Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Buku-Buku Tulisan Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah & Ibnu Qayyim Al-Jauziyah

Soalan: Unit Penapisan Terbitan-Terbitan, Bahagian Penapisan dan Pameran, Pusat Da‘wah Islamiah telah menerima buku-buku tulisan Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah & Ibnu Qayyim al- Jauziyah untuk mendapatkan kelulusan bagi tujuan untuk dijual dan digunakan di negara ini.

Sebelum itu, Pusat Da‘wah Islamiah akan memastikan terlebih dahulu isi kandungan buku-buku tersebut. Mana-mana isi kandungan buku yang tidak bercanggah dengan amalan di negara ini akan diluluskan untuk dijual dan diedarkan, manakala yang bercanggah pula akan ditahan dan tidak diluluskan.

Walau bagaimanapun, akhir-akhir ini isu ajaran Wahabi dan buku-buku tulisan pengikut-pengikut wahabi semakin banyak diterima masuk untuk diedarkan di negara ini. Perkara ini mendatangkan keresahan orang ramai mengenai buku-buku tulisan Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah & Ibnu Qayyim al-Jauziyah yang menjadi sumber rujukan dan pegangan pengikut-pengikut Wahabi.

Sehubungan dengan itu, sukacita dipohonkan fatwa dan pandangan Pehin Mufti mengenai perkara ini.

Jawapan: Nama sebenar Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah Rahimahullâh ialah al-Imam Taqiyuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin ‘Abdul Halim bin ‘Abdul Salam bin ‘Abdullah bin Abu al-Qasim, juga dikenali dengan gelaran Ibnu Taimiyyah al-Harrani ad-Dimasyqi al-Hanbali. Beliau dilahirkan pada hari Isnin 10 Rabiulawal, 661 Hijriyyah dan wafat pada malam Isnin 22 Zulkaedah, 728 Hijriyyah.

Zaman hidup Ibnu Taimiyyah adalah dikenali sebagai zaman dunia Islam sedang mengalami pergolakan politik, sosio ekonomi dan kemunduran akhlak, ilmu pengetahuan dan agama. Hal tersebut telah dicatatkan oleh para ulama dan sarjana dan Ibnu Taimiyyah sendiri juga telah menceritakan keadaan berkenaan dalam beberapa tulisan beliau. Secara semula jadi, latar belakang suasana kehidupan Ibnu Taimiyyah pasti ada pengaruhnya terhadap pemikiran dan keperibadian beliau.

Pemikiran Ibnu Taimiyyah sentiasa menjadi bahan perhatian oleh pelbagai pihak dan ia terus dikaji sehingga kini sama ada oleh sarjana-sarjana Islam mahupun orientalis. Dalam masa yang sama, pemikirannya itulah juga yang menyebabkan beliau dari satu pihak mendapat pembelaan dan sanjungan, sementara di pihak lain pula dikecam dan juga dikutuk.

Al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh dalam kitab ad-Durar al-Kâminah fî A‘yân al-Mi’ah ats-Tsâminah telah menyebut bahawa pandangan awam terhadap Ibnu Taimiyyah terbahagi kepada tiga bahagian:

1. Ada kelompok yang menisbahkan Ibnu Taimiyyah sebagai penganut fahaman at-tajsîm (التجسيم) disebabkan kenyataan-kenyataan beliau dalam kitab al-Fatwâ al- Hamawiyyah al-Kubrâ, al-‘Aqîdah al-Wâsithiyyah dan lain-lain kitab Ibnu Taimiyyah sendiri. Antara lain, Ibnu Taimiyyah mengatakan bahawa tangan, telapak kaki, betis dan wajah adalah sifat-sifat yang hakiki bagi Allah Ta‘ala. Ibnu Taimiyyah juga mengatakan bahawasanya Allah Ta‘ala beristiwâ di atas ‘Arsy dengan zatNya.

2. Sebahagian kelompok pula menganggap Ibnu Taimiyyah sebagai seorang zindiq kerana beliau mengatakan tidak harus beristighâtsah dengan menjadikan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagai perantara. Menurut Ibnu Taimiyyah, perbuatan beristighâtsah dengan cara sedemikian itu mengurangkan dan menafikan keagungan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

3. Sebahagian kelompok pula mengaitkan Ibnu Taimiyyah dengan sifat munâfiq disebabkan pandangan beliau yang jelik terhadap sesetengah golongan sahabat.

Antara lain, Ibnu Taimiyyah mengatakan bahawa Sayyidina ‘Ali bin Abu Thalib Karramallâhu wajhah merasa kecewa setelah beberapa kali mencuba mendapatkan jawatan khalifah tetapi masih juga gagal. Ibnu Taimiyyah juga mengatakan bahawa Sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhah berperang hanya untuk mendapatkan jawatan pemerintah dan bukannya kerana agama. Selain itu, Sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhah juga dikatakan sebagai seorang yang gila kuasa.

Ibnu Taimiyyah juga menuduh Sayyidina ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallâhu ‘anhu sebagai gila harta. Amîrul-mu’minîn Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallâhu ‘anhu pula dikatakan telah masuk Islam pada ketika umurnya sudah tua iaitu tatkala beliau tidak lagi sedar apa yang beliau tuturkan. Sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhah pula dikatakan masuk Islam ketika umurnya masih kecil padahal keislaman seorang anak kecil itu adalah tidak sah.

Sebagaimana dimaklumi, kepercayaan-kepercayaan dan pandangan-pandangan Ibnu Taimiyyah Rahimahullâh sebagaimana di atas adalah jauh menyimpang daripada kepercayaan dan pegangan golongan Ahli Sunnah wal-Jama‘ah.

Al-Hafizh Waliyyudin al-‘Iraqi Rahimahullâh dalam kitab al-Ajwibah al-Mardhiyyah ‘ala al- As’ilah al-Makkiyyah menyatakan bahawa Ibnu Taimiyyah Rahimahullâh telah menyalahi ijmâ‘ dalam banyak permasalahan; dikatakan jumlah permasalahan tersebut mencecah sekitar 60 masalah. Al-Hafizh Waliyyuddin al-‘Iraqi Rahimahullâh juga mengatakan bahawa masalah-masalah yang diijmâ‘kan yang telah disalahi oleh Ibnu Taimiyyah tidak hanya terbatas kepada masalah-masalah furû‘ (cabang-cabang agama), bahkan kebanyakannya juga menyentuh perkara-perkara ushûluddîn. Kemudian, apa yang disalahkan oleh Ibnu Taimiyyah dalam masalah-masalah furû‘ itu (hakikatnya) adalah ia perkara-perkara yang tidak lagi dibenarkan perselisihan pendapat padanya kerana masalah-masalah berkenaan telah diijmâ‘kan oleh para ulama.

Adapun Ibnu Qayyim al-Jauziyyah Rahimahullâh atau nama lengkap beliau Muhammad bin Abu Bakr bin Ayyub bin Sa‘d bin Hariz az-Zar‘i ad-Dimasyqi, adalah salah seorang murid Ibnu Taimiyyah bahkan merupakan murid Ibnu Taimiyyah yang paling menonjol. Apabila disebut tentang Ibnu Qayyim, akan sering juga diperkatakan mengenai hubungan dan kecintaannya terhadap Ibnu Taimiyyah sehinggakan al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh ketika menerangkan terjemah (biografi) Ibnu Qayyim dalam ad-Durar al-Kaminah fi A‘yân al-Mi’ah ats-Tsâminah menyatakan:

“Beliau (Ibnu Qayyim) seorang yang berani, luas ilmunya, pakar dalam perbezaan pendapat dan mazhab-mazhab salaf. Kecintaannya kepada Ibnu Taimiyyah telah mempengaruhinya sehingga beliau tidak berbeza pendapat walau sedikit pun dengan Ibnu Taimiyyah bahkan membela semua pendapat Ibnu Taimiyyah. Beliau telah meringkaskan buku-buku Ibnu Taimiyyah dan beliaulah juga yang menyebarkan ilmunya. Ibnu Qayyim telah dikurung di dalam qal‘ah (kubu) bersama-sama Ibnu Taimiyyah selepas dihina dan dipukul di atas unta yang dibawa mengelilingi orang ramai. Apabila Ibnu Taimiyyah meninggal dunia, Ibnu Qayyim dikeluarkan dari kurungan..

.. Adapun tempoh perdampingan Ibnu Qayyim dengan Ibnu Taimiyyah adalah sejak Ibnu Taimiyyah pulang dari Mesir pada tahun 712 Hijriyyah sehingga Ibnu Taimiyyah meninggal dunia (hari Isnin, 22 Zulkaedah, 728 Hijriyyah).”

Sebagaimana fahaman yang dianut oleh gurunya Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim juga telah dikatakan sebagai seorang penyokong kuat aqidah at-tajsîm.

Al-Qadhi asy-Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani Rahimahullâh dalam Syawâhid al-Haqq fi al-Istighâtsah bi Sayyid al-Khalq menyatakan bahawa Ibnu Qayyim adalah termasuk dalam golongan yang mentsabitkan adanya jihah (tempat) bagi Allah Ta‘ala sepertimana guru beliau.

Al-Imam al-Muhaddits asy-Syaikh ‘Abdul Ra‘uf al-Munawi al-Mashri Rahimahullâh, dalam hamisy kitab Jam‘ al-Wasâ’il fî Syarh asy-Syamâ’il juga menerangkan perkara yang serupa bilamana beliau menyatakan bahawa Ibnu Qayyim dan juga gurunya Ibnu Taimiyyah adalah mereka itu pembuat bid‘ah dan mazhab mereka telah mentsabitkan adanya jihah (tempat) dan jisim bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Maha Suci Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ daripada kata-kata orang-orang yang zalim.

Keilmuan Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim

Sungguhpun telah dikenali sebagai pembawa fahaman-fahaman yang sesat dan melampau, tidak dinafikan bahawa Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim mempunyai kelebihan tersendiri terutamanya kelebihan dari segi keluasan ilmu pengetahuan sehinggakan perkara tersebut diperakui dan diberikan pujian oleh banyak ulama pada zaman mereka.

Al-Hafizh adz-Dzahabi Rahimahullâh, sebagai contoh, dalam Tadzkirah al-Huffâzh telah memperkenalkan Ibnu Taimiyyah sebagai seorang syaikh, imam, ‘allâmah (seorang yang sangat alim), hafizh, seorang yang sangat kritis, mujtahid, pentafsir (al-Qur’an) yang mahir, telah diberikan gelaran Syaikh al-Islam, alim bagi golongan orang-orang zuhud dan terulung pada zamannya. Adz-Dzahabi Rahimahullâh juga menyebutkan bahawa Ibnu Taimiyyah adalah daripada lautan ilmu dan tergolong dalam golongan para cendekiawan yang terbilang, zuhud yang sukar dicari, tokoh-tokoh yang berani dan pemurah lagi mulia, dipuji oleh penyokong dan penentang.

Al-‘Allâmah Kamaluddin bin az-Zamalakani Rahimahullâh yang dikatakan sebagai penentang kuat Ibnu Taimiyyah, juga telah mengiktiraf keilmuan Ibnu Taimiyyah. Dalam kitab Târîkh Ibnu al-Wardi, kata-kata beliau telah dinukil sebagaimana berikut:

“Apabila dia (Ibnu Taimiyyah) ditanya tentang suatu bidang ilmu, sesiapa yang mendengar atau melihat (jawapannya) akan menyangka bahawa dia seolah-olah hanya membidangi ilmu itu sahaja. Setiap orang akan memutuskan bahawa tidak ada seorang pun yang mampu menandinginya. Para fuqahâ’ dari segenap penjuru, apabila berdamping dengannya mereka akan mendapat suatu faedah yang berguna bagi mazhab-mazhab mereka. Tidak diketahui ada sesiapa yang apabila berhujjah dengan Ibnu Taimiyyah akan mengalahkannya. Dan dia (Ibnu Taimiyyah) tidak berbicara tentang suatu ilmu sama ada ilmu syara‘ atau yang lainnya melainkan dia akan mengatasi ahli dalam bidang ilmu pengetahuan berkenaan. Berkumpul dalam dirinya syarat-syarat ijtihâd.” Tamat kata-katanya.

Berkenaan keilmuan Ibnu al-Qayyim pula, antara lain Ibnu Rajab al-Hanbali Rahimahullâh telah berkata dalam adz-Dzail ‘alâ Thabaqât al-Hanabilah:

“Beliau seorang yang ‘arif dan tidak dapat ditandingi dalam bidang ilmu tafsir dan ilmu ushuluddin. Kepada beliau penghujung dua ilmu ini. (Beliau juga ‘arif) dalam ilmu hadits, makna-maknanya, fiqhnya dan perincian-perincian untuk mengistinbâth (hukum) daripadanya yang tidak dapat ditandingi oleh orang lain. (Beliau juga ‘arif) dalam ilmu fiqh, ushul fiqh dan bahasa Arab. Beliau mempunyai tangan yang panjang (pakar) di dalam ilmu-ilmu berkenaan dan beliau juga pakar dalam ilmu kalam, nahu dan lain-lain. Beliau adalah seorang ulama dalam ilmu suluk (penyucian jiwa), kata-kata ahli tashawwuf, isyarat-isyarat mereka, perincian-perincian yang halus bagi golongan berkenaan.”

Keilmuan Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim dapat disaksikan melalui kitab-kitab yang mereka hasilkan. Dalam ad-Durar al-Kaminah fî A‘yân al-Mi’ah ats-Tsâminah, adz-Dzahabi Rahimahullâh telah menyebut bahawa karangan Ibnu Taimiyyah dikatakan mencapai 4,000 naskah bahkan lebih.

Ibnu al-Wardi pula dalam Târîkhnya menyatakan hasil tulisan Ibnu Taimiyyah mencapai jumlah 500 jilid banyaknya. Manakala Ibnu Qayyim, beliau telah menghasilkan buku yang berjilid-jilid banyaknya dalam puluhan tajuk merangkumi bidang-bidang seperti tafsir al- Qur’an, ilmu hadits, fiqh dan ushul fiqh, tashawwuf, ilmu kalam dan falsafah, sejarah, perubatan nabawi dan lain-lain lagi.

Sumbangan Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim terhadap perkembangan ilmu pengetahuan terutama sekali perkembangan ilmu pengetahuan Islam tidak diketepikan begitu sahaja, bahkan perlu dinilai secara adil dan objektif menerusi pertimbangan ilmiah yang mu‘tabar. Adalah dimaklumi bahawa sesetengah daripada kitab-kitab Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim masih digunakan sebagai sumber pembahasan karya-karya ilmiah pada hari ini dan sebilangan lagi terus mendapat tempat di persada dunia akademik sehingga kini.

Di sebalik kelebihan yang dimiliki oleh Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim, bagaimanapun, hal itulah juga yang mendapat perhatian dan diingatkan oleh para ulama.

Al-Imam Abu al-Hasan Taqiyuddin ‘Ali bin ‘Abdul Kafi as-Subki Rahimahullâh dalam Fatâwâ beliau menyebutkan:

“Kemudian nyata bagi diriku tentang keadaannya (Ibnu Taimiyyah) bahawasanya dia bukanlah seseorang yang dii‘timâdkan berhubung perkara-perkara yang telah dinukilnya secara bersendirian disebabkan sikapnya yang gelojoh tatkala memetik sesuatu perkara dengan menyandarkannya atas apa yang difahaminya sahaja sebagaimana dalam masalah yang dibincangkan ini. Kajian yang dilakukannya juga tidak dii‘timâdkan kerana fakta (sebenar) telah dicampuradukkan dengan perkara-perkara lain di samping juga atas sebab dia (sering) terkeluar jauh dari garis batasan.

Dia (Ibnu Taimiyyah) adalah seorang yang banyak hafalannya, akan tetapi dia tidak menyandarkan (apa yang dihafalnya itu) kepada guru. Dia juga tidak pernah berpuas hati dengan ilmu-ilmu (yang ada), bahkan terus mencarinya dengan cara menggunakan pemahamannya sendiri yang didorong oleh keberaniannya, khayalannya yang luas dan kekurangan-kekurangan yang banyak yang ada pada dirinya.”

Waliyuddin al-Iraqi Rahimahullâh dalam al-Ajwibah al-Mardhiyyah pula mengingatkan: “Ilmunya (Ibnu Taimiyyah) lebih banyak daripada akalnya.”

Adz-Dzahabi Rahimahullâh sendiri iaitu seorang yang berguru kepada Ibnu Taimiyyah, walaupun pada awalnya sangat menyanjung tinggi Ibnu Taimiyyah, akan tetapi beliau kemudiannya telah menulis satu risalah bertajuk an-Nashîhah adz-Dzahabiyyah li Ibn Taimiyyah sebagai nasihat kepada Ibnu Taimiyyah mengingatkannya agar dia berhenti daripada menyerukan fahaman-fahamannya yang melampau serta berhenti daripada kebiasaannya mencaci-maki para ulama yang terdahulu. Seolah-olah hal ini menjadi bukti yang nyata dan pengakuan daripada seorang murid akan kesilapan gurunya sendiri.

Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh pula dengan lebih tegas pernah berkata dalam al-Fatâwâ al-Hadîtsiyyah bahawa:

“Ibnu Taimiyyah adalah seorang hamba yang telah dipinggirkan, disesatkan, dibutakan, ditulikan dan dihinakan oleh Allah Ta‘ala. Demikian itu cara para imam menjelaskan mengenai kerosakannya dan kata-katanya yang dusta. Sesiapa yang ingin tahu lebih jelas mengenai perkara ini, maka silalah menelaah ucapan imam mujtahid, siapa yang telah disepakati (status) keimamannya, kebesarannya dan kedudukannya sebagai ahli ijtihâd iaitu Abu al-Hasan (Taqiyyuddin) as-Subki dan anaknya (Tajuddin as-Subki) dan Syeikh al-Imam ‘Izzuddin bin Jama‘ah serta para ulama sezaman mereka dan juga lain-lain lagi daripada ulama-ulama Syafi‘iyyah, Malikiyyah dan Hanafiyyah…

… Lantaran itu, ucapannya (Ibnu Taimiyyah) tidak ada nilai sama sekali bahkan hendaklah dilemparkan dalam apa juga keadaan atas dasar dia (Ibnu Taimiyyah) adalah ahli bid‘ah, sesat, menyesatkan, jahil, dan melampau. Semoga Allah membalasnya dengan keadilanNya dan menjauhkan kita daripada melalui jalan sepertinya, daripada aqidahnya dan juga daripada perbuatannya. Âmîn.”

Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim antara Dua Sisi

Berdasarkan perkataan-perkataan para ulama mengenai Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim sepertimana di atas, dapat diketahui bahawa Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim sering ditonjolkan menerusi dua sisi yang berbeza. Di satu sisi ialah Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim yang dikenali sebagai pembawa fahaman-fahaman dan pemikiran-pemikiran sesat yang jauh menyimpang daripada fahaman-fahaman dan pemikiran-pemikiran aliran jumhûr para ulama. Di sisi yang lain pula ialah Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim sebagai ulama atau ilmuan Islam yang telah turut sama memberikan sumbangan kepada dunia ilmu pengetahuan Islam.

Yusuf an-Nabhani Rahimahullâh dalam Syawâhid al-Haqq berkata:

“Ketahuilah bahawasanya al-Imam Ibnu Taimiyyah dari segi keilmuannya adalah ibarat lautan yang ombaknya bergelora. Adakalanya keluar dari dirinya permata berharga (lu’lu’ dan marjân). Pada ketika yang lain pula, akan keluar batu-batan (yang keras) dan juga kulit (yang nipis seperti kulit kerang). Adakalanya akan keluar kotoran dan juga bangkai. Sifatnya yang pertama dan indah, bagaimanapun, adalah lebih menonjol dalam dirinya.

Justeru, baginya ada dua keadaan:

1. Sifat terpuji iaitu sifatnya sebagai seorang imam dalam bidang ilmu pengetahuan yang berguna. Inilah sifatnya yang lebih ke hadapan dan kerana itu dia berhak diberikan pujian. Apabila aku memujinya dalam kata-kataku, maka sesungguhnya aku memujinya atas sifatnya yang baik itu sebagaimana aku memuji kebanyakan ulama-ulama besar yang lain dalam kalangan ulama-ulama mazhab yang empat.

2. Sifat yang tercela iaitu sifatnya dalam menerajui maklumat-maklumat dusta yang kerananya dia berhak mendapat kutukan. Sebab itu kamu telah melihatku mengutuknya sebagaimana ulama-ulama lain dalam kalangan mazhab (fiqh) yang empat mencelanya atas sifat-sifatnya yang terkutuk itu (khusus) sebagai amaran bagi orang-orang Islam agar tidak terikut-ikut dengan fahaman-fahamannya yang menyeleweng dan juga sebagai rahmat dan belas kasihan ke atas mereka agar tidak terpedaya dengan tutur kata Ibnu Taimiyyah yang berhias cantik (pada zahirnya)...

… Hal yang sama juga dikatakan ke atas anak-anak murid Ibnu Taimiyyah iaitu Ibnu Qayyim dan Ibnu ‘Abdul Hadi (ash-Sharim al-Munki) walaupun Ibnu Qayyim berhak diberikan pujian yang lebih kerana banyak tulisannya memberikan manfaat kepada orang lain.”

Pandangan Yusuf an-Nabhani Rahimahullâh di atas pada dasarnya adalah pandangan yang munasabah dalam menyikapi kedudukan perkara Ibnu Taimiyyah dan juga Ibnu Qayyim al- Jauziyyah.

Apa pun jua fahaman-fahaman dan kepercayaan-kepercayaan yang bercanggah dengan fahaman-fahaman dan aqidah Ahli Sunnah wal-Jama‘ah, termasuklah yang dibawa oleh Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim atau oleh sesiapa sahaja, adalah fahaman-fahaman dan kepercayaan-kepercayaan sedemikian itu pasti akan dikutuk dan ditentang secara habis-habisan. Dalam hubungan ini, segala apa yang diberikan amaran oleh para ulama berkenaan fatwa-fatwa dan ucapan-ucapan Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim yang sesat, sangatlah mustahak ke atas umat Islam untuk mengambil perhatian dan berhati-hati agar tidak terjerumus sama menjadi golongan yang dinamakan sesat, zindiq dan munâfiq.

Adapun dari sudut sumbangan keilmuan Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim, jika benar ada sebarang manfaat yang boleh diambil daripadanya, maka tidaklah salah untuk berbuat demikian selagimana perkara yang hendak diambil itu tidak bertentangan dengan mana-mana prinsip dan ajaran Ahli Sunnah wal-Jama‘ah dan tidak bercanggah dengan perkara-perkara yang telah diijmâ‘kan oleh jumhûr ulama. Sumbangan Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim adalah diambil kira apabila ia telah diketahui dan diperakui berguna dan bermanfaat kepada umat Islam.

Al-‘Allâmah al-Muhaqqiq al-Habîb Zain bin Ibrahim bin Sumaith Ba ‘Alawi al-Hushni hafazhahullâh telah menukil dalam kitab beliau al-Manhaj as-Sawiy Syarh Ushûl Tharîqah as-Sâdah Âli Ba ‘Alawi kata-kata al-Imam Ahmad bin Hasan al-‘Aththas Rahimahullâh berkenaan kitab Zâd al-Ma‘âd karangan Ibnu Qayyim bahawa:

“Adalah sepatutnya bagi sesiapa yang hendak menerokai dan mengikut sunnah nabawiyyah untuk tidak berenggang dengan kitab ini (Zâd al-Ma‘âd). Al-Habib ‘Abdullah al-Haddad sangat-sangat menyukai dan cenderung kepada kitab ini.”

Al-Habib Zain bin Ibrahim bin Sumaith hafazhahullâh juga telah menyenaraikan kitab Zâd al-Ma‘âd dalam himpunan kitab-kitab yang disarankan untuk dibaca oleh para ulama.

Begitu kata-kata ulama berkenaan kitab-kitab Ibnu Qayyim dengan nada yang demikian, akan dijumpai pula kenyataan-kenyataan seumpama kenyataan al-Hafizh as-Subki Rahimahullâh dalam kitab Itihâf as-Sadâh al-Muttaqîn bi Syarh Ihyâ’ Ulûm ad-Dîn. Beliau berkata:

“Kitab al-Arasy antara seburuk-buruk kitab beliau (Ibnu Taimiyyah). Ketika mana Syaikh Abu Hayyan meneliti kitab tersebut, beliau terus mencela fahaman dalam kitab berkenaan sehinggalah beliau mati.”

Justeru, setiap perkara yang telah diingatkan oleh para ulama hendaklah diambil peduli, sekurang-kurangnya dengan mengambil langkah berhati-hati dan mengaturkan kaedah-kaedah yang bersesuaian tatkala meneliti setiap kandungan yang terdapat dalam kitab-kitab Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim. Dalam kata lain, kitab-kitab Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim hendaklah hanya dibaca oleh golongan yang pandai membezakan di antara maklumat-maklumat yang betul dengan sebaliknya, bukannya dibiarkan berada tanpa kawalan di tangan pembaca daripada golongan orang awam.

Mengambil manfaat daripada keilmuan Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim tidak bererti kita mempersetujui aqidah dan fahaman-fahamannya yang sesat, bahkan adalah semata-mata untuk tujuan mengambil ilmu atas kebenaran ilmu itu. Dalam kata lain, kebenaran akan tetap ditegakkan sekalipun jika ia berada di pihak musuh. Golongan Ahli Sunnah wal-Jama‘ah tidak ada kena-mengena dengan aqidah dan fahaman-fahaman Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim yang sesat, tetapi kita juga tidak boleh menyembunyikan ilmu yang benar dalam apa jua keadaan.

Perlu juga diingat bahawa sekalipun telah dikenali sebagai pembawa fahaman-fahaman yang sesat dan melampau, urusan Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim secara mu‘tamadnya adalah urusan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ada ditemui cerita-cerita tentang Ibnu Taimiyyah yang telah beberapa kali bertaubat daripada kemungkaran yang dilakukannya, tetapi sering juga diceritakan dia melanggar taubatnya dan kembali melakukan kejahatannya. Hanya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sahaja yang layak untuk menilai dan Maha Mengetahui kedudukan perkara yang sebenarnya.

Berkata al-Hafizh as-Subki Rahimahullâh dalam Fatâwânya:

“Kami tidak ada apa-apa urusan untuk menyebut-nyebut mengenai Ibnu Taimiyyah setelah dia meninggal dunia kerana itu adalah urusan kaum yang telah meninggalkan kita. Bagaimanapun, (masalah yang perlu dihadapi ialah) dia mempunyai pengikut yang petualang (yang tidak mahu diserukan kepada ajaran yang benar) dan tidak mahu memberikan pertolongan.”

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh pula dalam al-Fatâwâ al-Hadîtsiyyah berkata:

“Maka berhati-hatilah kamu, jangan kamu dengarkan apa yang ditulis oleh Ibnu Taimiyyah dan muridnya Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dan selain kedua-duanya (yang sealiran) daripada orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya dan Allah mengunci mati pendengarannya, hatinya dan meletakkan penutup atas penglihatannya. Maka siapakah lagi yang dapat memberi petunjuk kepadanya setelah Allah (membiarkannya sesat)?”

Kenyataan-kenyataan di atas antara lain menunjukkan bahawa masalah yang perlu didepani bukanlah masalah berkait Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim semata-mata, sebaliknya adalah juga masalah dalam bentuk cabaran-cabaran yang diberikan oleh pengikut-pengikut Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim yang ta‘shub berpegang kepada pemikiran-pemikiran Ibnu Taimiyyah yang menyeleweng walaupun setelah ditunjukkan jalan kebenaran. Setentunya juga cabaran lebih besar untuk dihadapi wujud dalam bentuk kitab-kitab Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim yang memuatkan pemikiran-pemikiran mereka yang menyeleweng adalah masih beredar dan tersebar luas sehingga kini. Inilah masalah yang sebenarnya lebih penting untuk ditangani berbanding masalah memikirkan apa kesudahan golongan yang hidup pada kurun ketujuh Hijriyyah dan telah lama meninggalkan kita.

Bukti Kesesatan Sebahagian Kitab-Kitab Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim

Sebagaimana disebutkan di atas, kesesatan Ibnu Taimiyyah mencakupi perkara-perkara ushuluddin dan juga pelanggaran-pelanggarannya terhadap sesetengah perkara furu‘ yang telah diijmâ‘kan. Sila lihat keterangan al-Hafizh as-Subki Rahimahullâh dalam ad-Durrah al- Mudhî’ah fi ar-Radd ‘ala Ibn Taimiyyah dan al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam al-Fatâwâ al-Hadîtsiyyah untuk mengetahui perkara tersebut dengan lebih lanjut.

Kesesatan-kesesatan Ibnu Taimiyyah dalam perkara-perkara berkenaan telah dibuktikan menerusi tulisan-tulisan atau kenyataan-kenyataan Ibnu Taimiyyah sendiri yang berserakan dalam kitab-kitab beliau.

Sebagai contoh, dalam kitab Majmû‘ al-Fatâwâ, berkenaan fahaman at-tajsîm, Ibnu Taimiyyah telah mengatakan:

Ertinya: Dan bahawasanya telah menyebutkan bukan setakat oleh seorang hikayat mengenai ijmâ‘ golongan salaf – antaranya ialah al-Khaththabi – berkenaan pendirian mazhab golongan salaf: Sesungguhnya (sifat Allah Ta‘ala) adalah mengikut pengertian yang zahir dengan menafikan kaifiyyah dan penyerupaan daripadanya. Hal ini disebabkan perbicaraan mengenai ‘sifat’ adalah cabang kepada perbicaraan mengenai ‘zat’; menuruti ia sepertinya dan mengikuti akan perbandingannya. Maka oleh kerana itu, apabila pengitsbatan zat bererti pengitsbatan tentang kewujudan bukannya pengitsbatan kaifiyyah, maka begitulah juga pengitsbatan sifat bererti pengitsbatan tentang kewujudan bukannya pengitsbatan kaifiyyah. Oleh itu, kita mengatakan bahawasanya bagiNya (Allah Ta‘ala) tangan dan pendengaran dan kita tidak mengatakan makna tangan itu sebagai kekuasaan dan pendengaran itu tidak membawa makna ilmu pengetahuan.

Kenyataan-kenyataan kontroversial seperti di atas, juga boleh ditemui dalam kitab-kitab Ibnu Taimiyyah yang lain seperti kitab al-Fatwâ al-Hamawiyyah al-Kubrâ, al-‘Aqîdah al- Wâsithiyyah, Bayân Talbîs al-Jahmiyyah, Minhâj as-Sunnah an-Nabawiyyah, Muwâfaqah Sharîh al-Ma‘qûl li Shahîh al-Manqûl dan Ta’sîs ar-Radd Asâs at-Taqdîs. Kesesatan fahaman at-tajsîm Ibnu Taimiyyah juga boleh ditemui dalam ar-Risâlah at-Tadammuriyyah dan kitab al-‘Arasy.

Sebagai contoh yang lain lagi, berkenaan kepercayaan Ibnu Taimiyyah bahawa jenis alam ini qadîm (tidak ada permulaan), dalam kitab Minhâj as-Sunnah an-Nabawiyyah, Ibnu Taimiyyah telah mengatakan:

Ertinya: Bertitik tolak daripada perkara tersebut, maka adalah terhalang kejadian sesuatu daripada alam itu secara azali walaupun harus jenis benda-benda yang baharu itu terjadi secara berterusan dan tidak berkesudahan. Sesungguhnya azal itu bukanlah suatu ibarat bagi sesuatu yang mempunyai batasan, sebaliknya tidak ada waktu yang tertentu melainkan ada waktu yang lain sebelumnya. Ini menunjukkan tidak semestinya kejadian yang berterusan pada jenis(nya) qadîm pada dirinya itu sendiri.

Kenyataan-kenyataan yang menunjukkan pendirian Ibnu Taimiyyah seperti di atas juga boleh ditemui dalam kitab Majmû‘ al-Fatâwâ dan Muwâfaqah Sharîh al-Ma‘qûl li Shahîh al- Manqûl. Selain itu, ia juga boleh didapati dalam empat karya Ibnu Taimiyyah yang lain iaitu kitab Syarh Hadîts an-Nuzûl, Syarh Hadîts ‘Imran bin al-Hushain, Naqd Marâtib al-Ijmâ‘ dan Majmû‘ah Tafsîr min Sitt Suwar.

Kemudian, berkenaan pandangan Ibnu Taimiyyah dalam perkara tidak harus beristighâtsah dengan menjadikan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagai perantara, perkara tersebut ditemui dalam kitab at-Tawassul wa al-Wasîlah.

Sebagaimana keadaan gurunya Ibnu Taimiyyah, fahaman-fahaman Ibnu Qayyim juga didapati daripada kitab-kitab beliau sendiri.

Sebagai contoh, berhubung fahaman Ibnu Qayyim mengenai aqidah at-tajsîm sahaja, perkara tersebut banyak ditemui dalam kitab Syarh al-Qashîdah an-Nûniyyah, Ijtimâ‘ al-Juyûsy al- Islâmiyyah, Badâi‘ al-Fawâ’id dan lain-lain kitab Ibnu Qayyim lagi.

Demikian sebilangan sahaja daripada kitab-kitab Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim yang menjadi bukti terhadap kesesatan aqidah dan pemikiran mereka. Inilah juga antara kitab-kitab yang diberikan peringatan oleh para ulama agar ia tidak sewenang-wenangnya dibaca oleh orang ramai.

Apa yang jelas ialah kitab-kitab yang sedemikian bentuknya adalah lebih banyak lagi jumlahnya daripada yang dapat disenaraikan di sini. Usaha yang lebih besar adalah sangat diperlukan untuk mengenal pasti dan mengawal selia kemasukan kitab-kitab yang boleh dibaca oleh orang kebanyakan dan kitab-kitab yang boleh membahayakan aqidah umat Islam dan mengelirukan fahaman dan amalan beragama yang berjalan di negara ini.

Difahamkan bahawa Unit Penapisan Terbitan-Terbitan, Bahagian Penapisan dan Pameran, Pusat Da‘wah Islamiah telah membuat langkah-langkah tertentu dengan meneliti mana-mana isi kandungan buku Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim yang bercanggah dan tidak bercanggah sebelum buku-buku berkenaan diluluskan untuk dijual dan diedarkan. Usaha sedemikian adalah sangat wajar dan amat bertepatan sekali. Bagaimanapun, kajian lanjut perlulah diteruskan agar maklumat-maklumat dan data-data yang telah dikumpulkan dapat diperkaya dan diperkemaskini dengan baik dari semasa ke semasa. Dalam hubungan ini, pihak-pihak yang berwajib seperti Unit Penapisan Terbitan-Terbitan, Bahagian Penapisan dan Pameran, Pusat Da‘wah Islamiah disarankan untuk bekerjasama dengan pusat-pusat penyelidikan di negara ini mahupun di luar negara bagi mengadakan kajian-kajian yang lebih khusus mengenai perkara ini. Hanya dengan adanya platform-platform seperti itu barulah bahan terbitan seperti kitab-kitab Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim dan lain-lainnya akan dapat benar-benar dinilai dan dibezakan secara objektif di antara yang bermanfaat dengan yang memudharatkan umat Islam.

Adapun kitab-kitab Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim yang telah diketahui mempunyai hubungan ketara dengan fahaman-fahaman sesat atau yang bercanggah dengan pendapat atau fahaman Ahli Sunnah wal-Jama‘ah adalah kitab-kitab sedemikian itu wajar dibendung dan tidak dibenarkan masuk sama sekali ke negara ini. Permohonan untuk membawa masuk kitab-kitab sedemikian perlu dinilai dari semasa ke semasa dan pertimbangan mengenainya juga sewajarnya dibataskan hanya kepada institusi-institusi tertentu sahaja seperti pengajian tinggi agama, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Mufti Kerajaan, pusat-pusat penyelidikan dan individu-individu tertentu yang benar-benar dikenal pasti berkaitan dengan tugasnya memberikan fatwa umpamanya dan lain-lain.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12410