Kedudukan Nasab Anak yang Lahir Kurang daripada 180 Hari dari Perkahwinan Bukan Islam
Soalan: Sepasang suami isteri bukan Islam telah mendapat seorang anak yang lahir kurang daripada 180 hari selepas perkahwinan mereka. Setelah beberapa tahun kemudian, mereka memeluk agama Islam.
Adakah anak mereka itu dikira sebagai anak tidak sah taraf, sedangkan mereka mendapat anak itu sebelum memeluk agama Islam?
Jawapan: Islam sangat menitikberatkan perihal nasab atau keturunan. Ia bukan sahaja membicarakan tentang susur galur keturunan semata-mata bahkan banyak perkara yang terkait dalam kehidupan seharian.
Kewajipan untuk menjaga nasab atau keturunan adalah supaya tidak berlaku kesamaran atau kekeliruan yang boleh menyebabkan berlakunya perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum-hakam Islam seperti perwalian nikah, pembahagian harta waris dan hukum pergaulan seperti batas-batas aurat, masalah batal wudhu’ dan lain-lain.
Nasab Melalui Akad Nikah
Salah satu cara pentsabitan nasab ialah melalui ikatan pernikahan yang sah. Maksud akad nikah yang sah di sini ialah pernikahan yang mengikut kehendak hukum syara‘ jika pasangan tersebut adalah orang Islam. Jika mereka bukan beragama Islam, maka perkahwinan yang dikira sah adalah perkahwinan yang dilakukan mengikut agama atau adat orang bukan Islam itu.
Bagi penetapan nasab melalui firâsh (ikatan pernikahan) pula, hendaklah anak tersebut lahir tidak kurang daripada enam bulan qamariah dan dua lahzhah (satu lahzhah untuk jimâ‘ dan satu lahzhah lagi untuk melahirkan). Pengiraan enam bulan qamariah dan dua lahzhah hendaklah bermula dari waktu suami isteri itu boleh bersatu (jimâ‘) setelah mempunyai akad nikah yang sah sehinggalah anak tersebut dilahirkan.
Dengan demikian, para ulama telah menetapkan hukum bahawa mana-mana anak yang dilahirkan dalam tempoh enam bulan dan dua lahzhah atau lebih yang dikira daripada masa suami isteri boleh bersatu melalui nikah yang sah, maka tsabitlah nasab anak tersebut kepada suami wanita berkenaan dan berjalanlah segala hukum nasab ke atasnya.
Begitu pula sebaliknya, mana-mana anak yang dilahirkan kurang dari tempoh enam bulan dan dua lahzhah dari tarikh mereka bersatu setelah akad nikah yang sah, maka anak itu tidak bersambung nasabnya kepada lelaki yang menjadi suami kepada perempuan yang melahirkannya. Ia hanya dinasabkan kepada ibunya sahaja. Maka jika hendak dibinkan atau dibintikan, bolehlah dibinkan atau dibintikan kepada ibunya atau kepada nama ‘Abdullah atau salah satu daripada Asmâ’ullâh al-Husnâ.
Kedudukan Nikah Orang Kafir Apabila Masuk Islam
Apabila orang kafir masuk Islam, Islam mengi‘tiraf perkara yang mereka lakukan semasa kekafiran mereka sekiranya perkara tersebut memang dii‘tiraf dalam Islam. Namun jika perkara tersebut tidak dii‘tiraf oleh Islam, maka ia menjadi batal dan tidak diterima pakai. Sebagai contoh, Islam mengi‘tiraf pernikahan mereka tanpa wali dan saksi, serta dihukumkan sah, tetapi tidak mengi‘tiraf pernikahan mereka sesama mahram dan membatalkannya. Begitu juga sekiranya mereka menghimpunkan dua adik-beradik perempuan di dalam satu ikatan pernikahan sebelum Islam, maka apabila mereka masuk Islam, Islam memerintahkannya memilih salah seorang daripadanya, kerana pernikahan sedemikian tidak selari dengan hukum syara‘.
Jadi, apabila sepasang suami isteri yang kafir memeluk agama Islam bersama-sama, maka pernikahan yang berlaku ketika masih kafir itu adalah diikitiraf dalam Islam dan mereka tidak dikehendaki memperbaharui pernikahan tersebut, walaupun pernikahan yang dilakukan itu tanpa wali atau saksi, kecuali pernikahan itu pernikahan yang diharamkan dalam Islam seperti pernikahan senasab, sesusuan, mushâharah dan sebagainya. Begitulah yang dipraktikkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kepada mereka yang memeluk Islam pada zaman Baginda. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengakui pernikahan mereka tanpa bertanyakan syarat-syarat yang ada pada pernikahan mereka.
Keadaan ini diperjelaskan lagi dengan sebuah hadits daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, katanya:
Maksudnya: Bahawasanya seorang sahabat bernama Ghailan bin Salamah ats-Tsaqafi memeluk Islam, pada zaman Jahiliyah itu dia mempunyai sepuluh orang isteri dan kesemua isteri-isterinya masuk Islam bersamanya. Maka Nabi Shallâllahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan kepadanya supaya memilih empat orang sahaja daripada mereka itu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Hadits tadi menyatakan bahawa pernikahan orang kafir adalah dihukumkan sah walaupun setelah mereka masuk Islam. Mereka tidak disuruh untuk memperbaharui nikah mereka setelah masuk Islam melainkan pada pernikahan itu terdapat perkara-perkara yang diharamkan oleh lslam seperti perempuan-perempuan yang haram dihimpunkan untuk dijadikan isteri dan haram mempunyai isteri lebih daripada empat orang.
Begitu juga, umpamanya, seorang kafir menthalaq isterinya dengan thalaq tiga semasa masih kafir, kemudian menikahinya semula tanpa isteri itu berkahwin dengan suami baru, lalu apabila kedua-duanya masuk Islam, Islam memerintahkan agar mereka dipisahkan.
Jelasnya, jika perkahwinan mereka semasa kafir telah ditsabitkan sah oleh Islam, maka tsabitlah juga dengan perkahwinan tersebut segala hukum yang berkait dengan pernikahan orang-orang Islam apabila mereka masuk Islam, seperti kewajipan nafkah, perwarisan, penetapan nasab, pengharaman persemendaan, pengguguran thalaq dan kiraan ‘iddah.
Nasab Anak yang Lahir dari Perkahwinan Bukan Islam
Sepertimana yang telah diterangkan, jika perkahwinan orang bukan Islam semasa kafir telah ditsabitkan sah oleh Islam, maka tsabitlah juga dengan perkahwinan tersebut segala hukum yang berkait dengan pernikahan orang-orang Islam, termasuklah penetapan nasab.
Oleh itu, kiraan enam bulan atau 180 hari dan dua lahzhah dalam pentsabitan nasab yang dikira dari tarikh pernikahan hingga anak dilahirkan juga diguna pakai bagi orang kafir yang masuk Islam. Ini kerana pentsabitan nasab yang kurang daripada enam bulan atau 180 hari dan dua lahzhah adalah tidak dii‘tiraf dalam Islam, sedang perkara yang tidak dii‘tiraf dalam Islam yang dilakukan oleh orang kafir semasa kekafiran mereka, adalah dibatalkan dan tidak diterima pakai apabila mereka memeluk Islam, sebagaimana yang telah diterangkan.
Maka apabila mereka memeluk Islam, anak yang lahir cukup enam bulan dan dua lahzhah atau lebih dari tarikh perkahwinan mereka yang dii‘tiraf sah, adalah dinasabkan kepada lelaki yang mengahwini ibunya. Begitu juga, apabila telah tsabit nasab, tsabitlah juga segala hukum nasab ke atasnya seperti pembahagian harta waris, perwalian dan sebagainya.
Berlainan pula halnya, jika anak yang lahir kurang daripada enam bulan atau 180 hari dan dua lahzhah dari tarikh perkahwinan mereka yang dii‘tiraf sah itu, maka anak tersebut tidak dinasabkan kepada lelaki yang mengahwini ibunya. Menurut hukum syara‘, nasab anak tersebut hanya tsabit kepada ibunya sahaja.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12342
