Kedudukan Tanah yang Dijualbeli Melalui Surat Kuasa Guaman (Power Of Attorney) Ditukar oleh Kerajaan Sebagai Tanah Pajakan Sementara (Lease)
Soalan: Kementerian Pembangunan melalui siaran akhbar Borneo Bulletin bertarikh 08hb. Mac antara lain menyatakan bahawa semua tanah di negara ini yang dibeli melalui Surat Kuasa Guaman [Power of Attorney] atau Surat Ikatan Amanah [Deed of Trust] akan ditukar kepada pajakan sementara [Lease] yang bertempoh selama 60 tahun sahaja tanpa membayar ganti rugi atas sebab pemegang/pemilik harta tanah tersebut adalah “pemilik yang tidak layak” [unrightful owner]. Mengikut Kementerian Pembangunan permakluman ini akan berkesan ke atas kira-kira 47,000 perjanjian yang telah dibuat melalui Surat Kuasa Guaman selama ini.
Sehubungan dengan perkara tersebut, dipohonkan fatwa mengenai perkara-perkara berikut:
1. Apakah pandangan hukum syara‘ jika sesebuah akad pertukaran ganti (‘iwadh) yang berasaskan syarat-syarat jual beli (bai‘) yang sah mengikut undang-undang Negara Brunei Darussalam di mana hak milik secara kekal dijual, ditukar tanpa kebenaran penjual dan pembeli oleh pihak berkuasa kepada pajakan sementara (ijârah) enam puluh tahun tanpa ganti rugi?
2. Jika pemakluman Kementerian Pembangunan ini dikuatkuasakan, apakah kedudukan dari segi hukum syara‘ tanah yang sudah dijual sebelum makluman dasar disiarkan, lalu dipaksa menjadi pajakan sementara dibuat secara kebelakangan (retrospective effect), sedangkan wang harga tanah tersebut sudah bertukar tangan dan transaksi mereka tidak menyalahi undang-undang negara selama ini?
Jawapan: Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Kementerian Pembangunan berkaitan perkara Surat Kuasa Guaman (Power of Attorney) dan Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) yang diberhentikan penggunaannya dalam urusan hal ehwal pemilikan tanah di Negara Brunei Darussalam adalah bagi menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui warkah Baginda bilangan HHPO 114/1962/2011/2/VII bertarikh 01hb. Oktober 2011M.
Sehubungan dengan titah perintah berkenaan, turut ditetapkan bahawa pemilikan tanah yang dilaksanakan menerusi penggunaan Power of Attorney (PA) akan didaftarkan dan ditukar kepada pajakan bagi satu tempoh, misalnya 60 tahun.
Kenyataan ini menunjukkan bahawa ketetapan bagi perkara tersebut di atas adalah bersumber daripada titah perintah pihak Kerajaan yang dikepalai oleh raja sebagai waliyy al-amr (ويل األمر) yang memerintah di negara ini.
Dari sudut pandangan Islam, tindakan pemerintah atau pihak yang berkuasa ke atas urusan orang awam hendaklah dipandu oleh lunas-lunas syara‘, sebagaimana juga dalam apa jua perkara. Secara lebih menjurus, selok-belok urusan pemerintahan, pentadbiran dan pengurusan bagi pihak berkuasa telah diatur dan dihuraikan dalam bab as-siyâsah asy-
Al-Bujairimi Rahimahullâh menerangkan bahawa as-siyâsah itu bermaksud menambah baik hal ehwal rakyat dan mengurus tadbir hal ehwal mereka. (Hâsyiyah al-Bujairimi ‘alâ Syarh al-Manhaj: 2/178)
Ibnu an-Nujaim Rahimahullâh pula berkata:
Ertinya: Bahawasanya siyâsah itu ialah suatu tindakan daripada hakim (pihak berkuasa) yang berdasarkan mashlahat menurut pertimbangannya, sekalipun tindakannya itu tidak terdapat dalil khusus mengenainya. (al-Bahr ar-Ra’iq Syarh Kanz ad-Daqâ’iq: 5/18)
Keterangan di atas antara lain menonjolkan peranan mashlahat sebagai salah satu aspek dalam bidang as-siyâsah asy-syar‘iyyah. Jumhûr ulama pula berpendapat bahawa pihak berkuasa mempunyai prosedur siyâsah yang tertentu dalam mentadbir urusan dan menetapkan tindakan terhadap kesalahan orang ramai dengan berpandukan sukat-sukat, kaedah dan garis panduan tertentu yang tidak semestinya disebutkan secara terperinci oleh nash syara‘. Mashlahat merupakan antara sukat-sukat, kaedah dan garis panduan yang dimaksudkan itu. (Radd al- Mukhtâr ‘alâ Durr al-Mukhtâr: 6/20, Tabshirah al-Hukkâm fî Ushûl al-‘Aqdhiyyah wa Manâhij al-Hukkâm: 2/126 dan ath-Thuruq al-Hukmiyyah: 29)
Sehubungan dengan hal ini, kaedah fiqh yang masyhur diguna pakai dalam perkara tersebut ialah:
Ertinya: Tindakan yang diambil oleh imam (ketua/pemerintah) ke atas rakyat hendaklah didasari dengan mashlahat. (Al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir li as-Suyuthi: 1/202)
Syeikh Ahmad az-Zarqa’ Rahimahullâh menerangkan kaedah ini bermaksud bahawa kelulusan tindak-tanduk pihak berkuasa ke atas rakyat dan keterikatannya ke atas mereka, sama ada mereka mahu atau enggan, adalah tertakluk dan terhenti kepada adanya faedah dan manfaat sama ada dari segi agama atau keduniaan di dalam tindakan tersebut. (Syarh al- Qawâ‘id al-Fiqhiyyah: 309)
Mashlahat telah diterangkan oleh al-Imam al-Ghazali Rahimahullâh yang asalnya sebagai setiap sesuatu yang membawa kebaikan dan menolak kerosakan. Dari segi syara‘, bagaimanapun, dijelaskan bahawa mashlalat yang dimaksudkan ialah setiap perkara yang membawa erti pemeliharaan terhadap maqâshid syar‘iyyah yang memfokus lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Setiap perkara yang mengandungi makna memelihara lima perkara ini adalah dinamakan ia mashlahat, sebaliknya setiap perkara yang menghilangkannya dinamakan ia mafsadah (kerosakan). (Al-Mustashfâ: 2/481-482)
Penjelasan di atas menunjukkan bahawa pengertian mashlahat dari segi bahasa semata-mata adalah berbeza dengan pengertiannya dari segi syara‘. Sesuatu perkara adakalanya dilihat sebagai mashlahat menurut pandangan sekumpulan orang, namun tidak semestinya ia dianggap sebagai mashlahat menurut pandangan syara‘. (Al-Madkhal li al-Fiqh al-Islâmi: 256-257)
Dalam ungkapan lain, mashlahat yang diiktiraf oleh syara‘ itu ialah mashlahat yang mempunyai ciri-ciri, syarat-syarat dan ruang lingkup tertentu, bukan mashlahat sembarangan yang hanya bersandarkan kepada akal fikiran manusia semata-mata.
Sebagai contoh, terdapat pembahagian mashlahat dalam aspek penerimaan syara‘ atau sebaliknya, iaitu pembahagian kepada mashlahat mu‘tabarah (mashlahat yang diterima oleh syara‘), mulghah (ditolak oleh syara‘) dan mursalah (tidak diterangkan oleh nash syara‘ sama ada diterima atau ditolak). Terdapat juga pembahagian dari sudut tingkatan manfaatnya, iaitu pembahagian kepada mashlahat dharûriyyât, hâjiyyat dan tahsîniyyât. Ada juga penentuan jenis-jenis mashlahat seperti mashlahat am, aghlabiyyah (kebanyakan) dan khas. Selain daripada itu, mashlahat hendaklah juga memenuhi syarat-syarat dan garis-garis panduan tertentu yang telah dijelaskan oleh para ulama.
Pertimbangan berdasarkan mashlahat mengikut mafhûm dan ruang lingkup sebeginilah yang dimaksudkan oleh ulama sebagai sandaran dalam bidang as-siyâsah asy-syar‘iyyah terutama apabila sumber-sumber pengambilan hukum tidak menjelaskan kedudukan sesuatu perkara secara terperinci.
‘Abdul Wahhab Khallaf menerangkan bahawa as-siyâsah asy-syari‘yyah itu menurut fuqahâ’ adalah memberi ruang kepada para golongan penguasa untuk bertindak sesuai dengan kehendak mashlahat dalam menentukan kedudukan sesuatu perkara selagi ia tidak bertentangan dengan perkara-perkara asas dalam agama sekalipun tidak ada dalil yang khusus menerangkan kedudukan perkara berkenaan. (As-Siyâsah asy-Syar‘iyyah wa Nizhâm ad-Daulah al-Islâmiyyah: 3)
Pemakaian mashlahat dalam as-siyâsah asy-syar‘iyyah membolehkan kedudukan hukum terhadap perkara baharu yang dihadapi oleh manusia dalam kehidupan dikenal pasti. Mashlahat juga berupaya memberikan penjelasan hukum baharu yang berbeza daripada penjelasan yang terdahulu sesuai dengan perubahan terhadap mashlahat yang melingkungi perkara tersebut. Hal inilah yang menjadikan perundangan Islam dan secara lebih khusus perundangan siyâsah Islam menjadi lebih anjal, subur serta serasi dengan realiti sekeliling yang seterusnya menjadikan syariat Islam itu relevan buat selama-lamanya. (Daur al- Mashlahah al-Mursalah fî Ahkâm as-Siyâsah asy-Syar‘iyyah fî ‘Ahd ash-Shahâbah: 55)
Isu pemansuhan Surat Kuasa Guaman (Power of Attorney) dan Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) adalah isu yang berkait dengan aspek mashlahat. Sekurang-kurangnya ada dua mashlahat yang bertembung dalam isu berkenaan iaitu mashlahat pembeli dan juga mashlahat pihak Kerajaan. Mendahulukan salah satu mashlahat akan menyebabkan tidak memihaknya mashlahat yang satu lagi. Memansuhkan sah laku perjanjian yang dibuat menggunakan Surat Kuasa Guaman (Power of Attorney) dan Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) yang zahirnya semacam menyebabkan kerugian ke atas pihak pembeli yang telah membeli hartanah yang ditawarkan kepada mereka menerusi kontrak jual beli yang dianggap sah. Namun, membiarkan hal ini terus berlaku akan membawa kemudharatan tertentu kepada rakyat jati, Kerajaan dan negara secara keseluruhannya.
Syariat Islam telah memberikan pendekatan tertentu bagi menangani perkara seumpama ini. Kaedah fiqh telah menyebutkan bahawa:
Ertinya: Apabila bertembung dua perkara yang membawa kerosakan hendaklah diambil kira kerosakan yang lebih besar iaitu bertindak dengan melakukan perkara yang membawa kerosakan lebih ringan di antara kedua-duanya. (Al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir li as-Suyuthi: 1/145)
Ibnu al-Manzhur Rahimahullâh telah menyatakan fasad atau mafsadah itu adalah lawan bagi kalimah shalâh atau mashlahat. (Lisân al-‘Arab: 5/3412)
Kaedah di atas menjelaskan bahawa prinsip agama Islam itu sebagai agama yang membawa kebaikan dan mendatangkan manfaat kepada manusia serta menghindarkan kerosakan daripada diri mereka.
Berdasarkan prinsip ini, segala yang membawa kerosakan hendaklah dijauhi dan dihindarkan. Walau bagaimanapun, dalam keadaan wujudnya beberapa kerosakan yang bertembungan di antara satu sama lain (mempertahankan satu perkara menyebabkan kerosakan ke atas perkara yang satu lagi) dan tiada cara untuk mengelakkan hal ini daripada berlaku, maka melakukan kerosakan yang paling ringan wajiblah diambil sebagai pilihan demi mengelakkan kerosakan yang lebih besar. (Al-Qawâ‘id al-Fiqhiyyah wa Tathbîqâtuhâ fi al-Madzâhib al-Arba‘ah: 1/230-231)
Ibnu an-Najjar al-Futuhi Rahimahullâh telah menyatakan bahawa menolak perkara yang lebih tinggi (kerosakannya) adalah lebih utama daripada mengelakkan perkara-perkara yang lain. Hal ini adalah sesuatu yang jelas; ia diterima oleh setiap orang yang mempunyai akal yang waras dan disepakati oleh para ilmuan. (Mukhtashar at-Tahrîr Syarh al-Kaukab al- Munîr: 4/448)
Kenapa mafsadah yang dihadapi oleh pihak Kerajaan dianggap sebagai mafsadah yang lebih besar kemudharatannya berbanding mafsadah yang dihadapi oleh pihak pembeli?
Isu penggunaan Power of Attorney dan Deed of Trust bukanlah isu yang menyentuh soal akad jual beli atau pindah milik semata-mata. Sebagaimana dilaporkan, kedua-dua instrumen berkenaan telah pun melibatkan sebanyak kira-kira 47,000 proses pindah milik tanah yang membolehkan pihak-pihak yang diklasifikasikan sebagai “pemilik yang tidak layak” (unrightful owner) menjadi seolah-olah pemegang geran (title) tanah yang sah di negara ini. 47,000 adalah perangkaan yang diberikan ke atas proses yang melibatkan penggunaan instrumen Power of Attorney dan Deed of Trust. Berapakah pula nisbah keluasan tanah secara fizikal yang telah dikuasai atau jatuh ke tangan pemilik-pemilik yang dikatakan tidak layak itu?
Perkara ini hakikatnya adalah satu isu yang sangat serius. Hal ini memberikan gambaran yang amat mengkhuatirkan bahawa sumber-sumber dan keluasan negara sebenarnya telah dihakis atau jatuh ke tangan pihak-pihak yang tidak sepatutnya. Tanpa diragukan lagi perkara ini adalah satu ancaman besar kepada negara. Kita bukan lagi bercakap mengenai kerugian dalam jual beli semata-mata, bahkan isu ini boleh menyangkut kepada isu penaklukan kuasa atau penjajahan, iaitu penjajahan ke atas tanah air dengan cara baharu!
Mafsadah yang dihadapi oleh pihak Kerajaan sebenarnya adalah mafsadah yang melibatkan soal kenegaraan, keselamatan penduduk bahkan kesinambungan generasi rakyat tanah air. Bahkan bukan setakat itu sahaja! Jangan lupa kedudukan agama Islam di negara ini, sama ada dalam perlembagaannya atau dalam pengamalannya. Apa akan jadi jika majoriti tanah airnya didiami, dikuasai dan dimiliki oleh pihak-pihak yang tidak diketahui bangsanya, agamanya dan jati dirinya? Kerana itu, isu ini pada akhirnya akan turut menyangkut soal agama iaitu perkara yang paling utama sekali dipertahankan dan dipelihara. Ia juga menyangkut perkara kewajipan kepada seorang raja yang memerintah sebuah negara Islam yang berdaulat iaitu kewajipan untuk mempertahankan agama Islam yang menjadi sebahagian daripada maqâshid syar‘iyyah. (Al-Mawardi, al-Ahkâm as-Sulthaniyyah: 22)
Di manakah pula kedudukan mashlahat pembeli apabila berhadapan dengan mashlahat Kerajaan? Bukankah telah jelas bahawa pembeli-pembeli yang dimaksudkan bukan terdiri daripada orang-orang yang layak untuk didaftarkan sebagai pemilik tanah yang sah di negara ini? Kita melihat penggunaan Surat Kuasa Guaman (Power of Attorney) dan Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) tidak lebih daripada semata-mata eksploitasi kelemahan yang terdapat dalam undang-undang (legal loophole) atau dalam kata lain suatu helah untuk memintas (sidestep) polisi Kerajaan yang telah dimaklumi. Urusan pemindahan tanah di negara ini bahkan adalah urusan yang mempunyai peraturan yang jelas yang disebutkan dalam aktanya yang tersendiri.
Urus niaga melibatkan proses jual beli hanyalah salah satu sarana (wasâ’il) yang adakalanya perlu dilalui sebelum seseorang itu mendapat kelulusan daripada pihak Kerajaan supaya namanya didaftarkan sebagai pemilik geran tanah yang sah di negara ini. Jika pembeli tidak memenuhi kriteria-kriteria untuk memiliki tanah di negara ini sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam undang-undang, maka dia tidak berhak memaksa pihak Kerajaan untuk meluluskan permohonannya untuk menjadi pemilik tanah secara berdaftar. Proses jual beli pada dasarnya adalah satu proses yang sia-sia (laghâ) sekiranya pihak pembeli tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang dimaksudkan lebih-lebih lagi jika proses jual beli tersebut dilakukan dengan pengetahuan (premeditated) terhadap kesan dan akibatnya.
Dari pandangan syara‘, perkara sebegini boleh dirujuk kepada maksud kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa wasâ’il (sarana) itu adalah mengikut hukum maqâshid (tujuan).
Al-Imam al-Qarafi Rahimahullâh, sebagai contoh, telah menyatakan:
Ertinya: Bahawasanya wasâ’il (sarana) itu mengikut maqâshid (tujuan akhir yang ingin dicapai) dalam ketentuan hukum. (Al-Furuq: 3/190)
Al-Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh pula berkata:
Ertinya: Bahawasanya jalan-jalan yang membawa kepada perkara halal dan haram adalah seumpama perkara halal dan haram itu sendiri. (al-Umm: 5/101)
Berkenaan perkara ini, Ibnu al-Qayyim Rahimahullâh menjelaskan bahawa apabila sesuatu tujuan itu tidak akan dapat dicapai kecuali dengan melalui sebab-sebab dan jalan-jalan yang membawa kepada tercapainya tujuan tersebut, maka jalan-jalan dan sebab-sebab berkenaan adalah mengikut kedudukan hukum tujuan berkenaan. Oleh kerana itu, jalan-jalan dan sebab-sebab yang membawa kepada perkara-perkara yang diharamkan dan perkara-perkara maksiat adalah menurut hukum perkara-perkara yang diharamkan dan maksiat tersebut. (I‘lâm al- Muwaqqi‘în: 4/553)
Agak sukar untuk diterima jika dikatakan bahawa individu-individu yang terlibat melaksanakan proses pindah milik tanah ini tidak mengetahui sejak awal proses sama ada mereka itu adalah orang yang berkelayakan untuk memiliki tanah secara sah di negara ini atau sebaliknya. Selain akta berkaitan yang memang sudah jelas, proses pindah milik tanah pada kebiasaannya dilakukan dengan memeriksa kondisi-kondisi dan kaveat (amaran-amaran mengenai perkara yang hendak dilakukan) tertentu apatah lagi dengan adanya khidmat kepakaran daripada syarikat-syarikat guaman yang biasanya akan dilantik untuk menguruskan hal ehwal jual beli dan juga proses pindah milik, selain penerangan dan nasihat yang pastinya telah diberikan oleh pihak-pihak berkenaan daripada jabatan-jabatan kerajaan yang tertentu. Mengapa jual beli tanah sedemikian itu masih berlaku serta melibatkan pembeli-pembeli yang tidak berkelayakan dalam jumlah yang dilaporkan? Mengapa Surat Kuasa Guaman (Power of Attorney) dan Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) terus disalahgunakan? Alasan terlepas pandang bukanlah alasan yang dapat diterima. Sebaliknya, adalah jelas bahawa penggunaan kedua-dua instrumen berkenaan dengan cara yang sedemikian adalah sesuatu yang disengajakan.
Adalah jelas bahawa penggunaan Surat Kuasa Guaman (Power of Attorney) dan Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust), sebagaimana dinyatakan, adalah digunakan sebagai percubaan atau taktik yang sangat ketara untuk memintas atau membelakangkan polisi atau sekatan-sekatan yang ditetapkan oleh Kerajaan. Agak menghairankan pula jika pembeli-pembeli yang terlibat dalam hal ini kemudiannya digambarkan sebagai pihak yang tidak bersalah. Apa pula motif pihak yang menimbulkan isu ini? Kepentingan apakah dan siapakah yang diperjuangkannya?
Tindakan Kerajaan adalah tindakan yang wajar, sesuai dengan polisi yang diterima umum iaitu mengambil langkah yang difikirkan perlu. Kita hanya perlu mengambil i‘tibâr daripada sejarah bahkan realiti sekeliling masa kini bagaimana beberapa negara telah ditimpa musibah penjajahan walaupun tanpa diangkat senjata. Negara Palestin sendiri dalam sejarahnya yang awal ada tercatat bahawa sebahagian penduduknya begitu ghairah menjual tanah mereka dengan tawaran harga yang sangat lumayan kepada pembeli kaum Yahudi.
Di negara lain, kita dapat melihat bagaimana tanah rizab telah ditukar statusnya, dimajukan dan kemudiannya dijual kepada bumiputera atau bukan bumiputera. Idea asalnya adalah diusulkan untuk tujuan menjana kemajuan dan menarik pelaburan asing. Disebabkan kuasa ekonomi yang agak lemah, bumiputera tidak mampu bersaing untuk merebut semula kawasan mereka. Sebaliknya, dengan peruntukan undang-undang yang longgar ditambah dengan kuasa membeli yang lebih besar, golongan pendatang berjaya menguasai sebahagian besar tanah utama (prime land) yang asalnya menjadi hak eksklusif golongan bumiputera.
Sekarang telah benar-benar berlaku kejadian di mana rakyat jati menumpang di tanah air sendiri atau diusir keluar begitu sahaja dari kampung halaman mereka. Ketuanan rakyat jati di tanah air sendiri kemudiannya menjadi bahan yang dipertikai, manakala kuasa politik sedikit demi sedikit dikuasai oleh pihak pendatang.
Senario-senario ini sewajarnya menjadi pengajaran kepada mana-mana kerajaan supaya sentiasa mengkaji dari semasa ke semasa hal-hal tertentu yang melibatkan kepentingan rakyat dan penduduk terutama rakyat dan penduduk asal di sesebuah negara. Antara langkah-langkah tersebut termasuklah untuk mengemaskini peraturan-peraturan pemilikan tanah yang dapat mengekang sumber-sumber dan keluasan negara daripada terjatuh kepada pihak-pihak yang tidak sepatutnya, lebih-lebih lagi negara yang keluasannya sangat terhad seperti Negara Brunei Darussalam ini.
Sebagaimana disebutkan, dari sudut hukum syara‘, tindakan yang diambil Kerajaan adalah tindakan yang didasari oleh pertimbangan mashlahat. Tidak timbul soal meminda-minda akta atau peraturan dalam hal ini. Tindakan pihak Kerajaan adalah sejajar dengan kehendak penggunaan mashlahat sepertimana yang dilakukan oleh para sahabat, tâbi‘în dan juga ulama. Contoh-contoh penggunaannya oleh golongan-golongan berkenaan boleh ditemui dalam dalil-dalil hujjiyyah mashlahat sebagai sumber penetapan hukum.
Al-Qarafi Rahimahullâh telah berkata:
Ertinya: Bahawasanya pemberian ruang kepada pihak berkuasa (dalam menentukan kedudukan hukum berdasarkan kaedah-kaedah tertentu seperti mashlahat sekalipun tidak diperincikan oleh nash-nash syara‘) dalam bidang siyâsah (syar‘iyyah) itu adalah tidak bercanggah dengan kehendak syara‘, bahkan perkara tersebut mempunyai sandarannya daripada dalil-dalil tertentu dan kaedah-kaedah tertentu, antara yang paling utama ialah disebabkan banyaknya dan tersebarnya kerosakan (pada masa kini) dan juga disebabkan faktor mashlahat mursalah yang telah diguna pakai oleh Imam Malik Rahimahullâh dan sebilangan para ulama sebagai sandaran hukum. (Tabshirah al-Hukkâm fî Ushûl al- Aqdhiyyah wa Manâhij al-Hukkâm: 2/126)
Tidak juga timbul soal tidak adil dalam tindakan pihak Kerajaan dalam isu ini. Adapun langkah pihak Kerajaan menggantikan tanah yang dipindah milik menggunakan proses Surat Akuan Guaman (Power of Attorney) dan Surat Ikatan Janji (Deed of Trust) kepada tanah pajakan sementara (lease) dilihat lebih baik dan dikira lebih bersifat bertimbang rasa daripada membatalkannya secara serta-merta, sekurang-kurangnya pihak-pihak atau individu-individu yang terlibat mempunyai waktu untuk bertindak mengenainya.
Menurut kebanyakan ulama masa kini, langkah seperti inilah antara contoh aplikasi bagaimana mashlahat itu telah diterapkan dalam hal-hal pengurusan dan juga pentadbiran awam. (As-Siyâsah asy-Syar‘iyyah: Mafhûmuhâ, Mashâdiruhâ wa Majâlatuhâ: 217-218)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12346
