Berniat Mandi Wajib di Tandas
Soalan: Bilakah waktu yang betul kita hendak memasang niat mandi wajib sedangkan kebiasaannya tempat mandi terletak bersama dengan tandas?
Jawapan: Imam as-Suyuthi Rahimahullâh dalam kitab al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir menjelaskan bahawa letak niat itu adalah di dalam hati kerana pada hakikatnya niat itu adalah qashd atau ia dikatakan qashd yang disertakan untuk melakukan sesuatu perbuatan. Ia merupakan ungkapan yang dilakukan oleh hati.
Menurut pendapat ulama mazhab asy-Syafi‘i, sunat melafazkan niat dengan lidah dalam semua ibadat yang disyaratkan padanya niat untuk keluar daripada percanggahan yang mewajibkan melafazkan niat dengan lidah.
Kewajipan Niat dalam Mandi Wajib
Mandi wajib itu tidak sah tanpa niat. Berkata al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh ketika menjelaskan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Mughni al-Muhtâj:
Ertinya: [Dan sekurang-kurangnya] iaitu mandi wajib yang tidak sah tanpanya ada dua perkara: Pertama: [niat mengangkat janâbah] iaitu mengangkat hukumnya jika dia dalam keadaan junub, (begitu juga) mengangkat hadats haidh jika dia dalam keadaan haidh…
Imam al-Malibari Rahimahullâh dalam kitab Fath al-Mu‘în juga menyebutkan perkara kewajipan niat dalam mandi wajib:
Ertinya: [Fardhunya] iaitu fardhu mandi ada dua perkara: Pertama: [Niat mengangkat janâbah] bagi orang yang junub, atau haidh bagi orang yang haidh. Iaitu mengangkat hukumnya (hukum junub dan haidh). [Atau] niat [menunaikan fardhu mandi], mengangkat hadats, bersuci daripadanya atau menunaikan mandi.
Waktu Berniat Mandi
Waktu berniat mandi itu hendaklah ketika mula-mula membasuh bahagian badan sebagaimana yang telah disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj ketika menjelaskan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam al-Minhâj:
Ertinya: Dan wajib pada niat itu, niat secara [beriringan] [dengan permulaan fardhu] kerana yang dikira selepasnya ialah (anggota badan) yang pertama dibasuh sekalipun bermula dari bahagian bawah badan kerana tidak diwajibkan tertib..
Imam al-Malibari Rahimahullâh dalam kitab Fath al-Mu‘în juga menyebutkan:
Ertinya: Dan wajib niat itu [beriringan dengan permulaannya] – (iaitu) mandi – iaitu dengan basuhan badan yang pertama, sekalipun (permulaannya membasuh) dari bahagian bawah. Seandainya dia berniat selepas membasuh sebahagian badan, maka wajib mengulangi basuhannya (anggota yang dibasuh sebelum berniat itu).
Tandas
Dalam kamus Bahasa Melayu, tandas bererti tempat buang air; jamban; tempat mandi di sungai. Menurut penjelasan para ulama pula, tandas ialah tempat yang disediakan pada kebiasaannya untuk qadha’ hajat. Berkata Syeikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughni al-Muhtâj:
Ertinya: Dan tandas itu ialah tempat yang kosong ditukar kepada binaan yang disediakan pada kebiasaannya untuk qadha’ hajat (tandas).
Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh juga menyebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj:
Ertinya: Dan asal (perkataan) al-khalâ’ ialah tempat yang kosong kemudian menjadi tempat dikhaskan di dalamnya qadha’ hajat.
Para ulama telah menggariskan beberapa adab yang perlu diamalkan ketika berada di dalam tandas. Antara adab yang disebutkan oleh para ulama ialah tidak berkata-kata dengan sesuatu zikir atau al-Qur’an di dalam tandas.
Membaca Al-Qur’an atau Zikir di dalam Tandas
Berkata Syeikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh ketika menjelaskan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Mughni al-Muhtâj:
Ertinya: (Dan tidak berkata-kata) ketika sedang qadha’ hajat sama ada dengan zikir ataupun selainnya.
Kemudian beliau menjelaskan lagi:
Ertinya: Iaitu makruh baginya (berkata-kata sama ada dengan zikir ataupun bukan ketika sedang qadha’ hajat) kecuali kerana dharurat umpamanya memberi amaran kepada orang buta, maka (perbuatan tersebut) tidak makruh. Bahkan kadang-kadang (dalam keadaan seperti ini) dihukumkan wajib (untuk berkata-kata dan memberi amaran).
Larangan ini difahami daripada sebuah hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Janganlah dua orang lelaki pergi (untuk) memasuki satu tandas, (lalu) kedua-duanya membuka aurat mereka (untuk qadha’ hajat sambil) berbual-bual. Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla benci dengan (perbuatan) demikian itu. (Hadits riwayat Abu Daud)
Begitu juga yang dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam Tuhfah al-Muhtâj:
Ertinya: (Tidak berkata-kata) iaitu makruh baginya kecuali dia berkata-kata kerana mashlahah ketika sedang keluar air kencing atau berak walaupun dengan sesuatu yang bukan zikir atau menjawab salam (adalah) kerana tegahan daripada berkata-kata ketika berak. Walaupun dia bersin hendaklah dia mengucapkan tahmîd dalam hatinya sahaja sebagaimana orang yang sedang berjimâ‘. Jika dia berkata-kata tanpa dia sendiri tidak mendengar maka (perbuatan tersebut) tidak makruh. Ataupun takut terjadi bahaya pada orang lain jikalau dia tidak berkata-kata maka adalah wajib (dia berkata).
Berlainan halnya ketika bukan dalam keadaan qadha’ hajat maka makruh berkata-kata dengan zikir atau al-Qur’an di dalam tandas sahaja sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj:
Ertinya: Adapun tidak keluar sesuatu (qadha’ hajat) maka makruh berkata-kata dengan zikir atau al-Qur’an sahaja (di dalam tandas).
Adapun berkata-kata dengan selain zikir dan al-Qur’an di dalam tandas maka makruh berkata-kata ketika sedang qadha’ hajat tetapi tidak makruh sebelum dan selepas qadha’ hajat sebagaimana disebutkan oleh Imam asy-Syarwani Rahimahullâh ketika menjelaskan perkataan Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim:
Ertinya: (Perkataan Imam Ibnu Hajar: Sahaja) bererti berlainan tentang berkata-kata dengan selain daripada kedua-duanya (zikir dan al-Qur‘an) maka sesungguhnya yang dimakruhkan itu ialah ketika sedang keluar sesuatu itu tetapi tidak makruh sebelumnya (qadha’ hajat) dan tidak makruh juga selepasnya (qadha’ hajat)..
Oleh yang demikian, apa yang difahami daripada penjelasan di atas, perkara makruh ketika berada di dalam tandas ialah berkata-kata dengan sesuatu zikir atau sesuatu daripada ayat al- Qur’an. Manakala berkata-kata dengan selain daripada zikir dan al-Qur’an tidak dihukumkan makruh kecuali ketika sedang qadha’ hajat.
Berkaitan dengan persoalan berniat mandi wajib di dalam tandas, maka adalah harus dan tidak makruh jika mandi wajib dan memasang niat ketika mula-mula membasuh bahagian anggota badan di dalam tandas, memandangkan niat tidak termasuk dinamakan zikir atau al-Qur’an. Bahkan sunat melafazkan niat dengan lidah selain tuntutan wajib melafazkan niat di dalam hati kerana ia tidak menyalahi adab ketika di dalam tandas.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12405
