Hukum Berwudhu’ Menggunakan Titisan Air yang Keluar dari Unit Penyejatan Penghawa Dingin
Soalan: Apakah hukum menggunakan titisan air yang keluar dari unit penyejatan penghawa dingin (air conditioner) untuk berwudhu’?
Jawapan: Air yang digunakan untuk berwudhu’ disyaratkan air muthlaq sebagaimana Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam Minhâj ath-Thâlibîn:
Ertinya: Disyaratkan untuk mengangkat hadats dan najis (menggunakan) air muthlaq.
Dalil pensyariatan wudhu’ disyaratkan menggunakan air muthlaq itu ialah firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: …kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi hadats atau berwudhu’) maka hendaklah kamu bertayammum… (Surah an-Nisâ’: 43)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tersebut menyatakan bahawa tayammum diwajibkan sekiranya tiada air. Ini menunjukkan hadats tidak terangkat kecuali menggunakan air muthlaq.
Imam ar-Ramli Rahimahullâh menerangkan pengertian air muthlaq dalam Nihâyah al- Muhtâj:
Ertinya: Air muthlaq [ialah apa yang digelar dengan kata nama air tanpa dihubungkan] dengan sesuatu yang sentiasa bersamanya (tidak terpisah). Maka termasuk juga (dalam kata nama air muthlaq ialah) air mutaghayyar (air yang berubah) sekalipun banyak dengan sesuatu yang tidak memberi kesan (terhadap kata nama air muthlaq) seperti (air yang berubah kerana bercampur dengan) tanah liat, lumut atau benda terapung (seperti minyak) yang ahli bahasa tidak menegah penyebutan air muthlaq ke atasnya sehingga diketahui bahawa ia adalah air muthlaq dan tidak dianggap sebagai bukan muthlaq, maka diberi hukumnya (dihukumkan sebagai air muthlaq). Tidak termasuk (dalam maksud air muthlaq ialah) air musta‘mal (air yang sudah digunakan untuk mengangkat hadats) kerana ia bukan (disebut sebagai) muthlaq dan air yang terkena najis sekalipun sedikit. Apa yang memberi kesan (terhadap kata nama air muthlaq iaitu tidak digelar sebagai air muthlaq) ialah (kata nama air) yang dihubungkan dengan sesuatu yang sentiasa bersamanya (tidak terpisah) sama ada ia terdiri daripada tambahan; seperti air bunga mawar, atau sifat; seperti air yang memancut (air mani), air musta‘mal atau air mutanajjis (air yang terkena najis).
Beliau menerangkan lagi bahawa air yang dihubungkan dengan sesuatu yang boleh terpisah seperti air perigi atau air laut, adalah sah digunakan untuk mengangkat hadats. Demikian juga, sah mengangkat hadats dengan salji atau ais sekiranya ia mengalir pada anggota yang dibasuh, jika ia tidak mengalir maka sah digunakan pada anggota yang disapu sahaja. Manakala air mutaghayyar (air yang berubah) kerana bercampur dengan sesuatu yang mengubah sifat air sungguhpun ia suci seperti za‘faran (kuma-kuma) dan perubahan tersebut menghalang penggunaan nama air muthlaq (air semata-mata) padanya, adalah tidak menyucikan kerana ia berubah dengan campuran tersebut menjadi nama lain dan hilang sifat muthlaq (air semata-mata) pada air tersebut.
Berdasarkan penerangan Imam ar-Ramli Rahimahullâh, air muthlaq ialah apa yang biasa kita gelar sebagai air semata-mata tanpa tambahan atau sifat yang tidak dapat dipisahkan seperti air bunga mawar. Maka air bunga mawar bukan termasuk air muthlaq. Manakala air yang berubah tetapi tidak menghalang penyebutan air semata-mata terhadapnya seperti air yang bercampur dengan lumut adalah masih dihukumkan sebagai air muthlaq dan sah digunakan untuk berwudhu’; selagi air tersebut belum pernah digunakan untuk mengangkat hadats atau terkena najis. Sekiranya air berubah kerana bercampur dengan sesuatu yang mengubah sifat air tersebut seperti air bunga mawar atau air kunyit, maka tidak sah digunakan untuk berwudhu’ sekalipun ia suci; kerana ia berubah dengan campuran tersebut menjadi nama lain dan bukan air semata-mata.
Titisan air yang keluar dari unit penyejatan penghawa dingin (air conditioner) secara dasarnya adalah terhasil daripada pemeluapan yang terjadi di dalam penghawa dingin. Prosesnya adalah seumpama proses air hujan yang bermula daripada wap panas sehingga membentuk awan yang berat dan turun sebagai air hujan.
Imam ar-Ramli Rahimahullâh menerangkan bahawa termasuk dalam maksud air itu ialah wap yang naik daripada didihan air. Beliau berkata:
Ertinya: Demikian juga (termasuk maksud air) apa yang terbit daripada wap yang terhasil daripada didihan air.
Oleh yang demikian, air yang menitis dari penghawa dingin jika air tersebut selamat digunakan dan menepati ciri-ciri air muthlaq yang telah disebutkan; seumpama ia tidak bercampur dengan sesuatu yang mengubah sifat air, ia tidak terkena najis atau ia belum pernah digunakan untuk mengangkat hadats atau membersihkan najis, maka ia harus digunakan untuk berwudhu’.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12422
