurga adalah haram baginya. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadits lagi daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Mana-mana perempuan memasukkan (menasabkan seseorang anak) kepada sesuatu kaum padahal dia (anak itu) bukan daripada kaum itu, maka perempuan itu (tidak akan mendapat) daripada Allah sesuatu pun (daripada rahmatNya). Dan Allah tidak akan memasukkannya (perempuan itu) ke dalam syurgaNya. (Hadits riwayat Abu Daud)
Begitu juga dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Dzarr Radhiallâhu ‘anhu bahawa sesungguhnya dia mendengar Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidaklah seorang lelaki itu mengaku kepada (seseorang) selain bapanya -sedangkan dia mengetahui (itu bukan bapanya) – melainkan dia kafir. Dan sesiapa yang mengaku kepada suatu kaum sedangkan di kalangan mereka tidak ada nasab kepadanya, maka hendaklah dia menempati tempat duduknya di neraka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh di dalam kitab Fath al-Bâri, yang dimaksudkan dengan kafir dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari itu menurut pengertian daripada riwayat yang masyhûr ialah kufur ni‘mat. Ini bererti, pengertian perkataan َ َ ِبَهلل كَفَر yang ada disebutkan dalam hadits berkenaan tidak membawa kepada pengertian yang zahir tetapi adalah untuk menunjukkan kepada suatu ancaman dan celaan bagi siapa yang melakukannya (mendustakan nasabnya). (Fath al-Bâri bi Syarh Shahîh al- Bukhari: 7/228)
Dalam hal ini juga, Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh ada menerangkan pengertian kafir yang disebutkan dalam hadits tentang mendustakan nasab:
Ertinya: Dalam pengakuan nasab; adalah menasabkan dengan betul itu wajib dan dengan mendustakan dalam pentsabitannya itu pula adalah haram seperti mendustakan dalam penafiannya (nasab). Bahkan telah dinyatakan dalam hadits bahawa dia telah menjadi kafir (kerana mendustakan nasab), akan tetapi (kafir itu) membawa erti menjadi kafir orang yang menghalalkan perbuatan yang demikian itu atau (orang itu) kufur ni‘mat (tidak menghargai di atas ni‘mat pengurniaan anak kepadanya).. (Tuhfah al-Muhtâj: 5/487 dan az- Zawâjir: 2/100)
Larangan syara‘ terhadap menasabkan seseorang yang bukan daripada nasabnya juga adalah kerana ia boleh membabitkan hukum-hakam seperti pembatasan aurat, khalwat, batal wudhu’, perwarisan, nafkah, wali dalam pernikahan atau wilâyah (penjagaan) ke atas harta. (Asnâ al- Mathâlib: 3/415)
Berdasarkan apa yang telah disebutkan di atas, maka sesiapa sahaja yang menasabkan dirinya kepada yang bukan bapanya yang sebenar hukumnya adalah haram dan berdosa. Begitu juga haram orang yang menghalalkan perbuatan dengan sengaja menasabkan anak kepada yang bukan bapanya sedangkan dia mengetahui nasab yang sebenar. Hadits-hadits di atas juga telah menyebutkan larangan dan ancaman keras kepada sesiapa yang menasabkan seseorang kepada yang diketahui bukan bapanya sebenar.
Oleh yang demikian, jika telah diketahui kesalahan atau kesilapan dalam membinkan atau meletakkan nasab, adalah wajib ke atas orang itu untuk membetulkan agar tidak terus kekal dalam dusta, haram dan dosa.
Demikian ketetapan hukum syara‘ mengenai menasabkan anak. Adapun urusan pembetulan nama selanjutnya, penyoal bolehlah membawa perkara ini kepada Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan di Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat.
Berbangkit daripada penjelasan di atas, berikut ini dijelaskan antara permasalahan-permasalahan yang ditanyakan:
1. Hukum sembahyang jemaah selepas bersalaman adik-beradik angkat (bukan adik-beradik kandung).
Bersalaman dengan bukan adik-beradik kandung yang berlawanan jenis adalah haram kerana mereka termasuk dalam kategori orang ajnabiyyah (orang asing) dan ahli keluarga yang bukan mahram seperti sepupu (anak adik-beradik bapa atau emak).
Dalam bab wudhu’, menyentuh kulit lelaki atau perempuan yang bukan mahram tanpa berlapik adalah termasuk dalam perkara-perkara yang membatalkan wudhu’. Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: Kita telah sebutkan bahawa mazhab kita (mazhab asy-Syafi‘e): Bahawa bertemu dua kulit lelaki asing dengan kulit perempuan asing adalah membatalkan (wudhu’), sama ada dengan syahwat dan sama ada dengan qashad (sengaja) atau tidak, dan tidak batal (wudhu’) dengan ada sesuatu lapik sekalipun (lapik itu) nipis. (Al-Majmû‘: 2/37)
Dalam ibadat sembahyang pula, haram dan tidak sah sembahyang tanpa wudhu’ sebagaimana hadits riwayat Abu Hurairah daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sabdanya:
Maksudnya: Tidak diterima sembahyang sesiapa yang berhadats sehingga dia berwudhu’. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Oleh yang demikian, jika berlaku perkara seperti yang disebutkan di atas maka sembahyang yang dikerjakan adalah tidak sah kerana syarat sah sembahyang ialah suci daripada hadats kecil atau hadats besar iaitu wajib seseorang itu berwudhu’ atau seumpamanya. Begitu juga tidak sah sembahyang makmum yang batal wudhu’ disebabkan persentuhan kulit dengan orang yang bukan mahram. Walau bagaimanapun, dalam kedudukan seperti yang dinyatakan oleh penyoal, tidaklah berdosa melakukan sembahyang tanpa wudhu’ pada ketika itu kerana perkara itu bukanlah disengajakan memandangkan penyoal tidak mengetahui kedudukan sebenar bahawa penyoal bersalaman dengan bukan adik-beradik kandung.
Akan tetapi walaupun tidak berdosa, adalah wajib untuk mengqadha’ sembahyang yang tidak sah itu setelah mengetahui dengan yakin kedudukan perkara tersebut (batal wudhu’ kerana ada berlakunya persentuhan kulit).
Oleh yang demikian itu, wajib mengqadha’ mengikut jumlah bilangan sembahyang yang tidak sah itu jika mengetahui jumlah bilangan sembahyang yang tidak sah itu. Adapun jika tidak mengetahui jumlah bilangan sembahyang yang hendak diqadha’, Imam ar-Ramli Rahimahullâh sebagai contoh menerangkan bahawa:
Ertinya: Dan sesiapa yang ke atas dirinya ada sembahyang-sembahyang fardhu yang terluput (tidak ditunaikan pada waktunya) yang dia tidak mengetahui berapa bilangannya (sembahyang fardhu yang terluput itu), (maka dalam masalah ini ada dua pendapat:) al- Qaffal Rahimahullâh berkata: “Hendaklah dia mengqadha’ jumlah (bilangan sembahyang) yang secara pasti ditinggalkannya”, manakala al-Qadhi al-Husain Rahimahullâh pula berpendapat: “Hendaklah dia mengqadha’ jumlah (bilangan sembahyang) yang berlebih daripada jumlah (bilangan sembahyang) yang secara pasti telah dikerjakannya”. Maka pendapat inilah (pendapat al-Qadhi al-Husain Rahimahullâh) pendapat yang ashah. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/383)
Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh pula menjelaskan:
Ertinya: Sekiranya ke atas diri seseorang ada (tanggungan untuk mengerjakan) sembahyang-sembahyang fardhu yang terluput yang dia tidak mengetahui kadar dan bilangannya, umpamanya dia mengetahui telah meninggalkan sembahyang dalam tempoh masa sebulan (tetapi) tidak tahu berapa kadar jumlahnya, (maka) dia hendaklah mengqadha’ sebanyak bilangan yang dia tidak yakin (pasti) telah mengerjakannya, (iaitu) sebagaimana pendapat al-Qadhi (Husain) Rahimahullâh dan telah dinyatakannya sebagai pendapat yang ashah dalam kitab al-Majmû‘. Dan turut mempersetujui pendapatnya ialah pendapat sebahagian sahabat kepada orang yang berkata: “Ke atasku sembahyang-sembahyang yang terluput aku tidak dapat mengingati bilangannya” - kami menjawab kepada kamu hingga waktu kamu bâligh: “Jumlah (bilangan sembahyang) yang secara pasti dari waktu bâlighmu sesungguhnya kamu telah kerjakan maka oleh sebab itu, sesuatu (jumlah bilangan sembahyang) yang kamu syak (tidak pasti), wajib ke atas kamu mengqadha’nya.” (Al-Fatâwâ al-Fiqhiyyah al-Kubrâ: 1/156)
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menerangkan gambaran masalah di atas dengan menyatakan: “Sekiranya seseorang itu ditanyakan tentang berapakah jumlah sembahyang yang secara pasti telah dikerjakannya dalam bulan ini, maka jika dijawab bahawa dia (secara pasti) telah mengerjakannya dalam jumlah yang tertentu (sahaja, tidak keseluruhannya), maka jumlah yang selebihnya (daripada jumlah yang telah pasti dikerjakannya), itulah yang wajib untuk diqadha’nya. Hal ini ditentukan atas dasar seseorang itu pada asalnya mempunyai tanggungan (dzimmah, iaitu untuk melaksanakan sembahyang yang wajib ke atas dirinya), maka tanggungan itu tidak akan gugur sehinggalah dia dengan secara pasti telah melaksanakannya. (Kitab al-Majmû‘: 3/78)
Berdasarkan penjelasan di atas, maka jumlah sembahyang yang perlu diqadha’ ialah baki daripada jumlah sembahyang yang diyakini telah dikerjakan atau ditunaikan.
2. Dipanggil dengan nama sebenar dan dinasabkan kepada bapa.
Sudah semestinya setiap orang perlu dinasabkan kepada bapanya yang sebenar sebagaimana penjelasan di atas. Nasab yang paling tepat ialah kepada ibunya, sebagaimana yang biasa dilakukan dalam talqîn.
Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh bahawa kebanyakan ulama menyebutkan sunat mentalqînkan mayat selepas dikuburkan dan duduk di atas kepala mayat dan berkata:
Ertinya: Wahai polan bin polan dan hamba Allah bin hamba perempuan Allah! Ingatlah perjanjian yang kerananya engkau telah keluar dari dunia: (Iaitu syahâdah) penyaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah, yang Esa tiada sekutu bagiNya, dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad itu adalah hambaNya dan RasulNya. Dan bahawa sesungguhnya syurga itu adalah benar, dan bahawa sesungguhnya neraka itu adalah benar, dan bahawa sesungguhnya Hari Pembangkitan itu adalah benar, dan bahawa sesungguhnya Hari Kiamat itu pasti tiba, tiada ragu padanya, dan bahawa sesungguhnya Allah akan membangkitkan semua orang yang berada di dalam kubur. Dan bahawa sesungguhnya engkau redha bahawa Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagai Nabi, al-Qur’an sebagai pemimpin, Ka‘bah sebagai qiblat dan orang-orang yang beriman sebagai saudara-saudara. (Al-Majmû‘: 5/266-267)
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan lagi dalam kitab al-Adzkâr bahawa terdapat sebahagian sahabat-sahabat yang lain memulakan dengan: “Wahai hamba Allah bin hamba perempuan Allah”. Ada juga yang mengatakan: “Wahai ‘Abdullah bin Hawa”. Sebahagian ulama lagi menyebut: “Wahai polan – nama orang yang meninggal – bin hamba perempuan Allah, atau wahai polan bin Hawa”. Semua lafaz itu maknanya sama. (Al-Adzkâr: 213)
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Sa‘id bin ‘Abdullah al-Audiy berkata:
Maksudnya: Aku telah menyaksikan Abu Umamah sedang nazak, dia (Abu Umamah) berkata: “Apabila saya mati, maka hendaklah kamu uruskan aku sebagaimana kita diperintahkan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam mengurus orang kita yang mati. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Apabila mati salah seorang daripada saudara kamu, maka kamu telah meratakan tanah atas kuburnya, maka hendaklah salah seorang kamu berdiri atas bahagian kepala kuburnya, kemudian dia berkata: “Wahai polan bin polanah, sesungguhnya dia mendengar dan dia tidak boleh menjawab, kemudian dia berkata: “Wahai polan bin polanah, sesungguhnya dia meratakan dengan duduk, kemudian dia berkata: “Wahai polan bin polanah, sesungguhnya dia berkata: “Berilah petunjuk kepada kami semoga Allah memberi rahmat kepadamu, akan tetapi kamu tidak merasai”. Maka katakan lagi: “Ingatlah ketika engkau keluar dari dunia, (iaitu syahâdah) penyaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad itu adalah hambaNya dan RasulNya. Dan bahawa sesungguhnya engkau redha bahawa Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagai Nabi, al-Qur’an sebagai pemimpin. Sesungguhnya Malaikat Munkar dan Nakir saling memegang tangan kawannya dan berkata: “Silakan kita kembali saja, apa gunanya kita duduk di hadapan orang yang telah ditalqînkan jawapannya”. Berkata Abu Umamah: “Seorang sahabat bertanya kepada Nabi: “Wahai Rasulullah, kalau dia (orang yang mentalqînkan itu) tidak mengetahui ibunya?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Maka dinasabkan saja dia kepada Hawa.” (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Para ulama fiqh berpendapat walaupun hadits di atas ini dha‘îf, tetapi dha‘îfnya itu telah dikuatkan dengan disokong oleh beberapa syâhid daripada hadits-hadits yang shahîh, lagi pula membaca talqîn selepas menanam mayat itu suatu perkara yang termasuk di bawah erti kata fadhâ’il al-a‘mâl. ََ (فَ ضُ ائلَ احألَ عحَ مال) Amalan ini juga masih dilakukan oleh orang ramai sejak abad-abad permulaan. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim: 3/247 dan Mughni al-Muhtâj: 1/498)
Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh menyebutkan dalam Fath al-Mu‘în:
Ertinya: Dan memanggilnya (nama orang yang meninggal dalam lafaz talqîn) dengan menyebutkan ibunya iaitu jika diketahui, jika tidak maka dipanggil Hawa. (I’ânah ath-Thâlibîn: 2/314-315)
Walau bagaimanapun, panggilan menggunakan nama ibu ketika talqîn tidak menafikan manusia dipanggil dengan nama bapa-bapa mereka pada Hari Kiamat sebagaimana kata Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh:
Ertinya: Dan memanggilnya (nama orang yang meninggal dalam lafaz talqîn) dengan menyebutkan ibunya iaitu jika diketahui, jika tidak maka dipanggil Hawa, (ini) tidak menafikan panggilan manusia di Hari Kiamat dengan menyebutkan bapa-bapa mereka. Sebab kedua-dua hal tersebut sebagai tauqîf (penetapan syara‘) tiada ruang untuk membuat pendapat (penilaian akal) padanya (apa yang telah ditetapkan oleh syara‘). (I‘ânah ath- Thâlibîn: 2/314-315)
Oleh yang demikian, menurut amalan dan lafaz talqîn ulama-ulama terdahulu, maka talqîn harus dibaca dengan menasabkan nama orang yang meninggal dunia itu kepada nama ibunya.
3. Tidak membetulkan nama untuk kemaslahatan keluarga.
Dalam hal atau perkara hukum yang telah jelas tegahan atau larangannya, maka tidak patut berbangkit mengenai putus hubungan silaturrahim atau boleh menyebabkan terjejas hubungan silaturrahim di antara keluarga jika membetulkan perkara yang ditegah oleh syara‘, kerana perlu diketahui dan difahami oleh ahli keluarga yang terlibat bahawa setiap perkara yang disuruh atau dilarang oleh Allah Ta‘ala itu adalah wajib untuk diikut dan ditaati. Tidak syak lagi setiap perintah, suruhan dan larangan Allah Ta‘ala itu mempunyai hikmah-hikmahnya sendiri.
Adapun atas alasan menjaga kemashlahatan, sangat mustahak difahami maksud mashlahat itu menurut pandangan syara‘. Berkata Imam al-Ghazali Rahimahullâh:
Ertinya: Adapun mashlahat itu ialah ungkapan pada dasarnya mengambil manfaat dan menolak kemudharatan, kami bukan memberi makna dengannya, mengambil manfaat dan menolak kemudharatan itu menurut tujuan-tujuan dan kemashlahatan manusia untuk mencapai tujuan-tujuan mereka. Akan tetapi kami memberi makna mashlahat dengan memelihara tujuan-tujuan syara‘. Adapun tujuan-tujuan syara‘ (yang dipelihara) daripada manusia itu ada lima perkara; iaitu hendaklah mereka menjaga agama mereka, nyawa mereka, akal mereka, keturunan mereka dan harta mereka. Setiap yang menjamin bagi memelihara dasar yang lima ini adalah dikatakan ia mashlahat dan setiap yang meluputkan dasar-dasar ini pula adalah ia mafsadah (kerosakan) dan yang menolak mafsadah itu adalah (dinamakan ia) mashlahat. (al-Mustashfâ: 1/258)
Keengganan atau mengingkari untuk tidak menasabkan anak dengan betul kepada bapanya yang sebenar adalah ia menyalahi mashlahat dan bertentangan dengan konsep menjaga tujuan-tujuan syara‘ yang lima itu, antaranya memelihara agama dan keturunan yang menyangkut perkara-perkara pembatasan aurat, khalwat, batal wudhu’, perwarisan, nafkah, wali dalam pernikahan atau wilâyah (penjagaan) ke atas harta.
Selain itu, syara‘ juga melarang orang Islam memutuskan silaturrahim sama ada dalam kalangan mahram ataupun bukan mahram. Dalam sebuah hadits diriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak masuk syurga orang yang memutuskan (silaturrahim). (Hadits riwayat Muslim)
Berkata al-Qadi ‘Iyadh Rahimahullâh, tidak ada perselisihan pendapat bahawa menjaga silaturrahim itu wajib dan memutuskan silaturrahim pula merupakan maksiat yang besar. Menurut pendapat beliau dan pendapat yang betul menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh bahawa silaturrahim itu wajib di antara setiap yang mempunyai ikatan dalam perwarisan sama ada orang yang mahram atau bukan mahram dengannya. (Shahîh Muslim bi Syarh an- Nawawi: 16/116-117)
Imam an-Nawawi Rahimahullâh juga menjelaskan bahawa hadits di atas yang menyebutkan mengenai tidak masuk syurga bagi orang yang memutuskan silaturrahim adalah membawa kepada dua penjelasan; iaitu pertama, orang Islam yang menghalalkan memutuskan silaturrahim tanpa sebab sedangkan dia mengetahui bahawa hukumnya adalah haram maka dia menjadi kafir kekal di neraka dan selama-lamanya tidak masuk syurga. Penjelasan kedua pula ialah orang Islam yang memutuskan silaturrahim tidak akan masuk syurga bersama orang-orang terdahulu yang mula-mula diperintahkan masuk syurga, bahkan dia diseksa dengan dikemudiankan masuk syurga dalam jangka masa yang dikehendaki Allah Ta‘ala. (Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 16/117)
4. Membinkan anak kepada bapa angkat kerana jahil.
Apa yang telah dijelaskan di atas bahawa adalah berdosa membinkan atau menasabkan anak kepada bapa angkat dengan sengaja atau dengan mengetahui akan larangan syara‘ mengenainya. Adapun jika seseorang itu membinkan atau menasabkan anak kepada bapa angkat tanpa pengetahuan atau jahil tentang hukum mengenainya, maka adalah dimaafkan dan tidak dihukumkan berdosa. Ini kerana orang yang melakukan kesalahan kerana kejahilannya atau terlupa adalah antara orang-orang yang tidak dihukum. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. (Surah al-Baqarah: 286)
Potongan ayat ini adalah satu ajaran daripada Allah Ta‘ala kepada hamba-hambaNya yang beriman bagaimana cara berdo‘a kepadaNya. Imam ath-Thabari Rahimahullâh mentafsirkan bahawa ayat ini bermakna: “Kamu katakanlah: “Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa sesuatu yang Engkau wajibkan ke atas kami supaya mengamalkannya, tetapi kami pula tidak mengamalkannya, atau kami tersalah melakukan sesuatu yang kami ditegah daripada melakukannya, tetapi kami pula melakukannya, tanpa kami bermaksud untuk melakukan maksiat ke atasMu, akan tetapi disebabkan kesilapan dan kejahilan daripada kami.” (Jâmi‘ al- Bayân li ath-Thabari: 3/210)
Oleh itu berdasarkan tafsiran dan keterangan ayat di atas, orang yang jahil tidak mengetahui akan larangan membinkan atau menasabkan anak kepada bapa angkat terlepas daripada hukuman Allah Ta‘ala.
Walau bagaimanapun, perkara seksaan di alam barzakh kerana melakukan kesalahan atau seumpamanya adalah antara perkara-perkara ‘ghaibiyyât’ iaitu yang di luar akal pengetahuan kita seperti azab atau seksaan kubur, hisâb pada Hari Kiamat, jambatan shirâth, syurga dan neraka. Perkara-perkara ini hanya diketahui oleh Allah Ta‘ala sahaja.
Mudah-mudahan apa yang telah dilakukan oleh keluarga angkat penyoal adalah kerana kejahilan mereka mengenai larangan membinkan dan menasabkan kepada bapa angkat. Tetapi setelah mengetahui akan larangan ini, maka wajiblah bagi mereka untuk bertaubat dengan mengubah dan membetulkan kesilapan serta kesalahan yang telah dilakukan itu. Jika tidak, maka hukum berdosa serta risiko untuk menerima janji Allah Ta‘ala berupa azabNya adalah perkara yang pasti yang tiada keraguan padanya, berdasarkan Allah tidak memungkiri janjiNya.
5. Orang-orang yang bertindak menghalang untuk membetulkan nasab sebenar.
Penjelasan-penjelasan di atas mengenai larangan membinkan dan menasabkan anak kepada bapa angkat bukan setakat hukum syara‘ itu khusus ke atas anak atau orang yang membinkan atau menasabkan kepada bapa angkat, bahkan larangan itu juga termasuk kepada sesiapa yang menghalang daripada membetulkan nasab yang sebenar.
Maka mana-mana pihak atau orang yang menghalang daripada membetulkan nasab yang sebenar juga adalah turut berdosa kerana menghalalkan atau bersetuju melakukan perkara yang dilarang dan diharamkan oleh syara‘. Oleh yang demikian, kita tidak boleh berkompromi dalam segala perkara yang telah jelas dilarang dan diharamkan oleh syara‘.
Sebagai irsyâd jua, langkah utama yang perlu dilakukan penyoal ialah menjelaskan dan memberi kefahaman kepada keluarga angkat akan kesalahan atau dosa dari segi syara‘ mengenai menasabkan kepada bukan bapa sebenar. Setelah itu bolehlah mengadakan perbincangan dan perundingan dengan pihak Jabatan Imigresen Dan Pendaftaran Kebangsaan bersama-sama keluarga angkat supaya dapat mempercepatkan urusan pembetulan ini dengan sebaik-baiknya agar dapat mengelakkan perkara yang bertentangan dengan syara‘. Semua ini adalah untuk menjaga mashlahat yang lima iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12283
