Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المواريث

Pemilikan Harta Hibah

Soalan: Dua tahun sebelum meninggal dunia (2005) datuk sahabat saya pernah berkata kepada ibu sahabat saya (dihadapan anak-anaknya yang lain): “Rumah dan tanah ini awaklah empunya, uruskanlah.”

Oleh sebab proses yang terlalu lama (memohon kebenaran memiliki tanah) sehingga datuk sahabat saya itu meninggal dunia (2007), rumah tersebut kini menjadi rebutan di antara adik-beradik ibu sahabat saya yang masing-masing ingin memiliki rumah tersebut dan hanya tiga orang sahaja yang masih memegang amanah memperakui akan kata-kata al-marhum datuknya. Adakah apa-apa cara bagi memperbetulkan perkara ini kerana anak-anak al-marhum masing-masing sudah memiliki rumah dan dengan sebab itu ibunya diberi rumah tersebut melalui lisan.

Jawapan: Menurut para ulama fiqh, hibah bermaksud pemindahan hak milik sesuatu harta atau benda kepada orang lain tanpa mengharapkan sebarang balasan dan dilakukan semasa pemberi masih hidup secara sukarela dengan menggunakan lafaz îjâb dan qabûl. (Mughni al-Muhtâj: 2/537-538 dan I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/229)

Antara rukun-rukun hibah yang wajib dipenuhi untuk menjadikan urusan hibah itu sah di sisi syara‘ ialah dengan melakukan shîghah (akad) hibah yakni ucapan îjâb daripada pemberi dan ucapan qabûl daripada penerima secara berlafaz sebagaimana yang disebutkan oleh Imam an- Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Minhâj ath-Thâlibîn:

Ertinya: Syarat hibah itu adalah melalui îjâb dan qabûl dengan secara berlafaz. (Minhâj ath-Thâlibîn: 2/293)

Adapun misal shîghah hibah itu ialah seperti si pemberi berkata dengan lafaz îjâb: “Saya beri buku ini kepada Tuan.” Manakala si penerima hibah pula berkata dengan lafaz qabûl: “Saya terima.”

Walaupun shîghah hibah telah sempurna dilafazkan di antara kedua-dua belah pihak, namun perpindahan hak milik bagi harta yang dihibahkan itu belum lagi terjadi selagi harta yang diberikan itu belum berlaku qabdh (penerimaan).

Qabdh dalam Hibah

Sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama mazhab asy-Syafi‘i, qabdh dalam hibah merupakan satu perkara penting dalam menetapkan harta hibah itu telah sempurna dimiliki atau dikuasai oleh orang yang diberi (orang yang menerima hibah).

Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ di dalam kitab Minhâj ath-Thâlibîn:

Ertinya: Dan tidak dimiliki barang yang diberikan (oleh penerima) melainkan dengan penerimaan (barang pemberian) dengan izin pemberi. (Minhâj ath-Thâlibîn: 2/295)

Disebutkan juga oleh Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ di dalam kitabnya Tuhfah al- Muhtâj dan as-Sayyid al-Bakri asy-Syatha Rahimahullâhu Ta‘âlâ di dalam kitabnya I‘ânah ath-Thâlibîn bahawa syarat memiliki barang hibah itu hendaklah penerima hibah menerima barang hibah itu daripada pemberi sama ada diserahkan kepadanya oleh orang yang memberi atau wakilnya atau dia menerima dengan izin daripada orang yang memberi atau izin daripada wakil yang memberi pada menerima barang hibah tersebut. (Tuhfah al-Muhtâj: 6/375 dan I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/239)

Di samping itu, berkata al-Imam al-‘Allâmah Taqiyuddin Abu Bakar dalam kitabnya Kifâyah al-Akhyâr bahawa urusan hibah belum menjadi lâzim (tetap) dan belum lagi dimiliki melainkan setelah berlaku qabdh barang hibah daripada pihak pemberi. (Kifâyah al-Akhyâr: 1/370-371)

Perkara tersebut adalah berdasarkan hadits daripada Ummu Kalthum binti Abu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa ketika Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berkahwin dengan Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ, Baginda bersabda kepada Ummu Salamah:

Maksudnya: Sesungguhnya aku telah menghadiahkan kepada an-Najasyi sejumlah awâqan (unit sukatan) minyak haruman kasturi dan pakaian. Dan sesungguhnya aku tidak melihatnya melainkan dia telah mati, dan aku tidak melihat hadiah yang telah kuhadiahkan kepadanya melainkan ia akan dipulangkan semula. Maka apabila ia (hadiah tersebut) dipulangkan kepadaku, maka ia (hadiah tersebut) adalah untukmu atau untuk kamu. (Hadits riwayat al-Hakim)

Demikian juga hadits daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallâhu ‘anhu berkata berkenaan beberapa sukatan yang diberi khusus kepadanya (‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ): “Jika engkau sudah ambil barang yang aku berikan itu dulu, atau engkau sudah menerimanya, maka ia adalah milikmu. Tetapi ia (barang itu) hari ini (sudah menjadi) harta ahli waris.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Maka, jika tidak disyaratkan pemilikan hibah berdasarkan penerimaan barang hibah oleh orang yang diberi, Sayyidina Abu Bakar tidak akan berkata: “Barang itu sekarang sudah menjadi harta ahli waris.” (Kifâyah al-Akhyâr: 1/370-371)

Daripada perkataan para ulama dan beberapa hadits di atas dapat disimpulkan bahawa harta hibah tidak akan berpindah atau menjadi milik kepada penerima hibah selagi qabdh (penerimaan) belum berlangsung. Namun, jika qabdh telah berlangsung dengan izin pemberi hibah atau wakilnya, maka barulah pertukaran hak milik harta yang dihibahkan itu berpindah atau menjadi milik kepada penerima hibah. Ini bererti, pemberi hibah atau wakilnya masih lagi berhak ke atas barang pemberian tersebut dan dia boleh menarik balik barang hibah berkenaan selagi barang hibah tersebut belum diserahkannya kepada penerima hibah sekalipun shîghah hibah telah dilafazkan.

Cara Qabdh dalam Hibah

Berkata as-Sayyid al-Bakri asy-Syatha Rahimahullâhu Ta‘âlâ di dalam kitab I‘ânah ath- Thâlibîn cara qabdh bagi harta ghair manqûl (tidak alih) seperti tanah dan rumah adalah dengan mengosongkannya bagi memberi kuasa hak milik kepada penerima hibah untuk melakukan tasharruf terhadap harta hibah tersebut. Qabdh juga boleh berlaku dengan penyerahan kunci kepada penerima hibah jika harta hibah itu sesuatu yang bertutup dan mempunyai kunci. Manakala bagi harta manqûl (alih) seperti kapal laut dan binatang, qabdh boleh dilakukan dengan memindahkannya dari tempat asalnya ke tempat lain. Qabdh juga boleh berlaku dengan cara menyerahkannya dengan menghulurkan harta hibah tersebut ke tangan penerima. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/62-63)

Di samping itu, berkata al-Imam al-‘Allâmah Taqiyuddin Abu Bakar dalam kitab Kifâyah al- Akhyâr bahawa cara sesuatu qabdh itu dilaksanakan adalah berdasarkan kepada ‘urf (kebiasaan atau adat setempat). (Kifâyah al-Akhyâr: 1/371)

Apabila dilihat cara qabdh yang dinyatakan oleh para ulama di atas, dapat disimpulkan bahawa pelaksanaan qabdh itu bukan hanya tertumpu pada satu cara tertentu sahaja, namun ia juga boleh mengikut ‘urf sesebuah tempat. Ini bererti, jika ‘urf sesuatu tempat atau masyarakat itu menyatakan bahawa sesuatu perbuatan itu merupakan qabdh, maka itulah yang dinamakan qabdh dan perkara tersebut adalah bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah sepertimana yang disebutkan dalam kitab al-Asybah wa an-Nazhâ’ir:

Ertinya: Sesuatu adat (kebiasaan) dapat ditetapkan sebagai hukum. (Al-Asybâh wa an- Nazhâ’ir: 119)

Berlaku Kematian Sebelum Qabdh

Berkata Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh Ta‘âlâ dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn:

Ertinya: Maka jika salah seorang daripada kedua-duanya (pemberi dan penerima) meninggal dunia sebelum penerimaan (barang pemberian), warisnya yang akan mengganti tempat orang yang meninggal dunia itu sama ada (bagi pihak) penerima atau penyerahan. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/240)

Menurut al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Mughnî al-Muhtâj pula, jika orang yang memberi atau orang yang diberi itu meninggal dunia antara dalam waktu hibah dan qabdh, maka akad hibah tidak akan batal, namun waris pihak pemberi akan mengambil alih untuk penyerahan dan memberi izin untuk qabdh, demikian juga waris pihak orang yang diberi akan mengambil alih untuk urusan qabdh. (Mughnî al-Muhtâj: 2/542-543)

Seterusnya, beliau berkata lagi:

Ertinya: Jika menarik balik oleh pemberi termasuk pemberi hadiah dan pemberi sedekah atau warisnya terhadap izin untuk menerima (pemberian) itu atau mati pemberi atau mati orang yang diberi sebelum menerima (pemberian), (maka) dalam kedua-dua keadaan itu (menarik balik atau mati) batallah izin tersebut. Maka tidak ada kuasa bagi orang yang diutus untuk menyampaikan atau menyerahkan pemberian berkenaan kepada orang yang diberi atau warisnya kecuali dengan izin yang baharu. (Mughnî al-Muhtâj: 2/543)

Daripada perkataan ulama di atas dapat difahami bahawa jika pemberi atau penerima hibah telah meninggal dunia setelah melafazkan akad, maka akad yang telah dibuat tidak akan terbatal sebaliknya waris bagi pihak yang meninggal dunia yang akan menggantikan tempatnya. Walau bagaimanapun dalam perkara qabdh barang hibah, jika pemberi hibah meninggal dunia setelah berlakunya akad hibah, tetapi qabdh barang hibah belum berlangsung, maka kuasa untuk memberi izin bagi melaksanakan qabdh barang hibah tersebut adalah tertakluk kepada waris pihak pemberi sama ada untuk menyerahkan harta hibah tersebut atau sebaliknya.

Kesimpulan

Merujuk kepada persoalan di atas mengenai dengan pemberian tanah dan rumah sahabat Awang, jika pemberian tanah dan rumah tersebut telah memenuhi rukun-rukun hibah dan pelaksanaan qabdh, maka tanah dan rumah tersebut akan berpindah milik dan menjadi hak milik kepada orang yang diberi. Namun, jika hanya akad hibah dilafazkan tanpa pelaksanaan qabdh, maka tanah dan rumah yang hendak diberikan itu masih menjadi hak milik orang yang memberi dan jika dia meninggal dunia, warisnya yang akan berkuasa untuk memberikan keizinan qabdh. Dalam hal ini, jika waris bagi pihak pemberi itu memberi izin untuk diserahkan barang hibah tersebut, maka hak milik barang pemberian tersebut akan berpindah kepada orang yang menerima barang hibah selepas berlangsungnya qabdh dan jika sebaliknya, barang hibah tersebut akan menjadi harta waris.

Walau bagaimanapun, sebagai irsyâd jua, adalah teratur supaya perkara sahabat Awang ini dirujuk kepada pihak Mahkamah Syari‘ah bagi dibuat sebarang pertimbangan dan pengesahan (jika Mahkamah Syari‘ah berbidang kuasa) dalam menentukan sama ada dia layak memilikinya ataupun sebaliknya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12358