Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأيمان والنذور

Persoalan Bernazar untuk Membina Sebuah Masjid

Soalan: Seorang hamba Allah yang telah lama bernazar untuk membina sebuah masjid telah menemui sebidang tanah waqaf, yang sedia ada terbina sebuah bangunan yang belum lengkap (pondok), dan sembahyang lima waktu ditunaikan di sana. Orang yang mewaqafkan tanah tersebut telah meninggal dunia.

Menurut syara‘, jika orang yang bernazar itu membiayai pemajuan pembinaan sebuah bangunan yang lengkap berserta kemudahan-kemudahan masjid di atas tanah waqaf tersebut, adakah tertunai atau tidak nazarnya untuk membina masjid? Adakah dia perlu membeli sebidang tanah dan membina sebuah masjid dari awal?

Jawapan: Nazar dari segi syara‘ ialah perjanjian untuk menunaikan kebajikan yang tertentu sebagaimana disebut oleh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam Mughni al-Muhtâj.

Nazar Membina Sebuah Masjid

Pada dasarnya, sunat membina masjid, meng‘imârahkannya, memeliharanya dan membaiki mana-mana yang rosak atau binasa daripadanya sebagaimana disebut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam al-Majmû‘ berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata: “Aku telah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang membina sebuah masjid kerana Allah, nescaya Allah akan membina untuknya di syurga (binaan) seumpamanya.” (Hadits riwayat Muslim)

Hukum membina masjid adalah sunat, tetapi jika seseorang menazarkannya, hukumnya menjadi wajib.

Pengertian Masjid Asy-Syeikh al-Bujairimi Rahimahullâh dalam Bujairimi ‘ala al-Khathib menghuraikan pengertian masjid:

Ertinya: Dan ia (masjid) adalah sesuatu yang diwaqafkan oleh pewaqaf sebagai masjid, bukan sebagai ribâth (markas) dan bukan sebagai madrasah (tempat pengajian).

Jika seseorang memakukan tikar, baju bulu unta, sajadah atau membina tempat duduk dan diwaqafkannya sebagai masjid, sah waqaf tersebut dan berjalan ke atasnya hukum-hukum masjid.

As-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh menyatakan dalam Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn, jika seseorang mewaqafkan bahagian atas sebuah bangunan atau seumpamanya tanpa turut mewaqafkan bahagian bawah sebagai masjid, maka sah waqaf tersebut sebagaimana sah waqaf sebahagian daripada bangunan atau tanah sebagai masjid. Jelasnya, sesebuah bangunan, tempat atau tanah itu menjadi masjid apabila ia diwaqafkan sebagai masjid, sama ada menggunakan lafaz sharîh (jelas) atau kinâyah (tidak jelas).

As-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh memberikan contoh lafaz waqaf secara sharîh (jelas) itu ialah apabila seseorang berkata: “Aku jadikan tempat ini sebagai masjid.” Menurut pendapat ashah (yang lebih shahîh), jadilah tempat itu sebagai masjid sekalipun hanya dengan lafaz tersebut dan dia tidak menyebut ‘kerana Allah’, kerana sesungguhnya masjid tidak lain kecuali adalah untuk waqaf.

Manakala contoh lafaz kinâyah (tidak jelas) bagi menjadikan sesuatu tempat itu sebagai masjid ialah: “Saya waqafkan tempat ini untuk sembahyang,” dengan syarat disertai niat bagi menjadikan ia masjid, barulah sah waqaf tersebut sebagai masjid. Tanpa niat menjadikan ia masjid, waqaf tersebut hanya sah sebagai tempat sembahyang, tetapi tidak menjadi masjid.

Demikian juga jika seseorang membina sebuah bangunan berbentuk masjid dan memberi izin untuk mendirikan sembahyang di dalamnya, dalam hal ini dia masih mempunyai hak milik terhadap bangunan tersebut iaitu bangunan tersebut belum menjadi masjid, melainkan jika dia mengizinkan untuk beri‘tikâf di dalamnya, barulah bangunan tersebut menjadi masjid kerana i‘tikâf pasti bersangkutan dengan masjid berbanding sembahyang.

Imam ar-Ramli Rahimahullâh menyebutkan dalam Nihâyah al-Muhtâj:

Ertinya: Dan tidak termasuk dalam (pengertian) ‘masjid’; ribâth (markas), mushallâ (tempat menunaikan sembahyang) Hari Raya dan sesuatu yang dibina dalam bentuk masjid di atas tanah yang disewa dan orang yang membinanya memberi keizinan untuk sembahyang di dalamnya.

Oleh yang demikian, tanah waqaf yang sedia ada terbina sebuah bangunan yang belum lengkap dan sembahyang lima waktu ada ditunaikan di sana, jika tidak diniatkan sebagai masjid, maka ia bukan masjid, tetapi hanya sebagai mushallâ atau tempat sembahyang sahaja. Berlainan jika tanah tersebut diwaqafkan sebagai masjid, maka tanah dan bangunan tersebut adalah masjid.

Syarat Pewaqaf Dipatuhi

Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj mengertikan waqaf sebagai:

Ertinya: (Waqaf dari segi syara‘ ialah): Menahan harta yang boleh dimanfaatkan dalam keadaan harta tersebut adalah kekal mata bendanya, dengan melepaskan penggunaan (harta yang diwaqafkan itu oleh pewaqaf) daripada tanggungannya untuk keperluan yang diharuskan.

Ini bererti apabila sesuatu waqaf itu telah tsabit, maka hak milik atas benda atau sesuatu yang diwaqafkan itu berpindah dari milik orang yang mewaqafkannya kepada milik Allah Ta‘ala. Perkara ini ditegaskan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam Minhâj ath-Thâlibîn:

Ertinya: Menurut pendapat al-azhhar bahawa hak milik pada sesuatu barang yang diwaqafkan itu berpindah kepada Allah Ta‘ala yakni terlucut (hak milik tersebut) daripada kuasa khusus manusia, maka ia tidak lagi menjadi hak milik kepada orang yang berwaqaf dan juga tidak menjadi hak milik kepada orang yang diwaqafkan ke atasnya.

Jika orang yang berwaqaf meletakkan syarat-syarat tertentu terhadap waqafnya seperti tanah yang diwaqafkannya itu adalah untuk tapak membina masjid, maka segala syarat-syaratnya itu mesti dipatuhi. Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam Minhâj ath-Thâlibîn mengenai kewajipan mengikut syarat-syarat pewaqaf:

Ertinya: Menurut pendapat al-ashah (yang lebih shahîh), sesungguhnya jika seseorang berwaqaf dengan mensyaratkan supaya (waqafnya itu) tidak disewakan, (maka hendaklah) dipatuhi syaratnya itu. Dan sesungguhnya jika seseorang mensyaratkan waqaf masjid (penggunaannya) khusus kepada satu golongan seperti pengikut mazhab Syafi‘i, maka (hendaklah dipatuhi syarat) dikhususkan (sedemikian). Demikian juga (jika ada pengkhususan untuk) sekolah dan markas.

Oleh yang demikian, tanah waqaf jika hendak dimajukan, hendaklah menurut syarat yang diletakkan oleh orang yang berwaqaf jika terdapat syarat yang telah diletakkannya. Jika sesuatu tanah itu diwaqafkan untuk membina masjid, maka adalah wajib pihak penguasa atau nazhîr waqaf memastikan agar tanah yang diwaqafkan itu tidak dimajukan selain digunakan untuk membina masjid. Demikian juga, jika sesuatu tanah itu diwaqafkan untuk membina tempat sembahyang seumpama mushallâ atau surau sahaja dan bukan masjid, maka adalah wajib pihak penguasa atau nazhîr waqaf memastikan agar tanah yang diwaqafkan itu tidak dimajukan selain digunakan untuk membina tempat sembahyang atau surau sahaja dan tidak harus dimajukan pembinaannya sebagai masjid.

Adakah Tertunai Nazar Membina Masjid dengan Memajukan Pembinaan Bangunan Belum Lengkap di atas Tanah Waqaf?

Bagi menjawab soalan yang diajukan, adakah tertunai nazar untuk membina masjid dengan memajukan pembinaan bangunan masjid yang lengkap di atas tanah waqaf yang sedia ada terbina bangunan yang belum lengkap dan sembahyang lima waktu ada ditunaikan di situ, maka orang yang bernazar tersebut hendaklah terlebih dahulu memastikan kepada nazhîr waqaf tentang niat dan syarat pewaqaf tanah tersebut.

Jika tanah waqaf tersebut tidak diniatkan sebagai masjid, tetapi hanya sebagai mushallâ atau tempat sembahyang, maka tanah waqaf tersebut bukan masjid dan tanah itu adalah tanah waqaf mushallâ atau tempat sembahyang sahaja. Oleh itu, tidak sah menunaikan nazar membina atau memajukan pembinaan masjid di tanah waqaf mushallâ tersebut kerana menyalahi niat dan syarat pewaqaf tanah itu. Maka orang yang bernazar untuk membina masjid tersebut hendaklah membina masjid di atas tanah mawât iaitu tanah yang belum pernah dimajukan atau tanah yang diwaqafkan untuk masjid tertakluk kepada syarat pewaqaf tanah tersebut sama ada membenarkan pemajuan pembinaan bangunan masjid di sana atau tidak, bagi menunaikan nazarnya untuk membina masjid.

Berlainan jika tanah waqaf tersebut diniatkan sebagai masjid, maka sah menunaikan nazar membina atau memajukan pembinaan bangunan masjid yang lengkap pada tanah dan bangunan masjid sedia ada dan belum lengkap itu, namun tertakluk kepada syarat pewaqaf awal sama ada membenarkan pemajuan pembinaan bangunan masjid tersebut atau tidak.

Jika syarat pewaqaf awal membenarkan pemajuan pembinaan bangunan masjid yang lengkap, hendaklah diperhatikan juga perkakas bangunan masjid yang belum lengkap itu; kayu-kayu dinding, atap yang masih baik dan seumpamanya tidak boleh dijual dan sebagainya, ia hanya boleh digunakan untuk kepentingan pembinaan masjid jua. Namun jika perkakas tersebut rosak atau pecah dan tidak elok untuk digunakan lagi, maka ia boleh dijual. Pendapat ini disandarkan kepada apa yang dijelaskan oleh para ulama mazhab asy-Syafi‘i.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam Minhâj ath-Thâlibîn menyebutkan:

Ertinya: Dan pendapat yang ashah ialah harus menjual tikar masjid jika ia buruk dan pohon kurmanya jika patah, dan tidak layak melainkan untuk dibakar.

Menurut Imam al-Qalyubi Rahimahullâh dalam Hâsyiyatân Qalyubi-Umairah, pendapat ini adalah yang mu‘tamad. Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh pula menerangkan dalam Mughni al-Muhtâj bahawa keharusan menjualnya itu ialah supaya tidak hilang (dengan dibakar) dan menyempitkan kawasan tanpa sebarang faedah.

Manakala Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh menyebutkan perkara ini dalam Tuhfah al-Muhtâj:

Ertinya: Maka perolehan yang sedikit daripada penjualannya (perkakas) yang kembali untuk waqaf itu lebih utama daripada hilangnya (kerana dibakar), dan ia dikecualikan daripada perkara penjualan waqaf kerana ia seolah-seolah sudah tidak ada, dalam pada itu disalurkan harga jualan berkenaan bagi tujuan kemashlahatan masjid.

Oleh itu, perkakas yang telah rosak dan tidak dapat digunakan lagi untuk bangunan masjid yang baharu, dan apabila disimpan akan menyempitkan ruangan masjid adalah harus dibakar. Dalam keadaan ia harus dibakar itu ia juga harus dijual, malah menjualnya adalah lebih utama kerana hasil jualannya itu dapat digunakan untuk kemashlahatan masjid sekalipun ia sedikit, berbanding dengan hilang kerana dibakar.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12366