Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Perniagaan Kereta Sewa Mayat untuk Kegunaan Non-Muslim

Soalan: Saya adalah seorang yang beragama Islam, saya ingin membeli ‘Kereta Mayat’ untuk disewakan kepada orang yang bukan beragama Islam (non-Muslim). Adakah sebarang hukum yang membenarkan atau menegah saya daripada membuat jenis perniagaan seperti ini?

Jawapan: Antara rukun al-ijârah (sewa-menyewa) yang ada disebutkan dalam kitab-kitab fiqh asy- Syafi‘i ialah manfaat atau perkhidmatan. Di bawah rukun manfaat atau perkhidmatan ini pula telah ditetapkan beberapa syarat, antaranya ialah barang yang disewakan itu hendaklah mempunyai manfaat atau perkhidmatan yang bernilai.

Menurut Imam al-Khathib asy-Syirbini Rahimahullâh dalam kitab Mughni al-Muhtâj bahawa disyaratkan barang yang disewakan itu mempunyai manfaat atau perkhidmatan yang bernilai adalah supaya bayaran duit yang dibayar adalah setimpal atau layak dalam pertukaran manfaat tersebut seperti menyewakan rumah untuk tempat tinggal dan menyewakan minyak kasturi atau jenis haruman lainnya untuk dihidu. Namun, jika manfaat atau perkhidmatan yang dipertukarkan itu tidak ada nilai, sama ada disebabkan oleh keharamannya, kehinaannya atau kekurangannya, maka bayaran duit yang dibayar dalam pertukaran tersebut akan menjadi sesuatu yang sia-sia dan membazir.

Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘alâ Mazhab al-Imâm asy-Syafi‘i menyebutkan juga bahawa yang dimaksudkan dengan manfaat atau perkhidmatan yang bernilai itu ialah sesuatu yang diterima dan diperlukan menurut syara‘ atau ‘urf (mengikut kebiasaan orang ramai) supaya perkhidmatan atau manfaat yang dipertukarkan itu dibayar dengan bayaran yang setimpal, seperti menyewakan rumah untuk tempat tinggal. Namun, jika sesuatu manfaat itu tidak ada nilai menurut syara‘, maka bayaran duit dalam pertukaran manfaat tersebut adalah dianggap sia-sia dan membazir, sedangkan syara‘ melarang daripada segala bentuk pembaziran harta. Sebagai contoh, hukum menyewakan alat-alat yang melalaikan adalah tidak sah kerana alat-alat yang melalaikan itu adalah haram untuk dimanfaatkan menurut syara‘. Demikian juga, tidak sah mengupah pengukir untuk mengukir benda yang bernyawa atau mengupah penyanyi wanita untuk menyanyi kepada bukan mahram, kerana semua itu adalah haram.

Sementara itu, menurut Imam asy-Syirazi Rahimahullâh dalam kitab al-Muhadzdzab bahawa tidak harus menyewakan barang ke atas pelbagai manfaat yang diharamkan kerana manfaat yang diberikan itu hukumnya adalah haram.

Berdasarkan kepada perkataan para ulama di atas, dapat difahami bahawa barang-barang yang disewakan hendaklah mempunyai manfaat yang bernilai iaitu manfaat atau perkhidmatan yang diterima menurut syara‘ atau ‘urf. Ini bererti, jika manfaat atau perkhidmatan yang disediakan itu tidak mempunyai nilai menurut syara‘ atau ‘urf, maka hukum al-ijârah adalah tidak sah dan bayaran duit daripada pertukaran manfaat yang diterima itu akan menjadi sia-sia.

Sebagai contoh, apabila seseorang itu menyewakan rumah untuk digunakan sebagai tempat perjudian, maka dalam hal ini, hukum al-ijârah adalah tidak sah kerana rumah yang disewakan itu dimanfaatkan untuk sesuatu perkara yang diharamkan oleh syara‘. Tidak syak lagi, bayaran duit yang diterima daripada pertukaran manfaat tersebut adalah sia-sia kerana diperolehi daripada jalan yang bâthil dan maksiat. Memakan atau menggunakan sesuatu harta yang diperolehi daripada jalan yang bâthil dan maksiat adalah haram dan amat dilarang dalam Islam.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang bâthil (seperti makan riba, merampas, menipu dan berjudi). (Surah an-Nisâ’: 29)

Acara Pengebumian Mayat Non-Muslim

Secara umumnya, apa jua jenis agama, jika berlaku sebarang kematian, maka acara pengebumian mayat akan dijalankan mengikut adat, kepercayaan dan ajaran keagamaan masing-masing. Ini bererti, pengebumian mayat non-Muslim yang beragama seperti Buddha, Kristian dan Hindu akan dijalankan mengikut adat, kepercayaan dan acara keagamaan masing-masing.

Sebagai contoh, sebagaimana yang diterangkan dalam buku ‘The New Encyclopedia Britannica’, acara pengebumian mayat yang beragama Kristian akan dibawa ke gereja atau ke sebuah tempat untuk diadakan perhimpunan bagi menjalani upacara keagamaan dan penghormatan terakhir bagi mayat berkenaan. Antara ritual yang dilakukan di gereja atau perhimpunan tersebut ialah seperti membaca beberapa bacaan daripada buku agama mereka yang dipimpin oleh paderi dan merenjis air ‘holy water’ pada mayat berkenaan. Setelah itu, mayat berkenaan akan dibawa ke tanah perkuburan dan di sana paderi akan membaca lagi beberapa bacaan atau do‘a tertentu yang dipetik daripada buku agama mereka.

Berdasarkan contoh di atas, difahami bahawa mayat orang Kristian yang dibawa ke gereja atau apa jua tempat perhimpunan itu adalah untuk menjalani upacara khas keagamaan mereka. Ini ternyata adalah satu upacara yang hanya terdapat di dalam agama mereka sahaja dan perkara itu menjadi salah satu syi‘âr atau tanda khusus bagi agama mereka.

Sementara itu, dari pihak orang-orang kafir dzimmi pula, mereka adalah dituntut supaya tidak menzahirkan atau mengiklankan pengebumian mayat dan kematian mereka secara terang-terangan. Perkara ini ada diterangkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab ar-Raudhah ath-Thâlibîn, katanya:

Ertinya: Hendaklah disyaratkan ke atas ahli dzimmah supaya mereka menyembunyikan penanaman mayat mereka dan tidak membawa keluar mayat mereka secara terang-terangan.

Hukum Orang Islam Mengiringi Mayat Non-Muslim

Apabila acara pengebumian mayat non-Muslim diisikan dengan syi‘âr dan ajaran agamanya sendiri, maka orang Islam adalah haram menghadiri atau berurusan dengan mana-mana acara pengebumian mayat non-Muslim kecuali jika mayat non-Muslim itu adalah daripada keluarganya yang kafir.

Perkara tersebut ada disebutkan dalam kitab Hâsyîyatân Qalyubi wa ‘Umairah:

Ertinya: Dan tidak mengapa orang Islam mengiringi mayat keluarganya yang kafir, yakni (hukumnya) tidak makruh.

Dalam hal ini, al-‘Allâmah as-Sayyid ‘Abdullah al-Jardani Rahimahullâh dalam kitab Fath al-‘Allâm menerangkan bahawa dibolehkan bagi orang Islam mengiringi mayat keluarganya yang dekat yang kafir seperti jiran, teman, maulâ dan hamba. Tetapi jika mayat tersebut adalah orang lain, bukan keluarga, maka hukumnya adalah haram berbuat demikian.

Perniagaan Kereta Sewa Mayat untuk Kegunaan Non-Muslim

Merujuk kepada pertanyaan yang dihadapkan, Awang ingin membeli ‘Kereta Mayat’ untuk disewakan kepada non-Muslim. Dengan demikian, bayaran duit yang diterima adalah daripada pertukaran manfaat kereta mayat yang disewakan untuk pengangkutan mayat non- Muslim.

Sebagaimana yang dijelaskan di atas, urusan-urusan pengendalian mayat adalah berkait rapat dengan upacara adat sesuatu bangsa, kepercayaan dan ajaran agama masing-masing. Dalam hal ini, mayat-mayat non-Muslim tersebut akan dibawa ke gereja, tokong, kuil atau ke tempat pengendalian mayat untuk disempurnakan. Ini bererti, walau apa pun bangsanya, upacara pengendalian mayat non-Muslim pasti akan dijalankan dengan adat, kepercayaan dan ajaran agama masing-masing.

Maka dalam hal ini, jelas menunjukkan bahawa penyewaan kereta mayat untuk kegunaan non-Muslim adalah untuk memberi kemudahan bagi menolong mereka untuk menjalani upacara ritual pengebumian mengikut agama mereka. Usaha ini secara langsung membantu orang-orang kafir tersebut berurusan dengan syi‘âr agama mereka kerana sudah pasti kereta mayat tersebut akan digunakan untuk membawa mayat ke gereja, kuil atau seumpamanya dan seterusnya ke tanah perkuburan atau ke tempat pembakaran bagi menyelesaikan upacara ritual pengebumian mereka.

Bantuan atau keterlibatan seorang Islam dalam perkara yang boleh menyumbang kepada kemungkaran atau kemaksiatan adalah dilarang oleh syara‘, apatah lagi jika ia berkaitan dengan perkara yang boleh mencemarkan aqidah. Maka kesannya boleh membawa kepada

Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam kitab az-Zawâjir pula menyebutkan bahawa adalah berdosa besar jika seorang Islam itu membantu dalam melaksanakan perkara dosa atau maksiat dengan apa cara sekalipun.

Sekiranya pun dikatakan penyewaan kereta mayat itu langsung tidak berniat untuk membantu dalam perkara mungkar atau maksiat tetapi hanya bertujuan untuk perniagaan semata-mata, namun perbuatan tersebut tetap dikira sebagai berkaitan dengan memberikan kemudahan dan pertolongan dalam perkara mungkar dan dosa, berupa upacara-upacara keagamaan kufur sedangkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan tegas melarang tolong-menolong dalam perkara dosa dan mungkar dalam firmanNya:

Tafsirnya: Dan janganlah tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum-hukum Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ). (Surah al-Mâ’idah: 2)

Dalam pada itu, membuat perniagaan kereta sewa bagi acara pengebumian mayat non-Muslim adalah tidak memenuhi syarat manfaat atau perkhidmatan dalam rukun al-ijârah, kerana manfaat atau perkhidmatan yang disediakan itu menyumbang kepada perkara mungkar atau maksiat dan ia sama sekali tidak mempunyai nilai menurut syara‘. Apabila manfaat atau perkhidmatan tersebut tidak mempunyai nilai menurut syara‘, maka hukum al-ijârah (sewa-menyewa) adalah tidak sah dan bayaran duit yang diterima daripada pertukaran perkhidmatan tersebut adalah menjadi sia-sia kerana haram dimanfaatkan.

Oleh yang demikian, Awang hendaklah menghentikan niat untuk membuat perniagaan kereta sewa mayat bagi non-Muslim kerana berurusan atau menyumbang apa jua perbuatan dalam perkara maksiat, bâthil atau mungkar adalah dilarang sama sekali dalam agama Islam. Ini termasuklah memberi kemudahan atau pertolongan kepada hal ehwal peribadatan atau keagamaan orang-orang kafir. Semua itu, hendaklah ditinggalkan kerana melakukannya adalah berdosa besar.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12362