Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Cadangan Mengadakan Aktiviti Larian Sambil Berzikir

Soalan: Sudah menjadi kebiasaan sebilangan unit di Angkatan Bersenjata Diraja Brunei melaungkan beberapa lagu dalam Bahasa Melayu dan Inggeris semasa membuat aktiviti berlari semata-mata untuk menaikkan semangat dan moral anggota semasa larian tersebut. Jabatan Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (JAMA’AT) telah menerima beberapa cadangan untuk mengubah lagu tersebut kepada laungan-laungan yang menggunakan beberapa nama yang terkandung dalam Asmâ’ al-Husnâ dan juga beberapa zikir-zikir yang difikirkan sesuai.

Sehubungan dengan itu, dipohonkan fatwa Pehin Mufti mengenai perkara ini.

Jawapan: Berzikir adalah salah satu amalan yang sangat dituntut untuk dilakukan oleh umat Islam, yang mempunyai kelebihan dan menjadi sumber keberkatan. Anjuran untuk berzikir ini banyak disebutkan dalam ayat-ayat al-Qur’an, antaranya firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Oleh itu berzikirlah (ingatlah) kamu kepada Aku, nescaya Aku akan mengingati kamu sekalian; dan bersyukurlah kamu kepada Aku dan janganlah kamu kufur (akan ni‘matKu). (Surah al-Baqarah: 152)

Menurut as-Sayyid ‘Abdul Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar yang dikenali sebagai Ba ‘Alwi Rahimahullâh menyebutkan bahawa zikir dalam bahasa Arab bererti apa jua yang diingat. Manakala dari segi syara‘, zikir bermaksud kata-kata yang dibawakan atau diucapkan kerana tujuan berdo‘a kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, memuji-muji kepadaNya atau kata-kata yang diberi pahala bagi orang yang menyebutnya sebagaimana juga disebutkan dalam kitab Tuhfah.

Kelebihan atau ganjaran bagi orang-orang yang banyak berzikir ini juga ada disebut dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan lelaki-lelaki serta perempuan-perempuan yang banyak berzikir mengingati Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar. (Surah al-Ahzâb: 35)

Kemulian Zikir dan Adab Berzikir

Zikir adalah salah satu ibadat seorang hamba kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ maka kerana itu kemuliaan dan kehormatannya perlu dipelihara. Dalam memelihara kemuliaan zikir ini para ulama telah menggariskan tata cara atau adab memuliakan dan menghormatinya, antaranya:

1) Tempat dan suasana berzikir hendaklah dipilih pada tempat dan suasana yang elok.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Adzkâr mengatakan bahawa tempat berzikir itu semestinya adalah tempat yang tenang dan bersih kerana yang demikian itu lebih memberi kesan demi menjaga kemuliaan dan kehormatan zikir. Lebih-lebih lagi kemuliaan yang diingati pada zikir-zikir tersebut iaitu Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Kerana itu mengadakan zikir di masjid-masjid dan tempat-tempat yang mulia adalah sesuatu yang terpuji. Al-Imam al-Jalil Abu Maisarah Radhiallâhu ‘anhu berkata:

Ertinya: Tidak disebut nama Allah Ta‘ala kecuali pada tempat yang baik.

Menurut Ibnu ‘Allan, yang dimaksudkan dengan tempat yang baik itu ialah tempat yang bebas daripada perkara syubhah, apatah lagi yang diharamkan yang boleh mengganggu gugat hati orang yang berzikir, lebih-lebih lagi perkara yang mendatangkan dosa.

2) Orang yang berzikir hendaklah berada dalam sifat atau keadaannya yang seelok-eloknya.

Sekiranya orang yang berzikir itu duduk, sewajarnya dia menghadap qiblat dalam keadaan merendah diri, khusyû‘, tenang dan tenteram serta menundukkan kepalanya.

Sekiranya perkara-perkara ini ditinggalkan bermakna orang yang berzikir itu telah meninggalkan yang utama namun tidaklah ia menjadi kesalahan dan tidak juga dihukumkan makruh.

3) Mulut orang yang berzikir itu hendaklah bersih tidak berbau busuk. Sekiranya ada bau pada mulutnya hendaklah dia segera menghilangkannya dengan bersiwak (bersugi).

Jika terdapat najis pada badannya, maka dihilangkan najis tersebut dengan mandi. Sekiranya diteruskan berzikir dalam keadaan sedemikian maka hukumnya makruh.

Begitu juga seseorang yang membaca al-Qur’an sedang terdapat najis di mulutnya, maka hukumnya adalah makruh.

4) Mengucapkan zikir dengan hadirnya hati (khusyû‘) kerana itulah yang dimaksudkan dengan zikir. Oleh itu hendaklah orang yang berzikir sentiasa berusaha untuk mencapainya, mengamati zikirnya, memahami maknanya dan semua perkara ini adalah dituntut.

5) Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh zikir itu adakalanya dibaca dengan hati dan adakalanya pula dengan lisan, namun yang lebih afdhal ialah berzikir dengan hati dan lisan sekaligus.

Hukum Berzikir dalam Keadaan Berlari

Secara umumnya berzikir dibolehkan dalam banyak keadaan kecuali beberapa keadaan tertentu. Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Adzkâr ada menyebutkan bahawa berzikir adalah sangat dituntut dalam semua keadaan melainkan dalam keadaan-keadaan tertentu yang dikecualikan oleh syara‘.

Antara keadaan yang disebutkan makruh untuk berzikir ialah ketika duduk untuk qadha’ hajat, ketika jimâ‘, ketika khutbah dibacakan bagi orang yang mendengarkannya, ketika berdiri untuk sembahyang dan ketika sangat mengantuk. Namun begitu tidak makruh berzikir ketika berjalan dan begitu juga di bilik mandi.

Sungguhpun berzikir dalam keadaan berlari tidak disebutkan secara nyata, namun para ulama tidak ada menyebutkannya sebagai keadaan yang ditegah ataupun makruh untuk berzikir.

Hukum Menyaringkan Bacaan Zikir

Dalam perkara melafazkan zikir dengan jahr atau nyaring, para ulama mempunyai beberapa pendapat berbeza berdasarkan dalil al-Qur’an dan hadits.

Antara ayat al-Qur’an yang memperkatakan tentang perkara ini ialah firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ayat 205 dari surah al-A‘râf:

Tafsirnya: Dan ingatlah Tuhanmu dalam hatimu dengan rendah hati dan dengan perasaan takut dan bukan dengan suara yang nyaring pada waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau menjadi daripada orang-orang yang lalai. (Surah al-A‘râf: 205)

Menurut kitab al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân pengertian ayat ini mempunyai persamaan dengan pengertian ayat 55, surah al-A‘râf yang menyebutkan tentang perintah untuk berdo‘a kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta sifat-sifat yang mengelokkan permohonan do‘a tersebut iaitu mengucapkannya dengan khusyû‘, takut dan merendah diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Perkataan khufyah dalam ayat tersebut memberi maksud bahawa do‘a dan zikir itu selayaknya diucapkan perlahan atau hanya didengar sendiri bagi mengelakkan daripada riyâ’. Perkataan tersebut juga diertikan sebagai perasaan takut terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ketika memohon atau megucapkan zikir kepadaNya.

Penerangan lanjut mengenai ayat al-Qur’an di atas menyebutkan bahawa ucapan zikir itu bukanlah dengan meninggikan suara atau berteriak bahkan cukup sekadar didengar oleh orang yang berzikir. Ayat tersebut juga bermaksud bahawa ucapan zikir itu ialah di antara nyaring dan perlahan. Dalam kitab al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân juga turut menyatakan bahawa ayat ini adalah dalil bahawa menyaringkan atau meninggikan suara ketika berzikir adalah ditegah jika bukan pada tempatnya.

Dalam kitab Tafsîr al-Qur’ân al-Azhîm tulisan Imam Ibnu Katsir Rahimahullâh juga menerangkan perkara yang sama, bahawa berzikir itu memadai didengar oleh orang yang berzikir sahaja atau dengan ucapan yang tidak nyaring. Bahkan dinyatakan dalam kitab tersebut bahawa disunatkan berzikir dengan tidak melaung-laungkannya dan bukan juga dengan suara nyaring yang berlebih-lebihan.

Dalam sebuah hadits daripada Abu Musa al-Asy‘ari Radhiallâhu ‘anhu, dia berkata:

Maksudnya: Kami berada bersama-sama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam (dalam satu perjalanan), lalu apabila kami berada di atas tempat tinggi melihat ke arah lembah, kami bertahlil, bertakbir dan suara kami semakin nyaring. Lalu Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berkata: “Wahai orang-orang sekalian, bertenanglah ke atas diri kamu, kerana sesungguhnya kamu tidak berdo‘a kepada (Tuhan) yang tidak mendengar dan tidak ada, sesungguhnya Dia bersama kamu dan sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan dekat.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada perkataan para ulama mengenai hadits ini difahami bahawa ini adalah larangan daripada meninggikan suara ketika berzikir berdasarkan teguran Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ke atas perbuatan sesetengah para sahabat yang berbuat sedemikian. Menurut Imam ath-Thabari Rahimahullâh seperti yang disebut dalam Fath al-Bâri, adalah makruh meninggikan suara ketika berdo‘a atau berzikir dan ini menurutnya adalah pendapat kebanyakan as-salaf yang terdiri daripada para sahabat dan tâbi‘în.

Hadits di atas juga ada disebut dalam Shahih Muslim dan telah dihuraikan lebih lanjut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya. Menurutnya, dalam hadits tersebut Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah meminta kepada orang-orang yang ada bersama Baginda dalam pelayaran tersebut untuk bertenang serta merendahkan suara ketika berzikir. Ini kerana pada lazimnya, suara seseorang itu dinyaringkan apabila pihak yang dibawa bercakap berada pada jarak yang jauh dari yang bercakap serta susah baginya untuk mendengar apa yang diucapkan. Namun Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui adalah sangat dekat dengan hambaNya serta mendengar setiap apa diucapkan hambaNya walaupun tidak dinyaringkan.

Dinyatakan juga dalam kitab tersebut bahawa sunat hukumnya merendahkan suara ketika berzikir jika tidak ada keperluan atau hajat untuk menyaringkannya. Bahkan merendahkan suara ketika berzikir itu adalah sesuatu yang selayaknya dibuat sebagai memuliakan dan mengagungkan zikir kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu.

Namun sesetengah ulama ada juga yang berpendapat harus menyaringkan suara ketika berzikir berdasarkan sebuah hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ mengkhabarkan:

Maksudnya: Sesungguhnya menyaringkan suara ketika berzikir – apabila telah selesai daripada mengerjakan sembahyang fardhu – pernah berlaku di zaman Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, dan berkata Ibnu ‘Abbas (Radhiallâhu ‘anhumâ): “Maka aku tahu mereka (orang ramai) telah berpaling (setelah selesai menunaikan sembahyang fardu) dengan itu, apabila aku mendengarkannya (zikir-zikir).” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut huraian yang terdapat dalam kitab Fath al-Bâri dan Syarh Shahîh Muslim mengenai hadits ini, sesetengah ulama membolehkan untuk menyaringkan suara setelah selesai menunaikan sembahyang fardhu sebagaimana pandangan Imam al-Bukhari dan disepakati oleh Imam Muslim dan jumhûr ulama. Bahkan ada juga yang berpendapat bahawa yustahabb (disunatkan) untuk menyaringkan suara ketika bertakbîr dan berzikir setelah selesai sembahyang seperti yang disebut dalam Syarh Shahîh Muslim.

Namun sebahagian ulama lain menghukumkan perbuatan ini sebagai syadz dan menegah daripada melakukannya. Bahkan tidak ada para ulama as-salaf yang berpendapat sedemikian kecuali yang diceritakan oleh Ibnu Habib dalam kitab al-Wâdhihah; iaitu disunatkan (yustahabb) bagi para askar untuk bertakbîr dengan nyaring sebanyak tiga kali setelah selesai sembahyang Shubuh dan ‘Isya’. Tetapi perbuatan ini menurut Ibnu Baththal adalah sesuatu yang baru yang dibuat-buat. Dalam Syarh Shahîh Muslim juga disebutkan bahawa Ibnu Baththal dan selainnya menaqalkan bahawa ashhâb al-madzâhib al-matbû‘ah bersepakat bahawa tidak yustahabb menyaringkan suara ketika berzikir dan bertakbîr.

Dalam menjelaskan hadits ini, Imam an-Nawawi Rahimahullâh telah menyebutkan pandangan Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh mengenai pengertiannya. Menurut pandangan tersebut perbuatan menyaringkan suara ketika berzikir selepas menunaikan sembahyang fardhu bukanlah perkara yang sering dilakukan oleh para sahabat Radhiallâhu ‘anhum tetapi perkara itu hanya dibuat untuk sementara waktu dan atas sebab tertentu iaitu untuk mengajarkan bacaan zikir kepada orang ramai. Menurut pendapat al-mukhtâr yang disebut dalam Fath al-Bâri dan Syarh Shahîh Muslim, berzikir setelah selesai menunaikan sembahyang fardhu itu dilakukan dengan perlahan tanpa menyaringkan suara kecuali imam berhajat untuk mengajarkan zikir kepada jemaahnya. Maka daripada penerangan di atas jelaslah bahawa kebanyakan para ulama berpendapat bahawa berzikir itu dilakukan dengan perlahan, bersesuaian dengan kedudukannya sebagai satu ibadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan selaras dengan adab ketika berzikir yang banyak disebut oleh para ulama. Namun mengucapkan zikir dengan suara yang nyaring juga tidak menjadi suatu kesalahan apabila ada keperluan, contohnya untuk mengajarkan lafaz-lafaz zikir tersebut seperti yang disebutkan oleh ulama di atas.

Cadangan Menggantikan Lagu-lagu dengan Zikir Semasa Aktiviti Larian

Cadangan untuk menggantikan lagu-lagu yang biasa dilaungkan oleh anggota ABDB dengan laungan beberapa nama daripada Asmâ’ al-Husnâ atau zikir-zikir tertentu itu adalah suatu cadangan yang baik dan boleh mendatangkan manfaat. Namun beberapa perkara perlu diambil perhatian mengenainya seperti melaungkan zikir dengan suara yang nyaring dan juga adab-adab dalam menjaga kemuliaan zikir tersebut. Ini kerana dalam membuat larian sambil melaungkan zikir, setentunya laungan suara akan menjadi tinggi dan kadang-kadang sukar untuk dikawal.

Secara amnya tidak ada tegahan yang disebut oleh para ulama untuk berzikir ketika berlari, bahkan amalan berzikir itu adalah sangat dianjurkan setiap masa kecuali dalam keadaan tertentu yang disebut oleh para ulama. Namun para ulama telah menggariskan beberapa perkara untuk menjaga kemuliaannya serta kehormatannya antaranya berhubung dengan menyaringkan ucapan zikir tersebut.

Seperti yang telah dihuraikan daripada pandangan para ulama di atas, berzikir itu hendaklah dengan suara yang perlahan atau sederhana, atau yang boleh didengar sendiri oleh orang yang berzikir dan tidak dengan melaung-laungkannya apatah lagi dengan suara yang berlebih-lebihan. Larangan menyaringkan suara ketika berzikir juga mempunyai kaitan dengan perasaan riyâ’ atau menunjuk-nunjuk. Pengecualian untuk menyaringkan suara ketika berzikir yang disebut oleh para ulama ialah bertujuan untuk mengajarkan lafaz zikir-zikir tertentu kepada orang lain seperti penerangan di atas. Maka menyaringkan suara ketika berzikir dengan tujuan mengajarkan lafaz zikir tersebut kepada orang lain adalah tidak menjadi suatu kesalahan.

Namun Imam asy-Syaukani Rahimahullâh, ketika berbicara mengenai perkara zikir ini dalam kitabnya Tuhfah adz-Dzakirîn, telah merumuskan dan menyatukan kedua-dua pandangan yang berbeza ini seperti berikut:

Ertinya: Sesungguhnya terdapat hadits-hadits yang menghukumkan berzikir itu dengan suara yang perlahan dan (ada juga) hadits-hadits yang menghukumkan berzikir itu dengan suara nyaring, dan (apabila) disatukan di antara kedua-dua pendapat (yang bertentangan) ini bahawa sesungguhnya perkara ini berbeza dengan mengikut keadaan dan individu; ada kalanya bersuara nyaring (ketika berzikir) itu lebih afdhal apabila aman daripada perasaan riyâ’ dan pada menyaringkan suara itu (boleh) memberi peringatan bagi orang-orang yang lalai dan (menarik) keinginan mereka untuk mengikut berzikir dengannya, dan ada kalanya bersuara perlahan (ketika berzikir) itu lebih afdhal apabila keadaan bercanggah dengan yang telah disebut itu.

Maka berdasarkan ini, berzikir ketika menjalani aktiviti larian bagi anggota ABDB tidaklah menjadi suatu kesalahan lebih-lebih lagi ia dilakukan dengan tujuan untuk memberi peringatan atau kesedaran rohani kepada anggota-anggota yang terlibat apabila tidak timbul perasaan riyâ’ atau menunjuk-nunjuk mengenainya ataupun berlakunya perkara yang mencemarkan kehormatan zikir-zikir tersebut. Had suara ketika berzikir juga perlu terkawal agar tidak berlebih-lebihan sehingga berteriak-teriak dan begitu juga dengan sebutannya. Selain itu adab-adab ketika berzikir yang lain juga perlu dijaga sebaik mungkin sesuai dengan sifatnya sebagai zikir.

Sekiranya dalam mengadakan perkara ini keadaan menjadi sebaliknya; misalnya timbul perasaan riyâ’ atau keadaan ketika membuat latihan berlari sambil berzikir itu menjadikan zikir tidak menentu seolah-olah dipermainkan atau diperolok-olokkan dan sebagainya, maka meninggalkannya adalah lebih baik demi menjaga kemuliaannya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12414