Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Hukum Menggunakan Perut dan Bulu Ayam untuk Ramuan Makanan Ternakan

Soalan: Apakah hukum menggunakan perut dan bulu ayam dalam ramuan makanan ternakan? Adakah produk ramuan makanan tersebut dianggap najis atau sebaliknya?

Jawapan: Hukum perut dan bulu daripada binatang seperti ayam dan sebagainya, sama ada ia suci ataupun sebaliknya adalah termasuk dalam penjelasan ulama mengenai hukum anggota yang terpisah daripada binatang.

Anggota yang Terpisah daripada Binatang Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Minhâj:

Ertinya: Dan bahagian yang terpisah daripada (binatang) yang masih hidup, (hukumnya adalah sama) seperti bangkainya, kecuali bulu binatang yang harus dimakan, maka ia adalah suci. Syeikh asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughni al-Muhtâj ketika menjelaskan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh di atas berkata:

Ertinya: Maka (bahagian) yang terpisah daripada manusia, ikan atau belalang adalah suci dan selain daripada itu maka bahagian yang terpisah itu adalah najis. Beliau menambah lagi:

Ertinya: Adapun (bahagian) yang terpisah daripadanya (haiwan) selepas matinya maka hukumnya hukum bangkainya tanpa keraguan.

Termasuk yang dikatakan selain bangkai manusia, ikan atau belalang ialah bangkai binatang yang matinya tidak dengan disembelih mengikut syara‘ seperti sembelihan orang Majusi dan sembelihan binatang yang tidak boleh dimakan.

Daripada penjelasan di atas, anggota yang terpisah ketika binatang itu hidup hukumnya adalah seperti bangkainya juga. Misalnya jika anggota yang diambil atau terpisah daripada ayam ketika ia hidup maka anggota yang diambil atau terpisah tersebut hukumnya adalah najis. Apabila anggotanya itu diambil atau terpisah selepas ia disembelih maka hukum anggota tersebut adalah suci. Apalagi anggota yang diambil atau terpisah setelah ia mati dan menjadi bangkai, maka tidak syak lagi hukumnya adalah najis.

Hukum ini meliputi semua anggota binatang yang terpisah termasuk perut binatang. Walau bagaimanapun, berlainan hukumnya dengan persoalan bulu binatang.

Bulu Binatang

Sebagaimana yang telah disebutkan di atas, Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Minhâj ketika membuat pengecualian mengenai hukum anggota yang terpisah daripada binatang berkata:

Ertinya: Kecuali bulu binatang yang harus dimakan, maka ia adalah suci.

Berkata Syeikh asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughni al-Muhtâj ketika menjelaskan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh di atas bahawa bulu binatang yang halal dimakan (seperti unta, lembu, kambing, arnab, ayam dan sebagainya), jika terpisah dari badannya sama ada dicabut, tercabut atau sebagainya ketika binatang itu hidup atau mati kerana disembelih, maka adalah ia suci (tidak najis) dengan ijmâ‘ ulama. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan (Dia juga menjadikan bagi kamu) bulu biri-biri, bulu unta dan bulu kambing sebagai perkakas rumah dan perhiasan (yang kamu pakai) hingga ke suatu masa tertentu. (Surah an-Nahl: 80)

Jika bulu binatang tersebut terpisah sesudah ia menjadi bangkai, maka bulu binatang berkenaan adalah najis.

Manakala bulu binatang yang tidak halal dimakan (seperti kucing, monyet, musang dan sebagainya), terpisah daripada badannya ketika binatang itu masih hidup, maka bulu tersebut adalah najis apatah lagi sesudah binatang tersebut mati. Demikianlah juga anggota-anggotanya yang lain jika bercerai daripada binatang itu adalah dikira bangkai.

Menggunakan Perut dan Bulu Ayam dalam Ramuan Makanan Ternakan

Sebagaimana yang telah dijelaskan di atas, maka status produk ramuan makanan tersebut sama ada ia dianggap najis atau sebaliknya adalah tertakluk kepada keadaan perut atau bulu ayam itu terpisah atau diambil atau diproses daripada anggota ayam tersebut. Jika perut ayam itu terpisah atau diambil selepas ayam itu disembelih mengikut syara‘ maka ia suci. Begitu juga, bulu ayam itu suci jika ia terpisah sama ada dengan di cabut, tercabut atau sebagainya ketika binatang itu hidup atau mati kerana disembelih mengikut syara‘.

Berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, adalah penggunaan perut atau bulu ayam dalam ramuan makanan ternakan, hukumnya harus, namun jika perut atau bulu ayam itu terpisah dalam keadaannya dihukumkan najis, maka penggunaannya sebagai makanan binatang ternakan yang boleh dimakan adalah makruh, sebagaimana menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj:

Ertinya: Dan makruh hukumnya memberi makan binatang yang boleh dimakan dengan benda najis (seperti tahi dan babi).

Oleh yang demikian, adalah lebih baik ramuan makanan ternakan atau binatang yang boleh dimakan itu diambil atau diproses daripada anggota binatang yang diistilahkan sebagai suci menurut syara‘.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12334