Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Draf Resolusi “The International Day of Yoga”

Soalan: Satu draf resolusi “The International Day of Yoga” telah diterima. Draf ini akan diperkenalkan oleh India dan dijangka akan diambil tindakan di Mesyuarat Plenari Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sesi ke-69 pada 10hb. Disember, 2014.

Draf resolusi ini antara lain:

▪ Memutuskan untuk mengisyhtiharkan 21hb. Jun sebagai Hari Antarabangsa Yoga;

▪ menjemput negara-negara ahli dan negara-negara pemerhati, pertubuhan-pertubuhan PBB dan pertubuhan rantau dan antarabangsa serta masyarakat sivil termasuk non-governmental organisations dan individu untuk memerhati Hari Antarabangsa Yoga dengan cara yang sesuai mengikut keutamaan negara untuk meningkatkan kesedaran mengenai manfaat mengamalkan yoga; dan

▪ menekankan perbelanjaan bagi kegiatan berkaitan draf resolusi ini akan diperolehi daripada sumbangan sukarela.

Sehubungan dengan itu, dipohonkan pandangan dan nasihat Pehin Mufti mengenainya.

Jawapan: Pandangan Islam berkenaan yoga telah dihuraikan oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz dalam Fatwanya. Antaranya telah diterangkan bahawa yoga itu merupakan warisan agama Hindu yang jelas mempunyai pertentangan dengan ajaran Islam. Mengamalkan yoga sekalipun tanpa niat untuk mengikut kepercayaan agama Hindu adalah tetap diharamkan dan bahkan boleh membawa seseorang kepada kekufuran dan mendapat dosa yang sangat besar. (Fatwa Mufti Kerajaan, Siri 64/1984, Bil.:(9)dlm.MKB.32/1982 pt.i 56/PKB/21/1964-2)

Umat Islam juga dilarang melibatkan diri dalam apa jua perkara berkaitan yoga kerana ia boleh menyebabkan seseorang menjadi bersekongkol atau berkerjasama dalam perkara dosa.

Tafsirnya: Dan janganlah tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum-hakam Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ). Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat berat seksaNya. (Surah al-Mâ’idah: 2)

Umat Islam sebaliknya berkewajipan untuk menyuruh orang lain melakukan perkara ma‘rûf dan mencegah kemungkaran. Membiarkan kemungkaran itu berlaku tanpa mengambil sebarang tindakan secara amnya adalah termasuk dalam perkara-perkara yang diharamkan.

Tafsirnya: Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (kebaikan) dan menyuruh (berbuat) yang ma‘rûf serta melarang daripada yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah Âli ‘Imran: 104)

Ada kalanya berdiam diri terhadap perkara kufur menunjukkan seseorang itu bersetuju atau redha dengan perkara kufur tersebut. Redha terhadap perkara kufur itu pula ada kalanya menyebabkan seseorang itu turut menjadi kufur. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan seseungguhnya Allah telah pun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitâb (al-Qur’an) bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munâfiq), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang-orang munâfiq dan orang-orang kafir dalam Neraka Jahannam. (Surah an-Nisâ’: 140)

Diterangkan oleh mufassirîn bahawa apabila kaum Muslimin ikut bersama-sama dengan kaum musyrik dan tidak mahu meninggalkan mereka tatkala kaum musyrik itu berkumpul membicarakan perkara kekufuran, maka Allah menganggap mereka itu bersekongkol dengan orang musyrik itu. (Kementerian Agama RI, Al-Qur’an Dan Tafsirnya: 2/300)

Termasuklah dalam pengertian bersekongkol dan redha dalam perkara kufur dan berdosa itu melakukan perbuatan-perbuatan seperti merayakan, menyambut, membesar-besarkan hari-hari dan perayaan-perayaan yang dikhususkan bagi perkara berkenaan. Mengadakan acara-acara tertentu bagi memperingati “The International Day of Yoga” itu pada dasarnya adalah termasuk dalam kategori merayakan dan membesar-besarkan hari yang ada kaitan dengan yoga.

Dalam keadaan-keadaan tertentu, perbuatan terikut-ikut merayakan, menyambut, membesar-besarkan hari-hari dan perayaan-perayaan orang bukan Islam menyebabkan seseorang itu menyerupai tingkah-laku kaum-kaum yang dilarang oleh agama.

Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa menyerupai (sesuatu) kaum, maka dia adalah daripada (golongan) mereka (kaum yang diserupainya itu). (Hadits riwayat Abu Daud)

Agama Islam juga telah melarang umatnya daripada menghadiri apa-apa majlis atau perhimpunan yang mengandungi perkara mungkar melainkan jika dengan memenuhi pelawaan ke majlis atau perhimpunan sedemikian itu dapat menghilangkan perkara mungkar tersebut. Imam asy-Syiradzi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Maka jika seseorang itu diundang ke suatu tempat di dalamnya terdapat perkara mungkar seperti tiupan serunai (bunyian muzik) atau khamr, maka jika dia berupaya untuk menghapuskannya (perkara mungkar) dia hendaklah (wajib) menghadiri (undangan tersebut) atas sebab kewajipan untuk memenuhi undangan dan menghapuskan kemungkaran. Dan jika dia tidak berupaya untuk menghapuskannya (perkara mungkar), maka janganlah sesekali dia menghadirinya. (Kitab al-Majmû‘: 18/83)

Adapun berkenaan perkara yang diminta pandangan atau nasihat dari Jabatan Mufti Kerajaan, keanggotaan Negara Brunei Darussalam dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu adalah perkara yang dimaklumi. Juga difahami bahawa negara bertanggungjawab untuk menunjukkan komitmen-komitmen tertentu sebagai sebahagian daripada tuntutan keanggotaan tersebut. Ini termasuklah komitmen untuk menghantar pegawai-pegawai ke perhimpunan atau mesyuarat yang diadakan oleh pertubuhan berkenaan dari semasa ke semasa.

Melakukan perundingan dalam perkara yang membawa kemashlahatan duniawi atau kebaikan kepada semua orang tidaklah dilarang dalam Islam. Akan tetapi jika perhimpunan atau mesyuarat yang diadakan mengandungi perkara yang membawa pertentangan atau bercanggah dengan ajaran Islam, maka menolak pelawaan untuk menghadiri perhimpunan sedemikian itu adalah wajib sekalipun jika sikap sedemikian itu tidak disukai oleh mana-mana pihak.

Walau bagaimanapun, sekiranya pendirian seperti itu membawa fitnah dan ancaman yang sangat besar kepada negara, maka pegawai yang diamanahkan untuk menghadiri mesyuarat seperti yang dinyatakan di atas hendaklah dihantar bukan sebagai tanda kita menyetujui atau redha terhadap perkara mungkar, sebaliknya sebagai taqiyyah untuk mengelakkan kemudharatan berlaku ke atas negara.

Taqiyyah itu ertinya berawas daripada menzahirkan kepercayaan yang ada dalam hati kepada orang lain. Taqiyyah juga bererti melindungi diri daripada mendapat hukuman dengan menzahirkan sesuatu yang berlainan dengan apa yang disembunyikan di dalam hati. (Fath al- Bâri: 12/329 dan al-Mabsûth: 23/40) Di sisi ulama Ahli Sunnah wal-Jama‘ah, taqiyyah adalah suatu jalan yang harus diambil tatkala berhadapan keadaan dharurat demi menyelamatkan jiwa dan harta daripada ancaman musuh golongan kafir. (Tafsîr Fakhr ar-Razi: 8/13-14 dan Kementrian Agama RI, Al-Qur’an Dan Tafsirnya: 1/489) Ia tidak sama dengan sifat nifâq dan berbeza dengan taqiyyah yang merupakan sebahagian daripada perkara pokok (ushûl ad-dîn) bagi golongan syi‘ah.

Tafsirnya: Janganlah orang-orang yang beriman menjadikan orang-orang kafir sebagai penolong dengan membelakangkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan demikian, maka tidaklah dia (mendapat perlindungan) daripada Allah dalam sesuatu jua pun, kecuali kamu hendaklah menjaga diri daripada suatu bahaya yang ditakuti daripada mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diriNya. Dan kepada Allah jualah tempat kembali. (Surah Âli ‘Imran: 28)

Apabila pegawai dihantar ke mesyuarat atau perhimpunan di atas, perlulah diingatkan bahawa ajaran Islam itulah yang mesti sentiasa diutamakan dan dipertahankan. Tuntutan amr ma‘rûf dan nahy munkar tetap wajib dijalankan. Jika perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam itu tidak dapat diubah secara fizikal atau melalui jalan perundingan, maka sekurang-kurangnya hendaklah disematkan di dalam hati perasaan benci dan tidak redha terhadap perkara berkenaan sebagaimana yang dituntut oleh agama.

Dalam hal ini, antara langkah yang boleh dilakukan adalah dengan mengambil sikap berdiam diri atau mengambil pendirian berkecuali (neutral) serta tidak menyatakan persetujuan, sokongan terhadap apa-apa cadangan dan usulan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Dalam masa yang sama, pegawai kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memikirkan dan mengambil tindakan terhadap saranan-saranan dan resolusi-resolusi yang diputuskan hendaklah sentiasa berpegang kepada suruhan dan larangan agama. Jangan sesekali melaksanakan tindakan atau mengatur polisi yang membelakangkan ajaran Islam dan menjejaskan mashlahat agama dan umat.

Sebagai rumusan, perlu difahami bahawa apabila mana-mana pegawai kerajaan dihantar untuk menghadiri perhimpunan yang diketahui mengandungi kemungkaran atau perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam, maka memenuhi pelawaan ke perhimpunan sedemikian itu hanyalah sekadar taqiyyah mengelakkan kemudharatan ke atas negara. Sekiranya pelawaan tersebut masih boleh dielakkan, maka itulah pilihan yang lebih baik sekalipun jika sikap sedemikian itu tidak disukai oleh pihak-pihak tertentu atau oleh sesiapa sahaja.

Dalam al-Qur’an telah diceritakan kisah Nabi Yusuf ‘Alaihissalâm bagaimana penjara itu adalah lebih baik bagi diri baginda daripada memenuhi pelawaan yang mengandungi unsur-unsur kemaksiatan. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: (Apabila Nabi Yusuf mendengar kata-kata isteri al-‘Aziz dan perempuan-perempuan yang bersamanya itu maka) Nabi Yusuf berkata: “Ya Tuhanku! Penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika Engkau tidak menjauhkan aku daripada tipu daya mereka, nescaya aku akan cenderung kepada mereka (menuruti kemahuan mereka) dan jadilah aku daripada golongan orang yang jahil.” (Surah Yusuf: 33)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12322