Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Sarang Burung Layang-layang (Walet)

Soalan: Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah menfatwakan bahawa hukum memakan sarang burung layang-layang adalah harus.

Sehubungan dengan itu, dipohonkan kerjasama Pehin Mufti agar dapat memberikan fatwa atau apa-apa jua pandangan dan ulasan mengenai perkara ini.

Jawapan: Sarang Burung Layang-layang

Sarang burung layang-layang diperolehi hasil daripada spesis burung yang dikenali sebagai spesis collocalia, iaitu spesis burung yang terbang pantas dan bersayap panjang. Spesis burung ini membina sarang yang diperbuat daripada bahan-bahan tumbuhan seperti ranting-ranting kayu atau daun dan bahan-bahan binatang seperti bulu yang diperkukuh dengan menggunakan rembesan lendir yang keluar dari kelenjar air liurnya seperti getah yang melekat.

Selain itu, terdapat satu spesis daripada burung ini dikenali sebagai collocalia fuciphaga yang membuat sarang hampir keseluruhannya menggunakan lapisan-lapisan yang pekat daripada lendir yang keluar dari kelenjar air liurnya.

Dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara collocalia fuciphaga ialah burung walet iaitu sejenis burung layang-layang.

Menurut The New Encyclopaedia Britannica pula bahawa spesis-spesis burung yang terbang pantas dan bersayap panjang (swifts) hanya sedikit dikenali sehingga sering keliru dan disamakan dengan burung layang-layang (swallow). Walaupun burung layang-layang tidak ada kaitan dengan mereka tetapi kebanyakannya ada persamaan dari segi saiz, ukuran dan gaya pergerakan mereka di udara.

Spesis burung layang-layang ini sentiasa terbang menangkap serangga dengan hanya membuka lebar mulutnya. Mereka juga minum, mandi dan mengawan sambil terbang.

Faedah Sarang Burung Layang-layang (Walet)

Berdasarkan satu kajian yang dipetik daripada Journal of Asian Scientific Research, sarang burung layang-layang (walet) yang datang dari tempat-tempat yang berbeza mengandungi kadar protein yang tinggi, diikuti dengan kandungan karbohidrat (carbohydrate) dan kandungan lemak (fat). Oleh kerana kaya dengan pelbagai kandungan, sarang burung layang-layang (walet) ini digunakan sebagai rawatan kesihatan tambahan (supplement) dalam perubatan tradisional Cina. Ia termasuk digunakan sebagai rawatan untuk menambah kekurangan zat makanan, tambahan kepada sistem ketahanan dan meninggikan metabolisme tubuh badan. Selain itu, kandungan yang ada pada zat sarang burung layang-layang (walet) juga mempunyai faedah rawatan perubatan seperti melawan kanser, berkesan untuk otak dan kecerdasan intelek bagi kanak-kanak.

Sarang Burung Layang-layang (Walet) Dijadikan Sebagai Makanan

Dalam perkara memakan makanan yang baik-baik dan halal, Allah Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Dan dia menghalalkan bagi mereka yang baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka (segala) yang buruk. (Surah al-A‘râf: 157)

Imam al-Qurthubi Rahimahullâh dalam kitab al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’an menyebutkan bahawa tafsiran perkataan yang baik-baik dalam mazhab asy-Syafi‘e ialah dari segi makanan iaitu lafaz khusus bagi makanan yang telah dihalalkan oleh syara‘. Tafsiran perkataan yang buruk pula ialah lafaz umum yang merangkumi makanan yang diharamkan syara‘ dan juga makanan yang kotor.

Imam Ibnu Katsir Rahimahullâh dalam kitab Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm pula menyebutkan bahawa sebahagian ulama mengatakan setiap sesuatu yang dihalalkan oleh Allah Ta‘ala adalah baik serta memberi manfaat pada badan dan agama. Manakala setiap sesuatu yang diharamkanNya adalah buruk serta memberi mudharat pada badan dan agama.

Sheikh ar-Ramli al-Kabir Rahimahullâh menyebutkan dalam kitab Asnâ al-Mathâlib:

Ertinya: Garis panduan: Setiap benda yang suci tidak membawa mudharat memakannya dan bukan dianggap kotor, dan bukan satu bahagian daripada manusia, dan bukan binatang yang hidup menjadi najis kerana mati, adalah halal memakannya.

Menurut penjelasan Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam kitab at-Tuhfâh pula:

Ertinya: Dan tidak haram (memakan atau meminum) daripada benda yang suci kecuali seumpama batu dan tanah dan seumpama (tanah itu) tanah liat dan tanah kering bagi sesiapa yang mendapat mudharat (dengan memakan benda-benda tersebut). Perkara ini dicenderungi oleh perkataan umum sekumpulan ulama-ulama terdahulu yang mengharamkannya, berbeza dengan mereka yang tidak mendapat mudharat (dengan memakannya) sebagaimana sekumpulan ulama-ulama terdahulu dan diperakui oleh Imam as-Subki dan yang lainnya dan (haram) racun walaupun sedikit kecuali bagi sesiapa yang tidak mendapat mudharat (dengan memakan atau meminumnya). (Dan tidak haram memakan atau meminum daripada benda yang suci kecuali) tumbuh-tumbuhan dan susu yang disangka bahawa (boleh jadi) ia racun atau daripada benda yang tidak boleh dimakan dan (tumbuh-tumbuhan) yang memabukkan seperti candu yang berlebihan, ganja, buah pala, ambar dan za‘faran. (Dan tidak haram memakan benda yang suci kecuali seumpama) kulit (bangkai) yang disamak dan benda yang pada keasliannya dianggap kotor menurut pada kebiasaan di sisi tabiat yang sihat (menjijikkan) seperti hingus, air mani, air ludah dan peluh, bukan (benda yang dianggap kotor) kerana mendatang seperti air cucian yang telah digunakan untuk mencuci tangan dan daging yang sudah busuk. Tidak termasuk yang dikatakan al-bushâk (air ludah) iaitu sesuatu yang dilemparkan dari mulut itu ar-rîq, iaitu sesuatu yang ada di dalam mulut, maka ia (ar-rîq) tidak haram apa yang jelas daripada perkataan mereka kerana sesungguhnya ia bukan benda yang dianggap kotor selagi ia di dalam mulut...

Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh lagi:

Ertinya: (Yang ketiga) setiap yang suci yang tidak memudharatkan padanya adalah ia halal kecuali tiga jenis, iaitu (yang halal itu) seperti roti, air, susu, buah-buahan, biji-bijian, daging yang suci dan lain-lain lagi sebagaimana disebutkan oleh pengarang dan ijmâ‘. (Adapun) tiga jenis yang dikecualikan itu:

(Pertama) Benda-benda yang dianggap kotor seperti hingus, air mani dan seumpama kedua-duanya adalah haram mengikut pendapat yang shahîh lagi masyhûr….

(Kedua) Binatang yang kecil seperti ukuran burung-burung pipit dan seumpamanya adalah haram ditelan dalam keadaan ia hidup tanpa perselisihan pendapat ulama, kerana ia tidak halal kecuali dengan sembelihan. Hukum ini adalah berkaitan dengan binatang selain ikan dan belalang.

(Ketiga) Kulit bangkai yang disamak, dalam hal memakannya ada tiga pendapat atau aujuh sebagaimana telah terdahulu dalam bab bejana, pendapat paling ashah ialah haram.

Hukum Cairan yang Keluar daripada Binatang

Hukum cairan yang keluar daripada binatang seperti air mata, hingus, peluh dan air liur adalah mengikut hukum binatangnya sama ada suci atau najis. Abu Zakaria al-Anshari Rahimahullâh menyebutkan dalam kitabnya Asnâ al-Mathâlib:

Ertinya: (Cabang bagi cairan yang keluar daripada binatang) iaitu sesuatu yang pada kebiasaannya mengalir adalah (mengikut hukum binatangnya) suci dan najis (ialah seperti air mata), hingus, peluh (dan air liur).

Dalam mazhab asy-Syafi‘e hukum semua binatang adalah suci kecuali yang telah dikecualikan oleh syara‘ iaitu seperti anjing, babi atau binatang yang lahir daripada kedua-duanya.

Perkara ini juga telah disebutkan secara khusus oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ ketika menjelaskan mengenai dengan hukum sesuatu baki atau lebihan dalam bejana selepas binatang minum atau makan:

Ertinya: Dan maksud para fuqahâ’ dengan perkataan mereka; sisa binatang itu suci atau najis: Air liurnya dan kelembapan mulutnya. Dan mazhab kita bahawa sesungguhnya sisa kucing adalah suci tidak makruh, begitu juga sisa semua binatang daripada kuda, keldai-keldai (yang lahir daripada kuda dan keldai), keldai-keldai yang liar, binatang-binatang buas, tikus, segala macam ular, cicak dan segala haiwan yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan. Maka sisa semua itu dan peluhnya adalah suci tidak makruh kecuali anjing dan babi dan bahagian (yang lahir) salah satu daripada kedua-duanya.

Huraian ini adalah berdasarkan hadits daripada Kabsyah binti Ka‘b bin Malik:

Maksudnya: Dia (Kabsyah) berada di sisi Ibnu Abu Qatadah bahawasanya Abu Qatadah masuk kepadanya, Kabsyah berkata: “Saya menuangkan air wudhu’ untuknya”. Kabsyah berkata: “Datanglah seekor kucing yang minum lalu Abu Qatadah memiringkan bejana bagi kucing itu sehingga kucing itu minum”. Kabsyah berkata: “Lalu dia melihat saya di mana saya melihat kepada bejana itu lalu dia berkata: “Apakah kamu heran hai anak perempuan saudaraku?” Saya berkata: “Ya”. Dia (Abu Qatadah) berkata: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Kucing itu tidak najis, sesungguhnya kucing itu adalah sebagai pembantu yang berlegar-legar untuk kamu.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Oleh itu, cairan yang keluar daripada binatang yang suci seperti air liur, air mata, hingus dan sebagainya adalah suci jika ia keluar daripada binatang yang suci. Manakala cairan yang keluar daripada binatang yang najis seperti cairan yang keluar daripada anjing dan babi adalah najis. Begitu juga sarang burung layang-layang (walet) yang dibentuk daripada lendir yang keluar dari kelenjar air liurnya hukumnya adalah suci.

Berdasarkan kepada penjelasan-penjelasan yang telah disebutkan di atas bahawa sarang burung itu adalah suci dan tidak memudharatkan, bahkan mempunyai khasiat dan dijadikan sebagai rawatan kesihatan. Sarang burung yang dihasilkan daripada rembesan cecair atau lendir yang keluar dari kelenjar air liurnya bukan air liur yang pada kebiasaannya mengalir keluar dari mulut binatang atau manusia. Ia keluar dari mulut burung layang-layang (walet) dalam keadaan pekat dan kental untuk tujuan dijadikannya sebagai sarang sebagaimana air yang keluar dari mulut lebah yang disebut sebagai madu. Ia juga tidak dianggap kotor atau menjijikkan kerana telah dimakan oleh kebanyakan orang.

Oleh yang demikian, sarang burung layang-layang (walet) adalah halal dimakan serta digunakan kecuali ia bercampur dengan benda-benda najis atau haram yang lain.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12291