Hukum Membuat Tatu Dalam Rawatan Breast Reconstruction
Soalan: Saya adalah salah seorang daripada bekas pesakit kanser payudara dan kini hampir 14 tahun sudah berlalu.
Pada tahun 2014, dengan kemudahan yang diberikan oleh pihak Hospital RIPAS, saya telah menjalani pembedahan Breast Reconstruction. Alhamdulillâh, pembedahan tersebut telah berjaya dan kini hanya tinggal untuk membuat tatu pada kawasan puting payudara saya (areola). Pembuatan tatu ini adalah salah satu daripada prosedur Breast Reconstruction.
Oleh kerana ragu-ragu untuk membuat tatu ini di samping keinginan saya untuk meninggikan rasa keyakinan diri sebagai seorang wanita dan juga isteri, maka dipohonkan fatwa Pehin Mufti mengenai perkara ini.
Jawapan: Sebagaimana yang dijelaskan oleh penyoal, pembedahan bagi pembentukan dan implan payudara telahpun berjaya dilakukan ke atas dirinya. Prosedur seterusnya ialah untuk membuat areola (kawasan bulatan yang mengelilingi puting payudara) dengan kaedah tatu. Pembuatan areola dengan kaedah tatu ini adalah salah satu prosedur dalam rawatan Breast Reconstruction yang disediakan oleh pihak RIPAS.
Menurut penerangan daripada Ketua Bahagian Maxillofacial, Plastic and Reconstructive Surgery, RIPAS Hospital, rawatan penuh bagi Breast Reconstruction yang ditawarkan kepada bekas pesakit kanser ada beberapa peringkat. Namun pelaksanaannya adalah mengikut kehendak setiap bekas pesakit kanser payudara. Adapun prosedur-prosedur yang terkandung dalam rawatan Breast Reconstruction itu bermula daripada pembentukan dan implan payudara kemudian pembuatan nipple (puting payudara) dan akhirnya pembuatan areola. Walau bagaimanapun, pembentukan nipple dan pembuatan areola adalah tertakluk kepada kehendak atau keperluan setiap bekas pesakit kanser jua.
Dalam penerangan tersebut juga dinyatakan bahawa prosedur pembuatan areola dengan kaedah tatu dalam rawatan Breast Reconstruction ini, adalah untuk menyempurnakan rupa payudara baru supaya menyerupai seperti payudara asal. Hasilnya, apabila semua prosedur dalam rawatan Breast Reconstruction ini telah sempurna dilaksanakan, maka bekas pesakit kanser payudara akan memiliki semula payudara buatan yang seakan-akan sama seperti payudara yang telah dibuang.
Seterusnya difahami juga bahawa menjalani Breast Reconstruction bagi bekas pesakit kanser payudara merupakan salah satu cara untuk menjaga kemaslahatan kehidupan bekas pesakit berkenaan bagi menghilangkan gangguan mental dan emosi yang ditanggung oleh mereka sebagai seorang wanita, lebih-lebih lagi sebagai seorang isteri. Disamping meningkatkan imej dan keyakinan diri serta kualiti hidup selanjutnya selepas mengharungi derita penyakit yang ditanggung yang menghendaki mereka untuk membuang anggota berkenaan.
Rawatan Breast Reconstruction
Sebelum ini, fatwa Mufti Kerajaan (siri 03/2014) mengenai “Pembedahan Plastik ‘Reconstructive’ Dan Implan Payudara Bagi Pesakit Kanser Payudara” telah pun dijelaskan hukum mengenainya iaitu harus.
Ini bermakna merawat atau membaik pulih kecacatan anggota tubuh-badan selepas menjalani pembuangan payudara akibat penyakit kanser payudara adalah diharuskan dengan membentuk semula payudara baru yang seakan sama rupanya seperti yang asal. Perkara membaik pulih kecacatan seperti ini adalah berdasarkan kepada satu kejadian yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam di mana Baginda pernah mengizinkan seorang lelaki yang terpotong hidungnya dalam suatu peperangan supaya menggantikan hidungnya itu dengan emas sebagaimana yang diterangkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Arfajah bin As‘ad, katanya:
Maksudnya: Hidungku telah tercedera (terpotong) ketika dalam peperangan al-Kulab pada zaman jahiliah, maka aku telah meletakkan kertas bagi menutup ruang hidung, namun ia mendatangkan bau busuk kepadaku, maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah mengarahkanku supaya aku membuat hidung (palsu) daripada emas. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Berdasarkan hadits di atas, tujuan penggantian hidung itu bukanlah untuk kecantikan semata-mata, tetapi adalah bertujuan untuk membaik pulih anggota yang telah rosak. Perkara yang sama juga berlaku dalam perkara Breast Reconstruction. Tidak diragukan lagi, tujuan penggantian hidung sebagaimana yang disebutkan hadits di atas adalah sama dengan tujuan menjalani rawatan Breast Reconstruction bagi bekas pesakit kanser iaitu untuk membaik pulih kekurangan anggota akibat pembuangan payudara yang dilakukan disebabkan penyakit kanser.
Kaedah Tatu dalam Prosedur Pembuatan Areola
Sebagaimana yang disebutkan di atas, harus hukumnya membentuk semula payudara baharu dengan mendatangkan sesuatu yang serupa dengan yang asal. Namun perlu juga dipastikan bahawa setiap prosedur yang dijalani dalam rawatan berkenaan adalah mematuhi kehendak syara‘ dan tidak mengakibatkan kemudharatan terhadap tubuh badan.
Mengenai dengan pembuatan areola dalam pembentukan semula payudara baharu, secara syara‘nya tidaklah dilarang kerana ia termasuk dalam proses membaik pulih kecacatan pada anggota yang telah di buang. Namun proses pembuatan areola tersebut hendaklah menepati kehendak syara‘ seperti menggunakan pewarna yang suci, pewarna yang tidak melapisi kulit untuk dikenai oleh air dan tidak menanggung najis. Perkara-perkara ini adalah penting bagi memastikan ibadat yang akan dilakukan oleh mereka itu adalah sah dan diterima oleh Allah Ta‘ala.
Persoalannya, adakah penggunaan kaedah tatu dalam pembentukan areola ini dibenarkan dalam syara‘? Sebelum menghuraikannya, mari kita fahami pengertian tatu dan hukumnya menurut syara‘.
Tatu ialah mencucukkan jarum atau sebagainya di belakang telapak tangan, pergelangan tangan, bibir atau selainnya di tubuh badan sehingga darah mengalir. Kemudian di atas kulit badan yang telah dicucuk jarum itu diisi atau ditabur dengan celak atau kapur tohor (kapur hidup), nila atau lain-lain bahan supaya tempat itu menjadi hijau. Pengertian tatu ini dinyatakan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Shahîh Muslim dan al- ‘Allâmah as-Sayyid Abu Bakar ad-Dimyathi al-Bakri Rahimahullâh dalam kitab Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn.
Melihat kepada pengertian tatu di atas dengan proses tatu yang dilakukan oleh pihak Hospital RIPAS adalah mempunyai kesan dan hasil yang serupa. Proses pembuatan tatu yang dipraktikkan di Bahagian Maxillofacial, Plastic and Reconstructive Surgery, RIPAS seperti yang diterangkan oleh Ketua Bahagian berkenaan adalah dengan menggunakan suntikan yang telah diisi dengan pewarna daripada bahan mineral dan akan disuntik berulang kali. Kesan daripada proses suntikan itu juga boleh menyebabkan kulit badan yang disuntik itu mengeluarkan darah.
Ini difahami bahawa apa jua proses tatu yang digunakan pasti akan mengalirkan darah disebabkan oleh cucukan jarum atau suntikan yang dilakukan berulang kali pada kulit badan orang yang ditatu. Selanjutnya, bahan yang ditabur ke dalam lubang-lubang jarum yang ada di kulit badan itu atau pewarna yang telah diisikan ke dalam suntikan itu akan menghasilkan tatu yang terbentuk daripada darah yang mengalir dan pewarna yang dibubuh dan seterusnya berada di bawah lapisan kulit.
Apabila melihat dari segi hukum syara‘ pula, hukum orang yang membuat tatu dan orang yang minta ditatu adalah haram. Larangan ini jelas disebutkan dalam beberapa hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, antaranya:
Diriwayatkan daripada ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu, perempuan-perempuan yang meminta dirinya untuk ditatu, perempuan-perempuan yang meminta bulu keningnya dibuang dan perempuan-perempuan yang mengikir giginya, (semua ini semata-mata) untuk kecantikan iaitu perempuan-perempuan yang mengubah ciptaan Allah Ta‘ala. (Setelah itu Ummu Ya‘kub bertanya kepada ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu mengenai hadits yang melaknat perkara tersebut, beliau menjawab:) “Bagaimana aku tidak melaknat sesiapa yang dilaknat oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sedang ia ada dalam Kitab Allah. (Firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Hasyr ayat 7 yang tafsirnya): {Dan apa jua suruhan yang diberikan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kepada kamu maka terimalah (amalkanlah)} sehingga (dan apa jua yang kamu dilarang melakukannya) {maka tinggalkanlah}. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ katanya:
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaknat perempuan yang menyambung rambutnya, perempuan yang meminta supaya rambutnya disambungkan, perempuan yang mentatu kulit dan perempuan yang meminta supaya kulitnya ditatu. (Hadits riwayat Muslim)
Perlu diketahui, hasil tatu yang dibuat juga mengakibatkan orang yang bertatu itu menanggung najis. Ini adalah kerana perbuatan menyucuk kulit badan dengan jarum tajam, pasti akan mengeluarkan darah. Ini menjadikan pewarna yang dimasukkan di bawah kulit itu bercampur dengan darah tersebut. Maka pewarna walaupun asalnya suci yang sengaja dimasukkan di bawah kulit itu adalah menjadi najis kerana bercampur dengan darah. Ini jelas menunjukkan bahawa dengan adanya tatu, tempat anggota badan yang ditatu itu akan menyebabkan orang yang bertatu itu menanggung najis sebagaimana disebutkan dalam buku-buku fiqh mazhab asy-Syafi‘i. Apabila orang tersebut telah menanggung najis, maka ibadat sembahyang yang dilakukannya adalah tidak sah kerana tidak memenuhi syarat sembahyang iaitu badan, pakaian dan tempat untuk bersembahyang hendaklah suci dan bersih daripada najis.
Perkara ini telah disebutkan oleh Imam al-Bujairimi dalam kitab Hâsyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Manhaj bahawa tidak sah sembahyang seseorang yang mempunyai tatu. Begitu juga dalam perkara membuang dan menghilangkan tatu pun telah dinyatakan oleh ulama-ulama asy- Syafi‘iyyah.
Berkata al-‘Allâmah as-Sayyid Abu Bakar ad-Dimyathi Rahimahullâh dalam kitab Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn bahawa wajib dihilangkan tatu itu kerana pemilik tatu tersebut telah pun menanggung najis, selagi membuangnya tidak ditakuti berlaku perkara yang menyusahkan, yang membolehkan pemilik tatu tersebut bertayammum dengan sebab terdapat perkara yang menyusahkan itu. Namun, jika menghilangkan tatu itu ditakuti mendatangkan kesusahan, yang membolehkan pemilik tatu tersebut bertayammum, maka ketika itu, tidak wajib ke atasnya untuk menghilangkan tatu berkenaan secara muthlaq.
Imam al-Bujairimi Rahimahullâh berkata dalam kitab Hâsyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Manhaj bahawa jika seseorang itu melakukan tatu ketika tiada taklîf ke atasnya seperti ketika kanak-kanak atau orang yang hilang akal, maka tidak wajib ke atasnya menghilangkan tatu berkenaan. Begitu juga, jika dia melakukan tatu dalam keadaan taklîf dan dia sangat berhajat kepada tatu berkenaan, maka dia tidak wajib menghilangkannya. Dalam keadaan lain, jika dengan menghilangkan tatu itu ditakuti akan timbul perkara yang menyusahkan, yang membolehkan bertayammum dengan sebab ada perkara yang menyusahkan itu, maka dia tidak wajib menghilangkan tatu berkenaan. Jika dengan menghilangkan tatu itu tidak ditakuti menimbulkan perkara yang menyusahkan, yang membolehkan pemilik tatu tersebut bertayammum, maka wajib dihilangkannya dan jika tidak dihilangkannya, maka perbuatannya itu tidak akan dimaafkan dan tidak sah sembahyangnya bersama tatu itu.
Setelah melihat kepada penerangan hukum tatu dan kesan tatu dalam ibadat sembahyang di atas, dapat dirumuskan bahawa penggunaan tatu dalam apa jua keadaan melainkan dalam perkara dharurat adalah haram dan dengan bertatu itu juga mengakibatkan pemiliknya menanggung najis sekaligus menyebabkan ibadat sembahyangnya tidak sah menurut syara‘. Lebih dilarang lagi sekiranya perbuatan bertatu itu akan menghalang air untuk sampai ke kulit kawasan yang ditatu. Perkara tersebut akan menjadikan orang berkenaan terhalang daripada bersuci daripada hadats kecil atau hadats besar. Oleh itu, setiap orang Islam wajib meninggalkan tatu atau menghilangkan tatu yang telah dibuat itu dengan sedaya upaya bagi membolehkannya melakukan ibadat sembahyang dalam keadaan yang suci, kecualilah perkara itu (melakukan tatu itu) benar-benar mustahak atau penting di mana jika tidak dilakukan boleh memudharatkan matlamat syara‘, iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Kita melihat pembedahan payudara penyoal sudah pun dilakukan dengan jayanya dan sehingga hampir 14 tahun berlalu telah hidup dalam keadaan sihat selepas pembedahan itu. Hanya tinggal mahu membaik pulih dari segi bentuk atau rupa pada kawasan puting payudara (areola) sahaja, yakni semata-mata hanya untuk membentuk rupa areola supaya benar-benar atau seakan-akan kelihatan sama dengan rupa atau bentuk asalnya, dalam makna lain, ia bukanlah untuk menghilangkan mudharat seperti kesakitan atau seumpamanya. Maka untuk itu, tatu akan terpaksa dibuat, sedangkan apabila tatu itu dibuat akan mendatangkan banyak mudharat dari segi fizikal dan juga syara‘, iaitu penyoal akan menanggung kesakitan akibat kulit badannya dicucuk berulang kali dengan jarum sehingga mengeluarkan darah, kemudian memasukkan pewarna ke tempat yang dicucuk itu menjadikannya bercampur dengan darah. Akibat daripada itu, penyoal akan berada dalam keadaan menanggung najis di badannya. Selain itu, berkemungkinan pula pewarna yang digunakan ketika mentatu itu sendiri adalah juga berstatus najis atau dengan bertatu itu boleh menghalangi air daripada sampai ke kulit tempat yang ditatu. Semua ini adalah mudharat dari segi fizikal dan juga syara‘ yang boleh menjadikan ibadat rosak dan tidak sah. Lain lagi hukum tatu itu sendiri dan keharamannya ke atas orang yang mentatu dan minta ditatu tanpa sebab-sebab untuk menghilangkan mudharat atau kerana hajat yang diharuskan.
Maka, dalam situasi mentatu untuk membentuk areola sebagaimana yang ditanyakan di atas adalah ia tidak termasuk perkara dharurat untuk berubat, membaik pulih atau untuk menghilangkan kesakitan, malah jika dilakukan juga boleh menyakiti dan menjejaskan tubuh badan (tempat) yang ditatu dan sekaligus berisiko kepada penyoal akan menanggung najis dan terhalang daripada melakukan ibadat. Oleh itu tidaklah harus menurut hukum syara‘ ia dilakukan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12330
