Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Permohonan Perhimpunan Mingguan Pengikut Kristian

Soalan: Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah menerima surat permohonan daripada pihak WRITTE’s Management Services untuk mengadakan perhimpunan mingguan agama Kristian pada setiap hari Ahad mulai jam 11:00 pagi hingga 1:00 petang bertempat di Lot 38, Kampong Kiarong, Negara Brunei Darussalam.

Kementerian ini mengambil maklum bahawa Kerajaan pada dasarnya tidak membenarkan penyebaran agama lain selain agama Islam sebagai agama rasmi Negara, apatah lagi penggunaan rumah atau tempat selain gereja dan tempat yang “establish” untuk tujuan yang dimaksudkan bahkan merupakan kesalahan di bawah undang-undang tanah.

Sehubungan ini, bagi penyelarasannya sukacita Kementerian ini memohon kerjasama Pehin Mufti agar dapat memberikan sebarang nasihat atau garis panduan mengenai perkara ini.

Jawapan: Peraturan Syara‘ bagi Orang Bukan Islam yang Tinggal di Negara Islam

Dalam Islam terdapat syarat atau peraturan tertentu yang dikenakan ke atas orang bukan Islam yang berada di negara Islam. Antaranya ialah boleh berkumpul bagi menjalankan upacara keagamaan mereka, dengan syarat perkumpulan itu tidak dizahirkan di hadapan orang Islam. Misalnya mereka mengadakan perkumpulan tersebut di gereja, tokong, kuil atau tempat yang seumpamanya.

Mereka juga ditegah daripada membina tempat beribadat seperti gereja atau tempat berkumpul misalnya untuk mengadakan aktiviti agama mereka dan tidak harus pemerintah Islam membenarkannya. (Kitab al-Umm: 4/218, Mughnî al-Muhtâj: 4/336-337, Nihâyah al-Muhtâj: 8/98-99, al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah [Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah [Fatâwâ ar-Ramli]: 4/58)

Bahkan tidak harus menyewakan rumah untuk dijadikan tempat beribadat bukan Islam seperti gereja dan seumpamanya. (Al-‘Ilâqah ad-Dauliyyah fi asy-Syarî‘ah al-Islâmiyyah: 44)

Pada dasarnya tempat ibadat orang bukan Islam yang terbina di negara yang dibuka oleh orang Islam ataupun penduduknya masuk Islam seperti Negara Brunei Darussalam, hendaklah diroboh. Tetapi jika tidak diketahui kewujudan pembinaannya maka harus ia dibiarkan kekal.

Dalam konteks ini, sungguhpun Brunei sudah dianggap sebagai sebuah negara Islam apabila penduduknya memeluk Islam, namun terdapat tempat-tempat ibadat bukan Islam yang telah dibina di dalamnya. Perkara ini mungkin sahaja kerana pada ketika itu penerapan hukum Islam masih longgar ataupun hukum mengenai pembinaan tempat ibadat bukan Islam belum lagi diketahui, maka terbinalah beberapa tempat ibadat bukan Islam di dalamnya.

Perkara ini juga ada disebut oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz di dalam fatwanya bilangan 57/76:

“Adapun negeri-negeri yang sudah ada gereja dan tempat sembahyang Yahudi, maka gereja-gereja dan tempat-tempat ibadat itu dibiarkan kerana ia sudah ada. Adapun hendak mendirikan tempat peribadatan baru atau tambahan pada yang sudah sedia ada itu tiada dibenarkan.”

Selain daripada peraturan yang telah disebutkan, mereka ditegah memperdengarkan ucapan atau kata-kata syirik mereka, bacaan buku-buku agama mereka dan mereka juga ditegah menzahirkan perbuatan mungkar serta syi‘âr kufur agama mereka kepada orang Islam.

Permohonan Perhimpunan Kristian untuk Mengadakan “Weekly Sermons”

Berdasarkan persoalan yang diajukan dan lampiran yang disertakan mengenai sekumpulan penganut agama Kristian (GFCF Christian Fellowship), ingin memohon kebenaran untuk mengadakan perhimpunan mingguan di sebuah tempat baru yang berlainan daripada gereja yang sedia ada di negara ini. Perhimpunan adalah bertujuan untuk mengadakan “weekly sermons” atau khutbah mingguan bagi penganutnya.

Menurut Kamus Dewan, sermon bermaksud khutbah, yang biasanya disampaikan dalam gereja. Menurut Kamus Oxford, ia adalah syarahan atau ceramah moral atau keagamaan, yang biasanya disampaikan oleh pemimpin agama (religious leader) dalam upacara keagamaan. Manakala isi kandungan yang disampaikan pula biasanya diambil daripada isi kandungan Bible, sama ada dalam perkara berkaitan tentang aqidah, akhlak dan sebagainya. Dalam agama Kristian, sermon atau khutbah ini biasanya akan disampaikan di tempat beribadat atau gereja pada setiap hari Ahad. Maka berdasarkan tradisi dan kebiasaan, boleh dikatakan bahawa acara khutbah berkenaan akan berlangsung sekaligus dengan acara keagamaan Kristian. (Kamus Inggeris Melayu Dewan, 1439, Oxford Advanced Learner’s Dictionary, 1396, Wikipedia: Sermon)

Maka dapat difahami bahawa tempat baru yang dipohonkan untuk mengadakan khutbah mingguan ini juga akan berfungsi sebagai tempat beribadat atau tempat untuk menunaikan upacara keagamaan. Di samping itu ia juga akan berfungsi sebagai tempat kegiatan mereka untuk memperkukuh pegangan agama mereka dan menjadi pusat gerakan dakwah serta pentadbiran perkembangan Kristian yang akan sentiasa mencari jalan untuk menarik orang-orang bukan Kristian menjadi pengikut mereka.

Perkara ini adalah sangat-sangat nyata dan terang bertentangan dengan ketetapan syara‘ mengenai penduduk bukan Islam yang menetap di negara Islam seperti telah dijelaskan di atas.

Bahaya Gerakan Dakwah Kristian

Fahaman agama Kristian sebagaimana dimaklumi, adalah fahaman syirik dan kufur yang jauh terpesong daripada apa yang diturunkan kepada Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm dan bercanggah dengan ajaran Islam. Ajaran asal yang dibawa oleh Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm telah ditokok tambah dan dicampur aduk dengan fahaman-fahaman lain sehingga jadilah agama Kristian seperti yang ada hari ini.

Gereja, selain daripada tempat beribadat juga merupakan tempat melaksanakan lain-lain upacara keagamaan dan perayaan mereka. Selain itu, gereja juga merupakan pusat pentadbiran pemimpin-pemimpin agama Kristian serta pusat perkembangan dan penyebaran dakwah di mana setiap arahan-arahan agama dan saranan-saranan penyebaran dakwah untuk menambah pengikut agama Kristian akan dikeluarkan oleh pemimpim mereka di dalam gereja, lalu dibawa keluar dan dilaksanakan oleh pendakwah-pendakwahnya. Di gereja jugalah tempat mengumpul dana dan dikeluarkan peruntukan untuk membiayai gerakan dakwah kristianisasi. (Sejarah dan Perkembangan Gerakan Kristianisasi di Negara Brunei Darussalam, 169-170)

Terbinanya bangunan-bangunan gereja menunjukkan hidupnya syi‘âr dan agama Kristian di kawasan tersebut. Ia memberi ruang dan tempat untuk pendakwah Kristian melaksanakan fungsi gereja tersebut dalam pengukuhan agama Kristian dan penyebaran dakwahnya. Perkara ini, jika tidak dikawal, sudah setentunya akan mendatangkan kesan negatif, bahkan boleh menjadi ancaman kepada umat Islam dan negara Islam. Penyebaran dakwah Kristian akan berlaku, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dan sama ada secara terang-terangan ataupun tidak. Oleh itu pemimpin negara Islam dan juga pihak yang berautoriti perlu bijak dan tegas menanganinya terutama dalam menghalang pembinaan rumah-rumah ibadat bukan Islam, seperti gereja, daripada dibina dan menegah sebarang aktiviti penyebaran dakwah yang bertentangan dengan agama Islam.

Begitu juga permohonan yang dimaksudkan di sini. Sungguhpun tempat yang dipohonkan itu hanya bertujuan untuk acara khutbah mingguan, namun dengan kewujudannya mungkin saja akan lebih daripada itu boleh berlaku seperti mengadakan aktiviti keagamaan dan perayaan dan juga dijadikan tempat untuk mengatur gerakan dakwah mereka.

Permohonan kumpulan ini juga memberi tanda bahawa tempat perkumpulan yang sedia ada di negara ini, tidak memadai bagi mereka, sama ada tempat yang sedia ada sudah tidak lagi mampu untuk menampung bilangan mereka, ataupun kerana perbezaan aliran atau mazhab dan bermacam-macam sebab lain yang tidak kita ketahui. Apatah lagi akhir-akhir ini dapat disaksikan bertambahnya pengunjung gereja pada setiap hari Ahad. Perkumpulan mereka ini juga tidak lagi terhad pada siang hari sahaja, bahkan berterusan hingga ke waktu malam. Ini menunjukkan bahawa penganut Kristian di negara ini semakin bertambah. Pertambahan bilangan ini antaranya ialah disebabkan oleh banyaknya kemasukan pekerja-pekerja asing ke negara ini yang sekaligus membawa masuk pelbagai aliran atau mazhab agama Kristian. Secara zahirnya pun kita boleh menyaksikan bahawa pengunjung-pengunjung perhimpunan di gereja-gereja setiap hari Ahad, seperti yang ada di ibu negara, didominasi oleh warga asing.

Bahkan menurut satu agensi berita Katholik, 90 peratus penganut Kristian Katholik di negara ini terdiri daripada warga asing; 70 peratus daripadanya adalah warga Filipina dan 20 peratus lagi terdiri daripada warga Indonesia, India dan Malaysia, manakala 10 peratus lagi adalah puak asli negara ini. Jumlah keramaian ini belum termasuk mereka yang mengikuti aliran atau mazhab lain yang ada di negara ini. (Catholic News Agency, Despite small size Church in Brunei has ‘lively’ faith)

Apa yang lebih membimbangkan ialah kedatangan mereka mempunyai agenda tersembunyi kerana terdapat satu laporan berkenaan perkembangan agama Kristian di negara ini yang menyatakan bahawa keperluan negara Brunei terhadap tenaga pakar atau profesional dari luar adalah salah satu saluran kemasukan pembantu gereja dan pelatih dakwah. Jadi tidak mustahil paderi atau pendakwah luar negara itu masuk melalui saluran ini dan untuk menjalankan aktiviti dakwah mereka di negara ini.

“Brunei masih memerlukan ramai tenaga professional, teknisyen dan sebagainya untuk memajukan negara, maka ini adalah satu saluran untuk orang Kristen masuk ke Brunei.” “…maka kursus dakwah Kristen perlulah diberikan kepada tenaga professional setahun sebelum mereka datang ke Brunei. Dengan demikian mereka itu dapat membantu gereja serta dapat melatih penganut Kristen di Brunei untuk menjadi pendakwah atau padri.” (Laporan Kajian Dr Loo Man Hwa, Institut Pengajian Theologi Kristen, Republic of China (Taiwan), Lampiran Kertas Kerja Ugama Kristian: Kebenaran dan Kesesatan)

Bahkan perkembangan agama Kristian di kalangan penduduk Brunei yang bukan beragama Islam juga adalah hasil gerakan pendakwah Kristian asing yang masuk ke negara ini. Perkara ini ada disebut oleh Dr. Ghazali Basri dalam kajian beliau mengenai gerakan kristianisasi yang turut melibatkan daerah Temburong. Gerakan dakwah tersebut menurutnya berpengkalan di tiga buah tempat di Sarawak; Lawas, Limbang dan Miri, ketiga-tiga tempat ini mempunyai pusat kepastoran yang telah banyak melahirkan para pendakwah atau misionari dalam kalangan anak tempatan mereka. Manakala puak yang menjadi sasaran dakwah ialah puak Murut dan Iban di beberapa kawasan di daerah Temburong. (Kristianisasi Sebagai Sebuah Gerakan, Satu Tinjauan Sosiologi, 99)

Dalam satu kajian lain berkenaan sejarah awal gerakan gereja Katholik di Malaysia, pengkajinya ada menyebutkan tentang penubuhan beberapa misi gerakan Kristian di Sabah, termasuklah penubuhan misi di Barambangan berdekatan dengan Bandar Brunei. Menurut pengkaji, misi gerakan di Brunei pada ketika itu diketuai oleh Fr. Antonia Riva. Namun gerakan ini dikatakan tidak mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk tempatan. Sungguhpun misi ini kurang mendapat sambutan, namun ia tetap memperlihatkan kepada kita adanya gerakan dari luar negara yang berusaha menyebarkan agama Kristian di negara ini. Tidak mustahil juga gerakan misi seumpama ini masih berjalan dan menjadikan Brunei sebagai sasaran dakwah mereka. Kita juga memaklumi bahawa negara jiran kita yang terdekat adalah di antara kawasan yang mempunyai jumlah penganut Kristian yang besar dan gerakan dakwah Kristian yang sangat aktif dengan pelbagai aliran dan mazhab. (Gerakan Gereja Katholik Di Malaysia, 26, Sejarah dan Perkembangan Gerakan Kristianisasi di Negara Brunei Darussalam, 172-173)

Kemasukan pendakwah luar ke negara Brunei, khususnya daerah Temburong juga sangat mudah, terutamanya menerusi laluan darat, yang sering digunakan oleh penduduk negara ini dan negara jiran untuk keluar masuk atau berulang-alik bagi pelbagai tujuan. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, kemasukan mereka ini kebanyakannya sukar dikesan kerana mereka itu tidak pernah memberitahu yang kedatangan mereka ialah atas urusan rasmi gereja atau dakwah, tetapi cuma atas urusan persendirian atau peribadi seperti menziarahi ahli keluarga, apatah lagi kebanyakan puak atau kaum asli di negara ini juga mempunyai ahli keluarga dan saudara-mara di negara jiran. Ini berbeza dengan kemasukan para pendakwah atau pemimpin agama Kristian yang ingin masuk ke negara ini atas tujuan atau tugasan rasmi gereja dan seumpamanya, yang sememangnya memerlukan keizinan daripada pihak berkuasa untuk memasuki negara ini dan akan lebih mudah untuk dikesan dan dikawal oleh pihak berkuasa.

Kedudukan daerah Temburong yang jauh dari bandar dan bersempadan dengan Limbang dan Lawas, yang merupakan pusat agama Kristian, terutama mazhab SIB, juga telah merapatkan lagi hubungan puak Murut tempatan dengan penduduk di kawasan tersebut. Ia juga mewujudkan kerjasama erat atas dasar keagamaan di antara pengikut agama Kristian di daerah Temburong dan pekerja-pekerja gereja asing dari dua tempat tersebut.

Selain itu, kegiatan dakwah yang dilakukan oleh pendakwah-pendakwah Kristian tempatan, terutama sekali di kawasan pedalaman, juga menyumbang kepada bertambahnya bilangan penganut Kristian di negara ini. Setakat maklumat yang diketahui, penganut Kristian di beberapa buah kawasan pedalaman di daerah Temburong, sememangnya giat menjalankan aktiviti dakwah di kalangan puak mereka dan juga puak-puak lain yang bukan beragama Islam. Sungguhpun bilangan mereka secara kesulurahannya kecil, akan tetapi aktiviti mereka tetap berjalan dengan rancak dan teratur. Bahkan mereka juga mendapat bantuan dan sokongan daripada pendakwah dan organisasi Kristian luar negara, sama ada bantuan dari segi kewangan dan material, bantuan latihan dan kursus dakwah ataupun nasihat dan buah fikiran untuk menjalankan dakwah dengan lebih berkesan.

Tahap keagamaan serta penghayatan penganut Kristian di beberapa buah kawasan di daerah Temburong ini juga dikatakan sangat tinggi. Mereka juga memiliki daya usaha dan semangat pengorbanan yang kuat demi agama yang mereka anuti. Dalam kajiannya, Dr. Ghazali Basri juga ada menyebut tentang beberapa buah tempat ibadat dan gereja yang digunakan oleh penduduk di sana, yang dibina atau disediakan atas biaya persendirian. (Kristianisasi Sebagai Sebuah Gerakan, Satu Tinjauan Sosiologi: 103-104 & 111)

Menurut sumber maklumat yang diperolehi, ada antara gereja-gereja ini masih aktif dan digunakan oleh penduduk kawasan tersebut sehingga sekarang, bahkan tempat tersebut dikatakan semakin bertambah makmur dan megah. Penganut Kristian di kawasan ini pula dikatakan sememangnya menginginkan tapak binaan atau tempat tertentu untuk dijadikan rumah ibadat memandangkan bilangan mereka yang semakin bertambah.

Di samping itu penganut Kristian tempatan ini juga ada yang dilatih sebagai pendakwah dengan dihantar berkursus dan belajar ke luar negara. Latihan dan persediaan untuk berdakwah dan berhadapan dengan masyarakat dibuat dengan teliti dan rapi agar dapat melahirkan pendakwah berkualiti yang sedia berkhidmat untuk mengembangkan agama mereka. Mereka juga mempelajari pelbagai metode dakwah dan diajar untuk mengenal pasti cara dakwah yang bersesuaian untuk digunakan mengikut kelompok sasaran. Gerakan dakwah mereka ini juga mempunyai persediaan kewangan dan barang-barang keperluan dakwah yang mencukupi, yang akan dihulurkan kepada sasaran dakwah apabila diperlukan, misalnya barang-barang keperluan asasi harian, bantuan rawatan kesihatan dan perubatan, bantuan pembelajaran dan pendidikan dan sebagainya. Mereka juga menggunakan seni nyanyian, muzik dan sebagainya sebagai alat untuk berdakwah.

Manakala menurut kajian sarjana yang dibuat oleh Awang Haji Mail bin Besar mengenai gerakan kristianisasi di Brunei, gerakan dakwah Kristian ini juga berjalan di kalangan bangsa China di negara ini. Menurutnya, bangsa China adalah bangsa bukan Islam yang paling awal menganut Kristian di negara ini berbanding puak atau kaum asli yang lain. Disebabkan itu jawatan pemimpin gereja dan sekolah misi di negara ini didominasi oleh mereka. Bahkan para misionari Kristian berbangsa Cina juga bercita-cita untuk mengkristiankan masyarakat China di negara ini secara berperingkat-peringkat. Mereka juga berhasrat untuk berdakwah kepada puak asli tempatan seperti puak Iban, Murut dan sebagainya. Dalam meningkatkan pengetahuan keagamaan penganut Kristian, mereka juga mengharapkan bantuan dan sokongan daripada pemimpin-pemimpin gereja luar negara. Bantuan juga turut diminta daripada peniaga-peniaga Kristian untuk mengambil pekerja-pekerja Kristian dari luar negara untuk bekerja sambil berdakwah di negara ini. Di samping itu mereka juga mengharapkan para misionari luar negara untuk turut mengembangkan aliran mazhab mereka di negara ini dengan menghantar petugas-petugas mereka untuk bekerja secara sementara. (Sejarah dan Perkembangan Gerakan Kristianisasi di Negara Brunei Darussalam: 174-175)

Semua maklumat di atas memperlihatkan kepada kita bahawa sungguhpun bilangan penganut Kristian di negara ini masih boleh dianggap kecil dan pergerakan mereka terhad, tetapi usaha dalam mengembangkan agama mereka tetap berjalan dengan teratur dengan ditujukan kepada puak atau kaum yang bukan Islam. Namun tidak dinafikan bahawa di masa akan datang, sasaran dakwah itu akan merangkumi orang-orang yang beragama Islam.

Di negara-negara Islam yang lain, termasuklah di negara-negara jiran, kejadian orang-orang Islam yang berjaya dikristiankan sudah banyak berlaku dengan menggunakan pelbagai cara. Antaranya ialah melalui kegiatan amal dan sosial yang diberikan kepada orang-orang miskin, pesakit dan orang-orang yang bermasalah. Gerakan kristianisasi yang berwajahkan Islam juga dilancarkan untuk mengelirukan orang-orang Islam, misalnya penggunaan istilah teologi Islam yang disamakan dengan teologi Kristian, tafsiran ayat-ayat al-Qur’an dan hadits-hadits yang diputarbelitkan hingga kandungannya bersesuaian dengan kehendak misi kristianisasi dan seumpamanya. Gerakan dakwah Kristian di kalangan orang Islam ini juga ada menggunakan khidmat orang Islam yang telah murtad ataupun melalui kesaksian palsu paderi Kristian yang mengaku sebagai seorang alim Islam yang telah murtad dan keluar daripada agama Islam. Semua ini bertujuan untuk menarik minat orang-orang Islam kepada agama Kristian dan sekaligus menguatkan keyakinan penganut Kristian terhadap kebenaran agama mereka. (Sejarah Gerakan Kristianisasi di Negara Brunei Darussalam: 50-53, 57-66)

Sungguhpun usaha mengkristiankan orang-orang Islam ini telah banyak dijayakan oleh pendakwah Kristian, namun mereka tetap tidak berpuas hati dengan kejayaan mereka kerana menurut mereka orang-orang Islam yang telah dikristiankan itu bukanlah orang Islam yang tulen atau yang kuat pegangannya terhadap Islam. Kerana itu gerakan kristianisasi ini berusaha mencari jalan lain untuk merosakkan pegangan orang-orang Islam yang tidak berjaya dikristiankan iaitu dengan mempengaruhi pemikiran mereka agar jauh daripada ajaran agama Islam sehingga mereka hanya Islam pada nama sahaja.

Serangan Pemikiran Barat Terhadap Islam

Di samping gerakan dakwah yang menyeru kepada agama Kristian, terdapat satu lagi gerakan Kristian yang dinamakan sebagai serangan pemikiran atau yang lebih dikenali dengan istilah ghazw al-fikr. Istilah ini diberikan kepada usaha-usaha yang dilakukan oleh satu kumpulan untuk menguasai kumpulan yang lain atau mempengaruhi mereka supaya mereka menuju ke satu haluan tertentu. Gerakan ini disifatkan lebih berbahaya daripada serangan ketenteraan kerana serangannya lebih halus dan berjalan secara senyap dan tersembunyi. Akan tetapi ia sangat efektif kerana kumpulan yang menjadi sasaran tidak akan mengetahui bahawa mereka telah diserang dan tidak membuat persediaan untuk mengahadapi dan menghalangnya. Tanpa sedar kumpulan tersebut akan terpengaruh dan akan meniru pandangan, pemikiran, tindakan dan kelakuan yang dibawa oleh gerakan ini sehingga ada yang menganggapnya sebagai ciri kemajuan dan kemodenan. (Serangan Terhadap Pemikiran Islam & Soal Jawab Agama: 1-2)

Hakikatnya, serangan ini telah dirancang oleh pemimpin Kristian untuk melemahkan dan membinasakan Islam dan umatnya sebagai menggantikan serangan ketenteraan yang telah tidak berjaya menundukkan tentera Islam ketika peperangan Salib. Matlamat utama serangan ini ialah untuk mempengaruhi pemikiran umat Islam agar mereka jauh daripada ajaran Islam yang sebenar dan mengikut ajaran Barat. Hasilnya, orang-orang Islam yang terpengaruh ini hanya Islam pada nama sahaja dan akan menjadi agen pemusnah yang melemahkan agama Islam sendiri. (Sejarah dan Perkembangaan Gerakan Kristianisasi di Negara Brunei Darussalam: 9-12)

Serangan gerakan ini terhadap umat Islam dilancarkan dengan menyebarkan, menanamkan dan mengukuhkan pemikiran dan fahaman Barat ke dalam pemikiran orang-orang Islam sehingga mereka melihat bahawa cara Barat adalah yang terbaik dalam setiap perkara. Terdapat pelbagai cara atau metode yang digunakan gerakan ini untuk menyebarkan dan mengukuhkan pemikiran mereka, antaranya:

1. Mempengaruhi pemikiran anak-anak umat Islam melalui pendidikan Barat dan memberikan mereka pujian dan pengiktirafan yang tinggi dengan diberikan jawatan yang tinggi atau penting dalam barisan kepimpinan atau kerajaan.

2. Menyebarkan dan menggalakkan pembelajaran dalam bahasa-bahasa mereka ke atas orang-orang Islam sehingga mengganggu bahasa umat Islam dan bahasa negara sendiri.

3. Menerapkan sistem pendidikan sekular di negara Islam. Hasilnya, pelajaran agama dipisahkan daripada pelajaran akademik di sekolah-sekolah di negara Islam. Mereka juga menubuhkan universiti, sekolah-sekolah, pusat asuhan dan tadika bercorak Barat yang bereputasi cemerlang dan memancing para pelajar Islam dan golongan atasan untuk memasukinya. Pelajar ini juga digalakkan melanjutkan pelajaran di negara-negara Barat. Semua ini bertujuan untuk menjalankan brain washing ke atas pemikiran para pelajar Islam, di mana nilai-nilai Islam akan dilenyapkan daripada diri pelajar dan kemudian diterapkan dengan nilai-nilai Barat, sama ada dari segi kebudayaan, adat, akhlak, pemikiran dan sebagainya. Hasilnya, akan lahir ilmuwan yang cuma Islam pada nama, yang mengagungkan pemikiran Barat dan membantu dalam menyebarkannya di negara mereka sendiri.

4. Melancarkan gerakan Orientalis yang disasarkan kepada golongan terpelajar dan intelek Islam. Ramai pengkaji bukan Islam, termasuk yang beragama Kristian dan Yahudi, menjalankan kajian berkaitan dengan Islam dan Bahasa Arab. Mereka menulis buku-buku tentang Islam serta memegang jawatan tinggi sebagai pensyarah di universiti-universiti di negara Islam, sehingga berjaya mempengaruhi pemikiran anak muda Islam dengan kekeliruan yang mereka sampaikan atau menerusi buku-buku yang mereka edarkan. Bahkan buku-buku tulisan Orientalis ini dijadikan sebagai rujukan oleh para penulis dan pengkaji Islam. Hasil daripada gerakan ini juga telah banyak melahirkan tokoh-tokoh Islam yang memiliki pemikiran yang sama seperti guru-guru mereka yang membantu dalam menyebarkan fitnah dan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam sendiri.

5. Melancarkan gerakan misionari yang disasarkan kepada orang awam. Beratus-ratus ribu pendakwah Kristian dikatakan telah ditugaskan untuk menjalankan misi ini dengan rancangan dan persediaan yang tersusun dan rapi. Sungguhpun usaha untuk menyeru umat Islam kepada agama Kristian ini menempuh pelbagai halangan dan kesusahan, namun mereka tetap terus cuba untuk mencari jalan agar dapat melaksanakannya. Muktamar atau perjumpaan organisasi gerakan Kristian akan diadakan setiap beberapa tahun bertujuan untuk menilai semula dan memperbaiki rancangan atau metode yang ada dan untuk melahirkan cara atau kaedah baru yang lebih berkesan.

6. Mendirikan dan membanyakkan gereja dan rumah ibadat Kristian di negara-negara Islam. Untuk tujuan ini, perbelanjaan yang cukup besar diperuntukkan untuk memperhiaskannya dan menjadikannya nampak jelas dilihat dan disaksikan oleh orang awam. Bangunan-bangunan ini pula dibina di tempat-tempat strategik dan terbuka. (Serangan Terhadap Pemikiran Islam & Soal Jawab Agama: 1-12)

Demikianlah sebahagian cara atau metode yang digunakan oleh gerakan Kristian untuk menyebarkan dakwah mereka dan untuk menghancurkan kekuatan Islam serta umatnya. Bahkan lebih banyak lagi cara atau metode yang digunakan dan dicipta oleh gerakan ini untuk mengembangkan dakwah mereka, baik secara terang-terangan atau sembunyi. Bahkan mereka juga tidak teragak-agak menggunakan tipu muslihat dan pelbagai pendekatan psikologi dan spritual untuk mencapai matlamat mereka. Maka jelas kepada kita di sini bahawa gerakan Kristian ini tidak akan berhenti berusaha untuk menyebarkan agama Kristian dan pengaruh Barat dalam menarik lebih ramai pengikut Kristian yang baru dan untuk melemahkan pengaruh agama Islam ke atas umat Islam sendiri.

Maka berdasarkan huraian di atas, permohonan GFCF Christian Fellowship untuk mengadakan upacara sermon mingguan di tempat baru yang dipohonkan di sini perlu dinilai dengan berhati-hati daripada pelbagai sudut. Ia adalah jelas bertentangan dengan peraturan syara‘ mengenai orang bukan Islam yang duduk di negara Islam.

Membiarkan atau membenarkan tempat perkumpulan Kristian yang baru dibina atau diwujudkan bererti memberikan kemudahan atau bantuan untuk mereka menjalankan kegiatan agama mereka, sama ada yang berbentuk ibadat, perayaan atau penyebaran dakwah.

Itu adalah ditegah oleh syara‘ dan berdosa. Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, bekas Mufti Kerajaan juga pernah menyebutkan mengenai perkara ini:

“Islam tiada membenarkan orang-orang atau kumpulan kumpulan pada menubuhkan badan-badan bagi menyiarkan kufur dan sesat di dalam negeri Islam.” “...Redhakan kufur dan sesat itu tersiar di antara orang Islam atau lainnya adalah kufur dan murtad.”

Permohonan kumpulan Kristian ini juga secara jelasnya memperlihatkan kepada kita tentang usaha pendakwah atau penganut agama Kristian untuk memakmurkan dan mengembangkan agama Kristian di negara ini. Kerana sungguhpun tempat yang dipohonkan itu hanya satu tempat perkumpulan, namun jika ia dibenarkan, ia sudah memadai dan merupakan satu kemajuan dalam perkembangan dakwah Kristian di sebuah negara Islam. Perkara ini setentunya akan lebih menyuntik semangat pendakwah dan penganut Kristian untuk terus menyusun aktiviti atau dakwah mereka kerana berjaya mencapai hasrat mereka dengan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa. Tidak mustahil jika permohonan ini diluluskan ia akan disusuli pula dengan permohonan yang lain, seperti memohonkan tempat yang tetap untuk perhimpunan dan sebagainya.

Selain itu kita juga tidak mengetahui dengan pasti sama ada pemohon bagi perkara ini terdiri daripada penduduk tempatan atau warga asing yang menetap di Brunei secara tetap atau sementara. Kita juga tidak mengetahui dengan pasti latar belakang serta aktiviti pergerakan mereka kerana apa yang dikhuatiri ialah terdapat tujuan atau motif yang tersembunyi di sebalik apa yang dinyatakan.

Oleh itu, setiap gerakan atau aktiviti yang dilakukan oleh kumpulan Kristian di negara ini, termasuk gerakan persatuan kebajikan atau kemasyarakatan Kristian, sangatlah wajar diawasi dan diselidiki dengan teliti. Begitu juga individu yang dikenal pasti aktif bergiat dalam mengembangkan agama Kristian ataupun mereka yang menimbulkan kecurigaan, yang mengeluarkan dan menyebarkan pemikiran-pemikiran yang asing daripada ajaran Islam adalah wajar diselidiki dan dipantau pergerakannya. Menghalang kemasukan individu atau kumpulan yang melakukan aktiviti dakwah yang bertentangan dengan ajaran Islam juga adalah tindakan yang wajar. Tindakan ini adalah perlu sebagai langkah berhati-hati demi menjaga keselamatan agama Islam dan aqidah umatnya daripada ancaman gerakan kristianisasi yang nyata dan tersembunyi.

Selain itu, sebagai sebuah negara yang mendokong Islam sebagai dasar pemerintahannya, sewajarnya pihak berkuasa perlu mempergiatkan lagi pemantauannya terhadap gerakan dakwah Kristian dan mengawal aktiviti mereka. Sebelum terlambat dan berlaku perkara yang tidak diingini, pihak berkuasa perlu menangani perkara ini dengan penuh bijaksana dan tegas, apatah lagi perkara ini sudah jelas bertentangan dengan peraturan-peraturan yang berkuatkuasa di negara ini. Jika pihak pemerintah tidak menghalang permohonan perhimpunan seperti ini, tidak diragukan lagi ia boleh menyumbang kepada perkembangan dakwah Kristian dan berlakunya perkara mungkar dan tidak diingini di negara ini. Tindakan menegah perkara-perkara yang boleh membawa kepada kemungkaran dan keburukan sebelum ia terjadi ada disebut dalam kaedah fiqh sebagai sadd adz-dzarâ’i‘ هرَائَعَ)(سَد ُّ الذ, yang bermaksud; menutup atau menegah jalan-jalan yang menjurus kepada perkara dosa (maksiat dan kufur) dan perkara-perkara yang membawa kepada mungkar sebelum ia berlaku.

Maka berasaskan keterangan-keterangan di atas, permohonan untuk mengadakan weekly sermons di tempat baru seperti yang dipohonkan, adalah tidak boleh dibenarkan dan malah wajib dicegah. Namun penganut Kristian yang ada di negara ini tetap boleh saja meneruskan amalan agama mereka, sama ada secara persendirian di rumah-rumah mereka atau dengan mengikuti upacara keagamaan atau acara yang berkaitan dengannya di bangunan-bangunan gereja atau rumah ibadat yang sedia ada di negara ini dengan aman.

Tidak membenarkan permohonan ini adalah hukum putus yang tidak boleh ditawar-tawar lagi, berdasarkan sandaran hukum syara‘ seperti yang telah diterangkan. Kita orang-orang Islam yang terdiri daripada pihak berkuasa atau kerajaan sampailah kepada pihak awam adalah wajib sama-sama turut bersetuju dan menerima tanpa syak dan ragu-ragu lagi akan hukum tidak membenarkan permohonan untuk perhimpunan mingguan penganut-penganut agama Kristian, pada setiap hari Ahad, bertempat di Lot 38, Kampung Kiarong, Negara Brunei Darussalam, kerana membenarkan perkara ini, selain daripada menyalahi dan melawan hukum syara‘, ia juga turut bertentangan dengan Perlembagaan Negara sendiri.

Agama Islam telah mengharamkan kufur, dengan sendirinya mestilah juga ia mengharamkan mendirikan atau mengadakan tempat berbuat kufur. Maka tidaklah boleh serta mutlaklah haramnya membenarkan penganut-penganut kufur untuk berhimpun atau berkumpul bagi menjalankan upacara keagamaan mereka di tempat-tempat selain tempat mereka dibenarkan, seperti gereja dan seumpamanya, sama ada hanya sekali jurus apatah lagi berulang-ulang kali secara mingguan, yang dinamakan oleh mereka sebagai weekly sermons atau khutbah mingguan.

Membenarkan permohonan mereka itu bererti juga kita atau kerajaan adalah tidak berhalangan untuk mereka menjalankan atau menggerakkan dakwah Kristianiti, dan membenarkan serta tidak berhalangan itu sama juga maksudnya kita redha dan sekali gus menolong mengembangkan agama kufur di negara ini, sedang ‘redha’ dan ‘menolong’ dalam perkara ini, dengan apa jua cara atau coraknya, adalah membawa kufur dan murtad.

Hukum menolak atau tidak membenarkan perkara ini atau seumpamanya, adalah ia hukum syara‘ daripada syariat Islam. Sayugia jangan sesiapa daripada warga Islam yang menyangkal, syak atau ragu-ragu dengannya. Berkata ulama, “tiadalah berguna seseorang itu sembahyang atau pergi haji atau dia kahwin dengan perempuan Islam atau mengucap رسول هللا, sedang dalam masa yang sama dia syakkan hukum Islam atau syakkan agama Islam atau syakkan satu-satu isi al-Qur’an atau syakkan kebenaran Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam....Jika seorang Islam berkeadaan seperti ini, maka tetaplah dia murtad dan keluar daripada Islam yakni dia bukan orang Islam. Orang Islam yang betul Islamnya dan sah imannya ialah dia beriman (percaya) dengan ajaran Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan yakin dan jazam dan putus, bukan dengan syak dan ragu-ragu keadaannya. (Ungkapan dengan huruf condong ini saya padankan dari fatwa Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, bilangan: (13) dlm. MKB 35/1979, bertarikh 21 Rejab 1400H bersamaan 5 Jun 1980M).

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12287