Zakat Pendapatan
Soalan: Zakat pendapatan itu diqiyâskan daripada zakat apa, kerana ia tidak cukup haul tapi perlu dibayar. Zakat ini tidak terdapat dalam kitab fiqh lama-lama seperti Mathla‘ al-Badrain? Harap dapat penjelasan.
Jawapan: Pendapatan seseorang pada zaman sekarang kebanyakannya diperolehi melalui pekerjaan. Amalan ini merupakan sumber penting bagi menampung kehidupan seharian.
Menurut Dr. Wahbah az-Zuhaili Rahimahullâh dalam kitabnya al-Fiqh al-Islâmi wa Adillatuh, pekerjaan itu terbahagi kepada dua bahagian:
Pertama: Pekerjaan bebas yang tidak terikat dan tidak bergantung pada seseorang atau kerajaan seperti pekerjaan seorang doktor, jurutera, peguam, tukang jahit, tukang kayu dan profesi yang lainnya. Mereka ini beroleh pendapatan secara tidak sistematik dan konsisten.
Kedua: Pekerjaan yang bergantung pada pemerintah melalui kerajaan atau perusahaan dan syarikat. Para pekerjanya diberi pendapatan secara sistematik dan konsisten yang digelar sebagai gaji atau upah sama ada secara harian, mingguan, bulanan atau tahunan.
Kedua-dua jenis perkerjaan tersebut menghasilkan pendapatan yang kebiasaannya diterima dalam bentuk mata wang. Persoalan yang timbul sekarang ialah adakah pendapatan yang berupa gaji atau upah dalam bentuk mata wang ini wajib dikeluarkan zakat?
Adakah Gaji atau Upah Wajib Dikeluarkan Zakat?
Sebelum huraian hukum bagi zakat gaji dan upah dijelaskan, perlu diketahui bahawa jenis-jenis harta yang telah ditetapkan untuk wajib dikeluarkan zakatnya apabila memenuhi syarat yang ditentukan ialah seperti an-naqdân (emas dan perak), unta, lembu, kambing, harta perniagaan, tanaman (biji-bijian yang mengenyangkan), kurma dan anggur yang kering (kismis).
Dalam perkara harta pendapatan yang berupa gaji atau upah dalam bentuk mata wang pula tidak ada nash secara khusus disebutkan dalam al-Qur’an, hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan kitab-kitab fiqh asy-Syafi‘i yang terdahulu.
Walau bagaimanapun, dalam himpunan fatwa al-Azhar yang difatwakan oleh asy-Syaikh ‘Athiyyah Saqar Rahimahullâh, beliau berkata bahawa tidak ada disebutkan secara khusus daripada nash-nash al-Qur’an dan hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tentang kewajipan mengeluarkan zakat gaji atau upah melainkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada (harta kamu) yang baik-baik (hasil daripada) apa yang kamu usahakan dan sebahagian daripada apa yang Kami telah keluarkan untuk kamu dari bumi (seperti biji-bijian, buah-buahan dan galian). (Surah al-Baqarah: 267)
Menurutnya lagi, para imam daripada tiga mazhab (Imam asy-Syafi‘i, Imam Malik dan Imam Hanbali Rahimahumullâh) telah berpendapat bahawa tidak wajib zakat pada selain yang telah ditetapkan secara khusus oleh al-Qur’an dan as-sunnah. Mereka menafsirkan maksud ayat “belanjakanlah” seperti yang disebutkan di dalam ayat di atas sebagai belanja umum yang termasuk dalam kategori sedekah sunat. Manakala ayat perintah daripada Allah Ta‘ala yang dimaksudkan dalam ayat tersebut adalah sebagai nasihat dan sesuatu perkara yang disukai atau merupakan sesuatu amalan yang baik.
Beliau seterusnya menyatakan bahawa jika diwajibkan zakat pada gaji atau upah, maka adalah disyaratkan padanya cukup haul dan melebihi kadar yang dihajati sepertimana disyaratkan pada zakat harta. Jika sesuatu bangunan atau kenderaan itu digunakan untuk perniagaan, maka pengambilan hasil daripadanya diwajibkan zakat perniagaan. Jika hasil yang diambil itu datangnya daripada sewaan dan timbul daripada itu harta simpanan yang melebihi kadar yang dihajati, maka menurut ijmâ‘ ulama, jika harta tersebut cukup haul, wajib dikeluarkan zakatnya kerana ia adalah zakat harta seperti emas dan perak.
Dalam fatwa yang lain pula, dalam kitab Fatâwâ al-Lujnah ad-Da’imah li al-Buhuts al- ‘Ilmiyyah wa al-Ifta’ mengenai dengan zakat gaji para pekerja disebutkan bahawa antara jenis harta yang wajib dikeluarkan zakat adalah harta an-naqdân (emas dan perak). Antara syarat wajib zakat pada harta an-naqdân adalah cukup satu haul. Maka bagi pekerja, adalah wajib mengeluarkan zakat pada gaji atau upah yang diperolehi jika sampai nishâb dengan sendirinya atau dengan bercampur pada harta lain yang dimilikinya dan cukup satu haul. Tidak harus diqiyâskan harta gaji atau upah ke atas sesuatu yang keluar dari bumi kerana pensyaratan cukup satu haul pada wajib zakat bagi harta emas dan perak adalah tsâbit (tetap) oleh nash (al-Qur’an dan as-sunnah). Oleh itu, tidak wajib zakat pada gaji yang diperolehi sehinggalah cukup ke atasnya satu haul.
Daripada fatwa-fatwa yang diputuskan oleh para ulama di atas, dapat difahami bahawa harta pendapatan dalam bentuk mata wang yang diperolehi oleh para pekerja hanya wajib dikeluarkan zakatnya apabila harta tersebut cukup satu haul dan sampai nishâb kerana kedudukannya sebagai zakat an-naqdân.
Menurut Dr. Wahbah az-Zuhaili Rahimahullâh dalam kitabnya al-Fiqh al-Islâmi wa Adillatuh bahawa mata wang atau wang kertas dapat menggantikan kedudukan emas dan perak, yang nilainya telah ditentukan oleh bank negara atau badan kewangan negara dan sama nilainya dengan emas.
Di samping itu, resolusi bilangan 21 (9/3) Akademi Fiqh Islam kali ke-3 menetapkan bahawa wang kertas yang digunakan sekarang adalah wang sebenar yang sah diperlakukan dari segi undang-undang dan ia mempunyai sifat nilai yang sempurna dan baginya berlaku segala hukum-hukum syara‘ yang dikenakan kepada emas dan perak termasuklah riba, zakat, as-salam (jualan secara tempah) dan selainnya.
Kadar Nishâb dan Haul Zakat Harta Pendapatan
Sebagaimana disebutkan oleh para ulama Syafi‘i bahawa kewajipan nishâb zakat bagi mata wang adalah disandarkan kepada nishâb zakat emas iaitu 20 dinar mengikut timbangan Makkah atau nilai emas seberat 85 gram. Manakala kadar nishâb zakat emas pula 1/2 dinar atau 1/40 atau 2.5% daripada 20 dinar atau nilai emas 85 gram.
Ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Ali bin Abu Thalib Rahimahullâh bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Dan tidak dikenakan ke atasmu apa-apa (zakat) - yakni pada emas -sehinggalah engkau memiliki dua puluh dinar. Jika engkau memiliki dua puluh dinar dan keadaan ke atasnya cukup satu haul, maka padanya (zakat) setengah dinar. (Hadits riwayat Abu Daud)
Mengenai dengan haul pula, pengiraan tempoh satu haul adalah genap satu tahun. Sebagai contoh, dari 1hb Muharram 1436H hingga 1hb. Muharram 1437H adalah sudah mencukupi haulnya setahun dan apabila sampai nishâbnya, maka wajiblah dikeluarkan zakat bagi harta tersebut.
Kesimpulan
Berdasarkan huraian di atas, dapat disimpulkan bahawa gaji atau pendapatan yang berupa mata wang yang diperolehi oleh para pekerja adalah wajib dizakat apabila memenuhi syarat-syarat wajib zakat sebagaimana syarat bagi harta emas atau perak. Antaranya cukup haul dan sampai nishâb.
Dalam erti lain, tidak ada zakat bagi wang pendapatan itu secara tersendiri tetapi wang pendapatan itu adalah mengambil tempat zakat emas dan perak. Maka zakatnya adalah mengikut syarat-syarat zakat emas dan perak baik dari sudut kadar, nishâb, haul mahupun kadar pengeluaran zakatnya iaitu 1/40 atau 2.5%.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12386
