Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Tafsiran Ayat-ayat Al-Mutasyâbihât

Soalan: Unit Penapisan Terbitan-Terbitan, Bahagian Penapisan dan Pameran, Pusat Da’wah Islamiah telah menerima bahan-bahan terbitan mengenai tafsir-tafsir al-Qur’an.

Untuk makluman, tafsir-tafsir al-Qur’an tersebut dikemukakan untuk mendapatkan kelulusan daripada Jabatan ini bagi tujuan untuk dijual dan digunakan di negara ini. Selain itu ia juga sudah lama digunakan di negara ini sebagai rujukan dan kegunaan seharian.

Setelah diteliti dan dibuat tapisan, tafsir tersebut menggunakan makna/erti zahir perkataan Arab yang seolah-olah mentajsîm zat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan makhlukNya. Perkara ini telah mendatangkan kewahaman dan keraguan kepada orang ramai. Antara contoh tafsiran ayat al-Qur’an tersebut seperti yang terkandung di dalam surah al-Fath, ayat 10 seperti berikut:

Nama Surah & Bilangan Ayat Ayat Tafsir

Surah al-Fath, Ayat 10....   

Tafsirnya: “…tangan Allah di atas tangan mereka”

Sehubungan dengan itu, sukacita dipohonkan fatwa dan pandangan berhubung perkara di atas.

Jawapan: Dalam al-Qur’an al-Karim terdapat beberapa ayat yang menyebut mengenai al-yad (اليد) yang diitsbâtkan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Antaranya ialah ayat yang ditanyakan di sini iaitu firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang berjanji setia kepadamu (wahai Nabi Muhammad untuk berjuang menentang musuh), sebenarnya mereka berjanji setia kepada Allah. Kekuasaan Allah mengatasi kekuasaan mereka. (Surah al-Fath: 10)

Bahkan terdapat juga ayat-ayat al-Qur’an yang menyebutkan al-yad dalam bilangan yang lebih daripada satu dan diitsbâtkan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Antaranya firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Allah berfirman: “Hai Iblis! Apakah yang menghalangimu daripada sujud (tunduk memberi hormat) kepada (makhluk) yang Aku telah ciptakan dengan kekuasaanKu? Adakah engkau berlaku sombong takbur ataupun engkau daripada golongan yang (menganggap diri mereka) tinggi?” (Surah Shâd: 75) Dan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Tidakkah mereka memerhatikan sesungguhnya Kami telah menciptakan untuk mereka binatang ternakan iaitu sebahagian daripada makhluk yang Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami maka mereka dapat memilikinya? (Surah Yâsîn: 71)

Ayat-ayat seumpama ini disebut sebagai ayat ash-shifah yang tergolong sebagai ayat-ayat al- Qur’an yang al-mutasyâbih atau al-mutasyâbihât sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam as-Suyuthi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Itqân fi ‘Ulûm al-Qur’ân. Menurutnya, para ulama mempunyai pelbagai pandangan dalam mengertikan perkataan al-mutasyâbih. Antaranya:

1. Ayat-ayat al-Qur’an yang tidak diketahui hakikatnya kecuali Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

2. Ayat-ayat al-Qur’an yang tidak jelas maknanya.

3. Ayat-ayat al-Qur’an yang mengandungi ta’wîlan makna yang pelbagai.

4. Ayat-ayat al-Qur’an yang tidak mampu difikirkan oleh akal akan maknanya yang sebenar.

5. Ayat-ayat al-Qur’an yang tidak diketahui maknanya kecuali dengan menta’wîlkannya.

6. Ayat-ayat al-Qur’an yang mengandungi kisah-kisah serta teladan dan banyak lagi pengertian para ulama yang lain mengenai maksud perkataan al-mutasyâbih. (Al-Itqân fî ‘Ulûm al-Qur’ân: 3/3-5)

Bahkan dalam memahami pengertian atau maksud ayat-ayat al-mutasyâbihât seperti yang ditanyakan di sini, para ulama Ahli Sunnah Wal-Jama‘ah juga berbeza pendapat sebagaimana yang disebutkan dalam kitab al-Itqân.

Pendapat pertama mengatakan hendaklah kita beriman dengan ayat-ayat tersebut dan menyerahkan (tafwîdh) pengertian maksudnya yang sebenar kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan hendaklah kita tidak mentafsirkannya serta hendaklah kita menjauhkan (tanzîh) Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ daripada hakikat (makna zahir) ayat tersebut. Ini adalah pendapat jumhûr Ahli Sunnah Wal-Jama‘ah daripada kalangan ulama as-salaf dan ahli hadits.

Pendapat kedua pula mengatakan bahawa hendaklah kita menta’wîlkan ayat-ayat tersebut agar maknanya bersesuaian dengan keagungan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ini adalah pendapat para ulama al-khalaf dalam kalangan Ahli Sunnah Wal-Jama‘ah.

Imam as-Suyuthi Rahimahullâh juga menaqalkan perkataan Ibnu ash-Shalah Rahimahullâh yang menyatakan bahawa ini adalah cara yang digunakan oleh ketua masyarakat serta para pemerintahnya, dan dipilih oleh fuqahâ’ serta pemimpinnya dan diseru kepadanya oleh imam-imam hadits serta tokohnya dan ia juga tidak ditolak oleh para ulama dalam kalangan al-mutakallimûn. Menurut Imam as-Suyuthi Rahimahullâh, Ibnu Barhan Rahimahullâh juga memilih untuk menta’wîl ayat-ayat seumpama ini.

Namun ada juga antara ulama yang mengambil pendekatan yang moderat atau sederhana, seperti Ibnu Daqiq al-‘Ied Rahimahullâh yang menyatakan bahawa jika ta’wîlan itu hampir maknanya dengan pertuturan orang-orang Arab maka ia tidak diingkari. Namun jika makna ta’wîlan itu jauh maka hendaklah ia tidak dita’wîl kepada makna tersebut dan hendaklah kita beriman dengan ayat itu berserta tanzîh (menjauhkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ daripada apa jua perkara yang tercela atau hina, yang bertentangan dengan sifatNya). Semua ini ada disebutkan oleh Imam as-Suyuthi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Itqân. (Al-Itqân fî ‘Ulûm al-Qur’ân: 3/12-14)

Pendapat Para Ulama Mengenai Maksud ‘Al-Yad’ atau ‘Yadullâh’

Terdapat pelbagai pendapat ulama dalam mentafsirkan makna al-yad yang diitsbâtkan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam ayat-ayat al-Qur’an. Perkara ini ada disebutkan oleh Imam Fakhruddin ar-Razi Rahimahullâh dalam kitabnya at-Tafsîr al-Kabîr ketika membincangkan ayat 64, surah al-Mâ’idah yang mengitsbâtkan ‘dua tangan’ kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan orang-orang Yahudi itu berkata: “Tangan Allah terbelenggu (bakhil).” Sebenarnya tangan merekalah yang dibelenggu (daripada mengerjakan kebajikan) dan merekalah yang dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakan itu, bahkan kedua-dua tangan Allah sentiasa terbuka (melimpahkan kurnia dan ni‘mat yang banyak) mengurniakan rezeki sebagaimana yang dikehendakiNya.

(Surah al-Mâ’idah: 64)

Golongan al-Mujassimah menurutnya, berpendapat bahawa yadullâh itu berupa anggota tubuh badan sebagaimana yang ada pada setiap yang lain. Fahaman ini telah ditolak kerana ia bertentangan dengan sifat-sifat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sama sekali tertegah daripada berjisim atau berbentuk. Manakala al-yad yang dimaksudkan itu sama sekali bukan merupakan anggota tubuh badan.

Jumhûr pula mempunyai dua pendapat mengenai lafaz al-yad ini. Pendapat pertama menyatakan bahawa apabila al-Qur’an telah mentsabitkan lafaz al-yad bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ maka kita beriman dengannya. Apabila akal fikiran menolak bahawa yadullâh itu adalah ibarat jisim/bentuk yang khusus dan merupakan anggota yang bersambung dengan anggota-anggota atau bahagian-bahagian lain maka kita beriman dengannya. Maka maksud sebenar lafaz al-yad ini serta hakikatnya, kita serahkan segalanya kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan ini menurut Fakhruddin ar-Razi adalah tharîqah atau fahaman as-salaf. (At- Tafsîr al-Kabîr: 12/36-37)

Pendapat kedua pula ialah pendapat al-Mutakallimûn yang mengatakan bahawa perkataan al-yad dari segi bahasa mempunyai pelbagai makna:

i. Anggota tubuh badan iaitu tangan, seperti yang dimaklumi.

ii. Ni‘mat misalnya seseorang berkata kepada si Polan: “Bagiku ‘tangan’ (ni‘mat) dan aku sangat bersyukur ke atasnya”.

iii. Kekuatan sebagaimana dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ: ( َصَارحدَي وَاحألَبحِلَ احألي حأُو) [surah Shâd: 45] yang ditafsirkan sebagai ‘memiliki kekuatan dan pandangan (pemahaman) yang mendalam’.

iv. Kekuasaan misalnya dikatakan: “Kampung ini di bawah ‘tangan’ (kekuasaan) si Polan dan juga firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ: ( َ حدَة ُ النَكَاحاَلهذَي بَيَدَه َ عُق) [surah al-Baqarah: 237] yang bermaksud menguasai ikatan pernikahan itu.

v. Menunjukkan tentang kesungguhan sesuatu perkara serta keistimewaan atau kelebihannya seperti firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ: ( هحت ُ بَيَدَيلَمَا خَلَق) [surah Shâd: 75]. Perkataan bi yadayya di sini bermaksud sebagai pengkhususan bagi Nabi Adam ‘Alaihissalâm serta sebagai tanda kehormatan atau kemuliannya, kerana sesungguhnya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ adalah pencipta bagi sekalian makhluk. (At-Tafsîr al-Kabîr: 12/37)

Namun menurut Imam ar-Razi Rahimahullâh, al-yad yang diitsbâtkan bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu tertegah daripada dimaksudkan sebagai anggota tubuh badan manakala makna yang selainnya kesemua itu boleh digunakan. (At-Tafsîr al-Kabîr: 12/37)

Selain itu beliau juga ada menyebutkan satu pendapat lain, iaitu kata-kata Abu al-Hasan al- Asy‘ari Rahimahullâh daripada sesetengah pendapatnya yang mengatakan bahawa al-yad ialah sifat bagi Zat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang menyamai al-qudrah, namun ia adalah khusus pada hal penciptaan bagi kejadian-kejadian yang tertentu. Dalilnya adalah pada ayat al-Qur’an yang menyatakan bahawa sesungguhnya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menciptakan Adam ‘Alaihissalâm dengan yadaihi (kedua-dua tanganNya) kerana kemuliaan Nabi Adam ‘Alaihissalâm serta keistimewaannya ke atas ciptaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang lain. Perkataan Imam al-Asy‘ari Rahimahullâh ini juga ada disebutkan dalam kitab al-Itqân, yang menyatakan bahawa al-yad itu adalah sifat yang hampir dengan makna al-qudrah. Namun al-yad adalah lebih khusus dan sebagai tanda kemuliaan atau penghormatan sedangkan al-qudrah pula lebih bersifat umum. (At-Tafsîr al-Kabîr: 12/37 dan al-Itqân fî ‘Ulûm al- Qur’ân: 3/17)

Manakala kebanyakan ulama yang lain menurut Imam ar-Razi Rahimahullâh, berpendapat bahawa al-yad bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu adalah ibarat al-qudrah (kuasa) dan juga an-ni‘mah (ni‘mat). (At-Tafsîr al-Kabîîr: 12/37)

Manakala dalam kitab-kitab tafsir, perkataan al-yad dalam surah al-Fath ayat 10 yang ditanyakan di sini, telah dihuraikan dengan pelbagai maksud atau ta’wîl. Ini juga ada dinyatakan oleh Imam ar-Razi Rahimahullâh dalam kitabnya, di mana menurutnya ayat tersebut mempunyai beberapa pengertian:

i. Bererti ni‘mat. Maka ayat tersebut memberi maksud bahawa ni‘mat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ke atas orang-orang yang berjanji untuk taat setia itu lebih tinggi daripada ihsan mereka kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

ii. Bererti kemenangan yang membawa maksud bahawa kemenangan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ bagi mereka lebih kuat dan tinggi daripada kemenangan mereka bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

iii. Perkataan al-yad itu bermaksud pemeliharaan atau pengawasan manakala aidîhim (tangan-tangan mereka) yang merujuk kepada orang-orang yang berbai‘ah (berjanji taat setia) bermaksud anggota tubuh badan iaitu tangan.

Menurut Imam ar-Razi Rahimahullâh, al-yad atau tangan di sini digunakan sebagai kinâyah (kiasan) kepada pemeliharaan atau pengawasan sebagaimana dalam hal ehwal orang yang berjual beli, di mana apabila kedua-dua pembeli dan penjual melakukan akad akan ada orang ketiga yang berperanan sebagai perantara yang akan mengawasi dan mempastikan akad tersebut tidak rosak. Orang perantaraan ini akan meletakkan tangannya di atas kedua-dua tangan orang yang berakad sehingga akad tersebut selesai dan sempurna. Maka kedudukan tangan yang diletakkan di atas dua tangan pihak yang berakad itu dianggap sebagai pemeliharaan atau pengawasan ke atas bai‘ah. Maka ayat tersebut bermaksud bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memelihara atau mengawasi diri mereka dalam perjanjian taat setia yang mereka lakukan agar ia terpelihara. Hal ini menyamai dengan keadaan orang perantaraan dalam akad berjual beli yang mengawasi perjalanan akad tersebut agar ia terpelihara sehingga ia selesai. (At-Tafsîr al-Kabîr: 28/75-76)

Dalam kitab Jâmi‘ al-Bayân karangan Imam ath-Thabari Rahimahullâh, ayat ini mempunyai dua maksud atau ta’wîl yang berbeza. Yang pertama bermaksud bahawa sesungguhnya ‘tangan Allah’ itu di atas tangan-tangan orang-orang yang berjanji taat setia ketika bai‘ah kerana sesungguhnya (pada ketika itu) mereka telah berjanji kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan janji taat setia mereka kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Yang kedua pula bermaksud bahawa kekuatan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melebihi kekuatan mereka dalam mempertahankan atau memberi bantuan kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, kerana sesungguhnya mereka telah berjanji kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam untuk mempertahankan Baginda daripada para musuh. (Jâmi‘ al-Bayân ‘an Ta’wîl Ây al-Qur’ân: 13/99)

Dalam kitab Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm tulisan Ibnu Katsir Rahimahullâh pula tidak ada dihuraikan secara khusus maksud bagi perkataan yadullâh, hanya tafsiran ayat tersebut yang menyatakan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ juga turut hadir bersama mereka, mendengarkan kata-kata mereka, menyaksikan tempat mereka, serta mengetahui apa yang terselindung dan yang zahir pada diri mereka. Ia juga menerangkan bahawa sesungguhnya orang-orang yang berjanji taat setia itu hakikatnya berjanji taat setia kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagai perantara. (Tafsîr al- Qur’ân al-‘Azhîm: 13/91)

Adakah Boleh Diterjemahkan Perkataan ‘Al-Yad’ itu Bererti ‘Tangan’?

Berdasarkan huraian bagi maksud perkataan ‘al-yad’ yang telah dinyatakan di atas, kita mendapati bahawa para ulama Ahli Sunnah Wal-Jama‘ah mempunyai pandangan yang berbeza. Ulama as-salaf berpendapat bahawa kita hendaklah beriman dengan ayat ini tanpa membuat sebarang andaian atau ta’wîlan mengenai ‘al-yad’ dengan menyerahkan hakikatnya yang sebenar kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di samping menyucikan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ daripada maksud ‘al-yad’ yang zahir. Manakala ulama al-khalaf daripada kalangan Ahli Sunnah Wal-Jama‘ah pula mengambil pendekatan dengan menta’wîlkannya kepada maksud yang bersesuaian dengan keagungan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta sifat-sifatNya.

Perkataan bahasa Arab ‘al-yad’ atau ‘yad’, apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bererti tangan dan ini sememangnya telah dimaklumi. Menterjemahkan perkataan ‘al-yad’ yang disebut dalam ayat-ayat al-Qur’an ke dalam bahasa Melayu sebagai tangan tidaklah menjadi satu kesalahan. Namun dalam ayat al-Qur’an di mana perkataan ‘tangan’ itu diitsbâtkan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, ia hendaklah diertikan dengan maksudnya yang betul ataupun difahami dengan betul. Iaitu ‘al-yad’ atau tangan yang diitsbâtkan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu sama sekali bukan anggota tangan seperti yang biasa dimaklumi dan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sama sekali tidak berbentuk atau berjisim, dan tidak terdiri daripada bahagian-bahagian atau anggota, serta tidak menyerupai makhlukNya. Ini adalah sangat penting untuk diketahui dan difahami dengan betul bagi mengelakkan kekeliruan, apatah lagi ayat-ayat dalam al-Qur’an itu mempunyai kesusasteraan dan keindahan bahasa sangat tinggi yang merupakan salah satu kelebihan serta keistimewaannya.

Jika dirujuk kepada beberapa buku terjemahan bahasa Melayu bagi ayat-ayat al-Qur’an, ada antaranya menterjemahkan perkataan ‘al-yad’ bagi ayat-ayat al-mutasyâbihât seperti ini kepada maksud yang dita’wîl dan sesetengah yang lain pula menterjemahkannya kepada makna zahir dengan memberikan penerangan lanjut mengenainya di nota kaki dan seumpamanya. Tidak kira sama ada penerangan itu berdasarkan cara atau fahaman ulama as-salaf ataupun ulama al-khalaf. Kaedah ta’wîl dan penerangan seumpama ini akan dapat mempastikan pembaca buku-buku terjemahan ini memahami maksud ayat-ayat ini dengan betul.

Sekiranya ayat-ayat seumpama ini tidak dita’wîl atau tidak diterangkan dengan lebih lanjut, maka ia boleh membawa kepada kekeliruan dan kesalahfahaman terutama sekali bagi pembaca yang kurang pengetahuan mengenai perkara ini. Bermacam-macam andaian dan sangkaan akan timbul disebabkan oleh hal ini dan jika tidak dibetulkan ia boleh melahirkan fahaman salah yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Buku Terjemahan Al-Qur’an Al-Karim Ar-Raudhah dan Al-Haramain

Kedua-dua buku terjemahan bagi ayat-ayat al-Qur’an ini; ar-Raudhah dan al-Haramain, diterbitkan oleh Karya Bestari, Malaysia dengan kerjasama syarikat Cordoba Internasional Indonesia sebagai rakan penyelidik. Berdasarkan maklumat daripada laman web, kedua-dua syarikat penerbitan ini telah banyak menerbitkan buku-buku agama dan juga buku-buku terjemahan ayat-ayat al-Qur’an.

Ayat-ayat al-Qur’an yang terkandung di dalam buku-buku ini juga telah ditashhîh oleh Ahli Lajnah Tasheh Al-Qur’an, Kementerian Dalam Negeri Sesi 2013-2014 dan telah mendapat kelulusan daripada pihak Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Qur’an, Kementerian Dalam Negeri, Malaysia sebagaimana yang dinyatakan di awal buku-buku ini. Selain itu penyusunan buku-buku ini juga dikatakan melibatkan para ilmuwan dan alim ulama yang berkelayakan dan berkemahiran dalam bidang masing-masing. Bahkan dalam proses penyiapan buku-buku ini, ia juga melibatkan pihak Kementerian Dalam Negeri, Malaysia dan juga Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dari segi sokongan, panduan dan semakan sehinggalah ia berjaya diterbitkan. Semua ini menunjukkan kepada kita bahawa isi kandungan buku-buku ini telah diteliti serta disemak oleh pihak yang berautoriti.

Namun dalam penelitian awal berkenaan isu yang ditanyakan di sini, telah didapati beberapa perkara:

1. Beberapa terjemahan ayat al-mutasyâbih yang mengitsbâtkan al-yad kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam buku-buku ini ada kalanya menggunakan terjemahan zahir perkataan Arab dan ada kalanya pula menggunakan maksud yang dita’wîl.

Antara yang menggunakan terjemahan zahir perkataan Arab selain daripada ayat yang ditanyakan di sini ialah:

i) Surah Âli ‘Imran, ayat 73: َ هللاَ....) َ بَيَد حلالحفَض هإَن ح(قُل yang tafsirnya: Katakanlah (Muhammad), sesungguhnya kurniaan itu di tangan Allah....

ii) Surah al-Mâ‘idah, ayat 64: سُوطَتَانَ...)ح يَدَاه ُ مَبحبَل...( yang tafsirnya: …padahal kedua-dua tangan Allah terbuka....

Dan yang menggunakan kaedah ta’wîl antaranya ialah:

i) Surah Yâsîn, ayat 71: دَينَا أَنحعَامًا...)حح أَي(... ِمَاه عَمَلَت yang tafsirnya:...ia sebahagian daripada kekuasaan Kami....

ii) Surah Shâd, ayat 75: )....هحت ُ بَيَدَي(....لَمَا خَلَق yang tafsirnya:...yang telah Aku ciptakan dengan kekuasaanKu….

Dan begitulah juga ayat-ayat al-mutasyâbihât yang lain sama ada yang berkaitan dengan al-yad ataupun selainnya, adakalanya menggunakan terjemahan makna zahir perkataan Arab dan dan adakalanya pula menggunakan makna yang telah dita’wîl. Hal ini tidaklah menjadi kesalahan asalkan maksud ayat-ayat al-Qur’an tersebut dapat difahami menurut fahaman yang betul.

2. Terdapat huraian bagi tafsiran ayat yang menimbulkan kekeliruan dari segi pemahaman maksudnya serta keraguan akan kebenaran huraian tersebut seperti huraian bagi ayat 64, surah al-Mâ’idah yang tafsirnya:

“... padahal kedua-dua tangan Allah terbuka…”.

Tafsiran mengenai ‘tangan Allah’ di sini telah diterangkan dengan lebih lanjut pada nota kaki no. 285, muka surat 118 dalam buku al-Haramain dan juga ar-Raudhah yang berbunyi:

“Tangan Allah (bakhil) tidak sama dengan tangan manusia (makhluk)”.

Melihat kepada huraian ini, adalah tidak jelas sama ada apa yang tertera itu adalah makna yang dimaksudkan oleh penyusun/penulis ataupun telah berlaku kesilapan dalam proses penyusunan buku-buku tersebut. Apa yang pasti, perkara ini boleh menimbulkan kekeliruan mengenai maksud ayat al-Qur’an tersebut.

Maka berdasarkan dapatan awal ini, adalah lebih baik pihak Pusat Da’wah Islamiah membuat penelitian lebih lanjut terhadap kedua-dua buku ini bagi memastikan tidak terdapat isi kandungan lain yang mengelirukan sama ada pada tafsiran atau penerangan tambahan yang diberikan.

Manakala berkenaan isu yang ditanyakan pula, jika penggunaan makna zahir pada tafsiran ayat-ayat al-mutasyâbihât seperti yang terdapat dalam buku-buku ini menimbulkan kekeliruan atau kegelisahan di kalangan orang awam, adalah lebih baik penyebaran buku-buku ini dan buku-buku lain yang mengandungi isi yang sama seperti buku-buku yang ditanyakan ini dihentikan buat sementara sehingga perkara ini dapat ditangani. Misalnya dengan meralat penerangan bagi ayat-ayat yang dimaksudkan, sama ada dilakukan sendiri oleh pengedar di negara ini, pihak penerbit ataupun pihak Pusat Da’wah Islamiah.

Bagi mengelakkan perkara yang sama di masa akan datang, adalah lebih baik pihak yang mengedar buku-buku ini berhubung dengan pihak pengeluar atau penerbit buku-buku terbabit mengenai perkara ini dan apa jua permasalahan yang didapati daripada penelitian pihak Pusat Da’wah Islamiah sendiri, agar ia dapat diperbaiki. Sekiranya ini tidak berhasil, adalah lebih baik pihak pengedar tempatan mencari buku-buku terjemahan lain yang lebih sesuai untuk bacaan orang awam di negara ini.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12299