Persoalan Mengenai Mahram Mu’aqqat
Soalan: Menurut apa yang saya fahami, apabila seseorang lelaki itu berkahwin, beliau dengan sendirinya haram menikahi ibu mertua, ibu tiri, anak menantu dan anak tiri yang semua mereka ini termasuk dalam kategori haram mu’abbad. Saya pernah dikhabarkan bahawa anak saudara perempuan kepada isteri pula adalah haram mu’aqqat kepada lelaki tersebut, iaitu haram menikahinya selagimana hubungan beliau masih terjalin dengan si isteri dan halal baginya menikahi anak saudara isteri jika beliau berpisah dengan si isteri sama ada cerai hidup atau mati. Soalan saya ialah: 1. Siapakah orang-orang yang termasuk dalam kategori haram mu’aqqat? 2. Apakah hukum bersalaman tangan dengan orang-orang yang haram mu’aqqat, sama ada berserta syahwat atau tidak? 3. Bagaimanakah pula batas aurat di antara suami dengan anak saudara perempuan si isteri? 4. Apakah hukum bersalaman dengan isteri kepada anak saudara lelaki isteri? 5. Apakah hukum menikahi bekas isteri anak saudara lelaki isteri?
Jawapan: Fuqahâ’ telah menerangkan pengertian mahram (ُمرم ) sebagaimana berikut: ▪ As-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan bahawasanya para ulama telah menta‘rîfkan mahram itu sebagai orang (perempuan) yang haram dinikahi buat selama-lamanya atas sebab yang mengharuskan pengharamannya. (Hasyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/493) ▪ Imam an-Nawawi Rahimahullâh pula berkata:
Ertinya: Hubungan mahram, adalah ia hubungan yang mengharamkan ikatan pernikahan buat selama-lamanya. (Raudhah ath-Thâlibîn wa ‘Umdah al-Muftin: 5/447)
Demikian antara keterangan yang menyebutkan tentang pengertian mahram. Berdasarkan keterangan-keterangan tersebut, dapat difahami bahawa ungkapan mahram itu - menurut istilah fuqahâ’ - adalah merujuk secara khusus kepada orang yang haram dinikahi buat selama-lamanya.
Dalam bahasa Arab, orang yang haram dinikahi juga dikenali sebagai muharramât an-nikâh
Fuqahâ’ menerangkan bahawa orang yang haram dinikahi itu ada dua jenis. Berkata al- Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh:
Ertinya: Perempuan yang haram dinikahi itu ada dua jenis (pengharamannya): Haram buat selama-lamanya dan haram bukan buat selama-lamanya. (Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al- Khathib: 4/163)
Juga telah diterangkan oleh fuqahâ’ bahawa ada tiga sebab yang menjadikan hubungan perkahwinan itu diharamkan buat selama-lamanya iaitu sebab kekeluargaan, penyusuan dan atas sebab ikatan perkahwinan yang telah dijalin.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan baginya (hubungan mahram) ada tiga sebab: Kekeluargaan, penyususan dan kekeluargaan melalui perkahwinan. (Raudhah ath-Thâlibîn wa ‘Umdah al-Muftin: 5/447)
Soalan 1: Mahram Mu’aqqat
Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘alâ Madzhab al-Imam asy-Syafi‘i, perempuan yang haram dinikahi secara mu’aqqat itu telah diertikan sebagai perempuan yang haram dinikahi oleh seseorang atas satu sebab daripada sebab-sebab yang tertentu, apabila hilang sebab tersebut maka hilanglah juga hukum haram menikahi perempuan tersebut. (Al-Fiqh al-Manhaji: 4/30)
Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah pula telah menerangkan bahawa perempuan yang haram untuk dinikahi secara mu’aqqat (احملرمات َترُيا مؤقتا ) ialah perempuan yang hukum haram menikahi mereka itu tidak kekal kerana sebab pengharamannya yang bersifat tidak kekal, sebaliknya ia berkemungkinan boleh hilang pada suatu masa. (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah al- Kuwaitiyyah: 36/210)
Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, jelaslah bahawa istilah “orang-orang yang haram mu’aqqatah” yang dimaksudkan dalam soalan yang diajukan adalah merujuk kepada pengertian perempuan yang haram dinikahi secara ghair mu’abbad (tidak kekal) iaitu istilah yang digunakan oleh fuqahâ’ terdahulu atau perempuan yang haram dinikahi secara mu’aqqat iaitu suatu ungkapan yang lebih meluas penggunaannya zaman mutakhir ini.
Para fuqahâ’ telah menerangkan sebab-sebab seorang perempuan itu haram dinikahi buat sementara waktu sebagaimana berikut:
1. Perkahwinan yang menyebabkan dua beradik dimadukan (ْياِلمع ب ْي األخت ).
Menurut hukum syara‘, adalah haram memadukan (menghimpunkan dalam satu ikatan perkahwinan) dua beradik sama ada dua beradik kerana keturunan (النسب) atau dua beradik kerana penyusuan (الرضاع) dan sama ada pernikahan ke atas kedua-dua beradik itu dilakukan serentak atau pada waktu berasingan.
Sekiranya akad pernikahan ke atas dua beradik dilakukan secara serentak, kedua-dua akad berkenaan adalah terbatal. Jika dilakukan pada dua waktu yang berbeza, maka akad pernikahan yang terbatal adalah akad yang dilakukan lebih terkemudian di antara kedua-duanya. (Raudhah ath-Thâlibîn: 5/456 dan Nihâyah al-Muhtâj: 6/278)
Allah Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Dan (diharamkan) kamu (berkahwin dengan) menghimpunkan di antara dua beradik (pada nasab atau susuan termasuk ibu saudara dari sebelah ibu atau bapa) kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu (dimaafkan pernikahan yang dilakukan pada zaman jahiliyyah seperti pernikahan dengan menghimpunkan di antara dua beradik ketika mana hukum haramnya belum lagi diketahui bagi sesiapa yang bertaubat dan mentaati perintah Allah apabila dia masuk ke dalam agama Islam). (Surah an-Nisâ’: 23)
Selain daripada keterangan hukum di atas, fuqahâ’ juga telah menerangkan bahawa seorang perempuan haram dimadukan dengan perempuan-perempuan daripada golongan berikut:
i. Emak saudaranya sama ada daripada sebelah bapanya (عمة) atau daripada sebelah ibunya ( خالة ).
ii. Anak perempuan adik-beradik si isteri sama ada adik-beradik perempuan si isteri atau adik beradiknya yang lelaki (anak saudara isteri).
iii. Anak-anak perempuan kepada anak adik-beradik isteri. (Raudhah ath-Thâlibîn: 5/457 dan Mughni al-Muhtâj: 3/239-240)
Antara dalil yang menjadi sandaran dalam perkara ini ialah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa beliau telah berkata:
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menegah seorang perempuan dimadukan dengan emak saudaranya sebelah bapanya, atau (dimadukan) seorang emak saudara sebelah bapa dengan anak perempuan adik-beradik lelakinya atau (dimadukan) seorang perempuan dengan emak saudaranya sebelah ibunya atau (dimadukan) emak saudara sebelah ibu dengan anak perempuan adik-beradiknya yang perempuan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Dalam perkara ini, fuqahâ’ ada menggariskan satu kaedah yang digunakan untuk mengenal pasti siapakah perempuan-perempuan yang haram dimadukan itu, iaitu:
Ertinya: Diharamkan memadukan dua orang perempuan di antara kedua-duanya ada hubungan kerabat atau penyusuan yang jika (ditakdirkan) salah seorang daripada mereka adalah lelaki nescaya dihukumkan haram perkahwinan sesama mereka itu. (Raudhah ath-Thâlibîn: 5/457)
Al-Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh telah menerangkan:
Ertinya: Dan apabila Allah Ta‘ala mengharamkan perbuatan menghimpunkan di antara kedua-duanya (memadukan seorang perempuan dengan adik-beradiknya), maka perkara itu menunjukkan bahawa tidak diharamkan menikahi salah seorang daripada kedua-duanya selepas yang lain (dikahwini salah seorang daripada mereka sesudah yang seorang lagi dijadikan isteri tetapi telah diceraikan atau meninggal dunia). (Kitab al-Umm: 6/7)
Keterangan ini pada dasarnya menunjukkan bahawa perempuan-perempuan dalam golongan yang disebutkan di atas tidak haram untuk dikahwini apabila seorang lelaki tidak lagi berada dalam ikatan perkahwinan dengan salah seorang daripada mereka.
Sebagai contoh, seorang lelaki harus berkahwin dengan adik-beradik isteri apabila isterinya telah meninggal dunia atau apabila isterinya itu diceraikan.
Dalam hal seorang suami yang menceraikan isterinya, Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan bahawa:
Ertinya: Dan sekiranya seorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan kemudian dia menceraikannya dan dia hendak pula mengahwini adik-beradik perempuan atau emak saudara perempuan tersebut sebelah bapanya atau emak saudara perempuan itu sebelah ibunya, ataupun seorang lelaki telah berkahwin dengan empat orang perempuan dan dia telah menceraikan mereka kesemuanya dan dia hendak berkahwin dengan selain daripada empat orang perempuan yang telah diceraikannya itu atau dia menthalaq salah seorang daripada empat orang isterinya dan hendak berkahwin dengan perempuan yang lain lagi, maka jika thalaq itu dijatuhkan sebelum berlaku persetubuhan (dengan isteri atau isteri-isteri lelaki berkenaan) sah pernikahannya (dengan adik-beradik bekas isteri atau perempuan selain empat orang isterinya) tanpa perselisihan pendapat para ulama kerana tiada ‘iddah yang perlu dinantikan daripada perceraian dengan bekas isterinya. Dan sekiranya thalaq (dijatuhkan) setelah berlaku persetubuhan (dengan isteri atau isteri-isteri lelaki berkenaan) maka jika thalaq berkenaan adalah thalaq raj‘i tidak sah pernikahannya (dengan adik-beradik bekas isteri atau perempuan selain empat orang isterinya) sebelum habis ‘iddah isteri yang diceraikan dengan thalaq raj‘i itu dan sekiranya thalaq berkenaan adalah thalaq bâ’in sah menurut pendapat mazhab kami sebelum habis ‘iddah isteri yang diceraikan dengan thalaq bâ’in itu. (Al-Majmû‘ Syarh al- Muhadzdzab: 17/333)
2. Berkahwin lebih daripada empat orang perempuan.
Seorang lelaki yang merdeka tidak harus berkahwin lagi dengan perempuan lain apabila dia sudah mempunyai empat orang isteri.
Sekiranya akad pernikahan dilakukan, sebagai contoh, ke atas lima orang perempuan sekaligus, maka kesemua akad pernikahan itu adalah terbatal. Jika dilakukan secara satu persatu, akad yang terbatal ialah akad pernikahan yang dilakukan terkemudian daripada empat akad pernikahan yang awal. (Raudhah ath-Thâlibîn: 4/459 dan Nihâyah al- Muhtâj: 6/280)
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: (Apabila kamu berkahwin dengan mereka) maka kahwinilah sesiapa yang baik bagi kamu daripada perempuan-perempuan (lain); dua, tiga atau empat. (Surah an-Nisâ’: 3)
Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa tatkala Ghailan ats-Tsaqafi memeluk Islam, dia mempunyai sepuluh orang isteri. Maka mengenai perkara tersebut, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Kekalkanlah empat orang sahaja (daripada jumlah sepuluh orang isterinya) dan ceraikan yang lainnya. (Hadits riwayat Ibnu Hibban)
Berdasarkan keterangan daripada Imam an-Nawawi Rahimahullâh yang dibawakan di atas, seorang lelaki yang mempunyai empat orang isteri hanya boleh berkahwin dengan perempuan yang seterusnya setelah dia menceraikan sekurang-kurangnya salah seorang daripada empat orang isterinya itu dengan thalaq bâ’in. Jika dia menceraikan isterinya itu dengan thalaq raj‘i, dia boleh berkahwin dengan perempuan yang seterusnya setelah tamat ‘iddah isteri yang diceraikan itu. (Al-Majmû‘: 17/333, Nihâyah al-Muhtâj: 6/280 dan Mughni al-Muhtâj: 4/242)
Lelaki berkenaan juga harus berkahwin dengan perempuan lain apabila salah seorang daripada isterinya telah meninggal dunia.
3. Perempuan yang diceraikan dengan thalaq tiga.
Bagi perempuan yang diceraikan dengan thalaq tiga, bekas suaminya tidak harus mengahwininya semula sehinggalah berlaku perkara-perkara berikut:
i. Isteri yang diceraikan itu berkahwin lagi dengan lelaki lain dengan perkahwinan yang sah;
ii. Berlaku persetubuhan di antara isteri yang diceraikan dengan suaminya yang baharu;
iii. Berlaku perceraian di antara isteri yang diceraikan dengan suaminya yang baharu itu; dan
iv. Selesai ‘iddah daripada perceraian dengan suami yang baharu itu.
Hanya apabila perkara di atas berlaku, barulah suami yang pertama harus berkahwin semula dengan bekas isterinya dengan mengadakan akad pernikahan yang baharu. (Raudhah ath-Thâlibîn: 4/462 dan Nihâyah al-Muhtâj: 6/280-281)
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Kemudian jika suami menceraikan isterinya (bagi kali yang ketiga), maka tidaklah halal perempuan itu baginya melainkan sesudah dia bernikah dengan suami yang lain (dan bersetubuh dengannya). Kemudian setelah suami yang lain itu menceraikannya (dan setelah habis ‘iddahnya), maka tidaklah mengapa kedua-duanya (si isteri dan bekas suaminya yang lama) untuk kembali (bernikah semula dengan akad yang baharu) jika kedua-duanya merasa akan dapat menegakkan hukum-hukum Allah. Dan demikianlah hukum-hukum Allah diterangkanNya kepada golongan yang (mahu) mengetahui. (Surah al-Baqarah: 230)
‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ meriwayatkan bahawa isteri Rifa‘ah al-Qurazhi Radhiallâhu ‘anhu telah datang menemui Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan beliau berkata: “Aku adalah isteri Rifa‘ah. Dia menceraikan aku dengan thalaq tiga, lalu aku berkahwin dengan Abdul Rahman bin az-Zubair Radhiallâhu ‘anhu. Tetapi semasa aku bersamanya dia seperti rumbai kain (kiasan yang menunjukkan ketidakupayaan untuk bersetubuh).” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pun bersabda:
Maksudnya: Adakah kamu ingin kembali semula kepada Rifa‘ah? (Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam meneruskan sabda Baginda lagi): “Tidak boleh, sehinggalah kamu merasai kemanisannya dan dia merasai kemanisan kamu (iaitu bersetubuh).” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Keterangan-keterangan di atas adalah keterangan-keterangan yang lazim ditemui dalam kitab-kitab fiqh mu‘tabar yang menyentuh mengenai sebab-sebab yang menjadikan seorang perempuan itu haram dinikahi buat sementara waktu.
Dalam sesetengah kitab fiqh masa kini, ada disenaraikan beberapa lagi golongan perempuan yang haram dinikahi secara mu’aqqat berdasarkan alasan serupa yang dikemukakan oleh fuqahâ’ terdahulu. Mereka itu ialah:
1. Perempuan kafir yang tidak diturunkan kitab ke atas kaumnya.
Seorang lelaki beragama Islam haram mengahwini perempuan kafir yang tidak diturunkan Kitab samawi ke atas kaumnya seperti kaum penyembah berhala (ونثىن) dan penyembah api (َموسى ) kecuali setelah perempuan kafir tersebut memeluk Islam. (Nihâyah al-Muhtâj: 6/289-290)
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: (Wahai orang-orang Islam!) Janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan musyrik sehingga mereka beriman (memeluk agama Islam). (Surah al-Baqarah: 221)
2. Perempuan yang bersuami.
Seorang perempuan yang bersuami serta masih lagi dalam jagaan suaminya tidak harus dikahwini oleh lelaki lain kerana antara syarat sah perkahwinan itu hendaklah perempuan yang hendak dinikahi itu kosong daripada ikatan perkahwinan dengan lelaki lain. (Nihâyah al-Muhtâj: 6/201 dan I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/472)
Allah Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Dan (diharamkan kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan yang bersuami. (Surah an-Nisâ’: 24) Perempuan yang bersuami hanya boleh dikahwini setelah suaminya meninggal dunia atau setelah dia diceraikan oleh suaminya.
Namun, perlu difahami bahawa perempuan yang kematian suami atau yang diceraikan oleh suaminya adalah diwajibkan untuk menjalani ‘iddah. Maka, selama tempoh ‘iddahnya itu dia belum boleh lagi (haram) dinikahi oleh lelaki lain.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu berazam (untuk) berakad nikah (dengan menetapkan waktunya) sebelum habis ‘iddah yang ditentukan.
(Surah al-Baqarah: 235)
Hanya setelah tamat ‘iddahnya daripada suami yang meninggal dunia atau daripada perceraian dengan suaminya itu, barulah dia halal untuk dinikahi oleh lelaki lain. (Nihâyah al-Muhtâj: 6/201 dan I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/472)
3. Perempuan murtad.
Dalam mazhab asy-Syafi‘i, perempuan murtad tidak halal dinikahi oleh sesiapa sahaja, tidak kira sama ada dia beragama Islam atau orang kafir.
Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh berkata:
Ertinya: (Dan tidak halal seorang perempuan murtad kepada sesiapa pun), tidak (halal) kepada seorang lelaki beragama Islam kerana dia (perempuan murtad) itu merupakan orang kafir yang tidak dii‘tiraf agamanya dan tidak (halal juga) kepada orang kafir asli kerana masih ada hubungan (agama mereka itu) dengan agama Islam, dan (tidak halal juga) kepada lelaki murtad, kerana tujuan daripada pernikahan itu ialah keberkekalan sedangkan orang yang murtad tiada kekekalan (disebabkan mereka adalah dijatuhkan hukuman bunuh sampai mati). (Mughni al-Muhtâj: 4/317)
Dalam undang-undang Islam, orang yang melakukan kesalahan murtad dijatuhi hukuman bunuh sampai mati. Pesalah murtad, bagaimanapun, diberikan peluang untuk bertaubat terlebih dahulu sebelum hukuman bunuh dijalankan ke atasnya.
Sekiranya pesalah murtad itu enggan bertaubat, maka dia akan dibunuh dengan serta-merta. Sebaliknya jika dia bertaubat, maka hukuman bunuh akan ditarik balik dan sahlah dia menjadi penganut agama Islam semula. (Nihâyah al-Muhtâj: 7/419)
Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, perkara hukum orang murtad ini adalah tertakluk kepada peruntukan yang telah ditetapkan dalam Perintah Hukuman Jenayah Syariah 2013.
Soalan 2: Bersalaman Tangan Dengan Mahram Mu’aqqat
Hubungan mahram adalah hubungan yang menyangkut beberapa permasalahan hukum seperti hukum berkenaan keharusan melihat dan menyentuh mahram tanpa syahwat pada tempat-tempat az-zînah (الزينة) (bahagian-bahagian yang tertentu daripada tubuh badan
perempuan), berdua-duaan (اْللوة ) dan bermusafir (السفر) dengan mahram tersebut.
Al-Imam as-Suyuthi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan hukum-hakam yang berhubung kait dengan (permasalahan) mahram (mu’abbad) semata-mata sama ada (mahram mu’abbad) disebabkan keturunan atau penyusuan atau perkahwinan (ialah) haramnya pernikahan (sesama mahram), keharusan melihat (mahram pada bahagian-bahagian tubuh badan mahram yang dipanggil az-zînah), berdua-duaan dan bermusafir (dengan mahram) serta tidak batal wudhu’ (apabila bersentuhan kulit dengan mahram). (Al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir li as-Suyuthi: 2/5)
Sebagai contoh, seorang lelaki adalah diharuskan melihat tanpa syahwat akan tubuh seorang perempuan yang mahram baginya kecuali pada bahagian antara pusat dan lutut perempuan yang mahram tersebut. Sebaliknya apabila berhadapan dengan perempuan yang bukan mahram, seorang lelaki tidak harus memandang secara sengaja keseluruhan tubuh badan perempuan bukan mahram berkenaan sama ada ditakuti perbuatan tersebut mendatangkan fitnah atau tidak. (Mughni al-Muhtâj: 173-175, Nihâyah al-Muhtâj: 6/187-189 dan Fath al- ‘Allâm: 2/143-144 & 146)
Perkara keharusan bersentuhan kulit dengan mahram pula telah disebutkan oleh fuqahâ’ dalam pembicaraan perkara-perkara yang membatalkan wudhu’. (Mughni al-Muhtâj: 1/68)
Namun, perlu difahami bahawa sebagaimana dijelaskan di atas mengenai pengertian mahram menurut istilah fuqahâ’, mahram yang dimaksudkan dalam hal ini ialah mahram daripada kategori mahram mu’abbad sahaja.
Adapun mahram daripada kategori ghair mu’abbad atau mu’aqqat, selain hukum haram menikahi perempuan-perempuan daripada golongan tersebut sehinggalah hilang sebab-sebab yang telah dijelaskan di atas, tidak pula ditemui pembicaraan para ulama mengenai hukum-hakam lain yang dikhususkan buat mereka sebagaimana pembicaraan para ulama mengenai mahram mu’abbad. Oleh kerana itu, perempuan-perempuan daripada kategori mahram mu’aqqat pada dasarnya adalah kekal kedudukan mereka itu sepertimana keadaan perempuan ajnabiyyah dari sudut hukum.
Walaupun ada kalanya perempuan yang mahram secara mu’aqqat itu termasuk dalam kalangan yang dipanggil sebagai ahli keluarga, namun hal tersebut tidaklah mengubah apa-apa ketentuan hukum dalam perkara ini.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam pembicaraan beliau mengenai bab jenazah telah mengisyaratkan bahawa bukan semua kaum kerabat itu adalah mahram; mereka yang bukan mahram itu adalah sama kedudukannya sepertimana orang ajnabiy dari segi hukum-hakam yang berkaitan.
Ertinya: Semua kaum kerabat yang bukan mahram maka (kedudukan mereka dari sudut hukum) adalah seperti orang ajnabiy dan Allah Yang Maha Mengetahui (tentang kedudukan perkara ini yang sebenarnya), dalam erti kata tidak ada hak ke atas mereka untuk memandikan jenazah kerana tidak halal ke atas mereka untuk melihat (aurat) jenazah tersebut dan bersendiri-sendirian dengannya. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al- Minhâj: 3/111)
Berdasarkan keterangan di atas, jelaslah bahawa seorang lelaki tidak harus bersalaman tangan dengan perempuan yang mahram secara mu’aqqat baginya sekalipun dia dianggap sebagai sebahagian daripada ahli keluarga kerana perempuan daripada golongan sedemikian itu masih dianggap sebagai perempuan yang ajnabiyyah bagi lelaki berkenaan. Perbuatan menyentuh kulit perempuan berkenaan umpamanya dengan bersalaman dengannya adalah termasuk dalam perkara-perkara yang membatalkan wudhu’ bahkan berdosa berdasarkan larangan ke atas seorang lelaki menyentuh perempuan yang ajnabiyyah baginya.
Soalan 3: Batas Aurat di antara Lelaki dengan Anak Saudara Isteri
Telah dijelaskan bahawa anak saudara isteri yang perempuan adalah termasuk dalam kategori perempuan yang haram dinikahi secara mu’aqqat atas sebab larangan memadukan isteri dengan perempuan-perempuan daripada golongan yang disebutkan di atas. Pengharaman tersebut adalah terus berjalan sehinggalah sebab pengharaman itu hilang iaitu apabila isteri meninggal dunia atau apabila isteri tersebut diceraikan.
Juga telah diterangkan di atas bahawa perempuan-perempuan daripada kalangan mahram mu’aqqat itu dari segi hukum adalah sama kedudukannya dengan perempuan-perempuan ajnabiyyah.
Dalam mazhab asy-Syafi‘i, aurat kaum perempuan di hadapan lelaki yang ajnabiy baginya adalah sebagaimana auratnya ketika dalam sembahyang iaitu seluruh tubuh badannya kecuali bahagian muka dan dua pergelangan tangannya. (Mughni al-Muhtâj: 4/174)
Bagaimanapun, berdasarkan pendapat yang shahîh dalam mazhab asy-Syafi‘i, seorang lelaki tidak pula diharuskan untuk melihat keseluruhan tubuh badan perempuan ajnabiyyah termasuk bahagian muka dan kedua-dua pergelangan tangannya tidak kira sama ada perbuatan tersebut ditakuti mendatangkan fitnah ataupun tidak. (Mughni al-Muhtâj: 4/173- 174)
Perkara ini berhubung kait dengan tuntutan menahan pandangan daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan sebagaimana disebutkan dalam firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Katakanlah (wahai Nabi Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang perkara yang diharamkan) dan memelihara kemaluan mereka (daripada melakukan perkara yang haram).
(Surah an-Nûr: 30)
Berhubung perkara ini, fuqahâ’ telah menjelaskan bahawa aurat kaum lelaki dan perempuan itu adalah terbahagi kepada beberapa bahagian. Selain aurat ketika sembahyang dan juga di luar sembahyang, ada juga aurat yang dinamakan sebagai aurat pemandangan (عورة النظر) iaitu aurat yang menjadi batasan ke atas orang yang ditegah untuk melihatnya. Kerana itu, walaupun bahagian muka dan kedua-dua pergelangan tangan tidak dikira sebagai aurat bagi kaum perempuan, namun ke atas kaum lelaki adalah diharamkan melihat sesuatu tanpa sebab-sebab yang diharuskan syara‘ akan keseluruhan tubuh kaum perempuan yang bukan mahram kerana itulah batasan aurat pandangan yang telah diterangkan oleh para ulama.
Imam al-Bujairimi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Adapun aurat kaum perempuan di luar sembahyang dari sudut pemandangan lelaki yang ajnabiy kepadanya (perempuan) ialah seluruh tubuh badannya (perempuan) hatta bahagian muka dan kedua-dua pergelangan tangannya (perempuan) sekalipun dalam keadaan aman daripada fitnah dan sekalipun dia seorang hamba. Maka adalah haram ke atas seorang lelaki ajnabiy (sengaja) memandang sesuatu daripada tubuh badannya (perempuan ajnabiyyah) sekalipun potongan kuku yang terpisah daripada (anggota tangan atau kaki)nya. (Tuhfah al-Habib ‘alâ Syarh al-Khathib: 2/107)
Berdasarkan keterangan ini, jelaslah bahawa seorang lelaki haram memandang tanpa sebab-sebab yang diharuskan syara‘ akan tubuh badan anak saudara isterinya kerana dia dianggap sebagai perempuan yang ajnabiyyah ke atas lelaki tersebut.
As-Sayyid Muhammad ‘Abdullah al-Jurdani Rahimahullâh menerangkan bahawa seorang lelaki diharuskan memandang seorang perempuan dengan syarat-syarat tertentu dalam keadaan-keadaan seperti ketika membuat rawatan (املداواة), persaksian (الشهادة), permuamalatan (املعاملة), pengajaran (التعليم) dan ketika berazam untuk mengikat tali perkahwinan. (Fath al- ‘Allâm: 2/153-157)
Soalan 4: Bersalaman dengan Isteri kepada Anak Saudara Lelaki Isteri
Isteri kepada anak saudara lelaki isteri adalah perempuan yang haram dinikahi buat sementara waktu (mahram mu’aqqat) atas sebab larangan mengahwini perempuan yang masih bersuami.
Sekali lagi dijelaskan bahawa perempuan daripada kalangan mahram mu’aqqat adalah sama sahaja dengan perempuan yang ajnabiyyah dari segi hukum-hakam berkaitan persentuhan kulit, batasan aurat, berdua-duaan dan bermusafir dengannya.
Maka sebagaimana dilarang bersentuhan kulit di antara seorang lelaki dengan perempuan yang ajnabiyyah bagi lelaki tersebut, demikian juga adalah dilarang suami bagi si isteri bersentuhan kulit umpamanya dengan bersalaman dengan isteri kepada anak saudara lelaki si isteri.
Larangan bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah diambil daripada beberapa keterangan, antaranya telah disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, bahawasanya beliau berkata:
Maksudnya: Dan tangan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu tidak pernah menyentuh tangan seorang perempuan kecuali perempuan yang Baginda miliki (perempuan yang telah Baginda nikahi). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits ini menunjukkan bahawa perbuatan menyentuh kulit perempuan yang ajnabiyyah adalah dilarang kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri tidak pernah menyentuh kulit seorang perempuan walaupun sekadar pada tangannya melainkan isteri-isteri Baginda sahaja.
Dalam keterangan yang lain, disebutkan pula tentang ancaman menyentuh perempuan yang ajnabiyyah. Ma‘qil bin Yasar Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Seseorang di antara kamu dicucuk kepalanya dengan jarum daripada besi adalah lebih baik baginya daripada menyentuh perempuan yang tidak halal untuknya. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Hadits ini membayangkan betapa besarnya akibat daripada perbuatan menyentuh perempuan yang tidak halal untuk disentuh.
Sebagaimana telah diterangkan di atas, dalam aspek yang lain pula, bersentuhan kulit di antara lelaki dan perempuan yang tiada hubungan mahram sesama mereka adalah antara perkara yang membatalkan wudhu’ menurut mazhab asy-Syafi‘i.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Perkara ketiga (daripada perkara-perkara membatalkan wudhu’ ialah): Persentuhan kulit lelaki dan perempuan kecuali persentuhan yang berlaku di antara mahram menurut qaul azhhar. (Mughni al-Muhtâj: 1/68)
Perkara ini adalah bersandarkan kepada firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Atau kamu bersentuh dengan perempuan (yang bukan mahram) lalu kamu tidak memperolehi air (untuk berwudhu’ atau mandi), maka bertayammumlah dengan tanah (debu) yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua-dua tangan kamu (hingga ke siku) dengannya. (Surah al-Mâ’idah: 6)
Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh telah menerangkan bahawa wudhu’ menjadi batal apabila berlaku persentuhan kulit di antara dua orang yang bukan mahram (umpamanya persentuhan kulit melalui perbuatan bersalaman) sekalipun persentuhan itu tidak disertai dengan rasa syahwat, dilakukan dalam keadaan terlupa atau dalam keadaan terpaksa. (Mughni al-Muhtâj: 1/68)
Soalan 5: Menikahi Bekas Isteri Anak Saudara Lelaki Isteri
Isteri kepada anak saudara lelaki isteri itu halal untuk dinikahi oleh lelaki lain setelah dia diceraikan oleh suaminya atau apabila suaminya meninggal dunia dengan syarat dia telah selesai menjalani ‘iddah daripada perceraian atau daripada kematian suaminya itu.
Kesimpulan
Telah jelas berdasarkan keterangan-keterangan di atas bahawa dari sudut hukum-hakam yang khusus berhubung kait dengan permasalahan mahram, golongan mahram mu’aqqat itu adalah berbeza dengan golongan mahram mu’abbad.
Mahram mu’abbad adalah golongan tertentu yang telah dijelaskan secara terperinci oleh para ulama seperti ibu, anak kandung, adik-beradik kandung, emak saudara, anak-anak saudara dan mentua.
Oleh itu, perlu diambil perhatian bahawa hukum-hakam seperti keharusan bersentuhan kulit, melihat bahagian-bahagian yang pada kebiasaannya dianggap aurat bagi orang ajnabiy dan juga berdua-duaan adalah terhad kepada golongan yang dinamakan sebagai mahram mu’abbad sahaja.
Jangan sampai terjadi disebabkan kesilapan atau sikap sambil lewa perkara ini menjadi diabaikan sehingga menyebabkan orang-orang daripada golongan mahram mu’aqqat bahkan ajnabiy dianggap seperti golongan mahram mu’abbad terutama sekali apabila tiba hari-hari perayaan di mana perbuatan bersalam-salaman, kunjung mengunjungi dan bercampur gaul di antara kaum lelaki dan perempuan telah menjadi semacam satu budaya di dalam masyarakat.
Apabila berlaku perlanggaran terhadap perkara-perkara yang dilarang oleh agama, maka telah banyak amaran dijelaskan mengenai hukuman dan balasan mengenainya. Salah satu daripada amaran tersebut telah disampaikan secara sindiran oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bila mana kesakitan akibat dicucuk dengan jarum daripada besi di bahagian kepala seseorang itu adalah lebih baik daripada kesakitan yang bakal menimpa sesiapa yang melanggar larangan menyentuh kulit daripada tubuh badan orang yang tidak halal untuk disentuh.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12370
