Cukai yang Dikenakan Oleh Kerajaan ke Atas Bangunan Perniagaan
Soalan: Apakah hukum pemungutan cukai ke atas bangunan persendirian?
Sepengetahuan saya, sistem cukai ini diperkenalkan semasa Negara Brunei Darussalam di bawah naungan British; sekarang Negara Brunei Darussalam sudah merdeka lebih 30 tahun, jadi mengapa dasar ini masih digunapakai? Dipohonkan fatwa Pehin Mufti mengenainya.
Jawapan: Cukai dalam bahasa Arab dikenali sebagai adh-dharîbah (الضريبة). Mu‘jam Lughah al-Fuqahâ’ menta‘rifkannya sebagaimana berikut:
Ertinya: Sesuatu yang difardhukan (dipungut secara mandatori) oleh negara ke atas harta-harta atau individu-individu perseorangan, lain daripada pungutan yang telah difardhukan oleh syara‘ (zakat).
Dalam bidang al-mâliyyah, adh-dharîbah secara istilah diertikan sebagai sumbangan mandatori (فرض ية إلزامية) daripada pembayar cukai kepada negara mengikut kadar-kadar yang tertentu tanpa melihat kepada adanya manfaat yang diperolehi secara langsung daripada khidmat-khidmat yang diberikan oleh pihak penguasa am. Hasil pendapatan daripada cukai dari satu sudut disalurkan untuk menampung perbelanjaan awam dan dari sudut yang lain digunakan bagi merealisasikan matlamat-matlamat perekonomian, kemasyarakatan, pentadbiran negara dan lain-lain tujuan yang negara bertanggungjawab melaksanakannya.
Dalam ibarat lain, pemikiran asas peraturan cukai diperkenalkan antaranya ialah bagi mewujudkan dana yang dapat membantu kerajaan memenuhi kewajipan-kewajipannya dan menjalankan tanggungjawab-tanggungjawabnya. Di kebanyakan negara, cukai telah menjadi antara sumber kewangan yang terpenting termasuklah bagi negara-negara yang diperintah oleh kerajaan Islam.
Dari sudut pandangan agama, pemerintah atau pihak kerajaan sebagai wali al-amr ke atas mashlahat awam adalah berkewajipan untuk menanai dan memelihara mashlahat tersebut. Kewajipan berkenaan, bagaimanapun, memerlukan sokongan dalam bentuk sumber kewangan yang sangat besar lebih-lebih lagi dalam zaman di mana fungsi kerajaan menjadi semakin meluas, keperluan kepada kemudahan awam terus meningkat dan krisis ekonomi global berleluasa.
Permasalahan cukai adalah satu isu yang diperselisihkan oleh para ulama. Namun begitu, syariat Islam pada dasarnya mengharuskan pelaksanaan cukai bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu mewajibkan pihak yang berkuasa kerana mashlahat awam untuk mengambil langkah-langkah yang berpatutan bagi memastikan mashlahat dan kesejahteraan umat Islam terjaga dan terpelihara dengan berpandukan kepada lunas-lunas syara‘ dan tidak bercanggah dengan kehendak-kehendaknya.
Berasaskan kepada perkara di atas, dapat difahami bahawa perkara utama dalam permasalahan cukai adalah berkisar mengenai mashlahat. Mashlahat awam akan berkait pula dengan urusan pemerintahan, pentadbiran dan pengurusan negara yang telah pun diatur dan dihuraikan dalam bab as-siyâsah asy-syar‘iyyah.
Ibnu an-Nujaim Rahimahullâh dalam al-Bahr ar-Râ’iq Syarh Kanz ad-Daqâ’iq telah berkata:
Ertinya: Bahawasanya siyâsah itu ialah suatu tindakan daripada hakim (pihak berkuasa) berdasarkan mashlahat menurut pertimbangannya, sekalipun tindakannya itu tidak terdapat dalil khusus mengenainya.
Keterangan di atas menonjolkan mashlahat sebagai salah satu aspek yang berperanan dalam bidang as-siyâsah asy-syar‘iyyah. Keterangan berkenaan juga sejajar dengan pendapat jumhûr ulama yang menyatakan bahawa pihak berkuasa mempunyai prosedur siyâsahnya yang tertentu dalam mentadbir urusan dan menetapkan tindakan terhadap kesalahan orang ramai dengan berpandukan kepada sukat-sukat (panduan), kaedah dan garis panduan yang telah ditetapkan. Sukat-sukat, kaedah dan garis panduan tersebut tidak semestinya disebutkan secara terperinci oleh nash syara‘, sebaliknya ia boleh diambil daripada dalil-dalil syara‘ yang bersifat umum.
Sebuah negara yang tidak mempunyai pendapatan untuk menampung dan membiayai perbelanjaannya, dapat dibayangkan bahawa dalam sekelip mata sahaja ia pasti akan mengalami pelbagai masalah dan kepincangan. Kepincangan itu akan mendedahkannya kepada bermacam-macam ancaman seperti ancaman dalam bidang ketenteraan dan pertahanan negara. Telah dimaklumi bahawa kelengkapan ketenteraan dan pertahanan negara pada zaman ini memerlukan sumber kewangan yang sangat besar.
Kerana itu, Imam asy-Syathibi Rahimahullâh dalam kitab al-I‘tishâm telah mengatakan bahawa: “Mashlahat dalam isu ini (pungutan cukai) adalah jelas. Jika pemimpin zaman kini tidak menggunakan peraturan seumpamanya (iaitu cukai), maka kuasa pemimpin akan tergugat dan negara Islam akan terdedah kepada penguasaan orang-orang kafir. Peraturan tersebut adalah berada dalam bidang kuasa pemimpin seluruhnya, dengan syarat ia dilaksanakan dengan adil.”
Dalam era masa kini, sesebuah negara bukan hanya memerlukan kekuatan dalam bidang ketenteraan, sebaliknya juga memerlukan kekuatan dan kemajuan dalam pelbagai lapangan; ekonomi, kehakiman, pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan komunikasi, industri dan perusahaan, pengairan dan saliran dan sebagainya. Dalam bidang keagamaan dan dakwah Islam, semuanya itu juga memerlukan dana untuk apa jua perancangan dan strategi-strategi yang diatur agar dapat dijalankan dengan berkesan.
Tidak diragukan lagi bahawa perkara-perkara yang disebutkan di atas adalah perkara-perkara dharûriyyât khususnya dalam konteks masa kini atau paling kurang adalah hâjiyyât bagi sesebuah negara Islam mahupun mana-mana negara.
Apabila terbukti peraturan cukai boleh membawa ke arah tercapainya tujuan memelihara mashlahat-mashlahat di atas, maka adalah menjadi tanggungjawab ke atas pihak kerajaan untuk memperkenalkan dan melaksanakannya dalam bentuk peraturan dan undang-undang negara berdasarkan keperluan yang munasabah. Dalam hal ini, kaedah fiqh telah menyebutkan:
Ertinya: Setiap sesuatu yang tidak tercapainya kewajipan melainkan dengannya, maka ia adalah satu kewajipan.
Syeikh Mahmud Syalthut Rahimahullâh, bekas Syeikh Jami‘ah al-Azhar yang meninggal pada 1383H/1963, pernah memfatwakan bahawa apabila kepala negara memerlukan sumber kewangan untuk memenuhi mashlahat umum rakyat seperti membina sekolah, hospital, jalan-jalan raya, kilang-kilang, keperluan-keperluan pertahanan negara dan sebagainya, dia harus bahkan ada kalanya wajib memungut harta daripada rakyat yang kaya dengan jalan cukai bagi memenuhi mashlahat tersebut tanpa terlalu membebankan dan menzalimi mereka.
Syeikh Yusuf al-Qaradhawi Hafizhahullâh dalam kitab beliau Fiqh az-Zakâh seterusnya menerangkan bahawa masalah cukai bukan hanya berkisar mengenai soal melaksanakan sesuatu yang tidak akan tercapai kewajipan lain melainkan dengannya. Banyak lagi kaedah-kaedah kulliyyah dan prinsip-prinsip perundangan Islam yang am berkait dengan perkara ini. Kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip berkenaan adalah diambil sandarannya oleh para ulama daripada nash-nash syara‘ dan juga daripada hasil kajian mereka terhadap hukum-hukum syara‘ (تقراء اس); menjadikannya sandaran yang kukuh dalam menetapkan hukum, sumber inspirasi dan petunjuk ketika mengeluarkan fatwa dan melakukan penghakiman.
Termasuklah antara kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip yang dimaksudkan dalam hal ini kaedah fiqh yang menggariskan bahawa syariat Islam itu dibina atas dasar memelihara mashlahat manusia dan menghindarkan kerosakan daripada mereka (اح رع اي ة املص), menghilangkan kerosakan adalah didahulukan daripada mendatangkan kemashlahatan ( درء
هم على جلب املص لحةاملفس دة مقد), diketepikan mashlahat yang lebih kecil untuk mencapai mashlahat yang lebih besar (َتصيل ً ألعل ُها تفويت أدىن املصلحتي) dan ditanggung kemudharatan yang khas bagi mengelakkan kemudharatan yang am (يتحمل الضرر اْلاص لدفع ضرر عام ).
Tidak diragukan lagi bahawa kaedah-kaedah ini bukan sahaja membawa kepada keharusan cukai semata-mata, tetapi juga mewajibkannya untuk dilaksanakan apabila negara dalam keadaan tidak mempunyai pendapatan lain untuk menampung perbelanjaannya demi menjaga mashlahat serta menghindarkan kerosakan dan kemudharatan ke atas rakyat dan negara. Sekiranya sesebuah negara Islam masa kini tidak dibolehkan memungut hasil cukai untuk menampung perbelanjaannya, sudah pasti ada negara yang kewujudannya akan tergugat dalam sekelip mata sahaja. Kelemahannya itu akan mengancam keberadaannya dalam segenap bidang; paling jelas sekali ialah ancaman dalam bidang keselamatan negara.
Pendapat Para Ulama
Masalah cukai bukanlah isu baharu, sebaliknya ia telah dibincangkan lebih awal lagi oleh para ulama yang terdahulu. Walaupun tidak dinamakan cukai atau adh-dharîbah sebagaimana dikenali pada masa kini, namun konsep-konsep seperti tauzhîf, wazhâ’if, nawâ’ib, dawâhi, al-kulfah as-sulthâniyyah, jibâyah dan lain-lain lagi mempunyai asas yang sama dengan cukai.
Al-Imam al-Haramain al-Juwaini Rahimahullâh yang dikatakan sebagai antara ulama yang mula-mula sekali membicarakan perkara tauzhîf (ال ت وظ ي ف) telah membincangkan dengan panjang lebar dalam kitab beliau Ghiyâts al-Umam fi at-Tiyâts azh-Zhulm mengenai keharusan tauzhîf (cukai yang dipungut daripada golongan kaya untuk diagihkan kepada perkara-perkara mashlahat awam dan untuk menampung keperluan-keperluan orang-orang Islam) bagi memenuhi keperluan-keperluan mendesak orang ramai kesan daripada tanah pertanian yang tidak subur dan juga kemarau iaitu dalam keadaan harta zakat tidak mencukupi untuk menampung keperluan-keperluan berkenaan. Imam al-Haramain Rahimahullâh juga telah membincangkan tentang keharusan tauzhîf bagi mengelakkan ancaman musuh dan menentang balas serangan mereka, juga dalam keadaan tiada harta yang mencukupi dalam Baitul-mal.
Al-Imam al-Ghazali Rahimahullâh dalam kitab Syifâ’ al-Ghalîl fî Bayân asy-Syabah wa al- Mukhayyal wa Masâlik at-Ta‘lîl pula telah berkata:
Ertinya: Dan menurut pendapat kami, ia (tauzhîf) adalah harus ketika ada mashlahat. Sesungguhnya apa yang perlu diteliti dalam hal ini ialah untuk menimbangkan aspek mashlahat tersebut.
Dalam kitab al-Musthashfâ min ‘Ilm al-Ushûl, al-Imam al-Ghazali Rahimahullâh mengatakan:
Ertinya: Apabila tabung negara telah habis dan tidak ada harta yang mencukupi untuk membiayai perbelanjaan tentera, jika pasukan tentera menjadi berpecah disebabkan oleh kesibukan mereka mencari sumber pendapatan, ditakuti pihak musuh akan masuk ke negara Islam atau terjadi pemberontakan dari pihak yang mempunyai maksud yang jahat, maka diharuskan ke atas pemimpin negara mengutip biaya daripada orang kaya sekadar yang mencukupi perbelanjaan tentera.
Al-Imam asy-Syathibi Rahimahullâh dalam al-I‘tishâm berkata:
Ertinya: Jika kita mengandaikan seorang kepala negara yang ditaati ada keperluan untuk menambah bilangan tentera bagi menampung keperluan pertahanan dan melindungi daerah negara yang luas, sedangkan harta Baitul-mal telah habis dan keperluan-keperluan tentera pula semakin meningkat sehingga biaya mereka menjadi tidak mencukupi, maka kepala negara – apabila dia seorang yang ‘âdil – hendaklah memungut daripada golongan yang kaya apa yang pada pandangannya mencukupi untuk mereka (pasukan tentera) dengan serta-merta sehinggalah tabung Baitul-Mal berisi harta semula.
Imam asy-Syathibi Rahimahullâh juga menyatakan bahawa pendapat seperti ini tidak ditemui pada zaman permulaan Islam kerana pada waktu itu kewangan negara cukup besar, berbeza pada zaman sekarang. Sekiranya pemimpin negara tidak memperkenalkan sistem cukai, nescaya kekuasaannya akan hilang dan negara Islam akan terdedah kepada penguasaan orang kafir.
Selain daripada keterangan-keterangan di atas, ada banyak lagi pandangan-pandangan serupa telah diberikan oleh para ulama daripada mazhab-mazhab fiqh yang mu‘tabar. Tidak dinafikan, ada pendapat-pendapat lain yang turut dikemukakan. Namun, perbincangan-perbincangan tersebut secara keseluruhannya menunjukkan bahawa masalah cukai telah dibincangkan asasnya oleh para ulama yang terdahulu. Apa yang jelas ialah para ulama tidak mengharuskan cukai dipungut melainkan atas dasar untuk memenuhi mashlahat dan kepentingan awam. Selain itu, para ulama juga telah menetapkan quyûd atau aturan-aturan lain yang perlu dipatuhi.
Pendapat-pendapat para ulama terdahulu adalah menjadi asas dan sandaran buat para ulama masa kini membina pendapat-pendapat dan fatwa-fatwa yang mutakhir dalam masalah cukai. Selain daripada faktor mashlahat awam yang telah sekali lagi diketengahkan, aturan-aturan yang digariskan oleh ulama terdahulu menjadi sukat-sukat atau dhawâbith dalam menentukan jenis cukai yang dibenarkan dalam Islam.
Selain daripada fatwa Syeikh Syalthut Rahimahullâh yang telah diutarakan di atas, mantan Syeikh al-Azhar iaitu Dr. Abdul Halim Mahmud Rahimahullâh juga turut tampil mengemukakan fatwa yang senada dengan beliau. Di kalangan ilmuan Islam lagi, Syeikh Muhammad Abu Zahrah Rahimahullâh adalah antara yang bersama-sama dengan mereka. Manakala fatwa terkini yang dikeluarkan oleh Darul Ifta’ al-Mishriyyah, Republik Arab Mesir juga telah mengambil kira faktor mashlahat dan aspek siyâsah syar‘iyyah di samping meletakkan syarat-syarat yang tertentu.
Menurut fatwa Darul Ifta’ al-Mishriyyah mengenai Cukai Yang Diwajibkan Oleh Kerajaan (الضرائب ال ّت تفرضها الدولة ) bertarikh 09hb. April 2015 antara lain menyebutkan:
Ertinya: Negara (pihak kerajaan) boleh mewajibkan peraturan cukai yang adil pada kadar dan sistem pungutannya iaitu bagi menampung perbelanjaan am dan keperluan-keperluan yang perlu ada bagi sesebuah negara atas dasar pihak kerajaan bertanggungjawab ke atas mashlahat rakyat, dan tanggungjawab ini memerlukan perbelanjaan yang bergantung kepada adanya sumber yang tetap, lebih-lebih lagi pada zaman ini, di mana fungsi kerajaan semakin meluas dan keperluan kepada kemudahan-kemudahan awam terus meningkat.
Imam al-Haramain Rahimahullâh menyatakan bahawa para ulama dalam mazhab asy-Syafi‘i dan kebanyakan ashhâb Imam Abu Hanifah Rahimahullâh telah berpendapat tentang kedudukan mashlahat mursalah (mashlahat yang tidak terdapat dalil syara‘ yang memperakui mahupun yang menolaknya) yang dii‘timâdkan dalam penentuan hukum-hakam syara‘ dengan syarat ia selaras dengan mashlahat yang mu‘tabar yang ada sandaran daripada dalil-dalil yang asas. Kenyataan Imam al-Haramain Rahimahullâh ini dinukil oleh Imam asy- Syawkani Rahimahullâh dalam kitab Irsyâd al-Fuhûl ilâ Tahqîq al-Haq min ‘Ilm al-Ushûl.
Imam al-Ghazali Rahimahullâh pula mengatakan bahawa mashlahah mursalah adalah menjadi hujjah dengan syarat ia hendaklah bersifat dharûri (peringkat keperluan asas), qath‘i (mashlahat yang pasti) dan kulli atau ‘ammah (mashlahat untuk semua orang Islam).
Mashlahat Cukai di Negara Brunei Darussalam
Keterangan-keterangan yang dibawakan di atas adalah keterangan-keterangan mengenai kedudukan permasalahan cukai di sisi syara‘ secara umum tanpa melihat kepada mashlahat tertentu mana-mana negara sama ada negara kaya atau negara-negara yang selainnya. Keterangan-keterangan berkenaan memperlihatkan pandangan para ulama yang mu‘tabar dalam masalah berkenaan terutamanya pandangan para ulama masa kini. Pembahasan-pembahasan tersebut juga melihat cukai secara menyeluruh tanpa membezakan satu persatu cukai yang pelbagai jenis dan kategorinya.
Sedia dimaklumi bahawa mashlahat sesebuah negara adalah berbeza-beza dengan mashlahat negara yang lain. Mashlahat pada sesuatu zaman juga berbeza-beza dengan mashlahat pada zaman yang lain.
Di Negara Brunei Darussalam, kita bersyukur kerana negara masih dapat meni‘mati pendapatan daripada hasil sumber bumi yang banyak terutamanya daripada minyak dan gas. Sepintas lalu, kebanyakan orang akan mengandaikan bahawa negara tidak perlu bergantung kepada sumber pendapatan daripada hasil cukai.
Dari satu sudut, andaian atau tanggapan seperti itu mungkin ada asasnya. Dalam laman sesawang Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Dan Perdagangan Negara Brunei Darussalam ada dinyatakan bahawa Brunei mempunyai jenis cukai yang paling sedikit sekali di rantau ini. Di negara ini, tidak terdapat cukai pendapatan (income tax) dan barang-barang ekspot, jualan, payroll atau pembuatan (manufacturing) juga tidak dikenakan cukai. Berdasarkan Akta Cukai Pendapatan 1949 (Income Tax Act 1949), hanya syarikat-syarikat perniagaan sahaja yang dikenakan cukai.
Kenyataan di atas pada zahirnya menyokong andaian bahawa negara tidak terlalu bergantung kepada pendapatan hasil cukai.
Hal ini, bagaimanapun, tidak menolak secara muthlaq mashlahat memperkenalkan sistem cukai yang sedia ada di negara ini. Selain daripada tujuan untuk mengumpulkan dana, cukai adalah alat yang penting dalam dasar fiskal sesebuah negara. Di negara-negara lain, peraturan cukai digunakan untuk mengawal kepanasan ekonomi daripada melimpah (overheat), menstabilkan kadar inflasi dan memastikan nilai mata wang negara dalam kadar yang sihat. Hal ini seterusnya akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan jumlah pekerjaan.
Dengan adanya dasar yang mengawal perbelanjaan pengurusan dan pembangunan negara, yang mustahak sekali adalah diharapkan sumber kekayaan negara dapat diagihkan dengan lebih teratur dan adil. Pembahagian hasil kekayaan negara yang teratur dan adil itu, diharapkan pula akan menjadi sebab hasil kekayaan negara dapat berkekalan buat jangka masa panjang dan dapat dini‘mati sama oleh generasi akan datang.
Cukai juga menjadi alat pengurusan dan pentadbiran negara dalam lapangan-lapangan yang lain. Sebagai contoh, pada tahun 2010, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah telah memperkenankan pindaan ke atas duti eksais bagi rokok, tembakau dan produk-produk tembakau melalui penguatkuasaan Perintah Duti Import Kastam (Pindaan), 2010 [Customs Import Duties (Amendment) Order, 2010] dan Perintah Duti Eksais (Pindaan), 2010 [Excise Duties (Amendment) Order, 2010]. Titah perkenan baginda telah dimaklumkan oleh Kementerian Kewangan dan berkuat kuasa pada 1hb. November 2010. Perintah-perintah tersebut melibatkan perubahan ke atas duti eksais bagi rokok, tembakau dan produk tembakau.
Antara kesan yang ketara daripada pindaan tersebut, komoditi rokok dan produk-produk tembakau yang lainnya menjadi lebih mahal disebabkan kadar cukai yang meningkat.
Tujuan utama yang dinyatakan daripada langkah berkenaan ialah sebagai usaha berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjaga kepentingan kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini, terutama dalam membantu mengurangkan risiko penyakit kronik yang berkaitan dengan tabiat merokok. Langkah seperti ini selaras dengan kehendak agama lebih-lebih lagi jika ia membawa kepada pengharaman rokok di negara ini secara menyeluruh pada masa akan datang.
Adapun dalam hal cukai ke atas bangunan, setakat diketahui, pada masa ini ia dikenakan ke atas semua tanah dan semua jenis bangunan yang terdapat dalam kawasan pentadbiran Lembaga Bandaran. Semua jenis hartanah termasuk kediaman, perdagangan, perindustrian dan rekreasi boleh dikenakan cukai bangunan.
Antara tujuan mengutip hasil daripada cukai berkenaan (juga dikenali sebagai cukai pintu atau cukai taksiran) adalah bagi membiayai kos penyediaan kemudahan serta perkhidmatan di kawasan yang berada dalam bidang kuasa Lembaga Bandaran. Kemudahan-kemudahan berkenaan adalah seperti bekalan air, elektrik, telefon, jalan raya yang berturap aspal, sistem perparitan yang teratur, pengangkutan sampah dan lain-lain lagi, sekadar menyebut sebahagian sahaja. Penyediaan dan penyelenggaraan semua kemudahan seperti itu pastinya melibatkan perbelanjaan serta kos yang tinggi.
Dalam kata lain, cukai tersebut seolah-olah menjadi timbal balik ke atas kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan di samping untuk membudayakan sikap sentiasa menghargai prasarana-prasarana yang disediakan di kawasan berkenaan.
Perkara ini pada dasarnya sejajar dengan amalan yang diterima umum di mana sesiapa pun sahaja yang berkeinginan untuk mendapatkan sesuatu, dia perlu berusaha mendapatkannya termasuklah dengan cara membayar atau menanggung risiko kerugian yang berbangkit daripada perkara yang diinginkan itu. Sekiranya segala kemudahan-kemudahan itu terus-menerus diberikan secara percuma, dapat dibayangkan bahawa sumber kekayaan negara lambat-laun akan kehabisan jua.
Dalam pandangan agama, perkara ini dijelaskan oleh kaedah am dalam syariat Islam yang menyebutkan bahawa:
Ertinya: Keuntungan adalah imbalan atas kesediaan menanggung kerugian.
Syeikh Yusuf al-Qaradhawi hafizhahullâh menerangkan bahawa apabila seseorang itu mendapat faedah daripada negara dan kekuasaannya, dapat meni‘mati kemudahan-kemudahan awam yang disediakan dan diatur oleh pihak kerajaan serta dia berhutang budi ke atas penjagaan yang diberikan terhadap keamanan dirinya dari dalam dan juga luar, maka dia hendaklah melaksanakan tanggungjawabnya dengan menghulurkan bayaran sebagai balasan kepada faedah-faedah, kemudahan-kemudahan dan penjagaan yang diperolehinya.
Seseorang itu juga mendapat faedah dan keuntungan daripada masyarakat sekelilingnya dan daripada pelbagai kegiatan yang diadakan. Maka sebagai timbal balik daripada faedah dan keuntungan tersebut, dia wajib menyerahkan jumlah tertentu dalam bentuk pungutan cukai dan juga komitmen-komitmen lain sesuai dengan prinsip yang digariskan oleh para ulama, iaitu kerugian dibalas keuntungan (الغرم ِبلغنم ).
Dalam aspek lain, peraturan cukai yang terhad di negara ini menunjukkan bahawa bebanan cukai adalah dikutip secara adil dan tidak terlalu membebankan. Di negara ini juga, kes penyalahgunaan wang negara adalah terkawal disebabkan pihak kerajaan mempunyai sum‘ah yang tinggi dari segi memiliki peraturan yang telus dan pegawai-pegawai yang berintegriti dan beramanah tinggi. Dengan sum‘ah sebegini, adalah dipercayai bahawa wang hasil negara disalurkan kepada saluran-saluran yang tepat termasuklah kepada mashlahat negara yang manfaatnya dini‘mati semula oleh penduduk di negara ini. Di Negara Brunei Darussalam, yang paling istimewa dan unik ialah negara mempunyai seorang raja yang mempunyai iltizam yang kuat dalam melaksanakan syariat Islam di negara ini. Menurut para ulama, perkara-perkara ini merupakan antara syarat yang penting sebelum peraturan cukai di sesebuah negara boleh dilaksanakan.
Ciri-ciri di atas menunjukkan bahawa peraturan cukai yang dilaksanakan di negara ini berada pada landasan sukat-sukat (dhawâbith) peraturan cukai yang diharuskan. Sekalipun demikian, pihak yang berkewajipan dan yang mempunyai bidang kuasa terhadap pelaksanaan cukai di negara ini wajar juga mengambil langkah-langkah yang patut mengenainya seperti sentiasa memastikan peraturan tersebut tidak menyimpang daripada kehendak-kehendak agama. Jika terdapat kelemahan-kelemahan atau perkara-perkara yang tidak kena dalam sistem yang sedia ada, ia hendaklah dikemaskinikan dari semasa ke semasa. Tidak pula salarah-larahnya (sewenang-wenangnya) memperkenalkan peraturan-peraturan cukai yang baharu tanpa mengambil kira perkara-perkara penting yang menjadi sukat-sukat yang digariskan oleh agama.
Maka dalam perkara ini, apabila peraturan cukai yang dikuatkuasakan itu tidak lagi mengambil kira sukat-sukat berkenaan, barulah boleh dikatakan sistem cukai seumpama itu tidak berjalan di atas landasan syara‘, bahkan dikhuatiri ia boleh bertukar menjadi maksun (م ك س) iaitu cukai secara zalim yang telah diberikan amaran oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam hadits-hadits Baginda.
Syeikh Yusuf al-Qaradhawi hafizhahullâh menerangkan bahawa maksun itu merujuk kepada cukai yang dikutip dengan tujuan untuk menambah kekayaan pemerintah yang zalim dan kuncu-kuncunya serta menindas rakyat jelata. Hak rakyat pada cukai itu tidak dikembalikan sebagaimana yang sepatutnya. Akibat daripada cukai sebegini jurang ekonomi di antara pemerintah dan rakyat jelata bertambah jauh. Sesetengah raja Arab pada zaman jahiliah biasa mengutip cukai sebegini.
Dalam pengendalian cukai ini, tidak juga timbul soal menggunakan undang-undang orang lain kerana sejarah Islam telah menunjukkan bahawa umat Islam yang awal sudah pernah menerapkan peraturan al-jibâyah (الباية) yang berasal daripada sistem bangsa Parsi dan Rom. Pada asasnya pun, ajaran agama Islam itu tidak menolak ketamadunan sesuatu bangsa secara mutlak. Apa yang bersesuaian dengan prinsip-prinsip dan asas-asas syari‘ah Islam masih boleh diambil dan unsur-unsur yang bercanggah itulah yang perlu ditinggalkan.
Dari sudut sejarah negara kita, Residen British bukanlah pihak yang bertanggungjawab memperkenalkan peraturan cukai di Negara Brunei Darussalam. Pungutan cukai telah wujud buat sekian lama dan dilaksanakan tanpa sistem yang teratur. Cukai tanah, umpamanya, adalah dikira sebagai hasil atau hak milik golongan-golongan tertentu dan bukannya sebagai sumber pendapatan negara. Cukai perdagangan atau cukai barang-barang import dan eksport pula dimonopoli oleh segelintir peniaga-peniaga yang menguasai aktiviti perdagangan Brunei pada ketika itu.
Pada tahun 1906, Residen British telah melakukan pembaharuan (reformasi) terhadap sistem cukai di Brunei sebagai sebahagian daripada langkah bagi memperbaiki kedudukan kewangan kerajaan yang dikatakan hampir muflis. Bermula dari tahun tersebut, hampir semua hak untuk mentadbir dan mengutip cukai diambil alih oleh bidang kuasa kerajaan. Mana-mana bentuk percukaian yang tidak teratur, sewenang-wenangnya dan melampaui batas yang membangkitkan perasaan tidak puas hati telah dimansuhkan. Dalam tahun yang sama, akta kastam telah diluluskan di mana dengan adanya akta tersebut perdagangan import dapat dikawal dan cukai yang tetap dan sederhana dapat dilaksanakan kecuali ke atas komoditi beras. Seterusnya, pada tahun 1909 Residen British telah meluluskan undang-undang tanah. Melalui undang-undang tersebut, semua tanah menjadi milik kerajaan dan dengan itu tiada siapa pun boleh mengenakan cukai selain daripada kerajaan.
Demikian antara paparan mengenai latar belakang sejarah peraturan cukai di Brunei Darussalam. Kesan yang paling ketara daripada campur tangan tersebut ialah pihak Residen telah berjaya menyelamatkan kesultanan Brunei daripada ditungap (diambil semua milik) oleh James Brooke dan Syarikat Borneo Utara. Kejayaan ini berpunca daripada inisiatif pihak Residen dalam menyelamatkan kewangan kerajaan daripada jatuh muflis dengan cara memperkemaskan peraturan cukai yang sudah wujud sebelum itu. Itu sebahagian daripada mashlahat yang boleh diambil i‘tibâr daripada tindakan-tindakan pihak kerajaan dalam mengurus dan mentadbir negara. Walaupun sebagaimana dimaklumi ekonomi negara tidak lagi bergantung kepada hasil cukai sepenuhnya, namun mashlahat-mashlahat lain pada peringkat hâjiyyat boleh juga diambil kira menurut pertimbangan syara‘. Dalam keadaan-keadaan tertentu perkara hâjiyyat boleh menempati manzilah atau martabat dharûriyyât. Kaedah Fiqh menyebutkan:
Ertinya: Hajat boleh menempati kedudukan dharurat, sama ada bersifat umum atau khusus.
Maka daripada keterangan-keterangan di atas, adalah jelas bahawa melaksanakan cukai bukanlah suatu tindakan yang bercanggah dengan kehendak hukum syara‘ secara mutlak. Sebaliknya ia adalah satu peraturan yang patuh syara‘ dengan syarat ia diurus mengikut sukat-sukat (dhawâbith) syara‘ di samping dilaksanakan atas dasar mengambil kira mashlahat umum negara tanpa menyebabkan berlakunya kezaliman.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12418
