Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Hukum Menghisap VAPE

Soalan: Apakah hukum menghisap vape atau rokok elektronik? Terdapat pendapat di media sosial yang mengatakan bahawa hukum menghisap vape bukanlah seperti rokok yang diharamkan sebagaimana yang difatwakan oleh Mufti Kerajaan, kerana ia hanyalah perisa buah-buahan.

Oleh yang demikian, dipohonkan fatwa mengenainya agar seluruh rakyat, ibu bapa dan orang ramai yang mungkin masih jahil tidak akan terpengaruh dengan helah penjualnya yang beralasan ia bukan rokok.

Jawapan: Pengenalan Vape

Vape yang dikenali juga sebagai rokok elektronik atau e-rokok atau electronic nicotine delivery system (ENDS) adalah alat untuk mengewap cecair yang mengandungi nikotin bagi tujuan penyedutan atau penghisapan.

Alat tersebut berfungsi dengan menggunakan kuasa bateri untuk memanaskan cecair bagi menghasilkan wap atau haba yang penghasilan wap berkenaan menyerupai perbuatan dan berperasaan seperti merokok tetapi tanpa pembakaran tembakau.

Dalam pengertian lain, menurut Public Health England dalam artikelnya “E-Cigarettes: An evidence update, a report commissioned” menyatakan bahawa e-rokok menggunakan tenaga bateri untuk memanaskan e-liquid (cecair) bagi menghembuskan wap hasil daripada larutan e-liquid tersebut yang pada kebiasaannya mengandungi nikotin. Pada lazimnya, larutan e-liquid yang dipanaskan itu mengandungi propylene glycol (PG) atau gliserin, air, nikotin dan perisa. Namun, e-rokok tidak mengandungi tembakau, tidak mengeluarkan asap dan tidak bergantung kepada pembakaran. Tetapi wap yang dihembuskan oleh e-rokok itu secara teknikalnya adalah aerosol.

Manakala e-liquid bagi vape itu pula bermacam-macam jenis, warna dan perisa. Pada lazimnya, kandungan yang terdapat pada e-liquid mengandungi 95% propylene glycol, gliserin tumbuhan dan nikotin. Manakala perisanya pula adalah seperti tembakau, pudina, kayu manis dan buah-buahan.

Vape mempunyai pelbagai jenis dan bentuk. Ia terbahagi kepada tiga kategori, iaitu:

1) Ciga-like (berbentuk seperti rokok) dan ciri-cirinya seperti:

- Menggunakan bateri yang boleh dicaj semula atau pakai buang (rechargable & disposable): - Kapasiti kartrij berukuran 1-1.5 ml cecair nikotin dan kartrij nikotin boleh diganti (replaceable nicotine cartridges). - Kapisiti bateri 150-350 mAH - Memberi 100-300 puffs/cycle. - Beroperasi secara automatik (tidak ada button).

2) Mid-Size atau tank dan ciri-cirinya:

- Bentuk lebih besar daripada ciga-like seperti cerut. - Kapisiti tangki berukuran 3ml dan cecair yang boleh diisi semula ke dalam tangki (refillable liquid tanks). - Kapisiti bateri 600-1100 mAH. - Memberi 1000 puffs/cycle.

3) Mods atau Advanced Personal Vaporisers (APV)

- Bentuk lebih canggih sama ada seperti flashlight (tube mod) atau pek rokok (box mod). - Beroperasi secara manual (manually operated). - Kapasiti bateri paling besar (replaceable 3.7 volt lithium ion cells). - Voltage dan wattege yang boleh diubah-ubah (variable). - Pengeluaran wap atau haba yang kuat.

Walau apa pun bentuk dan jenisnya, setiap vape itu terdiri daripada beberapa komponen asas iaitu:

1. Alat penyedut (mouthpiece). 2. Bateri. 3. Pengabus (atomizer). 4. Kartrij atau tangki untuk menyimpan e-liquid. 5. Lampu LED.

Nikotin dalam E-Liquid

Kebanyakan produk e-liquid untuk kegunaan vape mengandungi nikotin. E-liquid mengandungi nikotin pada ukuran kepekatan yang berbeza-beza bermula dari 0-36mg/ml. Dalam pada itu, ada juga terdapat pada produk e-liquid itu dilabel dengan ‘nicotine-free’ oleh para pengeluarnya. Dengan label tersebut adalah difahami bahawa e-liquid yang dijual itu adalah tidak mengandungi nikotin. Namun, menurut kajian awal makmal yang telah dijalankan oleh pihak U.S. Food and Drug Administration (FDA) mendapati bahawa kartrij e-liqiud yang dilabel sebagai ‘nicotine-free’ itu telah pun juga dikesan mengandungi nikotin walaupun ditulis pada labelnya sebagai ‘nicotine-free’. Pada tahun 2014, kajian yang lain mendapati bahawa isi kandungan nikotin dalam refill (pengisian semula) e-liquid berbeza daripada isi kandungan yang ditulis pada label botolnya.

Apa yang pasti, berdasarkan kepada hasil kajian menunjukkan 97% daripada pengguna vape lebih cenderung untuk memilih e-liquid yang mengandungi nikotin.

Kesan Vape pada Kesihatan

Kesan atau risiko yang dihadapi oleh pengguna vape dan orang yang berada di sekelilingnya setakat ini boleh dilihat daripada tiga aspek, iaitu kesan nikotin terhadap kesihatan, kesan sedutan daripada bahan toksik lain yang terkandung dalam e-liquid ketika menghembuskan wap dan kesan sedutan daripada pancaran wap vape yang telah dihembuskan.

1. Kesan nikotin kepada kesihatan.

Nikotin merupakan satu bahan yang boleh merangsang ketagihan kepada sesiapa yang menggunakannya. Potensi ketagihan yang dialami adalah mengikut kadar nikotin yang diambil. Di samping itu, nikotin juga amat berbahaya kepada kesihatan kerana kesan pengunaannya boleh menimbulkan berbagai-bagai penyakit kepada pengamalnya. Antaranya, nikotin boleh menggalakkan pertumbuhan kanser kerana ia boleh berfungsi sebagai “Tumour Promoter”. Di samping itu, penyedutan nikotin yang kronik terutama oleh kanak-kanak, remaja, wanita hamil dan janin adalah berpotensi untuk mempengaruhi perkembangan otak.

Menurut artikel yang bertajuk “Do Electronic Cigarettes Impart a Lower Potential Disease Burden Than Conventional Tobacco Cigarettes?: Review on e-Cigarette Vapor Versus Tobacco Smoke” yang telah dikaji semula oleh Anne Y. Oh, MS dan Ashutosh Kacker, MD menyatakan bahawa e-rokok adalah satu alat untuk memasukkan nikotin ke dalam badan. Hasilnya, pengguna e-rokok boleh menerima risiko apa jua jenis penyakit yang bersangkut paut dengan penggunaan nikotin dan kesan sampingannya juga adalah seperti tekanan darah tinggi, degupan jantung yang tidak normal, penyakit mikrovaskular dan ketagihan.

2. Kesan sedutan daripada bahan toksik lain yang terkandung dalam e-liquid ketika menghembuskan wap vape.

Menurut bulletin yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang bertajuk “Countries Vindicate Cautious Stance on E-Cigarettes” menyatakan bahawa sesetengah e-cigarettes atau vape mempunyai tahap toksik yang rendah namun ia mengandungi bahan pemangkin atau penyebab kepada penyakit kanser dalam tubuh manusia seperti formaldehida. Tahap toksik formaldehida dalam vape adalah tinggi sepertimana juga yang terdapat dalam beberapa rokok konvensional. Kenyataan tersebut juga disokong oleh satu kajian lain yang dibuat pada tahun 2014 yang menyatakan bahawa bahan aerosol daripada e-cigarettes mempunyai tahap ukuran volt yang sangat tinggi mengandungi formaldehida yang berpotensi untuk menyebabkan kanser. Di samping itu, kajian awal makmal pada tahun 2009 yang dilakukan oleh pihak US Food and Drug Administration (FDA) mengenai kandungan vape telah mendapati dalam satu sampel yang dikaji, mempunyai bahan yang digunakan dalam proses anti-beku dan ia merupakan bahan kimia yang tidak selamat kepada badan manusia.

Di samping itu, menurut American Lung Association dalam artikelnya “E-Cigarettes and Lung Health” menyatakan bahawa perisa e-liquid yang disedut ketika penghasilan wap juga berkemungkinan memberi kesan mudharat kepada kesihatan. Ini adalah kerana kebanyakan perisa yang digunakan dalam vape hanya diluluskan untuk kegunaan dalam bahan makanan sahaja bukannya diluluskan untuk kegunaan sedutan dalam bahan penghasilan wap. Ini bererti status perisa yang diluluskan hanyalah selamat untuk dimakan dan tidak selamat untuk disedut.

3. Kesan sedutan daripada hembusan wap vape.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh American Lung Association dalam artikelnya “E-cigarettes and Lung Health” bahawa walaupun vape tidak mengeluarkan asap seperti rokok, tetapi wap yang terpancar ketika hembusan dilakukan oleh pengguna vape boleh mendedahkan kepada orang yang di sekelilingnya kepada ancaman bahaya. Dua kajian awal menunjukan bahawa terdapat bahan karsinogenik (bahan pemangkin kepada berlakunya kanser dalam badan manusia) seperti formaldehida dan benzene terjadi hasil daripada pancaran wap yang dihembuskan oleh pengguna vape. Kajian lain juga menunjukkan bahawa terdapat bahan kimia dihembuskan oleh pengguna vape seperti formaldehida, asetaldehida dan bahan toksik yang lain. Dalam hal ini, tidak ada bukti yang menyatakan bahawa pancaran wap yang dikeluarkan oleh vape adalah selamat untuk disedut oleh orang di sekelilingnya.

Setelah melihat daripada tiga aspek di atas, dapat disimpulkan bahawa kesan penggunaan vape kepada kesihatan pengguna mahu pun orang di sekelilingnya setakat ini adalah tidak selamat dan berpotensi untuk menimbulkan berbagai-bagai penyakit pada jangka masa akan datang kerana bahan-bahan yang terkandung dalam e-liquid itu kebanyakannya penyebab kepada beberapa penyakit kronik dan berbahaya seperti kanser. Malahan tiada bukti daripada kajian-kajian awal yang dijalankan menunjukkan penggunaan vape itu adalah selamat. Di samping itu, dakwaan yang menyatakan bahawa e-cigarette atau vape boleh membantu perokok dan perokok tegar untuk berhenti merokok adalah tidak disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kenyataan medianya yang dikeluarkan pada 2008 yang menyatakan bahawa tiada kajian saintifik yang sah menunjukkan e-cigarette atau vape selamat dan berkesan sebagai rawatan penggantian nikotin (nicotine replacement therapy) untuk para perokok yang cuba untuk berhenti merokok. Malahan dalam pengamatan WHO, setakat ini belum ada diterima kajian yang menyeluruh menyatakan yang e-cigarettes adalah selamat dan berkesan sebagai rawatan penggantian nikotin (nicotine replacement therapy). Walaupun kajian mengenai vape atau e-cigarettes belum dilakukan secara intensif sebagaimana yang dilakukan terhadap rokok, namun kajian-kajian awal tentang bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatan e-liquid untuk kegunaan vape tersebut boleh membawa risiko dan bahaya terhadap kesihatan kepada penggunanya dan juga orang lain yang terdedah kepada wap vape berkenaan pada jangka masa panjang yang akan datang.

Kedudukan Penggunan Vape dari Sudut Hukum Syara‘

Agama Islam dalam menghukumkan sesuatu perkara itu tidak semestinya semata-mata tertakluk kepada adanya nash yang khusus mengenainya. Bertolak daripada itu, penetapan hukum mengenai penggunaan vape dari sudut syara‘ akan berpandukan kepada beberapa perkara dan kaedah seperti tuntutan menjaga kesihatan dan keselamatan, kaedah menutup jalan daripada menimbulkan sebarang kemudharatan atau kebinasaan dan pembaziran wang ringgit. Cara penetapan hukum tersebut digunakan kerana vape merupakan isu atau perkara baru yang wujud atau dicipta pada tahun 2004 oleh seorang ahli farmasi China iaitu Hon Lik, maka secara jelasnya tidak ada nash atau ketetapan hukum yang khusus mengenainya disebutkan dalam al-Qu’ran dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mahupun juga dalam kitab-kitab fiqh turâts (terdahulu).

Seperti yang disebutkan di atas, dasar dan kaedah yang menentukan hukum mengenai pengunaan vape adalah seperti berikut:

1. Tuntutan untuk memelihara kesihatan dan keselamatan tubuh badan.

Agama Islam amat menuntut umatnya supaya memelihara kesihatan dan keselamatan tubuh badan. Kesihatan memainkan peranan yang sangat penting bagi memudahkan umat Islam melaksanakan tanggungjawab ukhrawi dan duniawi. Hanya orang sihat sahaja yang mampu melaksanakan kewajipan-kewajipan tersebut dengan sempurna. Apabila kita dituntut untuk memelihara kesihatan dan keselamatan tubuh badan, maka dengan sendirinya, Islam menegah umatnya melakukan apa jua perkara yang boleh memberi kesan mudharat kepada kesihatan dan keselamatan tubuh badan mereka.

Antara prinsip Islam yang umum ialah melarang manusia daripada memakan atau meminum sesuatu yang boleh memudharatkan atau merosakkan tubuh badan, kerana seseorang itu tidak bebas melakukan apa sahaja yang dikehendakinya walaupun terhadap dirinya sendiri sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu sengaja menjerumuskan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan. (Surah al-Baqarah: 195)

Di samping itu, larangan memudharatkan atau merosakkan juga disebutkan melalui hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tidak boleh memudharatkan dan tidak boleh saling memudharatkan. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Manakala dari segi kaedah pemakanan pula, al-Qur’an telah menyediakan dasar yang jelas melalui firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan Dia menghalalkan bagi mereka yang baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka (segala) yang buruk. (Surah al-A‘râf: 157)

Antara maksud ‘buruk’ (al-khabâ’its) itu seperti yang diterangkan dalam kitab Tafsîr al- Munîr, tulisan Dr. Wahbah az-Zuhaili Rahimahullâh ialah apa jua perkara yang menjijikkan dan dibenci oleh tabiat semula jadi manusia, seperti bangkai dan darah yang mengalir, atau sesuatu yang menjadi sebab pada memudharatkan tubuh badan, seperti babi yang boleh memberi kesan buruk kepada pemakannya.

Walaupun persoalan ayat ini (mengenai al-khabâ’its) ditujukan kepada memakan daging babi dan riba, namun Imam Fakhruddin ar-Razi Rahimahullâh menyatakan dalam kitabnya Tafsîr al-Kabîr:

Ertinya: Mengikut pendapatku: Setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat (tabiat semula jadi) dan dianggap kotor oleh jiwa, adalah memakannya boleh menyebabkan timbul kesakitan atau kemudharatan. Dan asal (dasar) hukum segala yang memudharatkan itu adalah haram. Oleh yang demikian, maka asal (dasar) hukum setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat juga adalah haram, melainkan benda-benda yang mempunyai bukti untuk dikecualikan.

Di samping itu, berkata as-Sayyid al-‘Allâmah ‘Umar al-Bashri Rahimahullâh dalam fatwanya seperti yang disebutkan dalam kitab Majmû‘ah Sab‘ah Kutub Mufîdah bahawa kaedah-kaedah yang dipakai oleh para ulama kita ketika menyatakan haramnya makanan ialah makanan yang boleh membawa kepada mabuk atau memudharatkan akal atau tubuh badan, maka memakan benda yang memabukkan adalah haram, kerana ia memabukkan, dan memakan makanan yang memudharatkan akal juga haram, kerana mudharatnya itu.

Daripada perkataan para ulama di atas, dapat difahami bahawa apabila sesuatu itu boleh mendatangkan mudharat tidak kiralah sama ada kemudharatan itu datangnya dengan cepat atau lambat, maka dasar hukum bagi segala yang memudharatkan atau merosakkan tubuh badan itu adalah tetap haram.

Berbalik kepada perkara vape, apabila melihat kepada kesan penggunaan vape terhadap kesihatan penggunanya mahupun orang yang berada di sekelilingnya melalui kajian terhadap bahan-bahan e-liquid yang digunakan, didapati bahawa kebanyakan bahan yang digunakan dalam e-liquid dan hasil serta kesan hembusan wap vape yang terdiri daripada nikotin, formaldehida, benzene, asetaldehida dan bahan karsinogenik yang lain boleh mendatangkan risiko dan kemudharatan kepada kesihatan pada jangka masa akan datang seperti kanser, penyakit jantung dan masalah ketagihan. Ini bererti, apabila memakan makanan yang memudharatkan tubuh badan pada dasarnya adalah haram, maka tidak diragukan lagi apa yang dihisap juga tentulah haram kerana ia juga memudharatkan.

2. Menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudharatan atau kebinasaan.

Tindakan untuk menegah perkara-perkara yang boleh membawa kepada kebinasaan, kemudharatan, keburukan atau kerosakan sebelum perkara itu terjadi ada disebut dalam kaedah fiqh sebagai sad adz-dzarâ’i هرَائَعَ)(سَد ُّ الذ yang membawa maksud menutup atau menegah jalan yang menjurus kepada kebinasaan.

Seperti yang diterangkan di atas, pengguna vape dan orang yang ada di sekelilingnya adalah diyakini boleh terdedah kepada berbagai-bagai penyakit kronik yang memudharatkan.

Apa yang lebih membimbangkan dan membahayakan lagi, pada masa kini produk e-liquid yang digunakan untuk kegunaan vape mula disalahguna dengan ciptaan baharu daripada beberapa jenis ekstrak perisa dadah seperti syabu, ganja dan air ketum. Perisa-perisa tersebut ditemui di pasaran bagi memenuhi permintaan sesetengah pengguna vape. Penyalahgunaan tersebut amatlah bahaya kerana bukan sahaja menghisap vape itu boleh mendatangkan penyakit kronik malahan boleh terdedah pula kepada ketagihan dan pengedaran dadah.

Berikutan itu, adalah lebih baik perkara-perkara yang terdedah kepada kemudharatan, kerosakan atau kebinasaan itu ditutup dengan penetapan hukum haram yang berdasarkan kepada kaedah sad adz-dzarâ’i.

3. Pembaziran wang ringgit.

Setakat ini, belum ada kajian yang menunjukkan bahawa penggunaan vape adalah selamat dan memberi manfaat. Bahkan, kajian-kajian yang telah dijalankan banyak menunjukkan kesan penggunaan vape pada jangka masa panjang boleh menimbulkan mudharat terhadap kesihatan tubuh badan. Malahan dikhuatiri pula pada masa akan datang, boleh menambah beban pihak kerajaan dalam menangani penyakit-penyakit kronik yang timbul disebabkan oleh penggunaan vape. Maka dalam hal ini, apakah penggunaan vape atau membelanjakan wang kerana vape itu tidak termasuk dalam kategori pembaziran?

Dalam soal perbelanjaan wang ringgit, Islam cukup mengambil berat tentang penjagaan harta. Membelanjakan harta pada perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat atau yang boleh mendatangkan kebinasaan atau kemudharatan adalah dilarang, kerana ia dianggap sebagai suatu pembaziran yang sangat ditegah oleh syara‘.

Menurut Imam Ibnu Hazam Rahimahullâh dalam kitabnya al-Muhalla bi al-Atsâr menegaskan bahawa pembaziran adalah haram. Yang dimaksudkan dengan pembaziran itu, antaranya ialah:

i. Membelanjakan wang untuk perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah Ta‘ala, sama ada banyak ataupun sedikit, walau sebesar sayap nyamuk sekalipun.

ii. Pembaziran yang tidak ada keperluannya atau tidak diperlukan.

iii. Membuang-buang wang, betapa pun kecil jumlahnya, kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.

Di samping itu, menurut as-Sayyid al-‘Allâmah ‘Umar al-Bashri Rahimahullâh dalam fatwanya seperti yang disebutkan dalam kitab Majmû‘ah Sab‘ah Kutub Mufîdah berkata bahawa jika seseorang itu membuat pengakuan bahawa dia tidak menemui apa-apa manfaat dalam makanan tersebut daripada semua segi, maka eloklah makanan itu diharamkan ke atasnya, kerana yang demikian itu berlaku pembaziran harta. Pembaziran harta itu tidaklah ada bezanya di antara membuangnya ke laut, atau membakar dan selainnya yang dikira sebagai membuang-buang harta itu.

Daripada perkataan para ulama di atas, adalah jelas bahawa membuang-buang harta pada sesuatu yang tidak memberi manfaat, tanpa tujuan, tidak ada keperluan dan lebih-lebih lagi pada perkara yang boleh membawa kepada mudharat adalah haram. Di samping pembaziran harta yang dilarang, pelakunya pula adalah dikategorikan sebagai saudara syaitan sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan janganlah engkau membazir (membelanjakan hartamu pada jalan yang menyalahi syara‘). Sesungguhnya orang-orang yang membazir (membelanjakan harta pada jalan yang menyalahi syara‘) itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya. (Surah al-Isrâ’: 26-27)

Dalam perkara vape, tidak diragukan lagi, penggunaan vape adalah termasuk dalam kategori pembaziran yang ketara dan dicela oleh syara‘ kerana membelanjakan harta pada sesuatu yang tidak memberi apa-apa manfaat, malahan penggunaannya boleh menimbulkan kemudharatan kepada tubuh badan.

Kesimpulan

Setelah meneliti kepada huraian di atas dan seterusnya menilai perkara yang menjadi dasar dalam penetapan hukum vape, dapat disimpulkan bahawa penggunan vape adalah haram menurut syara‘. Pengharaman vape ini adalah lebih menepati kerana ia mendukung untuk memelihara mashlahah dalam kehidupan manusia.

Mashlahah ialah mengambil manfaat dan menolak kemudharatan dengan tujuan untuk memelihara matlamat syara‘, iaitu memelihara agama, memelihara nyawa, memelihara akal, memelihara keturunan dan memelihara harta sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali Rahimahullâhu Ta‘âlâ.

Ini bererti penggunaan vape adalah berlawanan dengan prinsip mashlahah menurut syara‘, maka ia wajib ditinggalkan. Menggunakannya juga adalah haram kerana penggunaan vape boleh membawa kepada kerosakan dan kemudharatan tubuh badan serta menghancurkan matlamat syara‘ dalam kehidupan manusia.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12338