Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Zakat Wang Simpanan Skim Tabungan Perumahan (STP)

Soalan: Adakah wang simpanan Skim Tabungan Perumahan (STP) wajib dikeluarkan zakat?

Jawapan: Skim Tabungan Perumahan (STP)

Skim Tabungan Perumahan (STP) merupakan satu skim simpanan khusus untuk tabungan perumahan di bawah Tabung Amanah Pekerja (TAP). Tujuan STP adalah untuk memiliki rumah kediaman sendiri menurut keupayaan dengan membudayakan sikap menabung. Simpanan ke dalam skim ini adalah secara sukarela dan jumlah simpanan adalah tertakluk kepada kemampuan peserta. Oleh itu, tidak ada keperluan caruman daripada pihak majikan.

Simpanan peserta dalam skim ini akan ditadbir oleh TAP dan hanya akan dapat dikeluarkan untuk tujuan pemilikan rumah sendiri sahaja. Akaun peserta untuk simpanan skim ini adalah berasingan daripada akaun TAP untuk caruman mandatori yang ada sekarang iaitu TAP dan SCP. Setiap peserta yang menabung dalam STP akan layak untuk menerima faedah dalam bentuk dividen oleh pihak TAP. Di samping itu, bantuan dan insentif kewangan bagi memiliki rumah sendiri juga akan diberikan oleh pihak kerajaan dengan mengikut syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan oleh pihak TAP dan tertakluk juga kepada syarat-syarat tertentu yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa.

Adakah Wang Simpanan STP Wajib Dikeluarkan Zakat?

Sebagaimana yang dijelaskan oleh pihak TAP, wang simpanan yang dikumpul dalam STP ini adalah satu cara tabungan wang bagi maksud supaya para peserta STP yang menabung itu boleh mengumpulkan wang untuk memiliki rumah sendiri di samping memperolehi dividen, bantuan dan insentif kewangan daripada pihak TAP dan pihak Kerajaan di atas penyertaan mereka dalam skim STP tersebut. Namun, wang yang terkumpul itu ditadbir sepenuhnya oleh pihak TAP dan bukannya oleh pemiliknya sendiri atas persetujuan kedua-dua belah pihak dan wang yang terkumpul itu hanya dikeluarkan bagi tujuan untuk memiliki rumah sahaja.

Setelah merujuk kepada syarat-syarat wajib bagi mengeluarkan zakat mata wang, timbul persoalan adakah pemilikan bagi wang simpanan yang terkumpul di dalam STP ini milik sempurna pihak yang menabung? Ini kerana milik sempurna merupakan salah satu syarat wajib zakat bagi mata wang. Dalam hal ini, sebelum menjawab persoalan mengenai dengan perihal zakat wang simpanan STP, kita fahamkan dahulu maksud milik sempurna itu.

Milik Sempurna atau Milik Penuh (امللك التام)

Menurut mazhab Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâhu Ta‘âlâ, sebagaimana disebutkan dalam kitab-kitab fiqh, bahawa syarat-syarat milik sempurna itu ialah: (Tuhfah al-Muhtâj: 1/491 dan al-Muhadzdzab: 1/463)

Pertama: Imkân at-tasharruf iaitu pemilik mempunyai hak dan kuasa untuk membelanjakan hartanya sekalipun harta tersebut tidak berada di tangannya.

Kedua: Pemilikannya terhadap harta tersebut adalah mustaqir (tetap). Maknanya harta tersebut tidak akan hilang sekalipun dia tidak dapat membelanjakannya pada waktu tersebut, kerana adanya halangan seperti harta yang dirampas atau hartanya yang hilang. Walau bagaimanapun, pemilik masih ada hak untuk menuntut hartanya atau memaksa harta tersebut untuk diserahkan kembali kepadanya kerana pemilikannya terhadap harta tersebut adalah mustaqir.

Jika pemilikannya terhadap harta yang dimilikinya itu ghair mustaqir (tidak tetap), maka harta tersebut tidak wajib dikeluarkan zakat.

Menurut Imam ar-Ramli dan Imam Ibnu Hajar Rahimahumallâhu Ta‘âlâ dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj dan kitab Tuhfah al-Muhtâj, yang dimaksudkan dengan pemilikan ghair mustaqir (tidak tetap) itu ialah seumpama pemilikan pada wang sewaan rumah bagi tempoh yang akan datang. Wang sewaan rumah yang dibayar tunai secara pendahuluan (advance) sebelum manfaat rumah tersebut digunakan adalah tidak wajib dizakat. Ini kerana pemilikannya terhadap wang sewaan itu mungkin sahaja akan hilang atau terlucut dengan berlakunya sesuatu yang tidak dijangkakan seperti rumah tersebut binasa atau seumpamanya. (Nihâyah al-Muhtâj 3/134 dan Tuhfah al-Muhtâj: 1/490-491)

Kesimpulan daripada kedua-dua syarat bagi milik sempurna di atas ialah kewajipan mengeluarkan zakat tidak akan gugur hanya disebabkan hartanya itu tidak berada di tangannya atau disebabkan ada halangan untuknya membelanjakan hartanya pada waktu tersebut. Malahan kewajipan mengeluarkan zakat masih dituntut ke atasnya tetapi tidaklah wajib mengeluarkannya dengan segera. Namun, jika harta itu kembali semula kepadanya, barulah dia wajib mengeluarkan zakat dengan segera termasuk mengeluarkan zakat bagi tahun-tahun kebelakangan. Ini adalah kerana pemilik harta tersebut memenuhi syarat-syarat milik sempurna bagi mengeluarkan zakat. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/132-134 dan Tuhfah al- Muhtâj: 1/489-491)

Dalam kitab Bujairimi ‘ala al-Khathib ada menerangkan tentang kewajipan mengeluarkan zakat bagi harta-harta yang termasuk dalam pemilikan secara sempurna:

Ertinya: Dan wajib (zakat) pada harta yang dirampas dan harta yang hilang dan harta (hutang atau harta yang dititipkan) yang dinafikan, harta yang ghaib, sekalipun terdapat keuzuran (kesusahan) untuk mendapatkannya dan harta yang dimiliki dengan sebab akad sebelum menerimanya, kerana sesungguhnya ia (harta-harta berkenaan) dimiliki secara pemilikan yang sempurna. (Bujairimi ‘ala al-Khathib: 2/394)

Berdasarkan kepada perkataan para ulama di atas, jelas menunjukkan bahawa sekalipun sesuatu harta yang dimiliki itu tidak dapat dibelanjakan pada waktu yang dikehendakinya disebabkan adanya halangan untuk mendapatkannya, namun harta tersebut tetap dianggap sebagai harta yang dimiliki secara sempurna dan wajib dikeluarkan zakatnya jika sampai nishâb dan cukup haulnya.

Walau bagaimanapun, menurut Imam asy-Syirazi Rahimahullâhu Ta‘âlâ di dalam kitab al- Muhadzdzab, kewajipan mengeluarkan zakat akan gugur jika pemilikannya ke atas harta tersebut tidak sempurna dan pemilik tidak lagi ada hak dan kuasa untuk membelanjakannya sama ada untuk waktu tersebut ataupun akan datang. Bahkan apabila pemilik menuntut ke atas harta berkenaan, dia tidak dapat mendapatkannya kembali, begitu juga dia tidak dapat tasharruf kembali kerana haknya ke atas harta tersebut telah pun hilang. (Al-Muhadzdzab: 1/463)

Kedudukan Pemilikan Wang Simpanan STP

Setelah merujuk kepada pengertian milik sempurna menurut syara‘ dan meneliti keadaan wang simpanan STP, dapat disimpulkan bahawa kedudukan pemilikan wang simpanan STP itu adalah dimiliki dengan sempurna oleh para peserta STP kerana wang simpanan tersebut akan diberikan semula secara tunai kepada mereka apabila mereka hendak memiliki rumah sendiri. Jika dia meninggal dunia sebelum melakukan sebarang pengeluaran untuk memiliki rumah, maka wang simpanan dalam STP tersebut akan diwarisi dan diberikan secara pembahagian farâ’idh kepada ahli-ahli warisnya. Ini bererti, walaupun wang yang terkumpul itu tidak berada di tangan para peserta STP kerana ia ditadbir oleh pihak TAP, namun wang simpanan tersebut dapat dituntut dan diterima semula untuk pembelian rumah mereka pada masa akan datang sepertimana yang dipersetujui dalam perjanjian kedua-dua belah pihak. Dari itu, wang simpanan tersebut adalah dianggap sebagai harta mutlak peserta STP yang dimiliki secara sempurna.

Oleh yang demikian, jelaslah di sini bahawa wang simpanan STP wajib dikeluarkan zakatnya berserta dengan dividen tahunan yang diterimanya hasil daripada pelaburan yang patuh syara‘ jika sampai nishâb dan cukup haulnya.

Bilakah Zakat Wang Simpanan STP Wajib Dikeluarkan?

Berkata Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Mughnî al- Muhtâj, zakat wajib dikeluarkan dengan segera ke atas harta yang telah mencapai haul dan nishâb dengan syarat tidak terdapat sebarang kesukaran atau halangan untuk menghadirkan harta tersebut. (Mughni al-Muhtaj: 2/557)

Jika diperhatikan dari sudut pemilikan wang simpanan STP bagi peserta STP, keadaannya menyerupai dengan keadaan pemilikan wang ad-dain al-mu’ajjal (hutang yang bertangguh) bagi pemberi hutang. Maksudnya, wang simpanan STP dan wang ad-dain al-mu’ajjal tertahan di tangan orang lain iaitu di tangan pihak TAP atau tertahan di tangan orang yang berhutang walaupun wang tersebut adalah hak dan milik peserta STP dan pemiutang. Keadaan-keadaan tersebut memberi kesukaran atau halangan untuk mengeluarkan zakat bagi wang berkenaan jika telah sampai nishâb dan cukup haulnya. Jika dalam hal ad-dain al-mu’ajjal, pemiutang hanya mengeluarkan zakat apabila dia menerima kembali wang yang dihutangkannya itu, maka dalam hal wang simpanan STP, pengeluaran zakatnya dapat diqiyâskan kepada pengeluaran zakat bagi pemiutang dalam hal ad-dain al-mu’ajjal kerana kedua-duanya mempunyai ‘illah (sebab) yang sama iaitu harta tersebut tertahan di tangan orang lain.

Penetapan zakat bagi hutang seperti ini menurut Imam ar-Ramli dan Imam Ibnu Hajar Rahimahumallâhu Ta‘âlâ dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj dan kitab Nihâyah al-Muhtâj, adalah sama kedudukannya dengan zakat bagi harta yang dirampas. Zakat bagi harta berkenaan tidak wajib dilakukan dengan segera selagi dia belum menerima harta atau hutang berkenaan. Ia hanya wajib dikeluarkan apabila dia menerima atau mendapatkannya kembali dan ini termasuklah juga zakat bagi tahun-tahun kebelakangan semenjak cukup haul pertama sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj dan Nihâyah al-Muhtâj. (Tuhfah al-Muhtaj: 1/489 dan Nihâyah al-Muhtâj: 3/131)

Manakala Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ ada menyatakan dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn:

Ertinya: Dan (wajib zakat) pada harta yang dirampas, harta yang hilang dan harta (hutang atau harta yang dititipkan) yang dinafikan, menurut pendapat yang azhhar. Dan tidak wajib dibayar zakatnya sehinggalah harta tersebut kembali (kepada pemiliknya). (Minhâj ath-Thâlibîn: 1/404)

Merujuk kepada keadaan wang simpanan STP yang pengurusannya ditadbir oleh pihak TAP, jika jumlah wang simpanan yang tercatat di dalam akaun penyata peserta STP berserta dengan dividen tahunan yang terhasil daripada pelaburan yang patuh syara‘ sampai nishâb dan cukup haul, maka kewajipan pengeluaran zakat bagi para peserta STP adalah mengikut salah satu antara berikut:

i) Jika para peserta memiliki pocket money (wang tunai yang ada di tangan) yang mencukupi bagi pembayaran zakat wang simpanan STP berkenaan, maka wajib dia mengeluarkan zakat dengan segera kerana dia mampu untuk menghadirkan wang untuk pembayaran zakat berkenaan.

ii) Jika para peserta STP tidak memiliki pocket money yang mencukupi untuk pengeluaran zakat wang simpanan STP berkenaan, maka waktu wajib bagi mengeluarkan zakat wang simpanan STP ialah apabila peserta STP menerima wang simpanan tersebut. Dalam hal ini, pembayaran zakatnya wajib dilakukan dengan segera pada hari wang simpanan itu diterima sebelum dibayarkan kepada perbelanjaan untuk pemilikan rumah. Ini bermakna zakat bagi tahun-tahun kebelakangan yang bermula dari waktu mencapai nishâb zakat adalah tidak hilang dan pengeluaran zakat bagi tahun-tahun tersebut secara kebelakangan wajib juga ditunaikan.

Sebagai Irsyâd

Sebagaimana yang telah diterangkan, secara jelasnya wang simpanan STP adalah milik sempurna bagi peserta STP. Oleh yang demikian, para peserta STP hendaklah mengeluarkan zakat bagi wang simpanan STP bersama dengan dividen yang diberikan kepadanya hasil daripada pelaburan yang patuh syara‘ apabila sampai nishâb dan cukup haulnya.

Sebagai irsyâd, adalah lebih elok jika pihak pengurusan TAP menyelenggara pengeluaran zakat akaun STP bagi peserta yang beragama Islam jika telah sampai nishâb dan cukup haulnya berdasarkan persetujuan pihak peserta sebagaimana yang ada diamalkan oleh institusi-institusi perbankan Islam ke atas wang simpanan para pelanggannya.

Oleh yang demikian, bagi para peserta STP yang mengharapkan kepada wang simpanan STP itu juga yang akan digunakan untuk pembayaran zakat, tidak akan merasa kesukaran dalam mengeluarkan zakat simpanan STP tersebut kelak. Dalam hal ini, para peserta STP tidak akan menanggung tunggakan zakat yang belum dikeluarkan dan ini nyata boleh mengelakkan kesukaran mereka dalam pengiraan zakat bagi tahun-tahun kebelakangan apabila menerima wang mereka kelak. Yang menariknya, berapa pun jumlah tunai wang simpanan STP yang diterima oleh para peserta ketika hendak membayar untuk pemilikan rumah kelak, itulah wang yang boleh dibayarkannya terus secara keseluruhan tanpa sebarang tuntutan hak (zakat) yang wajib dilaksanakan terlebih dahulu terhadap wang berkenaan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12390