Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام

Persoalan Waktu Buka Puasa di Eropah

Soalan: Saya akan ditugaskan bekerja di sebuah negeri Eropah untuk beberapa tahun dan ikut bersama adalah ahli keluarga saya yang termasuk anak-anak berumur 5 hingga 17 tahun.

Di Eropah pada bulan Ramadhan tahun ini jarak waktu bersahur sebelum fajar sehingga waktu Maghrib sangat panjang iaitu 19 jam lebih (berbanding waktu Brunei lebih kurang 13 jam lebih).

Kemusykilan saya ialah saya pernah terbaca di sebuah majalah agama bahawa ada qaul bagi kelonggaran waktu berbuka puasa iaitu mengikut waktu Arab Saudi. Betulkah ada pendapat sedemikian?

Jawapan: Ulama mazhab asy-Syafi‘i menyatakan waktu berpuasa itu bermula dari terbit fajar ash-shâdiq di ufuk (kaki langit) dan berakhir dengan terbenam matahari.

Waktu bermula dan berakhir puasa itu dinyatakan dalam al-Qur’an dan hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam seperti berikut:

1. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan makan serta minumlah kamu (pada malam bulan Ramadhan itu) sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam (kegelapan malam) iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib). (Surah al-Baqarah: 187)

2. Hadits daripada ‘Abdullah bin Abu Aufa Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda sambil menggerakkan tangan Baginda:

Maksudnya: Apabila matahari telah terbenam di sana, dan malam telah datang di sana, maka sesungguhnya orang puasa sudah boleh berbuka. (Hadits riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam al-Majmû‘ menerangkan terbit fajar yang dimaksudkan itu ialah fajar yang nampak pada penglihatan kita. Beliau juga menyebut pendapat para ashhâb bahawa ada kalanya fajar telah terbit di sebahagian negara tetapi belum terbit di sebahagian yang lain. Maka yang diambil kira itu ialah terbit fajar di negara masing-masing (tempat kita berada). Demikian juga bagi terbenam matahari sebagaimana pendapat Imam al-Mawardi Rahimahullâh, yang diambil kira itu ialah terbenam matahari di tempat kita berada.

Oleh itu, penetapan waktu berpuasa ialah bermula dari terbit fajar ash-shâdiq yang nampak pada penglihatan kita sehingga terbenam matahari di tempat kita berada, sekalipun waktu siangnya panjang dan malamnya singkat. Maka tidak sah berbuka puasa mengikut waktu Arab Saudi jika kita sedang berada di Eropah.

Walau bagaimana pun, sekiranya puasa sepanjang hari itu memudharatkan, maka terdapat kelonggaran yang mengharuskannya berbuka puasa, sebaliknya jika tidak memudharatkan dan dia dapat menyempurnakan puasanya itu, maka wajib dia teruskan dan sempurnakan puasanya itu. Jika dia berbuka puasa, wajib dia mengqadha’nya pada hari yang lain. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Oleh itu sesiapa antara kamu yang berada dalam bulan itu dan menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya) maka hendaklah dia berpuasa, dan sesiapa yang sakit atau sedang dalam perjalanan (atau pelayaran dalam bulan Ramadhan itu bolehlah dia berbuka) maka wajiblah dia berpuasa pada hari-hari yang lain (sebagai ganti puasa yang ditinggalkan itu). Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan tidak menghendaki kamu menanggung kesusahan. (Surah al-Baqarah: 185)

Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menyatakan dalam Mughni al-Muhtâj, sekiranya dia mengqadha’ puasa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan yang siangnya panjang kerana kesusahan menjaga waktu, maka sah qadha’ puasa tersebut sekalipun dilakukan pada hari lain yang siangnya pendek.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12374