Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Zakat Dividen Wang Caruman Tabung Amanah Pekerja (TAP)

Soalan: Dalam siri fatwa 11/2014 mengenai wang simpanan TAP dijelaskan bahawa; “Memandangkan wang simpanan TAP merupakan milik pencarum sepenuhnya, maka zakat adalah wajib ke atasnya, iaitu wajib zakat ke atas wang caruman hasil daripada potongan gaji pekerja dan wang caruman majikan beserta dengan dividennya.”

Walau bagaimanapun, sukacita dimaklumkan bahawa dividen simpanan TAP adalah hasil pelaburan yang bukan sepenuhnya berlandaskan syariah tetapi lebih menjurus kepada pelaburan secara beretika yang mana pelaburan sama sekali tidak dibenarkan di dalam syarikat yang terbabit dengan penjualan, perusahaan, penyediaan yang berkaitan dengan perjudian, brewery, wine, spirit atau khinzîr sama ada secara direct ownership, major atau minor shareholders atau anak syarikatnya.

Oleh yang demikian, dipohonkan fatwa mengenai perkiraan zakat yang wajib dikeluarkan iaitu adakah ahli hanya perlu membayar zakat ke atas wang caruman hasil daripada potongan gaji pekerja dan wang caruman majikan sahaja berserta atau tanpa dividen?

Jawapan: Merujuk kepada persoalan pihak TAP di atas, disebutkan bahawa dividen simpanan TAP adalah hasil pelaburan yang bukan sepenuhnya berlandaskan syarî‘ah tetapi lebih menjurus kepada pelaburan secara beretika yang mana pelaburan sama sekali tidak dibenarkan di dalam syarikat yang terbabit dengan penjualan, perusahaan dan penyediaan yang berkaitan dengan perjudian, brewery, wine, spirit atau khinzîr sama ada secara direct ownership, major atau minor shareholders atau anak syarikatnya.

Maka dalam hal ini, difahami bahawa maksud “pelaburan yang bukan sepenuhnya berlandaskan syarî‘ah tetapi lebih menjurus kepada pelaburan secara beretika” adalah pelaburan yang belum mematuhi hukum syara‘ sepenuhnya. Berikut dijelaskan pelaburan yang dituntut oleh syariat Islam dan kesan menerima hasil pelaburan yang tidak berdasarkan kepada hukum syara‘.

Pelaburan yang Dituntut Menurut Kamus Dewan, melabur ialah menyerahkan sejumlah wang untuk sesuatu usaha seperti pengeluaran barang, perniagaan dan sebagainya dengan tujuan untuk memperolehi keuntungan. Manakala yang dimaksudkan dengan pelaburan pula ialah jumlah wang atau modal dan sebagainya yang dilaburkan dalam sesuatu usaha niaga dan sebagainya atau penanaman modal. (Kamus Dewan, edisi keempat: 864)

Ini bererti tujuan aktiviti pelaburan adalah untuk mengembangkan atau menambahkan harta bagi mendapatkan keuntungan pada masa akan datang. Usaha untuk membuat pelaburan pada harta yang terkumpul adalah amat dianjurkan kerana ia boleh meningkatkan ekonomi ummah sebagai satu cara untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik di samping menambahkan lagi pendapatan hasil dan pembangunan negara.

Perkara tersebut bertepatan dengan kehendak Islam di mana selaku umat Islam, memakmurkan atau membangunkan alam bagi memenuhi keperluan hidup merupakan antara tanggungjawab setiap insan sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: …Dia telah menciptakan kamu daripada bumi (tanah) dan menjadikan kamu memakmurkannya... (Surah Hud: 61)

Walaupun membuat pelaburan ke atas wang yang terkumpul itu amat dianjurkan, selaku umat Islam, pelaburan yang disertai hendaklah berdasarkan hukum syara‘ kerana matlamat kehidupan manusia di dunia ini adalah untuk mentaati perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Segala sumber yang ada di bumi hendaklah dimanfaatkan dan diselenggara dengan kaedah-kaedah atau prinsip-prinsip yang diaturkan oleh hukum syara‘.

Dalam hal ehwal mengurus kewangan, hukum syara‘ telah menggariskan kaedah atau prinsip yang jelas mengenainya yang perlu difahami dan diikuti oleh setiap umat Islam bagi menentukan dengan tepat sempadan haram yang perlu dihindari. Kepentingan mengetahui perkara halal dan haram dalam urusan kewangan sebelum memulakan sesuatu urusan jual beli atau melakukan sesuatu pelaburan kewangan adalah sangat penting sebagaimana disebutkan dalam sebuah riwayat daripada al-‘Ala bin ‘Abdul Rahman bin Ya‘qub daripada bapanya daripada datoknya, bahawa Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu berkata:

Maksudnya: Janganlah kamu berjual beli di pasar kami, melainkan setelah memahami ilmu (hukum) agama mengenainya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Hadits di atas menjelaskan bahawa memahami hukum syara‘ yang berkaitan dengan hal ehwal kewangan sebelum memulakan urusan jual beli dan pelaburan adalah penting bagi mengelak riba, penipuan, ketidakadilan, ketidaktahuan, ketidaktentutan, perampasan dan penzaliman hak orang lain dan sebagainya.

Sistem Pelaburan Islam

Menurut Muhammad Taqi ‘Utsmani di dalam bukunya An Introduction To Islamic Finance, pelaburan wang secara Islam bermaksud usaha kerjasama (di antara pelabur dan pengusaha) di mana pelabur menyerahkan sejumlah wang atau modal untuk dilaburkan dalam pelaburan atau perniagaan yang bertepatan dengan hukum syara‘ bagi tujuan untuk mendapatkan keuntungan yang halal. (An Introduction To Islamic Finance: 203)

Antara perkara-perkara yang wajib dielakkan ketika hendak berurusan dalam sebarang pelaburan atau perniagaan ialah:

1. Hendaklah tidak bermuamalat dengan riba dalam apa jua urusan pelaburan atau perniagaan yang dijalankan sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memakan (atau mengambil) riba (yang sifatnya menjadikan hutang itu) berlipat ganda dan bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya. (Surah Âli ‘ Imran: 130)

2. Hendaklah bebas daripada segala yang berkaitan dengan arak dan maisir (perjudian) sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah itu adalah (perbuatan) keji daripada perbuatan syaitan. Maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu beroleh kemenangan (dan keberuntungan). (Surah al-Mâ’idah: 90)

3. Hendaklah tidak berurusan dengan produk dan penjualan benda yang diharamkan dalam Islam seperti khinzîr, bangkai dan patung berhala sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan RasulNya telah mengharamkan urus niaga arak, bangkai, khinzîr dan patung berhala. Kemudian Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah! Bagaimana pula dengan lemak bangkai yang digunakan untuk mengecat perahu, untuk dilumurkan di kulit supaya berminyak dan manusia menggunakannya untuk menyalakan lampu?” Baginda menjawab: “Tidak boleh! Ia tetap haram!” Lalu Baginda meneruskan sabda ketika itu: “Semoga Allah membinasakan orang-orang Yahudi. Sesungguhnya tatkala Allah mengharamkan lemak bangkai kepada mereka, mereka cairkan lemak itu (menjadi minyak) lalu menjualnya dan memakan hasil penjualan tersebut.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

4. Hendaklah bebas daripada unsur-unsur gharar (tidak jelas) sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alahi wa sallam melarang jual beli kerikil dan jual beli yang sifatnya tidak jelas. (Hadits riwayat Muslim)

Kesan Pelaburan yang tidak Patuh Syara‘

Apabila sesuatu pelaburan yang dilaksanakan itu tidak berdasarkan hukum syara‘ atau tidak patuh syara‘, maka kesan yang diperolehi daripadanya amatlah merugikan dan menakutkan. Kita katakan pelaburan sedemikian merugikan adalah kerana keuntungan atau pendapatan hasil yang diterima melalui pelaburan berkenaan adalah tidak halal dan menjadi harta haram. Apa-apa harta yang diterima atau diperolehi atau dimiliki daripada sumber yang tidak patuh syara‘ adalah tidak menjadi milik yang sah oleh pemegangnya di sisi syara‘ kerana dalam harta tersebut ada hak orang lain yang merupakan pemilik sebenar harta berkenaan. Harta tersebut juga haram dimanfaatkan atau digunakan untuk apa jua keperluan dirinya termasuk bersedekah bagi mendapatkan pahala atau ganjaran kebaikan, kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sama sekali tidak menerima sesuatu yang haram atau tidak baik. Perkara ini ada dinyatakan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, katanya bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Wahai manusia, sesungguhnya Allah (itu) baik dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik dan sesungguhnya Allah memerintahkan kepada orang-orang mu’min sebagaimana dengan apa yang diperintahkan kepada para rasul. Maka Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman: “{Wahai rasul-rasul! Makanlah daripada yang baik-baik (lagi halal) dan kerjakanlah amalan yang salih, sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan}” dan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ: “{Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah makanan yang baik-baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu}.” (Hadits riwayat Muslim)

Adapun kita katakan kesan pelaburan yang tidak berdasarkan hukum syara‘ itu menakutkan adalah kerana perbuatan kita memakan sesuatu harta yang bersumber daripada yang haram adalah berdosa dan neraka adalah lebih layak untuknya sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Dan barang siapa dagingnya (badannya) tumbuh daripada harta (benda) haram, maka neraka adalah lebih layak untuknya. (Hadits riwayat ath-Thabarani)

Oleh yang demikian, jika sesuatu pelaburan atau perniagaan yang disertai itu tidak berdasarkan hukum syara‘, maka apa-apa jua hasil atau keuntungan yang diterima daripadanya adalah tidak halal. Bahkan kita tidak akan menerima balasan pahala dengan menggunakannya sekalipun pada jalan-jalan kebajikan kerana kehilangan hak yang sah pada memilikinya.

Adakah Harta Haram Wajib Dikeluarkan Zakat?

Sebagaimana yang disebutkan dalam kitab-kitab fiqh mazhab asy-Syafi‘i, antara syarat-syarat bagi orang yang diwajibkan mengeluarkan zakat harta itu ialah hendaklah harta atau wang itu dimiliki dengan sempurna oleh pemiliknya. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/232, al-Muhadzdzab: 1/463, Mughnî al-Muhtâj: 1/552 dan Nihâyah al-Muhtâj: 2/353)

Berdasarkan daripada syarat di atas, dapat difahami bahawa jika pada harta tersebut terkandung hak orang lain yang diperolehi daripada jalan yang bâthil atau melalui jalan yang bercanggah dengan syara‘, maka pemilikan harta itu sudah pasti tidak sempurna dimiliki oleh pemiliknya.

Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn dan perkataannya ini juga dinukilkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab, beliau menyebutkan:

“Sesiapa yang memiliki harta haram secara nyata, maka baginya tidak ada kewajipan untuk menunaikan haji (dengan harta haram tersebut) dan tidak ada kewajipan membayar kaffârah harta kerana dia dianggap seorang yang muflis (tidak memiliki harta) dan tidak wajib mengeluarkan zakat (dengannya) kerana zakat hanya wajib dikeluarkan dengan kadar 1/40 daripada harta keseluruhan sedangkan pemegang harta haram berkenaan wajib mengeluarkan keseluruhan harta haram tersebut dengan cara mengembalikannya kepada pemilik asalnya jika diketahui atau memberikannya kepada fakir jika pemilik asalnya tidak diketahui.” Tambah beliau lagi, “atau diserahkan harta haram itu kepada pihak Baitul-Mal untuk digunakan bagi kemashlahatan orang awam seperti membuat lorong beratap dan masjid.” (Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn: 2/116 dan Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab: 9/332 & 334)

Asy-Syaikh ‘Athiyyah Shaqar dalam kitabnya Ahsan al-Kalâm fî al-Fatâwâ wa al-Ahkâm menyebutkan bahawa sesiapa yang memperolehi wang haram atau mengambil wang tanpa hak kemudian dia bertaubat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka wajib ke atasnya memulangkan kembali harta haram itu kepada tuannya jika diketahui atau kepada warisnya dan jika tidak mampu diketahui, hendaklah digunakan untuk manfaat orang-orang Islam. (Ahsan al-Kalâm fî al-Fatâwâ wa al-Ahkâm: 3/184)

Berdasarkan kepada syarat bagi orang yang wajib mengeluarkan zakat harta dan perkataan para ulama di atas, dapat difahami bahawa harta haram tidak wajib dikeluarkan zakat kerana ia tidak dimiliki dengan sempurna oleh pemiliknya.

Adakah Dividen Wang Caruman TAP Wajib Dikeluarkan Zakat?

Setelah dirujuk kepada penjelasan di atas dan melihat kepada kedudukan pelaburan TAP yang belum mematuhi hukum syara‘ sepenuhnya tetapi lebih menjurus kepada pelaburan secara beretika, dapat disimpulkan bahawa dividen wang caruman TAP hasil daripada pelaburan yang belum mematuhi hukum syara‘ itu tidak wajib dizakat kerana ia termasuk dalam kategori harta haram.

Walau bagaimanapun, jika pada masa terkini, pihak TAP ada menyertai pelaburan yang bercampur, iaitu pelaburan yang patuh syara‘ dengan pelaburan yang belum patuh syara‘ dan wang dividen daripada kedua-dua jenis pelaburan itu telah pun bercampur, maka dalam perkara ini berkata Ibnu ash-Shalah Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam fatwanya sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam as-Suyuthi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir bahawa jika bercampur satu dirham yang halal dengan beberapa dirham yang haram dan percampuran tersebut tidak dapat dibezakan, maka jalan keluarnya hendaklah diasingkan kadar dirham yang haram itu dengan maksud memisahkan. Dengan demikian wang yang selebihnya boleh dimanfaatkan manakala kadar yang diasingkan itu diberikan kepada pemiliknya, jika diketahui. Namun, jika tidak diketahui, kadar wang haram tersebut hendaklah didermakan. (Al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir: 140-141)

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, dapat disimpulkan bahawa secara praktikalnya, pihak TAP berkeupayaan mengetahui kadar dividen yang diperolehi di antara pelaburan yang patuh syara‘ dengan pelaburan yang belum mematuhi syara‘ berdasarkan fakta jumlah peratusan dividen yang diterima. Maka dalam hal ini, hendaklah kadar dividen daripada pelaburan yang belum patuh syara‘ itu dikira untuk diasingkan supaya keuntungan halal daripada pelaburan yang patuh syara‘ dapat dimanfaatkan dan seterusnya dikeluarkan zakatnya jika sampai nishâb dan cukup haul.

Dalam kata lain, pihak TAP adalah disarankan untuk melakukan perkara berikut:

1. Pihak TAP hendaklah membuat penilaian yang terperinci ke atas syarikat-syarikat pelaburan yang telah mereka sertai itu bagi membezakan antara pelaburan yang patuh syara‘ dan pelaburan yang tidak patuh syara‘. Dalam hal ini, pihak TAP perlu mendapatkan pengesahan daripada mana-mana pihak badan syarî‘ah yang berautoriti untuk menetapkan kedudukan pelaburan yang telah mereka sertai itu bagi menetapkan hukum dividen yang diperolehi.

2. Apabila telah dikenal pasti dan disahkan oleh pihak badan syarî‘ah berkenaan, pihak TAP adalah bertanggungjawab memaklumkan kepada pihak pencarum sebarang keputusan tentang kedudukan pelaburan yang telah mereka sertai itu supaya pihak pencarum mengetahui dengan jelas kedudukan kadar dividen yang diberikan kepada mereka.

3. Jika pihak TAP mengeluarkan pengesahan bahawa pelaburan yang disertai oleh mereka itu tidak menjalankan aktiviti yang patuh syara‘ seperti bermuamalat dengan riba, maka dividen yang terhasil daripada pelaburan tersebut tidak diwajibkan zakat kerana dividen tersebut adalah harta haram. Wang yang diwajibkan zakat hanyalah wang caruman hasil daripada potongan gaji pekerja dan wang caruman majikan sahaja jika sampai nishâb dan haulnya.

4. Jika pihak TAP mengeluarkan pengesahan pelaburan yang disertai oleh mereka itu adalah pelaburan yang patuh syara‘, maka dividen yang terhasil daripada pelaburan tersebut adalah harta halal dan diwajibkan zakat bersama dengan wang caruman hasil daripada potongan gaji pekerja dan wang caruman majikan jika sampai nishâb dan haulnya.

Sebagai Irsyâd

Pihak TAP adalah disarankan untuk mempunyai panel penasihat syariahnya sendiri bagi memantau sebarang aktiviti kewangan yang dijalankan agar selaras dengan kehendak syara‘. Ini kerana TAP merupakan sebuah badan yang diamanahkan untuk mengutip dan mentadbir wang caruman semua pekerja sama ada di sektor awam atau swasta yang sebahagian besar ahli-ahli pencarumnya adalah beragama Islam. Sewajarnya pihak TAP perlu menitikberatkan perkara halal dan haram sebelum menyertai sebarang aktiviti pelaburan supaya wang para pencarum dapat dimakmurkan pada jalan yang diredhai dan diberkati oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12381