Arahan Azan Tanpa Menggunakan Alat Pembesar Suara
Soalan: Azan adalah merupakan syi‘âr yang telah disyariatkan dan telah ditetapkan oleh Islam. Bagaimanapun, saya merasa musykil mengenai arahan oleh pihak-pihak tertentu supaya melaungkan azan di dalam masjid sahaja dan melarang menggunakan alat pembesar suara apabila masuk waktu sembahyang fardhu Zhuhur, jika pada ketika itu juga berlangsung acara sambutan perayaan-perayaan tertentu di padang yang berhampiran dengan masjid.
Sehubungan dengan itu saya memohon fatwa mengenainya.
Jawapan: Seruan atau Laungan Azan
Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj bahawa azan dari segi syara‘ ialah zikir tertentu yang disyariatkan untuk pemberitahuan masuk waktu sembahyang fardhu lima waktu. Ia disyariatkan kerana hendak mendirikan sembahyang menurut ijmâ‘ ulama. Menurut pendapat yang ashah bahawa kedua-duanya (azan dan iqâmah) adalah sunat Kifayah bagi yang mendirikan sembahyang secara berjemaah dan sunat ‘Ain bagi yang mendirikan sembahyang secara bersendirian (munfarid).
Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Apabila mendirikan sembahyang maka hendaklah salah seorang daripada kamu azan untuk kamu semua. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Azan dengan Mengangkat Suara
Di dalam kitab-kitab fiqh mazhab asy-Syafi‘i menyebutkan bahawa sunat azan dengan mengangkat suara walaupun untuk mendirikan sembahyang sendirian (munfarid). Imam an- Nawawi Rahimahullâh menyebutkan dalam kitabnya al-Minhâj:
Ertinya: Al-Jadid (pendapat Imam asy-Syafi‘i) sunatnya (azan) bagi orang yang mengerjakan sembahyang bersendirian (munfarid) dan mengangkat suaranya kecuali dalam masjid yang telah berlaku (selesai) padanya sembahyang berjemaah.
Syeikh asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughni al-Muhtâj menjelaskan lagi perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: Dan memadai (bagi orang yang sembahyang sendirian) memperdengarkan azannya untuk dirinya, berlainan halnya azan (untuk tujuan) pemberitahuan kepada jemaah, maka disyaratkan padanya (azan itu) dengan menyaringkan suara sekira-kira mereka mendengarnya; kerana sesungguhnya meninggalkan perkara itu akan menghilangkan tujuan pemberitahuan dan memadai memperdengarkannya kepada seorang (daripada jemaah).
Begitu juga telah disebutkan perkara ini oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj:
Ertinya: [Dan mengangkat] orang yang sembahyang bersendirian [akan suaranya] adalah sunat ketika melaungkan azan sehingga mengatasi daripada dapat didengarkan oleh dirinya, dan sesiapa yang azan untuk jemaah (sunat melaungkan azan) sehingga melebihi daripada dapat didengar oleh seorang daripada mereka. Menyerukan (azan) setiap kedua-duanya (munfarid dan jemaah) adalah dengan menyaringkan suara selama mana tidak menyusahkan dirinya.
Berkata asy-Syabramallisi Rahimahullâh ketika menjelaskan perkataan Imam ar-Ramli Rahimahullâh di atas:
Ertinya: [Katanya: Dan menyerukan (azan) setiap kedua-duanya (munfarid dan jemaah) adalah dengan menyaringkan suara selama mana tidak menyusahkan dirinya] bererti adalah memadai baginya tuntutan sunat itu (menyaringkan suara) dengan mengangkat suara yang lebih daripada memperdengarkan untuk dirinya atau (melebihi daripada dapat didengar) oleh seorang daripada jemaah. Dan bagi mencapai kesempurnaan tuntutan sunat itu ialah dengan mengangkat suara sedaya upayanya tanpa masyaqqah (kesusahan). Dengan demikian, jika tidak terdengar (azan) dari negeri yang berdekatan maka tidak gugur tuntutan (sunat) itu daripada selain mereka (yang berada di dalam negeri yang melaungkan azan itu) sebagaimana (penjelasan) yang telah lalu.
Al-Jahr iaitu menyaringkan suara ketika azan untuk pemberitahuan jemaah juga adalah salah satu syarat azan dan iqâmah sebagaimana yang disebutkan oleh al-‘Allâmah al-Bakri Rahimahullâh dalam kitabnya Hasyiah I‘ânah ath-Thâlibîn ketika mensyarahkan kitab Fath al-Mu‘în karangan Imam al-Malibari Rahimahullâh:
Ertinya: [Dan menyaringkan suara] iaitu disyaratkan menyaringkan suara berdasarkan hadits yang berikut. Telah berkata di dalam Fath al-Jawâd: “Tidak memadai al-isrâr (suara yang hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri) walaupun sebahagiannya (sebutan azan dan iqâmah), melainkan pada at-tarjî‘ (dengan suara perlahan pada dua kalimat syahadat sebelum menyaringkannya) kerana (dengan al-isrâr) boleh meluputkan al-i‘lâm (tujuan pemberitahuan) itu. Dan (maksud) katanya: “[sayugia] ialah wajib, sebagaimana diungkapkan dengannya di dalam Fath al-Jawâd.” Dan (maksud) katanya: “[Memperdengarkan kepada seorang] ialah (memperdengarkan azan kepada seorang itu) dengan jelas.” Adapun bagi mereka yang selebihnya adalah memadai memperdengarkan kepada mereka dengan suara yang kuat sekira-kira jika mereka cenderung untuk mendengar, maka mereka akan mendengar. Dan (maksud) katanya: “[Semua perkataannya] ialah perkataan-perkataan yang disebut dalam azan dan iqâmah.”
Melaungkan Azan adalah Syi‘âr
Selain tujuan azan untuk pemberitahuan, salah satu hikmah melaungkan azan juga adalah untuk menzahirkan syi‘âr Islam sebagaimana yang disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi:
Ertinya: Dan ulama menyebutkan hikmah azan itu empat perkara (iaitu) menzahirkan syi‘âr Islam, (menzahirkan) kalimah tauhid, pemberitahuan masuk waktu dan tempat sembahyang dan seruan kepada jemaah.
Untuk mencapai laungan azan itu sampai kepada syi‘âr, Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh menyebutkan dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj:
Ertinya: Dan garis panduan: Hendaklah sekira-kira mendengarkannya (azan) kepada semua ahli (tempat berkenaan) jika mereka betul-betul mendengar kepadanya (azan). Yang pertama itu (pendapat pertama yang mengatakan azan dan iqâmah itu sunat) tidak dibunuh (ke atas ahli negeri itu kerana meninggalkan azan dan iqâmah), akan tetapi hendaklah untuk mencapai tuntutan sunat itu ialah dengan kadar setiap ahli negeri itu menzahirkan syi‘âr sebagaimana yang telah disebutkan. Diketahui bahawa sesungguhnya tidak menafikannya (menzahirkan syi‘âr itu) bahawa azan untuk jemaah itu memadai dengan didengar azan itu oleh seorang, kerana ia melihat kepada sekadar menunaikan asal tuntutan sunat azan, manakala ini (mensyaratkan zahir syi‘âr) melihat kerana menunaikannya (tuntutan sunat itu) pada semua ahli negeri. Oleh kerana itu (mensyaratkan mencapai tuntutan sunat dengan kadar setiap ahli negeri sekira-kira semua ahli negeri mendengar azan), jika seseorang azan pada negeri yang besar maka terlaksana tuntutan sunat itu bagi ahlinya (tetapi) tidak (terlaksana tuntutan sunat azan itu daripada) selain mereka.
Perkara ini juga dijelaskan oleh asy-Syarqawi Rahimahullâh di dalam kitab Hasyiah I‘ânah ath-Thâlibîn:
Ertinya: Ini (memperdengarkan azan memadai kepada seorang daripada jemaah) adalah nisbah kepada asal tuntutan sunat (melaungkan azan). Adapun kesempurnaannya tidak dikira tercapai kecuali dengan memperdengarkannya kepada semua mereka dengan jelas. Dan kedudukan ini (memperdengarkan azan memadai kepada seorang daripada jemaah) tidak mencapai kepada syi‘âr. Adapun ia (untuk mencapai syi‘âr) maka syaratnya hendaklah diperdengarkan dengan jelas dalam sebuah negeri itu sekira-kira sampai kedengaran kepada ke semua jemaah. Maka memadai (azan) pada satu tempat dalam sebuah kampung yang kecil dan (azan) pada beberapa tempat dalam sebuah kampung yang besar sekira-kira zahir syi‘âr. Jika azan dilaungkan pada sebahagian tempat sahaja (dalam sebuah kampung yang besar) maka tuntutan sunat itu adalah tercapai padanya, (namun tuntutan sunat azan) tidak tercapai pada tempat yang lain.
Azan Menggunakan Pembesar Suara
Sebagaimana yang dijelaskan di atas, salah satu tujuan azan itu ialah al-i‘lâm iaitu pemberitahuan masuk waktu sembahyang fardhu lima waktu. Oleh kerana itu, para ulama menghukumkan sunat serta menganjurkan supaya melaungkan azan dalam keadaan berdiri dan pada tempat yang tinggi. Berkata Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitab Nihâyah al- Muhtâj:
Ertinya: (Dan) disunatkan (azan dalam keadaan berdiri) kerana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memerintahkan Bilal berdiri dan kerana sesungguhnya (dengan berdiri itu) lebih menambah (jauh dan luasnya) pemberitahuan itu…
Kemudian Imam ar-Ramli Rahimahullâh berkata lagi:
Ertinya: Dan dianjurkan azan pada tempat yang tinggi seperti menara dan atap kerana mengikut sunnah dan kerana (dengan cara itu) akan lebih mencapai maksud al-i‘lâm (pemberitahuan). Berlainan halnya dengan iqâmah yang tidak dianjurkan padanya kecuali ada hajat kepadanya seperti kerana keluasan masjid sebagaimana (disebutkan) dalam (kitab) al-Majmû‘. (Disebutkan) dalam kitab al-Bahr: Jika tidak ada menara masjid, disunatkan azan di pintu masjid. Sepatutnya batasannya dengan itu (azan di pintu masjid) apabila ada kesukaran untuk azan di atap masjid, jika tidak, maka apa yang jelas adalah lebih utama (azan di atap masjid).
Hakikatnya, penggunaan pembesar suara pada zaman kita ini amatlah berfaedah dan sangat digalakkan kerana jelas fungsinya dan kegunaannya iaitu sebagai tambahan kekuatan suara supaya suara lebih kuat, nyaring serta boleh didengar dengan jelas ke serata tempat. Maka dengan penggunaan pembesar suara ketika melaungkan azan akan lebih tercapai tujuan asal tuntutan azan itu disyariatkan iaitu al-i‘lâm atau pemberitahuan masuk waktu dan tempat sembahyang, menzahirkan syi‘âr, menzahirkan kalimah tauhid dan seruan kepada jemaah.
Berkaitan dengan perkara yang ditanyakan, maka arahan untuk melaungkan azan tanpa menggunakan alat pembesar suara itu adalah ditakuti tidak mencapai tuntutan syara‘ terutama untuk menjadi syi‘âr. Oleh yang demikian, adalah tidak wajar melarang melaungkan azan dengan menggunakan alat pembesar suara ketika masuk waktu sembahyang.
Bagi yang bertanya, elok dihadapkan perkara ini kepada pihak yang ada berkenaan untuk sama-sama dibincangkan berdasarkan sandaran-sandaran syara‘ seperti yang digariskan dalam fatwa ini. Dengan cara itu akan dapatlah diatasi mana-mana yang sepatutnya perlu diatasi atau diusai (perbaiki).
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12401
