Persoalan Zakat Fitrah di Eropah
Soalan: Bolehkah zakat fitrah diwakilkan untuk ahli keluarga di Brunei membayarkannya jika sekiranya tidak ada tempat sesuai untuk berzakat fitrah di tempat saya bertugas di negeri Eropah? Jika boleh bagaimana kaedahnya?
Jawapan: Imam asy-Syirazi Rahimahullâh menyebutkan dalam al-Muhadzdzab, seseorang yang diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah sedang dia berada di sebuah negara dan hartanya juga ada di negara tersebut, maka dia wajib mengeluarkan zakat kepada ashnâf (golongan-golongan yang berhak menerima zakat) di negara tersebut.
Ini bererti di mana seseorang dan hartanya itu berada, maka wajib dia mengeluarkan zakat fitrahnya di tempat itu juga. Jika zakat fitrah dikeluarkan oleh ahli keluarganya di negara lain, umpamanya dia berada di Eropah dan ahli keluarganya mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya di Negara Brunei Darussalam, ini bererti dia telah memindah zakat fitrah ke tempat lain.
Maksud memindah zakat itu ialah memberi zakat kepada orang (ashnâf) yang tidak berada di tempat zakat ketika zakat wajib dikeluarkan, sebagaimana yang dijelaskan oleh asy-Syaikh al-Qalyubi Rahimahullâh dalam Hâsyiyatân Qalyubi ‘Umairah sebagai berikut:
Ertinya: Memberi zakat kepada orang (ashnâf) yang tidak berada di tempat zakat ketika zakat wajib dikeluarkan, sama ada dia (penerima) dalam kalangan penduduk tempat zakat (yang dikeluarkan) itu atau bukan dalam kalangan mereka, dan sama ada pengeluar zakat mengeluarkannya (memindahkannya) dari tempat (zakat wajib dikeluarkan) atau penerima-penerima zakat datang ke tempat zakat setelah masuknya waktu wajib mengeluarkannya.
Menurut pendapat al-azhhar dalam mazhab asy-Syafi‘i, zakat ditegah untuk dipindahkan dari tempat zakat wajib dikeluarkan ke tempat lain sebagaimana kata Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam Minhâj ath-Thâlibîn:
Ertinya: Dan menurut pendapat al-azhhar adalah ditegah memindah zakat.
Tegahan memindah zakat ke tempat lain itu adalah berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, sabda Baginda kepada Mu‘adz bin Jabal Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: (Zakat) diambil daripada orang-orang kaya dalam kalangan mereka dan diagihkan kepada orang fakir dalam kalangan mereka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menerangkan dalam Mughni al-Muhtâj, ashnâf zakat di setiap negeri menaruh harapan untuk mendapat bahagian daripada zakat di negeri tersebut. Jika zakat dipindahkan untuk diagihkan ke tempat lain, maka perbuatan itu akan menghampakan mereka.
Walau bagaimana pun, jika kesemua ashnâf zakat tidak ada di negeri tempat zakat itu wajib dikeluarkan atau zakat berbaki setelah semua ashnâf yang ada menerima keperluan mereka, maka zakat wajib dipindahkan ke tempat lain yang lebih hampir dengannya dan haram memindah zakat ke tempat yang lebih jauh sedangkan tempat yang lebih hampir ada ashnâf yang berhak. Ini sebagaimana dijelaskan oleh asy-Syaikh Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam Tuhfah al-Muhtâj:
Ertinya: (Jika ashnâf zakat tidak ada dalam sesebuah negeri), iaitu negeri tempat zakat wajib dikeluarkan, atau zakat berbaki daripada mereka, (maka wajib memindahkannya) atau baki itu kepada ashnâf yang seperti mereka itu di tempat yang lebih hampir dari tempat zakat wajib dikeluarkan, jika melewatinya (melimpasi tempat yang lebih hampir iaitu zakat dikeluarkan di tempat yang lebih jauh sedangkan tempat lebih hampir ada ashnâf yang berhak), (hukumnya) adalah diharamkan dan tidak diharuskan.
Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh pula berkata:
Ertinya: (Jika ashnâf zakat tidak ada dalam sebuah negeri) yang diwajibkan zakat dikeluarkan di sana dan zakat berbaki daripada mereka, (maka wajib memindahkannya) ke tempat yang lebih hampir dengan tempat (zakat) wajib (dikeluarkan). Jika dipindah ke tempat yang lebih jauh darinya (dari tempat zakat wajib dikeluarkan), maka perbuatan itu menyalahi pendapat yang terdahulu.
Tegahan memindah zakat ke tempat lain sedangkan terdapat orang yang berhak menerimanya di tempat zakat wajib dikeluarkan itu, adalah khusus kepada pemilik harta atau pengeluar zakat sahaja. Perkara ini dinyatakan oleh asy-Syaikh al-Baijuri Rahimahullâh dalam Hâsyiyah asy-Syaikh Ibrahim al-Baijuri:
Ertinya: Dan haram ke atas pemilik harta memindahkan zakat (fitrah) dari tempat zakat itu wajib dikeluarkan sedangkan ada orang-orang yang berhak menerimanya (di tempat itu).
Namun bagi ketua negara atau pemerintah boleh memindah zakat secara mutlak iaitu sama ada wujud atau tidak orang-orang yang berhak menerimanya di tempat zakat wajib dikeluarkan, sebagaimana kata asy-Syaikh al-Baijuri Rahimahullâh lagi:
Ertinya: Manakala imam (ketua negara) tidak haram memindahkan zakat walaupun ada orang-orang yang berhak di tempat zakat itu wajib dikeluarkan.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam al-Majmû‘ sebagaimana yang dinaqal oleh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam Mughni al-Muhtâj:
Ertinya: Pendapat al-ashah berdasarkan hadits-hadits (mengenai pengagihan zakat), imam (ketua negara) dan pemungut zakat (‘âmil) harus memindahkan zakat.
Berdasarkan penjelasan di atas, pengeluar zakat selain daripada ketua negara dan ‘âmil wajib membayar zakat fitrah di tempat di mana dia berada. Sekiranya dia berada di negeri Eropah, maka dia wajib membayar zakat fitrah itu di sana dan tidak boleh zakatnya itu dibayar oleh atau diwakilkan kepada ahli keluarganya di tanah airnya, umpamanya di Brunei sebagaimana pertanyaan. Jika ahli keluarganya membayar zakat itu di tanah airnya, perbuatan tersebut dikira memindahkan zakat, sedangkan memindahkan zakat ke tempat lain adalah haram selagi di tempat itu terdapat orang yang berhak menerimanya. Jika di tempat dia berada di Eropah itu tidak ada ashnâf zakat umpamanya, atau zakat berbaki setelah semua ashnâf yang ada menerima keperluan mereka, barulah zakat wajib dipindah ke tempat yang lebih hampir yang ada ashnâf yang berhak dan jika tidak ada, dipindah lagi ke tempat yang hampir juga yang ada ashnâf yang berhak menerimanya. Sekiranya dipindah ke tempat yang jauh, umpamanya ke Brunei sedangkan dia berada di Eropah dan tempat yang lebih hampir masih ada ashnâf yang berhak, adalah haram dan tidak memadai zakat tersebut.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12378
