Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Zakat Wang Caruman di Bawah Skim Pencen Caruman Tambahan (SCP)

Soalan: Adakah wang simpanan Skim Pencen Caruman Tambahan (SCP) diwajibkan zakat?

Jawapan: Skim Pencen Caruman Tambahan (SCP)

Skim SCP merupakan satu skim mandatori ke atas setiap pekerja di sektor awam dan sektor swasta. Skim ini merupakan skim tambahan kepada skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) yang berkuatkuasa pada 01 Januari 2010 di bawah Perintah Pencen Caruman Tambahan, 2009.

Menurut penerangan daripada pihak TAP, di bawah skim SCP ini, setiap ahli SCP akan dipotong 3.5% daripada gaji pokok mereka pada setiap bulan dan dicarumkan ke dalam skim SCP. Caruman 3.5% daripada setiap ahli itu akan dicampur lagi dengan pemberian caruman daripada majikan yang berjumlah 3.5% dari gaji pokok ahli SCP berkenaan dan menjadikan keseluruhan caruman berjumlah 7% pada setiap bulan. Daripada jumlah keseluruhan caruman bulanan tersebut, pihak TAP akan memotong 1/7 daripadanya dan dimasukkan secara automatik ke dalam dana Survivorship Benefits sebagai sumbangan kepada pelan Takaful. Kadar pemotongan ini tidak terpapar pada penyata akaun ahli SCP kerana kadar 1/7 itu dipotong serta-merta oleh pihak TAP selepas terhimpunnya jumlah keseluruhan caruman ahli dan majikan. Yang hanya dipaparkan ke dalam penyata kira-kira ahli SCP ialah jumlah yang berhak diterima dan dimiliki secara mutlak oleh ahli SCP sahaja. Sebagai contoh:

Gaji Bulanan

Ahli

3.5%

Majikan

3.5%

Jumlah

7%

Potongan Dana Survivorship (1/7)

Akaun Ahli SCP

(6/7)

$500.00 $17.50 $17.50 $35.00 $5.00 $30.00

Menurut contoh di atas, kadar caruman yang dimasukkan ke dalam akaun ahli SCP ialah 6/7 daripada jumlah caruman keseluruhan bulanan iaitu $30.00 (6/7 x $35.00) dan jumlah inilah yang hanya akan dimasukkan dan tercatat ke dalam penyata kira-kira ahli SCP setiap bulan dan menjadi hak ahli SCP untuk diterima apabila mencapai umur persaraan mandatori 60 tahun bagi tempoh 20 tahun yakni sehingga mencapai umur 80 tahun.

Manakala kadar 1/7 daripada jumlah keseluruhan caruman bulanan iaitu $5.00 (1/7 x $35.00) adalah kadar potongan yang akan dimasukkan secara automatik ke dalam dana Survivorship Benefits sebagai sumbangan ahli SCP untuk dicarumkan ke pelan Takaful.

Adakah Wang Caruman Skim SCP Diwajibkan Zakat?

Seperti yang diketahui, wang simpanan wajib dikeluarkan zakat jika telah memenuhi syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat. Dalam perkara ini, apa yang perlu diteliti ialah kedudukan wang caruman skim SCP tersebut, adakah pemilikan wang caruman skim SCP itu merupakan milik sempurna ahli SCP atau sebaliknya? Menurut hukum syara‘ antara syarat-syarat yang mewajibkan zakat itu hendaklah harta atau wang itu dimiliki sepenuhnya oleh pemiliknya. Sebelum menjawab persoalan mengenai dengan perihal zakat wang caruman SCP, kita fahamkan dahulu maksud milik sempurna atau milik penuh itu.

Milik Sempurna atau Milik Penuh (امللك التام)

Menurut mazhab Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâhu Ta‘âlâ, sebagaimana disebutkan dalam kitab-kitab fiqh, bahawa syarat-syarat milik penuh atau milik sempurna (امللك التام) itu ialah: (Tuhfah al-Muhtâj: 1/491 dan al-Muhadzzab: 1/463)

Pertama: Imkân at-tasharruf iaitu pemilik mempunyai hak dan kuasa untuk membelanjakan hartanya sekalipun harta tersebut tidak berada di tangannya.

Kedua: Pemilikannya terhadap harta tersebut adalah mustaqirr (tetap). Maknanya harta tersebut tidak akan hilang sekalipun dia tidak dapat membelanjakannya pada waktu tersebut, kerana adanya halangan seperti harta yang dirampas atau hartanya yang hilang. Walau bagaimanapun, pemilik masih ada hak untuk menuntut hartanya atau memaksa harta tersebut untuk diserahkan kembali kepadanya kerana pemilikannya terhadap harta tersebut adalah mustaqirr.

Jika pemilikannya terhadap harta yang dimilikinya itu ghair mustaqirr (tidak tetap), maka harta tersebut tidak wajib dikeluarkan zakat.

Menurut Imam ar-Ramli dan Imam Ibnu Hajar Rahimahumallâhu Ta‘âlâ dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj dan kitab Tuhfah a-Muhtâj, yang dimaksudkan dengan pemilikan ghair mustaqirr (tidak tetap) itu ialah seumpama pemilikan pada wang sewaan rumah bagi tempoh yang akan datang. Wang sewaan rumah yang dibayar tunai secara pendahuluan (advance) sebelum manfaat rumah tersebut digunakan adalah tidak wajib dizakat. Ini kerana pemilikannya terhadap wang sewaan itu mungkin sahaja akan hilang atau terlucut dengan berlakunya sesuatu yang tidak dijangkakan seperti rumah tersebut binasa atau seumpamanya. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/134 dan Tuhfah al-Muhtâj: 1/490-491)

Kesimpulan daripada kedua-dua syarat bagi milik penuh atau milik sempurna (امللك التام) di atas ialah kewajipan mengeluarkan zakat tidak akan gugur hanya disebabkan hartanya itu tidak berada di tangannya atau disebabkan ada halangan untuknya membelanjakan hartanya pada waktu tersebut. Malahan kewajipan mengeluarkan zakat masih tetap dituntut ke atasnya tetapi tidaklah wajib mengeluarkannya dengan segera. Namun, jika harta itu kembali semula kepadanya, barulah dia wajib mengeluarkan zakat dengan segera termasuk mengeluarkan zakat bagi tahun-tahun kebelakangan. Ini adalah kerana pemilik harta tersebut memenuhi syarat-syarat milik penuh bagi mengeluarkan zakat. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/132-134 dan Tuhfah al-Muhtâj: 1/489-491)

Dalam kitab Bujairimi ‘ala al-Khathib ada diterangkan tentang kewajipan mengeluarkan zakat bagi harta-harta yang termasuk dalam pemilikan secara penuh:

Ertinya: Dan wajib (zakat) pada harta yang dirampas dan harta yang hilang dan harta (hutang atau harta yang dititipkan) yang dinafikan, harta yang ghaib, sekalipun terdapat keuzuran (kesusahan) untuk mendapatkannya, dan harta yang dimiliki dengan sebab akad sebelum menerimanya, kerana sesungguhnya ia (harta-harta berkenaan) dimiliki secara pemilikan yang penuh. (Bujairimi ‘ala al-khathib: 2/394)

Berdasarkan kepada perkataan para ulama di atas, jelas menunjukkan bahawa sekalipun sesuatu harta yang dimiliki itu tidak dapat dibelanjakan pada waktu yang dikehendakinya disebabkan adanya halangan untuk mendapatkannya, namun harta tersebut tetap dianggap sebagai harta yang dimiliki secara penuh atau sempurna dan wajib dikeluarkan zakatnya jika sampai haul dan nishâbnya.

Walau bagaimanapun, menurut Imam asy-Syirazi Rahimahullâhu Ta‘âlâ di dalam kitab al- Muhadzdzab, kewajipan mengeluarkan zakat akan gugur jika pemilikannya ke atas harta tersebut tidak penuh atau tidak sempurna dan pemilik tidak lagi ada hak dan kuasa untuk membelanjakannya sama ada untuk waktu tersebut ataupun akan datang. Bahkan apabila pemilik menuntut ke atas harta berkenaan, dia tidak berupaya mendapatkannya kembali, begitu juga dia tidak dapat tasharruf kembali kerana haknya ke atas harta tersebut telah pun hilang. (Al-Muhadzdzab: 1/463)

Kedudukan Pemilikan Wang Caruman Skim SCP

Sebagaimana yang diterangkan di atas, dapat difahami bahawa wang caruman skim SCP adalah terhasil daripada potongan 3.5% daripada gaji pokok ahli dan pemberian 3.5% daripada gaji pokok ahli SCP oleh majikan. Walau bagaimanapun, tidak semua menjadi wang simpanan ahli SCP kerana 1/7 daripada jumlah keseluruhan caruman bulanan itu disumbangkan kepada manfaat keberterusan (Survivorship Benefits). Hanya 6/7 daripada jumlah keseluruhan caruman bulanan itu sahaja yang dimasukkan ke dalam penyata kira-kira ahli SCP sebagai wang simpanan dan harta mutlak ahli SCP untuk diterima secara bulanan selepas bersara ketika masih hidup atau untuk diterima secara bulanan oleh ahli waris SCP apabila ahli SCP telah meninggal dunia mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak TAP.

Ini bererti, wang simpanan ahli SCP hanya berjumlah 6/7 daripada jumlah keseluruhan wang caruman bulanan dan ia adalah harta mutlak ahli SCP untuk diterimanya sesudah bersara dan jika dia meninggal dunia, maka harta tersebut akan diwarisi dan diberikan secara pembahagian farâ’idh kepada ahli-ahli warisnya. Manakala wang caruman 1/7 daripada jumlah keseluruhan wang caruman bulanan itu tidak lagi dimiliki oleh ahli SCP kerana wang potongan tersebut telahpun disumbangkan atau diberikan kepada dana Survivorship Benefits.

Setelah diteliti dan memahami perkataan para ulama mengenai dengan pengertian امللك التام (milik sempurna atau penuh), kedudukan pemilikan wang caruman skim SCP itu terbahagi kepada dua:

1. Wang caruman berjumlah 6/7 daripada jumlah keseluruhan caruman bulanan adalah milik penuh ahli SCP. Wang caruman tersebut disimpan sebagai wang simpanan ke dalam penyata kira-kira ahli SCP. Namun wang simpanan SCP tersebut tidak dapat dibelanjakan pada waktu yang dikehendakinya disebabkan adanya halangan atau tertakluk kepada syarat-syarat oleh pihak TAP untuk mengeluarkannya. Walau bagaimanapun wang simpanan tersebut tetap dianggap sebagai harta yang dimiliki secara penuh atau sempurna dan wajib dikeluarkan zakatnya jika cukup haul dan nishâbnya.

2. Wang caruman berjumlah 1/7 daripada jumlah keseluruhan caruman bulanan adalah bukan lagi milik ahli SCP. Ini kerana wang caruman tersebut telah disumbangkan atau diberikan ke dalam dana Survivorship Benefits. Ini bermakna, wang tersebut telahpun berpindah milik dan bukan lagi menjadi hak milik ahli SCP berkenaan. Jika ahli SCP hendak menuntut ke atas harta berkenaan, maka dia tidak boleh mendapatkannya kembali kerana haknya ke atas harta tersebut telah pun ditabarrukkannya.

Bilakah Zakat Wang Simpanan SCP Wajib Dikeluarkan?

Jumlah wang simpanan yang tercatat di dalam penyata kira-kira ahli SCP adalah terkumpul daripada 6/7 daripada jumlah keseluruhan wang caruman setiap bulan berserta dengan dividen atau keuntungan tahunan yang terhasil daripada pelaburan yang patuh syara‘ jika ada. Jumlah inilah yang wajib dikeluarkan zakat jika cukup haul dan nishâbnya.

Berbalik kepada persoalan mengenai waktu pembayaran zakat wang simpanan SCP, adakah pembayaran zakat bagi wang simpanan SCP ini wajib dikeluarkan dengan segera iaitu apabila mencapai nishâb dan haul sedangkan wang tersebut tidak berada di tangan ahli SCP disebabkan ia dikendali dan diuruskan oleh pihak TAP dengan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan?

Menurut hukum syara‘, sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Mughni al-Muhtâj, zakat wajib dikeluarkan dengan segera ke atas harta yang telah mencapai haul dan nishâb dengan syarat tidak terdapat sebarang kesukaran atau halangan untuk menghadirkan harta tersebut. (Mughni al-Muhtâj: 2/557)

Jika diperhatikan dari sudut pemilikan wang simpanan SCP bagi ahli SCP, keadaannya menyerupai dengan keadaan pemilikan wang ad-dain al-mu’ajjal (hutang yang bertangguh) bagi pemberi hutang. Maksudnya, wang simpanan SCP dan wang ad-dain al-mu’ajjal tertahan di tangan orang lain iaitu di tangan pihak TAP atau tertahan di tangan orang yang berhutang walaupun wang tersebut adalah hak dan milik ahli SCP dan pemiutang. Keadaan-keadaan tersebut memberi kesukaran atau halangan untuk mengeluarkan zakat bagi wang berkenaan jika telah sampai haul dan nishâbnya. Jika dalam hal ad-dain al-mu’ajjal, pemiutang hanya mengeluarkan zakat apabila dia menerima kembali wang yang dihutangkannya itu, maka dalam hal wang simpanan SCP, pengeluaran zakatnya dapatlah diqiyâskan kepada pengeluaran zakat bagi pemiutang dalam hal ad-dain al-mu’ajjal kerana kedua-duanya mempunyai ‘illah (sebab) yang sama iaitu harta tersebut tertahan di tangan orang lain.

Penetapan zakat bagi hutang seperti ini juga menurut Imam ar-Ramli dan Imam Ibnu Hajar Rahimahumallâhu Ta‘âlâ dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj dan kitab Nihâyah al-Muhtâj, adalah sama kedudukannya dengan zakat bagi harta yang dirampas. Zakat bagi harta berkenaan tidak wajib dilakukan dengan segera selagi dia (pemilik) belum menerima harta atau hutang berkenaan. Harta atau hutang hanya wajib dikeluarkan apabila pemilik menerima atau mendapatkannya kembali dan ini termasuklah juga zakat bagi tahun-tahun kebelakangan semenjak cukup haul pertama sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj dan Nihâyah al-Muhtâj. (Tuhfah al-Muhtâj: 1/489 dan Nihâyah al-Muhtâj: 3/131)

Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ ada menyatakan dalam kitabnya Minhâj ath- Thâlibîn:

Ertinya: Dan (wajib zakat) pada harta yang dirampas, harta yang hilang dan harta (yang dihutang atau harta yang dititipkan) yang dinafikan, menurut pendapat yang azhhar adalah tidak wajib dibayar zakatnya sehinggalah harta tersebut kembali (kepada pemiliknya). (Minhâj ath-Thâlibîn: 1/404)

Berdasarkan daripada penjelasan para ulama tadi, jelas menunjukkan bahawa waktu wajib mengeluarkan zakat bagi wang simpanan SCP ialah apabila ahli SCP menerima wang tersebut. Pembayaran zakatnya wajib dilakukan dengan segera pada hari wang simpanan itu diterima jika jumlah wang simpanan tersebut mencapai nishâb dan haul. Ini bermakna zakat bagi tahun-tahun kebelakangan yang bermula dari waktu mencapai nishâb zakat adalah tidak hilang dan pengeluaran zakat bagi tahun-tahun tersebut secara kebelakangan wajib ditunaikan.

Namun seperti yang diterangkan di atas, wang simpanan SCP ini hanya akan dikeluarkan selepas ahli SCP tersebut bersara iaitu ketika berumur 60 tahun dan diberikan secara bulanan selama 20 tahun sehinggalah berumur 80 tahun. Hanya dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja wang simpanan SCP tersebut diberikan secara lump sum (keseluruhan) kepada ahli SCP atau warisnya.

Jika wang simpanan SCP tersebut diberikan secara lump sum, maka ahli SCP atau ahli warisnya wajib mengeluarkan zakat dengan segera pada hari wang simpanan tersebut diterima jika jumlahnya mencapai nishâb tanpa perlu menunggu haul yang baru. Pengeluaran zakat bagi wang simpanan tersebut hendaklah dikira dari tahun-tahun lalu yang bermula dari waktu tercapainya nishâb zakat.

Jika wang simpanan SCP diberikan dengan jumlah yang ditetapkan secara bulanan selama tempoh 20 tahun yakni bukannya secara lump sum, berkemungkinan timbul kesukaran untuk mengeluarkan zakat bagi keseluruhan simpanan dengan sesegaranya, jika ahli SCP tersebut tidak mempunyai wang tunai yang cukup di tangan (pocket money). Maka yang demikian, ahli SCP berkenaan eloklah jika mungkin mencari ikhtiar untuk mendapatkan sejumlah wang untuk pembayaran zakat tersebut sesegera yang mungkin, kerana pengeluaran zakat tetap wajib dilaksanakan ke atas ahli SCP tersebut dalam apa jua keadaan sekalipun.

Kesimpulan

Setelah memahami penjelasan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa wang simpanan SCP yang tercatat di dalam penyata kira-kira ahli SCP adalah milik penuh atau milik sempurna ahli berkenaan dan adalah menjadi kewajipannya untuk mengeluarkan zakatnya jika cukup nishâb dan haulnya. Namun jika wang di tangan tidak mencukupi untuk pengeluaran zakat bagi harta tersebut, maka pembayaran zakatnya hanya wajib dilakukan dengan segera setelah menerima wang simpanan SCP berkenaan atau setelah memiliki wang di tangan yang mencukupi untuk pembayaran zakat harta tersebut. Ini bermakna zakat bagi tahun-tahun kebelakangan yang bermula dari waktu mencapai nishâb zakat adalah tidak hilang dan pengeluaran zakat bagi tahun-tahun tersebut secara kebelakangan wajib ditunaikan.

Sebagai Irsyâd

Setelah melihat kepada kesukaran pihak ahli SCP untuk menunaikan kewajipan mereka dalam pengeluaran zakat bagi wang caruman SCP yang telah sampai haul dan nishâbnya, dalam hal ini, sebagai irsyâd, adalah amat wajar bagi pihak pengurusan TAP supaya dapat menyelenggara pengeluaran zakat bagi wang simpanan SCP sebagai wakil kepada ahli SCP yang beragama Islam jika wang simpanan mereka itu telah cukup haul dan nishâbnya dengan terlebih dahulu mendapatkan persetujuan pihak ahli SCP sebagaimana yang ada diamalkan oleh institusi-institusi perbankan Islam ke atas wang simpanan para pelanggannya.

Dengan adanya penyediaan perkhidmatan pengeluaran zakat oleh pihak TAP, para ahli SCP akan memperolehi banyak manfaat dan kebaikan, antaranya:

i. Tidak akan ada zakat yang tertunggak atau terhutang kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kerana ditunaikan pada waktunya.

ii. Menghilangkan kesukaran mengira jumlah zakat yang tertunggak secara tahun-tahun kebelakangan.

iii. Menghilangkan kesukaran untuk mendapatkan atau menghimpunkan duit untuk membayar zakat yang tertunggak secara tahun-tahun kebelakangan.

iv. Jumlah wang simpanan SCP yang diterima secara bulanan atau lump sum setelah bersara boleh dibelanjakan terus secara keseluruhan tanpa sebarang tuntutan hak yang wajib dilaksanakan terlebih dahulu terhadap wang berkenaan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12303