Sedekah Pahala Bacaan Al-Qur’an Melalui ‘E-Sedekah’ yang Diletakkan di Tanah Perkuburan
Soalan: Saya adalah salah seorang peserta CIPTA 2013 Duli Pengiran Muda Mahkota iaitu pencipta baru inovasi dalam bidang teknologi. Peralatan ‘e-sedekah’ adalah salah satu ciptaan, reka bentuk dan ilham saya yang lahir daripada peraduan tersebut.
Sehubungan dengan itu, sukacita memohon nasihat Pehin Mufti mengenai rekaan peralatan ini yang bersangkut-paut dengan soalan di bawah ini:
1. Adakah tidak menjadi kesalahan menggunakan khidmat radio sebagai pembaca surah al-Qur’an dengan tujuan bersedekah?
2. Bolehkah saya membuat dan menjual peralatan ini? Di samping mendapat pahala, saya juga mendapat faedah jualannya nanti.
Penerangan peralatan e-sedekah:
E-sedekah adalah radio yang diadaptasi mengunakan saluran frekuensi 89.1MHz untuk disedekahkan bacaannya iaitu surah Yâsîn dan al-Qur’an ‘on air’ 24 jam sehari tanpa henti kepada penghuni perkuburan orang-orang Islam di Negara Brunei Darussalam. Radio tersebut akan dipasang di satu tiang dengan kelengkapan yang di janakuasa melalui tenaga suria (solar panel). Ia tidak bergantung kepada penjanaan kuasa eletrik kommersial. Ia akan berfungsi berterusan 24x7x365 hari selagi gelombang radio memancarkan saluran 81.9MHz itu beroperasi di Radio Television Brunei.
Tujuan dan matalamat:
Idea e-sedekah lahir setelah ibu saya meninggal dunia. Saya rasa amatlah penting kita yang masih hidup berbakti dan sentiasa berdo‘a dengan menyedekahkan bacaan surah al-Qur’an kepada mereka yang sudah tiada. Pendekatan sebegini akan dapat mengajar generasi baru supaya lebih bermurah hati untuk bersedekah kepada kita setelah kita tiada nanti. Pendekatan ini juga pendekatan berteknologi baru bagi tujuan bersedekah kepada yang sudah tiada secara berpanjangan. Saya rasa bacaan surah al-Qur’an itu akan memberi keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada penghuni kubur-kubur Islam yang sangat memerlukan sedekah daripada keluarga mereka yang masih hidup.
Jawapan: Surat Awang yang meminta nasihat berkenaan dengan ciptaan Awang, iaitu ‘e-Sedekah’ (radio yang diadaptasi menggunakan saluran frekuensi 89.1MHz) untuk diletakkan di tanah perkuburan telah saya baca.
Pertama sekali saya ucapkan syabas dan tahniah di atas kejayaan Awang mencipta peralatan berkenaan. Diharapkan Awang menjadi salah seorang belia pencipta inovasi baru dalam bidang teknologi yang akan terus berjaya. Teruslah berusaha dan mencipta apa-apa jua yang bermanfaat kepada ummat. Ia akan menjadi contoh dan pendorong kepada belia-belia yang lain di negara ini untuk menjadi seorang belia yang kreatif dan cemerlang.
Di dalam surat itu, Awang menerangkan radio itu akan diletakkan di tanah perkuburan dan akan menyiarkan bacaan al-Qur’an terus-menerus 24 jam dengan tujuan menyedekahkannya kepada orang mati.
Kemudian Awang bertanya:
1. Adakah tidak menjadi kesalahan menggunakan khidmat radio sebagai pembaca surah al-Qur’an dengan tujuan bersedekah?
2. Bolehkah saya membuat dan menjual peralatan ini? Di samping mendapat pahala, saya juga mendapat faedah jualannya nanti.
Dalam pertanyaan Awang ini terdapat tiga komponen yang berbeza yang menjadi topik utama, iaitu radio, al-Qur’an dan sedekah. Radio dijadikan sebagai alat membaca, al-Qur’an sebagai yang dibaca dan sedekah sebagai tujuan membaca.
Ketiga-tiga komponen ini adalah perkara yang baik, tetapi berbeza dari sudut materialnya.
Radio
Sebagaimana yang Awang ketahui, radio ialah sejenis komunikasi yang menggunakan gelombang untuk menghantar maklumat elektronik dari satu tempat ke tempat lain tanpa menggunakan wayar. Unit penghantar dipanggil pemancar (transmitter), manakala unit yang menukar isyarat radio ke bunyi yang boleh didengar dipanggil penerima (receiver). Biasanya, penerima adalah dirujuk sebagai satu radio atau peti radio. (Global Arabic Encyclopedia: 11/37)
Jadi radio bukan manusia, ia hanya benda atau alat ciptaan manusia untuk mengeluarkan atau menyiarkan semula suara yang masuk kepadanya tanpa talian. Hukumnya sama sahaja dengan benda atau alat-alat lain, seperti televisyen, handphone dan komputer. Dengan merujuk hanya pada zat atau materi benda atau alat-alat ini, tidaklah ada hukum yang khusus padanya. Ia boleh dimiliki, diperjualbelikan, dihadiahkan dan sebagainya. Hukum hanya berkait dengan penggunaannya. Apabila diguna untuk menyiarkan yang baik, seperti bacaan al-Qur’an, zikir dan pelajaran agama Islam, maka hukum menggunakan atau mendengarnya itu adalah sunat dan boleh jadi ada kala menjadi wajib. Tetapi apabila digunakan untuk menyiarkan perkara-perkara buruk, seperti lagu-lagu lucah, fitnah dan kempen memburuk-burukkan orang salih, maka hukumnya adalah menjadi haram.
Jadi dalam keadaan seperti ini, Awang patutlah meneruskan kreativiti Awang itu kerana mencipta peralatan seperti itu adalah perkara yang berkebajikan dan boleh digolongkan sebagai sunat dan boleh jadi fardhu Kifayah. Manakala menjualnya pula adalah mubâh atau harus. Dengan itu, diharapkan Awang akan beroleh pahala sekiranya ia digunakan oleh orang lain untuk menyiarkan dan mendengar perkara-perkara yang baik-baik daripadanya, seperti bacaan al-Qur’an, zikir dan ilmu pengetahuan. Ini kerana dengan sebab siaran itu, orang yang mendengarnya akan mengambil manfaat. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Sesiapa yang menunjukkan jalan kebajikan, maka baginya seumpama pahala orang yang melakukannya. (Hadits riwayat Muslim daripada Abu Mas‘ud)
Sedekah Pahala
Maksud sedekah pahala ialah memberikan pahala bacaan al-Qur’an atau zikir kepada orang yang telah meninggal. Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata di dalam kitab al-Majmû‘, bahawa mengikut pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, pendapat sekumpulan ulama dan pendapat segolongan ulama asy-Syafi‘iyyah pahala bacaan al-Qur’an boleh sampai kepada orang yang telah meninggal. Pendapat inilah yang terpilih di dalam mazhab asy-Syafi‘e, tetapi dengan beberapa syarat yang akan disebutkan nanti.
Ibnu Qudamah Rahimahullâh daripada mazhab Hanbali dalam kitab al-Mughni (5/78) menyebutkan bahawa tidaklah mengapa membaca al-Qur’an berdekatan dengan kubur. Perkara ini berdasarkan kepada satu riwayat daripada Imam Ahmad yang berkata:
Ertinya: Apabila kamu memasuki tanah perkuburan, bacalah ayat al-Kursiy dan tiga kali surah al-Ikhlâsh, kemudian katakanlah: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya pahala bacaan ini adalah untuk ahli kubur.”
Di dalam kitab itu beliau turut menyebut hadis lain yang menyatakan kelebihan membaca surah Yâsîn sebagai sedekah kepada si mati, Sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Sesiapa yang memasuki tanah perkuburan lalu membaca surah Yâsîn, nescaya diringankan seksa kubur mereka (ahli/penghuni kubur) pada hari itu. Dan si pembaca tadi akan diberikan kebaikan yang banyak mengikut jumlah bilangan ahli kubur di dalamnya.
Imam al-Ghazali Rahimahullâh di dalam kitab al-Ihyâ’ (4/492) ada juga menyebutkan satu riwayat Muhammad bin Ahmad al-Marwazi daripada Imam Ahmad yang berkata:
Ertinya: Apabila kamu memasuki tanah perkuburan, bacalah surah al-Fâtihah, surah al- Falaq, surah an-Nâs dan surah al-Ikhlâsh, kemudian jadikanlah bacaan kamu itu sedekah buat ahli kubur kerana sesungguhnya pahala bacaan itu sampai kepada mereka.
Berdasarkan nash-nash di atas, orang yang hidup boleh membantu orang yang sudah meninggal menerusi pahala bacaan, tetapi tertakluk kepada beberapa syarat sebagaimana yang disebutkan oleh ulama.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menerangkan cara bersedekah pahala ini iaitu selepas membaca hendaklah berdo‘a, seperti dengan do‘a:
Ertinya: Ya Allah mohon sampaikan pahala bacaanku ini...
Ataupun seperti do‘a:
Ertinya: Ya Allah mohon sampaikan pahala bacaanku ini dan ganjaran yang aku baca kepada roh si polan, kemudian roh si polan. (Al-Fatâwâ al-Fiqhiyyah al-Kubrâ: 2/28) Beliau di dalam kitab al-Adzkâr berkata:
“Para ulama telah ijmâ’ bahawa do‘a adalah bermanfaat kepada orang-orang yang telah meninggal dan pahalanya juga sampai kepada mereka.” Do‘a adalah salah satu jenis amal dan usaha. (An-Nawawi, al-Adzkâr: 258).
Dalam himpunan fatwa al-Azhar yang difatwakan oleh Syeikh Athiyyah Saqar Rahimahullâh (tahun 1997) terdapat penjelasan secara terperinci cara bersedekah pahala ini. Antara lain menjelaskan ada tiga cara yang sepatutnya dilakukan berkaitan dengan hal sedekah pahala bacaan al-Qur’an apabila dibaca jauh dari jenazah atau kuburan. Ringkasannya seperti berikut:
1. Membaca ayat al-Qur’an dan kemudian berdo‘a supaya dirahmati dan diampunkan dosa si mati, ertinya orang yang berdo‘a hendaklah bertawassul dengan amal salihnya iaitu membaca al-Qur’an dan kemudian berdo‘a supaya si mati dilimpahi rahmat.
2. Membaca ayat al-Qur’an, kemudian menghadiahkan seumpama pahalanya kepada si mati seperti dengan do‘a: “Ya Allah mohon sampaikan pahala apa yang telah aku/kami baca kepada roh si polan”. Dalam do‘a ini adalah lebih baik nama si mati disebutkan.
3. Diniatkan terlebih dahulu pada permulaan bacaan atau ketika membaca ayat al-Qur’an bahawa seumpama pahala bacaan itu untuk si polan bin si polan.
Merujuk nash-nash dan keterangan di atas, maka pahala bacaan al-Qur’an dan zikir orang yang hidup boleh disedekahkan kepada orang yang sudah meninggal, tetapi dengan syarat orang yang membacanya berniat sebelum atau semasa membacanya, ataupun berdo‘a selepas membacanya supaya pahalanya disampaikan oleh Allah Ta‘ala kepada orang yang berkenaan.
Maka, jika pembacanya bukan langsung dilakukan oleh orang yang hidup, seperti hanya menerusi rakaman, bagaimana syarat-syarat itu dapat dipenuhi dan bagaimana sedekah pahala itu akan berhasil?
Apabila diteliti fungsi radio atau e-sedekah seperti yang dijelaskan oleh pihak penyoal, jelas menunjukkan bahawa jika radio atau e-sedekah ini diletak dan disiarkan bacaan al-Qur’an di tanah perkuburan, maka fungsinya hanya dilihat sebagai alat yang menyiarkan rakaman bacaan semata-mata bagi kegunaan pendengar yang melintas di kawasan tersebut sahaja bukannya sebagai perbuatan bersedekah pahala bagi orang yang sudah mati dan pembaca.
Maka dapat disimpulkan bahawa tujuan orang yang hidup memasang radio atau e-sedekah di tanah perkuburan untuk bersedekah pahala bacaan al-Qur’an kepada orang yang sudah meninggal tidak akan tercapai hanya dengan perbuatan meletakkan radio atau e-sedekah di tanah perkuburan itu kerana tidak memenuhi cara atau garis panduan dalam bersedekah pahala bacaan al-Qur’an kepada orang yang sudah meninggal sebagaimana yang diajarkan oleh para ulama.
Al-Qur’an
Al-Qur’an ialah firman Allah Ta‘ala yang bersifat mu‘jiz (melemahkan) yang diturunkan kepada penutup nabi dan rasul-rasul ‘Alaihimushshalâtu wassalâm melalui perantaraan Jibril ‘Alaihissalâm yang termaktub di dalam Mushhaf-mushhaf, yang disampaikan kepada kita dengan cara mutawâtir, yang menjadi ibadat membacanya, yang dimulai dengan surah al- Fâtihah dan disudahi dengan surah an-Nâs. (Muhammad ‘Abdul Ra’uf al-Manawi, at-Tauqîf ‘alâ Muhimmât at-Ta‘ârif: 578)
Al-Qur’an adalah kitab suci yang wajib dihormati. Salah satu cara menghormatinya ialah mendengarnya dengan sepenuh penumpuan apabila ia dibaca. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan apabila al-Qur’an itu dibacakan, maka dengarkanlah ia (dengan teliti) serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat. (Surah al-A‘râf: 204)
Berdasarkan penjelasan di atas, adalah meletakkan radio ciptaan Awang itu di tanah perkuburan untuk menyiarkan bacaan al-Qur’an tidaklah memadai dan malah tidak menepati tujuan ‘bersedekah pahala bacaan’ kepada orang yang telah meninggal dunia, kerana tidak menepati syarat sebagaimana diterangkan di atas. Perlu juga diingat, bahawa suara bacaan al- Qur’an yang dikumandangkan tanpa henti-hentinya itu turut juga dapat didengar oleh sesiapa sahaja yang lalu-lalang dan juga mereka yang berada di tempat-tempat tinggal (perumahan) atau di dalam masjid, sekiranya tanah perkuburan itu berdekatan dengan tempat-tempat tersebut. Apakah ini tidak mungkin untuk mengundang fitnah bagi orang hidup?
Pertama, orang-orang yang lalu-lalang pada setiap masa dan kedua, mereka yang sedang menetap di dalam rumah atau yang sedang berada di dalam masjid, yang sampai bacaan kepada mereka, adakah mereka ini akan mengendahkan bacaan tersebut dan menghayatinya seperti gesaan ayat al-Qur’an iaitu diam dengan khusyû‘ mendengarkan bacaan? Atau suara bacaan yang bertubi-tubi yang terus-menerus berkumandang itu akan menjadi faktor gangguan kepada orang ramai? Jika ini betul, maka itulah fitnah atau huru-hara namanya. Semua ini mesti ditimbang dengan teliti, supaya perkara-perkara mulia dan baik (seperti bacaan al-Qur’an dan bahkan al-Qur’an sendiri) tidak dikait-kaitkan dengan perkara-perkara negatif seperti sungutan atau kritikan menganggap perkara itu mengganggu atau lain-lain sebab.
Al-Qur’an memanglah untuk dibaca, tetapi membacanya dengan penuh beradab. Antara adab-adab itu ialah, orang yang membaca dengan menyentuh Mushhaf hendaklah dia itu suci daripada hadats dan sunat mengadap qiblat. Membaca juga adalah di tempat bersih dan dilarang di tempat-tempat yang tidak layak baginya, seperti di dalam tandas. Membaca bukan setakat baca, tetapi juga ditadabbur. Erti tadabbur ialah menghayati bacaan itu dengan sepenuh jiwa atau dengan hati yang hadir.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya at-Tibyân fî Âdâb Hamlah al-Qur’ân, antara lain ada menyebutkan waktu-waktu yang terpilih untuk membaca al-Qur’an itu. Antara lain beliau berkata: “Ketahuilah, bahawa seutama-utama masa membaca al-Qur’an itu ialah ketika dalam sembahyang, dan jika di luar sembahyang ialah pada waktu malam, tetapi separuh yang terakhir dari malam adalah lebih utama lagi daripada awal malam. Kemudian di antara Maghrib dan ‘Isya’ juga dianggap sangat bagus. Sementara saat yang utama apabila membaca pada waktu siang ialah sesudah sembahyang Shubuh. Kemudian kalau memilih hari pula, yang utama ialah Hari Jumaat, Hari Isnin, Hari Khamis dan Hari ‘Arafah. Kemudian jika bulan pula ialah, sepuluh hari terakhir daripada bulan Ramadhan dan sepuluh hari pertama daripada bulan Zulhijjah, di mana di antara semua bulan, yang paling utama ialah bulan Ramadhan.” Tamat katanya.
Ini semua adalah termasuk adab membaca al-Qur’an itu. Perlu diingat demi kemuliaan al- Qur’an, bahawa ayat-ayat al-Qur’an bukanlah ia lirik lagu dan membacanya pula bukanlah seperti menyanyikan lirik-lirik lagu. Barang diselisihkan daripada menjadikan ayat-ayat al- Qur’an lirik lagu atau ia dinyanyikan seperti menyanyikan lirik lagu.
Pada kira-kira sebelas tahun yang lalu, saya pernah terserempak menyaksikan melalui kaca televisyen di luar negara, seorang biduan menyanyikan ayat-ayat yang dipetik daripada surah Yâsîn dengan iringan gitar di tangan. Nyanyian adalah berirama rancak. Sambil menyanyi itu sambil pula menari-nari dan juga mengulang-ulang ayat berserta terjemahannya. Apakah cara begini layak bagi al-Qur’an? Apakah al-Qur’an itu dinyanyi-nyanyikan, dimuzikkan dan ditarikan? Adakah al-Qur’an yang mulia, yang suci dan berstatus “Kalâmullâh” ini layak diperlakukan sedemikian rupa?
Demikian antara kejadian-kejadian yang telahpun berlaku, iaitu ada orang menyanyikan ayat-ayat al-Qur’an dengan iringan muzik. Boleh juga didapati di dalam siaran-siaran di radio, ayat al-Qur’an, hadits, zikir berupa selawat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan do‘a itu dibaca atau disampaikan dalam bentuk nyanyian dan ada kalanya diiringi juga dengan muzik atau gendang. Adakah cara ini disuruh oleh agama? Adakah ini caranya menghormati dan memuliakan al-Qur’an dan dzikrullâh?
Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh: “Telah sepakat umat Islam, wajib memelihara dan menghormati Mushhaf al-Qur’an. Jika dicampak ia oleh seorang Muslim ke tempat yang kotor, maka orang yang mencampak itu dihukumkan kafir”. Beliau menambah: “Para sahabat kami juga berpendapat: Adalah haram menjadikan Mushhaf al-Qur’an itu bantal dan dianjurkan, bagi sesiapa yang diunjukkan kepadanya Mushhaf, supaya berdiri menghormatinya.”
Ini adalah etika terhadap naskhah Mushhaf al-Qur’an, tentu saja tiada bezanya dengan kandungannya (ayat-ayatnya), malah lebih-lebih lagi wajib ia dijaga apabila kita membacanya, termasuk memilih dan menentukan tempat, masa, suasana dan keadaan ia dibaca itu. Apabila membacanya pada tempat, waktu, suasana atau keadaan yang tidak selayaknya bagi al-Qur’an, tidakkah ini ditakuti boleh mencemarkan al-Qur’an itu?
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12295
