Membaik Pulih Bangunan dan Alat Penghawa Dingin Bangunan Khusus Menyimpan Arak
Soalan: Saya berserta kawan-kawan yang beragama Islam bertugas di Brunei Shell Petroleum Co Sdn Bhd, di Jabatan Services, Transport and Logistic (STL) ingin memohon fatwa tentang kemusykilan kami tentang hukum perkara yang diajukan di bawah ini:
Jabatan saya (STL) sudah beberapa tahun dipertanggungjawabkan untuk membaik pulih bangunan (Special Import Service [SIS] store tempat menyimpan minuman arak) dan telah pun memperuntukkan tahunan B$10,000.00 untuk tujuan membaik pulih bangunan dan alat penghawa dingin serta perkara-perkara yang bersangkut-paut dengan bangunan tersebut.
Untuk makluman, bahawa SIS store ini dilengkapi dengan pagar dan tidak terdedah kepada umum, cuma untuk pekerja-pekerja BSP yang bukan beragama Islam saja untuk dapat membuat urusan pembelian dari SIS store tersebut dengan melalui ‘Cit Pembayaran’.
Oleh itu, kami sebagai kakitangan yang bertanggungjawab menguruskan penyelenggaraan di Jabatan STL ini ingin memohon fatwa daripada Pehin Mufti:
a. Apakah kami dikategorikan ‘bersubahat’ dalam hal ini sama ada mengikut Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah Negara Brunei Darussalam ataupun hukum di akhirat?
b. Adakah orang yang bertanggungjawab memberikan kebenaran (approval) untuk memasukkan/import minuman arak ini juga dikira bersubahat dalam hal ini?
Jawapan: Kedudukan Arak dalam Islam
Keharaman arak dalam Islam adalah sudah jelas dan terang disebut dalam al-Qur’an dan hadits.
Dalam al-Qur’an, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah memerintahkan kepada orang Islam supaya menjauhi arak. Firmannya:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengadu nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya itu) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Mâ’idah: 90)
Dalam ayat yang lain pula, Allah Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah al-Baqarah: 219)
Manakala daripada hadits pula, terdapat sepuluh golongan yang dilaknat (dikutuk) oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, kerana keterlibatan mereka dengan arak.
Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Allah melaknat arak, peminumnya, penghidangnya (pelayan arak), penjualnya, pembelinya, pemerahnya, orang yang minta perahkan arak, pembawanya dan orang yang dibawakan kepadanya arak. (Hadits riwayat Abu Daud)
Dalam hadits yang lain, Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaknat dalam (perkara) arak sepuluh (orang): Pemerahnya, orang yang minta diperahkan arak, peminumnya, pembawanya, orang yang dibawakan kepadanya arak, penghidangnya (pelayan arak), penjualnya, orang yang makan harga arak (duit hasil pendapatan arak), orang yang membeli arak dan orang yang membelikan arak bagi orang lain. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Erti laknat itu ialah jauh dari rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau dikutuk oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, dan orang yang dikutuk atau dilaknat oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu adalah sentiasa di dalam dosa besar dan menjadi fâsiq.
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ, termasuk dalam kategori dosa besar itu ialah:
(i) Minum arak sama ada banyak atau sedikit. (ii) Minum air yang memabukkan sekalipun satu titik. (iii) Pemerah arak dan air yang memabukkan. (iv) Minta perahkan arak dan air yang memabukkan. (v) Membawa arak. (vi) Minta bawakan arak untuk diminum. (vii) Menghidangkan arak untuk orang lain minum. (viii) Minta hidangkan arak untuk diminum. (ix) Menjual arak dan membeli arak. (x) Minta jualkan dan minta belikan arak. (xi) Makan harga (hasil pendapatan) arak. (xii) Memegang (menyimpan) arak dan air yang memabukkan. (Az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir, 2: 242)
Malah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga menegah orang Islam menghadiri suatu majlis yang di dalamnya minuman arak dihidangkan sekalipun dia tidak meminumnya.
Jabir Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Dan barang siapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah dia duduk di meja yang berlegar padanya minuman arak. (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Ahmad)
Ini bererti bahawa orang Islam adalah ditegah sama sekali daripada terlibat dengan apa jua urusan yang berkaitan dengan arak, sama ada secara langsung atau tidak, kerana arak itu adalah perkara maksiat dan dosa yang sama sekali ditegah orang-orang Islam daripada berurusan dengannya atau kerananya, termasuk menyediakan segala bentuk kemudahan, sokongan, pertolongan atau kerjasama, sehingga membolehkannya (arak itu) dimiliki, diminum, dihidang, dijual, dibeli, disimpan atau dipamerkan, berdasarkan amaran Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Surah al-Mâ’idah: 2)
Maka berdasarkan kepada dalil-dalil al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam serta keterangan ulama sebagaimana di atas, maka adalah haram dan berdosa besar bagi orang Islam meminum dan berurusan dalam semua hal yang berkaitan dengan arak. Perkara ini termasuklah menyediakan tempat penyimpanan arak itu.
Oleh yang demikian, membaik pulih bangunan dan penghawa dingin stor, khusus bagi penyimpanan minuman arak juga adalah satu bentuk pertolongan dan kerjasama dalam perkara dosa dan maksiat arak ini.
Adapun siapa yang mempunyai kuasa memberikan kebenaran untuk diadakan tempat penyimpanan arak sehingga menjadi tempat jualan arak adalah lebih berat lagi daripada orang yang membaik pulih bangunan atau alat hawa dingin tempat menyimpan arak itu, kerana perbuatan membenarkan itu, kesannya adalah lebih kuat dan menyeluruh menyebabkan arak boleh dijual, dibeli, diminum dan seumpamanya tanpa batasnya.
Adapun dari sudut Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013, perlu difahami bahawa Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 itu diwujudkan antara lain bertujuan menguatkuasakan tuntutan syariat Islam dan bagi mengenakan tindakan terhadap kesalahan-kesalahan zahir yang boleh diambil di sisi undang-undang di dunia ini. Namun tanggungjawab yang lebih besar bagi orang yang beragama Islam ialah perhitungan dosa yang berkaitan dengan arak dan balasan yang akan diterimanya di akhirat kelak.
Kedudukan Arak di Negara Brunei Darussalam
Al-hamdulillâh di atas berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sejak dari 1hb. Disember, 1990, arak telah diharamkan sama sekali sama ada untuk dijual, diedarkan, dipamerkan dan dihidangkan di Negara Brunei Darussalam. Di Negara Brunei Darussalam, arak hanya boleh dibawa masuk oleh orang yang bukan beragama Islam dalam jumlah yang tertentu dan hanya untuk kegunaannya sendiri dan bukan untuk diberikan, dipindah milik atau dijual kepada orang lain.
Oleh yang demikian, kemasukan dan penjualan arak di Negara Brunei Darussalam sebagaimana yang ditanyakan sekalipun tidak secara terbuka dan hanya terhad untuk penjualannya kepada orang yang tidak beragama Islam serta beroperasi di salah sebuah syarikat kepunyaan bersama dengan kerajaan Brunei iaitu Brunei Shell Petroleum BSP sehingga sekarang, merupakan perkara yang perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana ia adalah jelas bertentangan dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan dasar negara yang mengharamkan sama sekali arak dijual, diedarkan, dipamerkan dan dihidangkan di Negara Brunei Darussalam, yang sejarahnya bermula dengan pengharaman arak dihidangkan di dalam semua penerbangan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei RBA pada tahun 1988, pengharaman arak di kelab-kelab Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Polis Diraja Brunei pada tahun 1990 dan pengharaman menyeluruh di akhir tahun 1990 iaitu pada 1hb. Disember, 1990.
Inisiatif pihak kerajaan tersebut adalah suatu tindakan yang selaras dengan tuntutan syara‘. Sewajarnya semua pihak terutama dalam sektor kerajaan dan juga semua agensi yang ada di Negara Brunei Darussalam menyokong secara padu inisiatif tersebut dan memastikan dasar pentadbiran masing-masing selaras dengan dasar negara lebih-lebih lagi yang menyangkut perkara hukum syara‘. Penyelarasan juga mesti dibuat terhadap mana-mana peraturan, perintah atau akta yang menyalahi dasar negara, apatah lagi dalam perkara yang menyalahi hukum syara‘.
Pihak yang berkenaan dan berkepentingan dalam hal ini sewajarnya juga meneliti dan meminda semula peraturan, perintah atau akta yang berkaitan dengan kemasukan dan penjualan arak dengan lebih komprehensif, jika masih terdapat kelemahan pada peraturan, perintah atau akta yang sudah ada berkuatkuasa.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12350
