Hukum Lelaki Memakai Pakaian Berjahit ketika Berihram kerana Masalah Air Kencing
Soalan: Saya akan berangkat menunaikan fardhu haji pada 18.08.2016 in syâ’ Allah.
Saya telah pun disahkan oleh doktor mempunyai masalah pundi-pundi bengkak. Menurut doktor, pundi-pundi bengkak saya menyebabkan air kencing tidak lawas dan terpaksa kerap buang air kecil.
Setiap kali saya selesai membuang air kecil, sisa-sisa air kencing akan menitis keluar. Lepas itu saya akan mencucinya lagi dan bagi mengelakkan daripada mengotori seluar dalam, saya akan melapik dengan tisu pada kemaluan saya. Bila hendak sembahyang, saya akan membuang tisu tersebut dan seterusnya mencuci kemaluan saya bagi membolehkan saya berwudhu’ dan menunaikan sembahyang.
Semasa memakai pakaian ihram nanti. Bolehkah saya ‘memakai seluar dalam’ bagi tujuan melapikkan tisu setiap kali selesai buang air kecil? Jika boleh, adakah saya dikenakan dam dan berapa kalikah dikenakan dam?
Jawapan: Hukum Lelaki Memakai Pakaian Berjahit Ketika Berihram
Menurut para ulama dalam mazhab asy-Syafi‘i, lelaki yang sedang berihram haji atau umrah adalah dilarang memakai pakaian berjahit, bertenun atau berikat seperti baju, seluar, sarung tangan, serban dan baju besi tanpa sebarang keuzuran. Jika dilakukannya juga, maka hukumnya adalah haram dan berdosa serta wajib ke atasnya membayar fidyah (dam).
Perkara ini ada diterangkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila Baginda ditanya mengenai pakaian yang dilarang untuk dipakai oleh orang yang berihram sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Janganlah kamu memakai baju, seluar, serban dan jubah yang bertudung kepala. Manakala seseorang tidak mempunyai selipar, maka pakailah sepatu (khuff) dan potonglah (khuff itu) sampai di bawah buku lali (sehingga nampak buku lali), dan janganlah kamu memakai sesuatu yang disentuhi minyak za‘faran dan waras (sejenis tumbuhan yang berbau wangi) dan janganlah perempuan yang berihram memakai penutup muka (niqâb) dan sarung tangan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Menurut Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughni al-Muhtâj, larangan yang dimaksudkan dengan memakai pakaian yang berjahit, bertenun atau yang diikat itu ialah memakai pakaian tersebut mengikut cara kebiasaan ia dipakai seperti baju dipakai dengan menyarungkannya ke badan dan seluar dengan menyarungkannya ke bahagian kaki hingga ke pinggang. Sekiranya baju tersebut dijadikan selimut atau hanya dijadikan seperti ridâ’ iaitu dijadikan seperti kain selendang atau baju itu diletakkan di atas badan, dan apabila berdiri nescaya baju itu akan terlucut daripada badan, maka dalam hal ini, penggunaan cara yang begitu adalah diharuskan, kerana bukanlah mengikut cara kebiasaan pakaian tersebut dipakai.
Berdasarkan keterangan di atas, dapat difahami bahawa lelaki yang dalam keadaan ihram haji atau umrah, adalah haram ke atasnya memakai pakaian yang berjahit, bertenun atau yang diikat. Jika seseorang lelaki yang dalam ihram memakai pakaian tersebut dengan tidak ada sebarang hajat atau keuzuran yang dibenarkan oleh syara‘, maka hukum memakainya adalah berdosa dan wajib ke atasnya membayar dam.
Memakai Pakaian yang Berjahit kerana Uzur
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab bahawa jika lelaki sedang dalam ihram memakai pakaian yang berjahit kerana uzur seperti kepanasan, kesejukan atau perubatan, maka harus dia memakai pakaian yang berjahit namun diwajibkan juga membayar fidyah (dam).
Perkara tersebut adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Jika sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu dia mencukur rambutnya semasa dalam ihram itu), maka wajiblah ke atasnya membayar fidyah iaitu dengan berpuasa atau memberi sedekah atau menyembelih binatang (sebagai dam). (Surah al-Baqarah: 196)
Berdasarkan keterangan di atas difahami bahawa apabila seorang lelaki mempunyai keuzuran seperti sakit dan sakitnya itu menyebabkan dia melakukan perkara-perkara yang dilarang ketika berihram seperti memakai pakaian berjahit, menutup atau mencukur kepala, maka dalam hal ini, dia diharuskan berbuat demikian dan tidak akan berdosa, namun wajib membayar dam.
Dam Orang yang Memakai Pakaian Berjahit Ketika Berihram
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Îdhâh fî Manâsik al-Hajj wa al- ‘Umrah, apabila seorang lelaki yang berihram melakukan perkara-perkara yang dilarang ketika berihram seperti mencukur rambut, memotong kuku, memakai baju berjahit, bertenun atau berikat, memakai wangi-wangian, meminyaki kepala atau janggut, bersentuhan dengan isterinya pada tempat selain faraj dengan syahwat, maka diwajibkan ke atasnya dam takhyîr wa taqdîr. Dimaksudkan dengan takhyîr ialah harus memilih gantian dam yang lain mengikut kemampuan orang yang membayar dam tersebut. Manakala maksud taqdîr pula ialah penentuan syara‘ pada gantian dam lain dengan kadar yang telah ditetapkan, tidak lebih dan tidak kurang.
Adapun dam takhyîr wa taqdîr bagi orang yang memakai pakaian berjahit ketika berihram itu adalah dengan memilih salah satu daripada tiga jenis dam berikut:
(1) Menyembelih seekor kambing sebagaimana syarat-syarat pada binatang korban atau apa-apa yang boleh menggantikan tempatnya daripada 1/7 unta atau 1/7 lembu.
(2) Memberi makan enam orang fakir atau miskin sebanyak tiga gantang yakni setiap seorang diberikan setengah gantang makanan asasi bagi sesebuah negara tersebut seperti gandum, beras atau seumpamanya.
(3) Berpuasa selama tiga hari walaupun dilakukan tanpa berturut-turut.
Dalam kategori dam takhyîr wa taqdîr ini, penyembelihan binatang hendaklah dilakukan di Tanah Haram dan bagi orang yang menunaikan fardhu haji afdhal dilakukan di Mina. Adapun waktu untuk menyembelih binatang tersebut adalah tidak ditentukan, namun sunat dibuat pada Hari Raya Korban atau hari-hari tasyrîq. Manakala daging sembelihan tersebut, termasuklah kulitnya dan bahagian yang selebihnya seperti bulu dan seumpamanya adalah wajib diagihkan kepada orang-orang fakir atau miskin yang berada di Tanah Haram walaupun bukan penduduk tetap dan sekurang-kurang pembahagian tersebut diberikan kepada tiga orang fakir atau miskin.
Begitu juga jika lelaki yang dikenakan dam itu memilih untuk memberi makan enam orang fakir atau miskin, maka hendaklah dilakukannya di Tanah Haram dan boleh diberikan sama ada kepada penduduk tetap atau sebaliknya.
Manakala jika lelaki tersebut memilih untuk berpuasa selama tiga hari, maka dia boleh melakukannya di mana sahaja dia berada sama ada di Tanah Haram atau di negara asalnya dengan syarat dia wajib berniat pada sebelah malam dan dinyatakan atau dijelaskan untuk apa puasa itu dilakukannya.
Jumlah Dam Ketika Mengulang Larangan Ihram Apabila seorang muhrim (lelaki yang berihram) melakukan larangan ihram dengan mengerjakan satu jenis perbuatan yang sama secara berulang seperti memakai pakaian berjahit yakni memakai baju dan seluar atau memakai pakaian dalam secara berulang, maka dalam hal ini, adakah dikenakan satu dam bagi setiap satu perbuatan yang berulang atau hanya dikenakan satu dam bagi semua perbuatan yang berulang?
Apa yang perlu dilihat di sini ialah adakah pemakaian tersebut dilakukan pada satu waktu dan tempat secara berturut-turut atau sebaliknya?
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, jika seorang muhrim memakai pakaian berjahit kemudian memakai pakaian berjahit lagi dalam satu keadaan atau tempat dan dia tidak beralih dari tempat tersebut yakni masih lagi dalam satu ruang tempat yang sama seperti memakai baju kemudian seluar kemudian serban atau mengulangi memakai satu pakaian seperti baju, seluar atau serban dalam satu tempat yang sama dengan mengulangnya berkali-kali, maka dalam hal ini, wajib ke atas muhrim melakukan satu dam sahaja bagi ke semua perbuatannya itu, kerana ke semua perbuatan yang dilakukannya itu adalah dalam satu keadaan atau tempat yang sama sebelum beralih kepada tempat lain, tidak kiralah sama ada prosesnya untuk memakai pakaian berjahit itu tadi mengambil masa yang panjang atau pendek tetapi hendaklah kesemua perbuatan itu dilakukannya secara berturut-turut. Namun, jika muhrim beralih kepada tempat lain sebelum mengulang perbuatan yang sama atau melakukan perbuatan yang sama dalam dua tempat yang berbeza atau melakukan perbuatan yang sama dalam satu tempat tetapi pada dua waktu yang berbeza, maka wajib ke atas muhrim tersebut melakukan satu dam lagi bagi perbuatannya yang kedua itu.
Kesimpulan
Merujuk kepada persoalan yang dihadapkan, difahami bahawa Awang telah disahkan mempunyai masalah pundi-pundi bengkak. Ini menyebabkan air kencing di pundi-pundi terhalang untuk dikeluarkan sehingga habis dan kesudahannya air kencing akan menitik selepas itu. Oleh itu, keperluan Awang untuk memakai seluar dalam yang berjahit ketika berihram adalah sangat dihajati kerana untuk menghindari air kencing yang menitik dari terkena pakaian ihram.
Setelah meneliti masalah yang Awang hadapi, dapat disimpulkan bahawa mempunyai masalah air kencing yang menitik disebabkan pundi-pundi bengkak merupakan suatu keuzuran yang tidak dapat dielakkan. Maka untuk menjaga kebersihan diri dan tempat sekeliling daripada terkena najis air kencing, Awang perlu memakai seluar dalam yang beralaskan dengan tisu. Perbuatan ini akan berlanjutan walaupun ketika berihram kerana memakai seluar dalam yang berjahit itu amat diperlukan disebabkan keuzuran tersebut.
Apabila melihat kepada penerangan para ulama yang telah dinyatakan di atas, maka harus hukumnya Awang memakai seluar dalam yang berjahit ketika berihram pada setiap kali selesai buang air kecil atau sebelum menunaikan sembahyang kerana adanya keuzuran, akan tetapi Awang wajib membayar dam.
Dalam perkara ini, dam Awang adalah dalam kategori dam takhyîr wa taqdîr yakni boleh memilih antara satu daripada tiga dam yang telah ditentukan oleh syara‘ dengan mengikut kemampuan Awang sendiri seperti yang telah dijelaskan dalam tajuk “Dam Orang Yang Memakai Pakaian Berjahit Ketika Berihram” di atas.
Walau bagaimanapun, jumlah dam yang perlu dikeluarkan oleh Awang adalah tertakluk kepada bagaimana pemakaian seluar dalam itu dilakukan. Sebagai contoh, cara kiraan dam Awang adalah seperti berikut:
(1) Jika pemakaian seluar dalam hanya dilakukan sekali sahaja pada satu keadaan dan pemakaiannya akan berulang lagi apabila berada pada keadaan lain iaitu setelah beralih daripada keadaan yang awal. Ini bererti, pemakaian seluar dalam tidak akan berulang dengan berturut-turut dalam satu keadaan. Umpamanya, jika Awang memakai seluar dalam sebelum menunaikan sembahyang Zhuhur dan kemudian berulang lagi apabila hendak menunaikan sembahyang ‘Ashar dan kemudian berulang lagi apabila hendak menunaikan sembahyang Maghrib. Maka dalam hal ini, dam yang wajib dikeluarkan adalah tiga kali dam iaitu satu dam bagi setiap perbuatan memakai seluar dalam kerana perbuatan memakai seluar dalam itu dilakukan dalam tiga keadaan yang berbeza.
(2) Jika pemakaian seluar dalam dilakukan dengan berulang secara berturut-turut dalam satu tempat atau keadaan, misalnya, memakai seluar dalam sebelum menunaikan sembahyang Zhuhur dan kemungkinan selepas memakai seluar dalam tersebut terlupa pula untuk mengalas dengan tisu, maka terus sahaja Awang mengulang lagi perbuatan yang sama di mana Awang masih lagi dalam keadaan yang awal yakni belum lagi berpindah kepada keadaan atau tempat lain, maka dalam hal ini, Awang hanya wajib melakukan satu dam sahaja.
Jalan Keluar untuk Mengelak daripada Dikenakan Dam
Persoalan membayar dam bagi orang yang mengalami kencing tidak lawas ketika melakukan ihram haji dengan menutupi atau membaluti zakarnya dengan kain bagi menjaga kesucian badan dan pakaian ihram daripada najis air kencing pernah ditanyakan kepada Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh. Dalam hal ini, beliau berfatwa dalam kitabnya al-Fatâwâ al- Kubrâ al-Fiqhiyyah:
Ertinya: Tidak (dikenakan) dam ke atasnya jika dia menutup atau membalut (zakarnya dengan sehelai kain atau perca) secara mutlak, dan tidak (dikenakan dam ke atasnya juga) jika dia mengikat atau menyimpul (zakarnya dengan sehelai kain atau perca) yang dikehendaki untuk mencegah najis. Tetapi jika dia mampu mengetatkan atau meneguhkan (kain atau perca tersebut) dengan benang umpamanya, atau membalutkan kain tersebut tanpa perlu menyimpul atau mengikat kain itu sendiri, (maka dalam hal ini), tidak harus baginya menyimpul atau mengikat kain tersebut. (Jika dia berbuat demikian), maka wajib ke atasnya membayar dam.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh berkata lagi:
Ertinya: Kemudian, yang dimaksudkan dengan “menyimpul atau mengikat” itu ialah menyimpul atau mengikat kain itu sendiri. Adapun jika dia mengetatkan atau meneguhkan di atas kain atau perca tersebut, selain di kepala, dengan benang dan mengikatnya (dengan benang tersebut), maka itu tidak dinamakan sebagai “menyimpul atau mengikat”. Maka perbuatan itu hukumnya tidak haram dan tidak dikenakan dam.
Berdasarkan kepada fatwa Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh di atas berkenaan dengan orang yang mempunyai masalah air kencing tidak lawas ketika berihram sama ada ihram haji atau umrah, dapat difahami seperti berikut:
(1) Tidak haram hukumnya dan tidak dikenakan dam ke atasnya jika dia menutup atau membalut zakarnya dengan sehelai kain atau perca secara mutlak, iaitu sama ada kain atau perca tersebut diketatkan atau diteguhkannya dengan benang ataupun tidak.
(2) Jika dia membalut zakarnya dengan sehelai kain atau perca, lalu dia menyimpul atau mengikat kain itu sendiri disebabkan dia tidak mempunyai pengikat seperti benang untuk meneguhkan atau mengetatkan kain tersebut, maka dalam hal ini, dia tidak dikenakan dam.
(3) Jika dia membalut zakarnya dengan sehelai kain atau perca, lalu dia menyimpul atau mengikat kain itu sendiri, akan tetapi dia mampu mengadakan sesuatu untuk mengikat seperti benang bagi tujuan meneguhkan kain tersebut, maka dalam hal ini, tidak harus baginya menyimpul atau mengikat kain itu. Jika dia berbuat demikian, maka wajib ke atasnya membayar dam.
Apabila merujuk kepada kedudukan Awang, sudah pasti pemakaian seluar dalam akan terjadi berulang kali dalam ihram haji tersebut. Ini bererti, kewajipan Awang untuk membayar dam juga akan dilakukan berkali-kali. Bagi memudahkan proses ibadat haji yang bakal dilaksanakan nanti, adalah lebih elok sekiranya Awang tidak memakai seluar dalam, tetapi menggantikannya dengan hanya membalut atau menutup zakar dengan sehelai kain atau apa-apa yang sebanding denganya seperti tisu, kapas, bandage (kain pembalut) tanpa diikat atau diikat balutan tersebut dengan benang, gelang getah atau seumpamanya. Dengan berbuat demikian, Awang tidak akan dikenakan dam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12326
