Mengalis atau Membentuk Bulu Kening Perempuan
Soalan: Mengalis/mencabut kirai (kening) adalah haram, walau bagaimanapun sewaktu melangsungkan perkahwinan, biasanya pengantin perempuan akan dialis kirainya. Dalam hal ini ada yang mengatakan ia mestilah dengan keizinan suami. Akan tetapi ada pula yang mengatakan tidak perlu izin suami, kerana sekali sahaja seumur hidup.
Dipohonkan penjelasan lanjut daripada Pehin Mufti mengenai persoalan ini.
Jawapan: Mengalis atau membentuk bulu kening dengan mencabut atau mencukur adalah haram sebagaimana disebutkan dalam hadits daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Allah melaknat (mengutuk) perempuan-perempuan yang membuat tatu, perempuan-perempuan yang minta dibuatkan tatu, perempuan-perempuan (pendandan) yang mencabut bulu muka (termasuk bulu kening), perempuan-perempuan yang minta supaya dicabut bulu muka (termasuk bulu kening) dan perempuan-perempuan yang merenggangkan gigi demi kecantikan yang merubah ciptaan Allah. (Hadits riwayat Muslim)
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan bahawa perbuatan membuang bulu yang ditegah itu ialah membuang bulu pada kening dan tepi-tepi muka; iaitu bulu yang tumbuh di muka perempuan selain daripada janggut, misai dan ‘anfaqah (bulu yang tumbuh di bawah bibir bawah, atas dagu). Beliau berkata:
Ertinya: Adapun ‘an-nâmishah’: Dengan menggunakan huruf shâd tanpa titik, ialah perempuan yang membuang bulu yang ada di muka. Manakala ‘al-mutanammishah’ ialah perempuan yang meminta supaya dilakukan demikian padanya (dibuang bulu yang ada di mukanya). Perbuatan ini adalah haram kecuali janggut dan misai yang tumbuh di muka perempuan, maka tidak haram membuangnya, bahkan hukumnya adalah sunat di sisi (mazhab) kita.
Menurut mazhab kita: Apa yang telah dibincangkan tentang perkara sunat ialah membuang janggut, misai dan ‘anfaqah. Dan sesungguhnya yang ditegah itu ialah (membuang bulu) pada kening dan tepi-tepi muka.” (Shahîh Muslim bi Syarh al-Imam Abu Zakaria Yahya bin Syarf an-Nawawi: 9/5770)
Membentuk Bulu Kening dengan Izin Suami
Pada asalnya, hukum perempuan membentuk bulu kening dengan mencabut atau mencukurnya adalah haram berdasarkan hadits yang telah disebutkan kerana terdapat unsur penipuan. Namun para ulama asy-Syafi‘iyyah mengharuskan jika isteri berbuat sedemikian kerana tujuan berhias untuk suaminya, dengan syarat ada izin daripada suaminya itu. (Asnâ al-Mathâlib: 1/173, Nihâyah al-Muhtâj: 2/25, Hawâsyi asy-Syeikh asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al-‘Abbadi: 2/128 dan Mughni al-Muhtâj: 1/265)
Asy-Syeikh Asy-Syarbini Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan (diharamkan) ‘at-tanmîsh’ iaitu perbuatan mencabut bulu muka dan kening untuk tujuan kecantikan kerana terdapat pada (melakukan) demikian itu unsur penipuan. Adapun jika suami atau tuan telah mengizinkannya (isteri atau hamba perempuan) untuk (melakukan) sedemikian, maka sesungguhnya (hukumnya) adalah harus, kerana terdapat tujuan berhiasnya (isteri) itu untuknya (suami) dan bahkan dia (suami itu) juga telah mengizinkannya (isteri) untuk (melakukan)nya. (Mughni al-Muhtâj: 1/265)
Pengantin Perempuan Didandan dengan Membentuk Bulu Kening
Pada kebiasaan masyarakat Brunei, pengantin perempuan dihias sebelum dipertemukan dengan suaminya pada hari majlis perkahwinan dan majlis-majlis istiadat sebelumnya. Wajah pengantin perempuan biasanya didandan bagi tujuan menyerlahkan keseriannya. Sesetengah pengantin didandan dengan membuang bulu-bulu di wajah termasuk keningnya. Diriwayatkan bahawa seorang bakal pengantin perempuan sebelum dipertemukan dengan suaminya, hendak didandan dengan menyambung rambutnya yang berguguran kerana penyakit. Perbuatan tersebut ditegah oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagaimana hadits daripada Asma’ binti Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Seorang perempuan datang menghadap Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Dia berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya saya mempunyai seorang anak perempuan bakal menjadi pengantin. Dia ditimpa penyakit sehingga berguguran rambutnya. Adakah saya boleh menyambung (rambut)nya?” Baginda bersabda: “Allah melaknat perempuan yang menyambung (rambutnya dengan rambut lain) dan perempuan yang meminta supaya disambung (rambutnya dengan rambut lain).” (Hadits riwayat Muslim)
Hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Dilaknat perempuan yang menyambung rambutnya, perempuan yang meminta supaya rambutnya disambungkan, perempuan yang mencabut bulu muka (termasuk bulu kening), perempuan yang meminta supaya bulu muka (termasuk bulu kening)nya dicabut, perempuan yang mentatu kulit dan perempuan yang meminta supaya kulitnya ditatu, bukan atas tujuan perubatan. (Hadits riwayat Abu Daud)
Antara sebab pengharaman tersebut ialah kerana terdapat unsur penipuan dan mendedahkan kepada tohmahan. (Asnâ al-Mathâlib: 1/173)
Al-Hâfizh Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata:
Ertinya: Keumumannya (pengharaman membuang bulu wajah termasuk kening) adalah terbatas (diharuskan) dengan keizinan dan pengetahuan suami, jika tidak maka apabila kosong daripada demikian (keizinan dan pengetahuan suami), adalah ditegah (membuang bulu wajah termasuk kening) kerana menyembunyikan atau menyorok (keadaan sebenar). (Fath al-Bâri bi Syarh Shahîh al-Bukhari: 11/575)
Oleh yang demikian, hukum asal perempuan membentuk bulu kening dengan mencabut atau mencukurnya adalah haram melainkan tujuan berhias untuk suami dengan keizinan dan pengetahuannya. Maka sekiranya pengantin perempuan didandan sedemikian tanpa keizinan atau pengetahuan suaminya, ataupun dengan tujuan lain iaitu untuk diperlihatkan atau dipertontonkan kepada orang ramai, maka hukumnya adalah haram juga kerana menyembunyikan atau menyorok keadaan sebenar.
Adapun jika ada yang mengatakan bahawa harus mencabut bulu kening pengantin perempuan itu kerana ia dilakukan hanya sekali seumur hidup sebagaimana disebut dalam persoalan yang diajukan adalah jelas bertentangan dengan hadits di atas yang mengatakan dilaknat perempuan mencabut bulu muka (termasuk bulu kening), perempuan yang meminta supaya bulu muka (termasuk bulu kening)nya dicabut, dan penjelasan ulama mengenainya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12354
