Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأخلاق والآداب

Derhaka kepada Ibu Bapa

Soalan: Apakah dianggap sebagai derhaka kepada kedua-dua ibu bapanya jika seorang anak keluar rumah dan tinggal di tempat lain bagi mengelakkan diri daripada dipaksa mengikuti dan mengamalkan ajaran-ajaran yang menyimpang daripada ajaran agama Islam sebenar?

Jawapan: Dalam hubungan sesama manusia, jika dilihat menurut keutamaannya, hubungan dengan kedua-dua ibu bapa mempunyai kedudukan yang istimewa dan khusus. Malahan bagi seorang anak, dia seharusnya meletakkan kedua-dua ibu bapanya pada martabat yang tinggi dan mulia serta mendahulukan kedua-duanya sebelum orang lain dalam berbuat bakti selepas Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya. Kedudukan atau martabat ibu bapa ini adalah sangat tinggi dan mulia sehinggakan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Keredhaan Allah terletak pada keredhaan bapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan bapa. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Termasuk dalam pengertian hadits ini juga ‘al-wâlidah’ iaitu ibu, bahkan ibu adalah lebih utama sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Ahwadzi. Maka daripada hadits ini dapat kita fahami bahawa kedudukan ibu bapa itu sangat istimewa dan mulia sehinggakan keredhaan kedua-dua orang tua itu juga membawa keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ke atas hambaNya dan begitulah juga sebaliknya. (Tuhfah al-Ahwadzi: 6/7)

Oleh itu dalam membina hubungan sesama manusia, seseorang itu hendaklah mengutamakan dan mendahulukan ibu bapanya melebihi daripada orang-orang yang lain. Tuntutan berbakti kepada ibu bapa, mentaati dan menghormati mereka serta berlaku baik kepada kedua-duanya bukanlah berdasarkan adat atau kebiasaan tetapi ia merupakan tuntutan agama yang wajib dilaksanakan. Ia banyak disebut serta dijelaskan dalam ayat-ayat al-Qur’an dan juga hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Antara ayat al-Qur’an yang menjelaskan mengenai tuntutan ini ialah firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada mereka berdua atau kedua-duanya berumur lanjut dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah sekali-kali engkau mengatakan kepada kedua-duanya (sesuatu perkataan yang boleh menyinggung perasaan seperti perkataan) ‘ah!’ dan janganlah engkau menengking kedua-duanya tetapi ucapkanlah kepada kedua-duanya perkataan yang mulia (dengan berlemah lembut dan bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri dengan penuh kasih sayang dan berdo‘alah (untuk kedua-duanya): “Ya Tuhan! Kurniakanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku sejak kecil (lagi).” (Surah al-Isrâ’: 23-24)

Dalam ayat ini Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah memerintahkan dua perkara kepada umat manusia iaitu:

1. Agar mereka menyembah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan mengesakanNya serta tidak menyekutukanNya dengan yang lain. Ini diterangkan dalam kitab Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm karangan Imam Ibnu Katsir Rahimahullâh dan kitab al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân karangan Imam al-Qurthubi Rahimahullâh. (Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm: 8/466 dan al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 10/238)

2. Agar mereka berbuat baik dan ihsan kepada kedua-dua ibu bapa. Menurut Imam Ibnu Katsir dan Imam al-Qurthubi Rahimahumallâh perintah untuk menyembah dan mentauhîdkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam ayat ini dihubungkan dengan suruhan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. (Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm: 8/467 dan al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 10/238)

Bahkan dalam ayat-ayat al-Qur’an yang lain juga banyak menyebutkan perintah untuk berbuat baik dan ihsan kepada ibu bapa serta bersyukur kepada kedua-duanya setelah perintah untuk menyembah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ semata-mata dan mensyukuri ni‘mat yang dikurniakanNya.

Selain daripada ayat-ayat al-Qur’an, perintah berbuat baik kepada ibu bapa serta keutamaan kedua-duanya ini juga ada dijelaskan dalam hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Antaranya hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash Radhiallâhu ‘anhumâ:

Maksudnya: Seorang lelaki datang berjumpa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, beliau meminta izin untuk berjihâd, lalu Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bertanya: “Adakah kedua-dua ibu bapamu masih hidup?” Beliau menjawab: “Ya.” Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Maka kepada kedua-duanyalah engkau berjihâd (berbuat baik dengan jiwa dan harta).” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam asy-Syirazi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Muhadzdzab sungguhpun berjihâd itu suatu amalan yang dituntut dalam Islam namun tuntutan untuk berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa itu lebih utama kedudukannya sebagaimana yang dapat dilihat daripada hadits di atas. Menurutnya tuntutan berbuat baik atau berbakti kepada ibu bapa itu adalah wajib ke atas setiap orang dan lebih kuat atau tegas tuntutannya berbanding tuntutan berjihâd yang dihukumkan fardhu Kifayah. (Al-Muhadzdzab: 5/234-235)

Bahkan berbuat baik kepada ibu bapa juga merupakan amal yang disukai di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ setelah mengerjakan sembahyang pada waktunya. Daripada ‘Abdullah Ibnu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu bahawa dia telah bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Amalan apakah yang sangat disukai Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ? Baginda bersabda: “(Mendirikan) sembahyang pada waktunya.” Ibnu Mas‘ud bertanya lagi: “Kemudian (amalan) apakah (lagi)?” Baginda bersabda: “Kemudian berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa.” Ibnu Mas‘ud bertanya (lagi): “Kemudian (amalan) apakah (lagi)?” Baginda bersabda (lagi): “Berjihâd di jalan Allah.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâhu Ta‘âlâ, menerusi hadits ini Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah mengkhabarkan bahawa berbuat baik kepada ibu bapa adalah amalan yang paling afdhal selepas amalan mendirikan sembahyang yang merupakan tiang kekuatan agama Islam yang paling agung. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 10/238)

Maka berdasarkan dalil serta keterangannya ini, dapat difahami bahawa perintah berbuat baik kepada ibu bapa itu mempunyai kedudukan yang sangat istimewa sehingga diletakkan pada urutan kedua setelah perintah untuk menyembah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ini kerana pertalian ibu bapa dan anak itu, jika disusun mengikut tertib, terletak selepas pertalian aqidah yang menjadi tunjang dalam menentukan keimanan seseorang. Kedua-dua perintah ini juga sering disebut beriringan dan dihubungkaitkan dalam ayat-ayat al-Qur’an dan juga hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Secara ringkasnya dapat dikatakan bahawa ni‘mat yang paling banyak diterima oleh manusia adalah daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan setelah itu ni‘mat yang diterima daripada kedua-dua ibu bapa; yang datang dari kasih sayang, susah payah serta pengorbanan kedua-duanya dalam membesarkan dan memelihara anaknya. Malahan kedua-dua ibu bapa jugalah penyebab lahirnya anak sedangkan penyebab hakiki wujudnya anak adalah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Maka tidak hairanlah kedua-dua perkara ini sering dihubungkan dan disebut beriringan dalam ayat-ayat al-Qur’an dan hadits-hadits. Oleh itu, hubungan dengan kedua-dua ibu bapa hendaklah dijaga dengan baik dan diutamakan oleh seorang anak bersesuaian dengan apa yang telah diajarkan dalam agama Islam.

Kewajipan Anak kepada Ibu Bapa

Kewajipan berbuat baik yang dikatakan dalam ayat al-Qur’an di atas mempunyai maksud yang luas dan merangkumi beberapa perkara. Antaranya ialah:

1) Menjaga dan memelihara kedua-dua ibu bapa terutama sekali yang sudah lanjut usia.

Apabila kedua-dua ibu bapa atau salah seorang daripadanya sudah lanjut usianya, ataupun sudah uzur dan tidak mampu untuk menyara dirinya sendiri, maka menjadi kewajipan dan tanggungjawab anak untuk memberikan perlindungan, nafkah dan jagaan kepada mereka. Antaranya, si anak membawa kedua-dua ibu bapanya untuk tinggal bersamanya agar kedua-duanya mendapat jagaan dan layanan yang penuh kasih sayang, kesabaran dan rasa hormat sebagai balasan serta rasa syukur ke atas ni‘mat yang pernah diterima daripada kedua-dua ibu bapa tersebut.

2) Sentiasa bersopan santun dan berlemah lembut dengan kedua-dua ibu bapa.

Seorang anak tidak boleh mengucapkan kata-kata kasar kepada ibu bapa walaupun hanya sekadar perkataan ‘uff’ ataupun ‘ah’ yang dianggap sebagai seringan-ringan perkataan yang buruk. Perkataan ‘ah’ ini mengandungi maksud keluhan, kejengkelan serta kebosanan terhadap sesuatu perkara dan ini termasuklah juga reaksi wajah atau gerak-geri yang menunjukkan perasaan yang sama.

Ucapan atau reaksi seumpama ini hendaklah dijauhi oleh seorang anak apabila berhadapan dengan kedua-dua ibu bapa, lebih-lebih lagi yang sudah lanjut usia dan uzur, kerana ia boleh menyinggung hati dan perasaan mereka sekalipun si anak berpendapat bahawa perbuatan kedua-dua ibu bapanya kurang disenangi ataupun tidak wajar. Dalam keadaan seumpama ini si anak perlu banyak bersabar terhadap kedua-duanya sebagaimana kelakuan kedua-dua ibu bapa suatu ketika dulu dalam menjaga anaknya ketika masih kecil lagi.

Seorang anak juga tidak boleh menengking atau meninggikan suara kepada ibu bapa ataupun marah-marah kepada kedua-duanya dengan membentak-bentak atau mengherdik mereka sehingga kedua-duanya tersinggung dan bersedih.

Perkataan yang sepatutnya diucapkan oleh seorang anak kepada ibu bapa ialah kata-kata yang mulia. Yang dimaksudkan dengan kata-kata mulia itu ialah kata-kata yang baik dan lemah lembut, yang dituturkan dengan cara yang bersopan santun dan rasa hormat kepada kedua-dua ibu bapa. Oleh itu meskipun seorang anak tidak menyenangi perbuatan ibu bapa atau tidak bersetuju dengan mereka, kata-kata atau reaksi yang keluar daripada dirinya hendaklah dijaga agar tidak menyinggung perasaan atau melukai hati ibu bapa.

3) Bersikap rendah hati kepada kedua-dua ibu bapa.

Menurut penerangan Imam al-Qurthubi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Jâmi‘ li Ahkâm al- Qur’ân, rendah hati itu bermaksud perasaan belas dan rahmat kepada kedua-dua ibu bapa. Ia juga bermaksud merendah diri di hadapan kedua-duanya sebagaimana rakyat jelata merendahkan diri di hadapan raja ataupun seorang hamba di hadapan tuannya. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 10/244)

Selain itu sikap merendahkan diri juga membawa maksud menghormati dan mentaati perintah kedua-dua ibu bapa selama mana ia tidak bertentangan dengan ketentuan agama Islam. Ia juga hendaklah dilakukan dengan penuh kasih sayang dan ikhlas serta tidak dibuat-buat kerana takut diperkatakan orang lain dan sebagainya.

4) Sentiasa mendo‘akan kedua-dua ibu bapa.

Antara kewajipan dan tanggungjawab seorang anak ialah sentiasa mendo‘akan kebaikan ke atas kedua-dua ibu bapanya. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 10/241) Bahkan do‘a seorang anak yang memohonkan keampunan dan rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ bagi ibu bapanya yang telah meninggal dunia akan memberi manfaat kepada kedua-duanya. Ini ada disebutkan dalam beberapa hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam antaranya daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Apabila seorang manusia mati terputuslah daripadanya amalannya melainkan tiga perkara: Melainkan sedekah jâriah atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak salih yang mendo‘akan untuknya. (Hadits riwayat Muslim)

Sekalipun demikian, sekiranya ibu bapa yang meninggal itu terdiri daripada orang bukan Islam maka adalah dilarang bagi anaknya yang Islam mendo‘akan keampunan bagi mereka. Ini adalah berdasarkan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka. (Surah at-Taubah: 113)

Kesemua ini adalah antara kewajipan dan tanggungjawab seorang anak kepada ibu bapa yang dinyatakan dengan jelas dalam ayat al-Qur’an di atas. Berbakti kepada kedua-dua ibu bapa dan menyenangkan hati kedua-duanya, dalam bentuk apa pun, adalah termasuk dalam perintah berbuat baik kepada ibu bapa yang diperintahkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Kewajipan berbuat baik kepada ibu bapa itu tidak hanya terhad kepada ibu bapa yang beragama Islam sahaja malahan merangkumi kepada ibu bapa yang bukan beragama Islam. Hal ini ada dijelaskan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan daripada Asma’ binti Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau menceritakan:

Maksudnya: Telah datang ibuku mengunjungiku dan dia (masih) musyrik ketika zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Lalu aku meminta fatwa kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, aku berkata: “(Ibuku datang) dalam keadaan senang hati, apakah aku masih perlu meneruskan hubunganku dengan ibuku?” Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Ya, tetaplah meneruskan hubungan dengan ibumu.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh itu seorang anak yang mempunyai ibu bapa yang bukan beragama Islam, dia tetap dituntut untuk berbuat baik kepada mereka; menjaga hubungan baik dengan mereka. Namun berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa itu adalah terhad pada perkara-perkara yang bukan maksiat dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Hal ini ada disebutkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan Kami memerintahkan manusia supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya, dan jika mereka berdua memaksa supaya engkau mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah kamu kembali kemudian Aku akan memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan. (Surah al-‘Ankabût: 8)

Maka kewajipan untuk berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa itu tetap dituntut selama mana mereka tidak memerintahkan anaknya berlaku syirik atau melakukan perkara yang bertentangan dengan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan juga laranganNya.

Dosa dan Akibat Orang yang Derhaka Kepada Ibu Bapa

Apabila berbuat baik kepada ibu bapa itu merupakan tuntutan yang wajib dilaksanakan, maka mengabaikannya pula adalah tergolong dalam dosa-dosa besar. Perkara ini ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Seorang Arab Badwi menghadap Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lalu berkata: “Wahai Rasulullah apakah dia dosa besar?” Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Mensyirikkan (menyekutukan) Allah.” Dia (orang Arab Badwi itu) berkata lagi: “Kemudian apa?” Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Kemudian menderhakai kedua-dua ibu bapa …” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Riwayat yang lain pula menyebutkan bahawa menyebabkan kedua-dua ibu bapa menangis adalah tergolong antara perkara derhaka dan juga dosa besar. Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ beliau berkata:

Maksudnya: Menyebabkan kedua-dua ibu bapa menangis termasuk antara perkara derhaka dan dosa-dosa besar. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Manakala dalam beberapa hadits yang lain juga menyebutkan bahawa antara akibat atau balasan orang yang menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa ialah tidak masuk syurga sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhu, daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tidak masuk syurga orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya, orang yang derhaka kepada kedua-dua ibu bapanya dan orang yang gemar meminum arak. (Hadits riwayat Ahmad)

Bahkan orang yang derhaka kepada kedua-dua ibu bapanya tidak dipandang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ pada Hari Kiamat sebagaimana yang diriwayatkan oleh Salim bin ‘Abdullah daripada bapanya berkata, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tiga golongan yang tidak dipandang oleh Allah ‘Azza wa Jalla pada Hari Kiamat: Orang yang derhaka kepada kedua-dua ibu bapanya, perempuan yang meyerupai seperti lelaki dan orang yang dayus, dan tiga golongan yang tidak masuk syurga pula: Orang yang derhaka kepada kedua-dua ibu bapanya, orang yang gemar meminum arak dan orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya. (Hadits riwayat an-Nasa’i)

Keluar Rumah untuk Menyelamatkan Aqidah

Sebagaimana yang telah diterangkan, seorang anak mempunyai kewajipan untuk berbuat baik serta mentaati kedua-dua ibu bapa dan berbuat sebaliknya adalah berdosa besar. Namun berbuat baik dan berlaku taat yang dimaksudkan di sini adalah terhad pada perkara yang tidak bertentangan dengan perintah serta larangan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Oleh itu, apabila seorang anak tidak mentaati suruhan kedua-dua ibu bapa dalam perkara maksiat atau mungkar dia tidaklah dianggap melakukan dosa. Namun dalam menolak suruhan ibu bapa tersebut, si anak hendaklah tetap menjaga kelakuannya dengan tidak berlaku kasar ataupun meninggikan suara kepada ibu bapanya. Memadailah menolak suruhan mereka itu dengan tidak melakukan perkara maksiat atau mungkar yang diminta. Sekiranya timbul kemarahan ibu bapa disebabkan oleh kelakuan anak yang enggan mengikut suruhan mereka, maka si anak tidaklah dikira melakukan dosa besar kerana dia tidak dianggap menderhaka menurut syara‘.

Maka, dalam situasi yang ditanyakan di atas, sekiranya perbuatan anak yang melarikan diri dari rumah ibu bapanya itu adalah semata-mata bertujuan untuk menyelamatkan aqidahnya daripada dipengaruhi ajaran sesat ataupun mengelak dari dipaksa oleh bapanya untuk mengikut ajaran tersebut, maka perbuatan tersebut tidak dianggap sebagai menderhaka kepada kedua-dua ibu bapanya. Sungguhpun demikian si anak tetap mempunyai kewajipan untuk bermuamalat dengan baik terhadap kedua-dua ibu bapa.

Sebagai nasihat dalam perkara ini, ada baiknya si anak membawa kedua-dua ibu bapanya berbincang untuk menyelesaikan masalah keluarga yang dihadapi dengan bantuan pihak yang boleh dipercayai, sama ada meminta bantuan daripada ahli keluarga terdekat yang lain ataupun orang-orang yang benar-benar dipercayai mampu memberikan nasihat atau teguran kepada mereka seperti ketua kampung dan seumpamanya. Bahkan si anak juga boleh meminta bantuan daripada agensi-agensi tertentu yang berautoriti dalam menangani isu-isu penyelewengan aqidah dan penyebaran ajaran sesat serta dapat membetulkan fahaman yang dianggap sesat itu.

Selain itu, untuk memastikan kesesatan suatu ajaran itu, adalah mustahak merujukkan perkara tersebut kepada pihak yang berautoriti kerana kes-kes yang berkaitan dengan isu-isu aqidah dan ajaran sesat ini memerlukan siasatan serta bukti sebelum seseorang itu dapat disahkan sebagai pengikut ajaran sesat dan sebagainya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12317