Bersumpah dengan Menjunjung Al-Qur’an dan Akibat Sumpah Dusta
Soalan: Apakah hukumnya bersumpah dengan menjunjung al-Qur’an dan mengatakan seseorang itu tidak menipu? Adakah berdosa melakukan perkara tersebut atau diterimakah sumpahnya itu? Jika penyumpah itu ingkar adakah sumpah tersebut memakan dirinya sendiri?
Jawapan: Sumpah dalam bahasa Arab dikenali sebagai al-yamîn (ْي اليم ) atau al-aimân (األُيان ). Imam Taqiyuddin Abu Bakar bin Muhammad al-Hushaini Rahimahullâh dalam kitab beliau Kifâyah al-Akhyâr fî Hill Ghâyah al-Ikhtishâr menyatakan bahawa al-yamîn menurut syara‘ bererti menguatkan (tahqîq) atau mengukuhkan (taukîd) suatu perkara dengan menyebut Allah Ta‘ala atau salah satu daripada sifat-sifatNya. Sebahagian ulama pula mengatakan bahawa sumpah itu ialah menguatkan atau mengukuhkan suatu perkara yang mungkin mempunyai hal-hal yang bertentangan. Selain itu, sumpah juga diertikan sebagai suatu perkara yang bersangkut paut dengan perlanggaran, penolakan atau pengukuhan suatu khabar berita.
Sumpah dilihat sebagai satu perkara yang besar dalam agama Islam. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan hamba-hambaNya agar sentiasa menjaga sumpah-sumpah mereka. Allah Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Dan peliharalah sumpah kamu. (Surah al-Mâ’idah: 89)
Sumpah yang dianggap sah di sisi syara‘ ialah sumpah yang memenuhi syarat-syaratnya iaitu syarat-syarat berkaitan orang yang bersumpah (hâlif), perkara yang disumpahkan (mahlûf ‘alaih) dan perkara yang digunakan untuk bersumpah (mahlûf bih).
Sebagai contoh, lafaz sumpah hendaklah mengandungi kata-kata yang merujuk kepada zat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau sifatNya atau semua nama yang khusus bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Orang yang bersumpah, sebagai misal, hendaklah melafazkan sumpahnya dengan mengatakan, “Wallâhi (atau dengan nama Allah)! Aku bersumpah akan melakukan perkara itu.”
Adalah tidak sah bersumpah selain dengan zat Allah Ta‘ala, sifat-sifatNya dan nama khusus bagi Allah Ta‘ala seperti bersumpah dengan nabi atau Ka‘bah atau Jibril.
Sumpah dengan Menjunjung al-Qur’an
Adapun perbuatan bersumpah dengan menjunjung al-Qur’an, ia bukanlah merupakan antara syarat sah sumpah. Bagaimanapun, tidaklah menjadi kesalahan apabila seseorang itu bersumpah, tangannya memegang atau menjunjung al-Qur’an selagi mana dia dalam keadaan suci daripada hadats. Perbuatan bersumpah dengan memegang atau menjunjung al-Qur’an sebaliknya termasuk dalam cara-cara atau kaedah pengukuhan sumpah (ْي تغليظ اليم ).
Menurut fuqahâ’, pengukuhan sumpah boleh dilakukan dengan cara mengangkat sumpah pada tempat-tempat tertentu, masa-masa tertentu dan juga menerusi perbuatan-perbuatan yang tertentu.
Sebagai contoh, pengukuhan sumpah boleh dilakukan dengan cara bersumpah di tempat-tempat yang mulia seperti di atas mimbar masjid. Dari sudut masa, ia boleh dilakukan dengan bersumpah pada masa-masa yang dianggap mulia dalam agama seperti bersumpah selepas sembahyang ‘Ashar hari Jumaat, pada bulan Rejab dan Ramadhan, pada hari ‘Arafah, ‘Âsyûrâ’ dan dua Hari Raya. Sumpah juga boleh diperkukuhkan dengan memberikan penambahan pada sifat Allah dalam lafaz sumpah seperti dengan mengatakan:
“Demi Allah yang tidak ada tuhan melainkan Dia, Maha Mengetahui alam ghaib dan nyata, Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, Maha Mengetahui apa-apa yang tersembunyi dan yang nyata, aku bersumpah…..”
Pengukuhan sumpah dengan cara-cara yang dinyatakan di atas boleh menjadikan tindakan bersumpah itu sebagai satu acara hebat yang seterusnya menimbulkan rasa gerun ke atas orang yang hendak bersumpah daripada melakukan pembohongan.
Berkenaan pengukuhan sumpah dengan menjunjung al-Qur’an, Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Raudhah ath-Thâlibîn telah menyebutkan bahawa:
Ertinya: (Imam) asy-Syafi‘i Rahimahullâh telah menghukumkan mustahabb (supaya) dibaca kepada orang yang (hendak) mengangkat sumpah (ayat 77 surah Âli ‘Imran yang berbunyi) َثنً ا قليل إن الذين يشرتون بعهد للا وأ ُيا َّنم dan mustahabb juga dihadirkan Mushhaf (al-Qur’an) dan diletakkan (Mushhaf berkenaan) dalam dakapan orang yang (hendak) bersumpah.
Manakala as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh dalam I‘ânah ath-Thâlibîn pula berkata:
Ertinya: Antara cara pengukuhan (sumpah ialah dengan) diletakkan Mushhaf dalam dakapannya (orang yang hendak bersumpah), dibukakan kepadanya surah Barâ’ah (at- Taubah), selanjutnya dikatakan kepadanya, “Letakkan tanganmu di atasnya (surah at-Taubah),” dan dibacakan (kepadanya) firman (Allah) Ta‘ala (ayat 77 surah Âli ‘Imran yang berbunyi): إن الذين يشرتون sehingga akhir ayat.
Ayat 77 surah Âli ‘Imran secara lengkap berbunyi:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang menggunakan perjanjian dengan Allah dan sumpah mereka sebagai harga untuk membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak akan mendapat bahagian (pahala) di akhirat dan Allah tidak akan menyapa mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada Hari Kiamat dan tidak akan menyucikan mereka (daripada dosa) dan bagi mereka azab yang pedih. (Surah Âli ‘Imran: 77)
Kenyataan-kenyataan di atas menunjukkan bahawa pengukuhan sumpah itu dapat dilakukan antara lain dengan cara meletakkan al-Qur’an dalam dakapan orang yang hendak bersumpah. Perbuatan menjunjung al-Qur’an ketika bersumpah secara zahir adalah serupa juga dengan perbuatan mendakap al-Qur’an itu. Natîjah kedua-dua perbuatan itu juga memenuhi maksud dan tujuan pengukuhan sumpah.
Sekali lagi difahamkan bahawa perbuatan-perbuatan seperti memegang, mendakap dan menjunjung al-Qur’an bukanlah merupakan syarat sah bersumpah di sisi syara‘. Sebaliknya, perbuatan-perbuatan sedemikian itu adalah antara cara-cara atau kaedah pengukuhan sumpah yang dilakukan dalam keadaan-keadaan yang memerlukan.
Sumpah Dusta
Apabila seseorang itu bersumpah mengenai sesuatu perkara yang berlaku pada masa yang lalu tetapi sumpahnya itu bertentangan dengan kedudukan perkara yang sebenarnya dan orang yang bersumpah itu mengetahui akan pembohongan yang dilakukannya, maka sumpah yang sedemikian itu dinamakan sebagai sumpah al-ghamûs (ُيْي الغموس ).
Sebagai contoh, apabila seseorang bersumpah bahawa sesuatu perkara telah berlaku akan tetapi sebenarnya ia tidak berlaku atau dia bersumpah bahawa sesuatu perkara tidak berlaku akan tetapi sebenarnya telah berlaku, maka sumpah seperti inilah yang dinamakan sebagai sumpah al-ghamûs.
Ghamûs itu berasal daripada perkataan ghamasa (غمس) yang bererti ‘membenamkan’. Seolah-olah orang yang bersumpah ghamûs itu membenamkan dirinya ke dalam dosa dan api neraka dengan perbuatannya.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam Tuhfah al-Muhtâj telah menerangkan bahawa sumpah al-ghamûs adalah termasuk dalam kategori dosa-dosa besar.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Dosa-dosa besar itu ialah menyekutukan Allah, menderhakai kedua-dua ibu bapa, membunuh diri dan bersumpah ghamûs (palsu). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh menyatakan bahawa hadits di atas dengan jelas menerangkan bahawa dosa besar selepas syirik itu ada tiga perkara iaitu menderhakai kedua-dua ibu bapa, membunuh diri dan melakukan sumpah al-ghamûs (palsu).
Allah Subhânahu wa Ta‘âla telah berfirman:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu menjadikan sumpah-sumpah kamu sebagai alat tipu daya antara kamu yang menyebabkan tergelincirnya kaki (kamu) sesudah (ia berdiri) tegak dan kamu akan merasai balasan buruk (di dunia) dengan sebab kamu telah menghalangi (orang lain) daripada jalan Allah dan bagi kamu azab yang besar (di akhirat kelak). (Surah an-Nahl: 94)
Amaran ke atas orang yang bersumpah palsu juga telah disebutkan dalam hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Antaranya, telah diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang bersumpah di atas satu sumpah sedang dia berdusta dengannya (sumpah itu) untuk mendapatkan dengannya (sumpah itu) harta seseorang Islam, nescaya dia bertemu dengan Allah dalam keadaanNya murka kepadanya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam riwayat yang lain, Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Ada tiga golongan manusia yang Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat dan tidak akan memandang kepada mereka dan tidak akan membersihkan mereka (daripada dosa) dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya (mereka ialah): Orang yang mempunyai kelebihan air di tanah lapang yang dia menegahnya daripada ibnu sabîl (tidak memberinya minum), orang yang menjual barang dagangan kepada seseorang sesudah masuk waktu ‘Ashar lalu dia bersumpah kepadanya dengan nama Allah bahawa dia membeli dengan begini dan begini lalu (orang itu) mempercayainya padahal ia bukan sedemikian, orang yang membai‘ah pemerintah yang dia tidak membai‘ahnya melainkan kerana kepentingan dunia; jika dia diberi daripadanya (sesuatu daripada kepentingan dunia) nescaya dia setia, dan jika tidak diberi daripadanya nescaya dia tidak setia. (Hadits riwayat Muslim)
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam kitab Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: “Dikhususkan (sebutan) waktu ‘Ashar (dalam hal ini) kerana kemuliaan waktu tersebut disebabkan malaikat malam dan siang berkumpul pada waktu tersebut.”
Akibat Sumpah al-Ghamûs
Telah dijelaskan di atas bahawa hukum melakukan sumpah al-ghamûs atau sumpah palsu adalah haram. Sungguhpun demikian, sumpah al-ghamûs adalah dikira sebagai sumpah yang mun‘aqid atau sah apabila ia telah dilafazkan. Kerana itu, orang yang melakukan sumpah al-ghamûs akan turut berjalan ke atasnya hukum-hakam berkaitan sumpah.
Allah Subhânahu wa Ta‘âla telah berfirman:
Tafsirnya: Allah tidak mengira kamu bersalah dengan sebab sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Dia mengira kamu bersalah dengan sebab sumpah yang kamu maksudkan oleh hati kamu. Dan Allah itu Maha Pengampun, lagi Maha Penyantun. (Surah al-Baqarah: 225)
Perlu pula difahami bahawa sesiapa yang melakukan sumpah al-ghamûs bererti dia juga telah melanggar perkara yang disumpahkannya. Oleh kerana itu, orang yang melakukan sumpah al-ghamûs adalah dikenakan ke atasnya hukuman-hukuman yang berkaitan dengan perlanggaran sumpah.
Fuqahâ’ mazhab asy-Syafi‘i telah menerangkan bahawa sesiapa yang melakukan sumpah al-ghamûs dia diwajibkan membayar kaffârah. Selain itu, menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtâj, dia juga wajib dijatuhkan hukuman ta‘zîr.
Allah Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Yang demikian itu adalah kaffârah sumpah kamu apabila kamu bersumpah. (Surah al-Mâ’idah: 89)
Kaffârah bagi orang yang melanggar sumpah telah disebutkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melalui firmanNya:
Tafsirnya: Maka kaffârahnya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada makanan yang sederhana yang biasa kamu berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang hamba. Maka sesiapa yang tidak dapat melakukannya, (kaffârahnya) hendaklah berpuasa tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffârah sumpah kamu apabila bersumpah. Dan peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya supaya kamu bersyukur. (Surah al-Ma’idah: 89)
Berdasarkan ayat di atas, fuqahâ’ telah menerangkan bahawa orang yang hendak melaksanakan kaffârah sumpah diberikan pilihan sama ada dengan memberi makan sepuluh orang miskin atau fakir, memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang hamba. Jika dia tidak mampu untuk melaksanakan salah satu daripada pilihan di atas, maka hendaklah dia berpuasa tiga hari sebagai kaffârahnya.
Maka demikian penerangan mengenai perkara sumpah, sumpah dengan menjunjung al- Qur’an dan sumpah dusta (al-ghamûs) menurut hukum syara‘. Jelaslah bahawa sumpah yang sah di sisi syara‘ adalah sumpah yang memenuhi syarat-syarat dan ciri-ciri yang tertentu. Sesiapa yang melakukan sumpah dusta pula, maka dia adalah melakukan suatu perkara yang berdosa besar.
Manakala ungkapan orang yang ingkar akan sumpahnya kelak akan dimakan oleh sumpahnya itu tidaklah diketahui sumbernya. Barangkali yang dimaksudkan dalam hal tersebut ialah akibat daripada melanggar sumpah yang telah dilafazkan. Sebagaimana diterangkan di atas, orang yang bersumpah dusta selain mendapat akibat yang buruk di akhirat, dia juga mendapat hukuman di dunia iaitu kewajipan untuk melaksanakan kaffârah serta turut dikenakan ke atasnya hukuman ta‘zîr.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12313
