Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Hukum Makan Buah Pala

Soalan: Apakah hukum memakan buah pala?

Jawapan: Pengenalan Buah Pala

Buah pala dalam bahasa Arab dikenali dengan nama jauzah ath-thîb.(جوزة الطيب) Manakala dalam bahasa Inggeris pula dikenali sebagai nutmeg. Menurut Groiler International Encyclopedia, buah pala adalah sejenis buah yang berasal dari Maluku, Indonesia. Pokok buah pala dikenali dengan nama myristica fragrans yang datang daripada kumpulan famili myristicaceae dan boleh tumbuh sehingga ketinggian 20 meter (65 kaki) dengan daun yang berbentuk bujur panjang serta mempunyai bunga-bunga kecil berwarna kuning muda.

Penggunaan Buah Pala dan Kesannya

Menurut Groiler International Encyclopedia, buah pala mempunyai pelbagai kegunaan seperti untuk bahan ubat-ubatan, minyak wangi, bahan rempah dan perisa untuk makanan. Walau bagaimanapun, buah pala juga boleh mendatangkan toksik jika dimakan dalam kuantiti yang banyak kerana salah satu bahan kandungannya ada mengandungi bahan halusinasi (perangsang otak atau psikoaktif) yang dikenali sebagai myristicin.

Menurut beberapa artikel, antaranya artikel yang bertajuk ‘Nutmeg Benefits, What is Nutmeg Side Effects, Reviews and Facts’ dan ‘Health and Nutritional Benefits of Nutmeg (Mystica Fragrans Houtt)’ menyebutkan bahawa ada banyak manfaat kesihatan boleh diperolehi daripada buah pala seperti brain tonic (menghilangkan stress, keresahan atau tekanan), melegakan kesakitan, melegakan masalah penghadaman, mendetoksifikasi hati dan buah pinggang, merawat kulit, membantu dalam masalah pernafasan dan membantu dalam masalah tidur. Sekalipun demikian, perhatian yang serius perlu diberikan dalam pengambilan buah pala supaya tidak mengambilnya dalam kuantiti yang banyak.

Adapun pengambilan buah pala semata-mata (bukannya sebagai bahan campuran dalam masakan) dalam kuantiti sebanyak 30 gram atau sekira-kira 6 sudu makan dalam sehari boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan tubuh badan seperti mendatangkan toksik, menyebabkan kekeliruan (disorientation), gangguan penglihatan, kekejangan (convulsions), rasa dahaga, pening, loya, muntah-muntah, mengalami tekanan di dada atau perut, mulut kering dan sakit perut. Manakala kesan negatif paling serius yang boleh terjadi pula ialah halusinasi, serangan epilipsi yang mengejut dan kematian. Namun, jika pengambilan buah pala tersebut dilakukan dengan cara membubuhkannya ke dalam masakan sebagai rempah atau perisa, maka segala kesan sampingan yang negatif itu tidak akan terjadi walaupun dalam kuantiti yang banyak.

Berdasarkan maklumat di atas, dapat dirumuskan bahawa buah pala mempunyai pelbagai manfaat dan juga mudharat. Untuk memperolehi manfaat buah pala dan meninggalkan mudharatnya adalah tergantung kepada bagaimana cara seseorang itu memakan atau menggunakannya. Ini bererti, jika memakan buah pala semata-mata (bukan sebagai bahan campuran dalam masakan) dalam kuantiti yang sepatutnya, maka ia tidak akan menimbulkan kesan psikoaktif kepada pemakannya melainkan jika dimakan dalam kuantiti yang berlebihan tanpa bercampur dalam masakan, maka kesannya boleh mengakibatkan kemudharatan kepada pemakannya. Namun, jika buah pala itu diambil sebagai bahan campuran dalam masakan, sama ada dalam jumlah yang banyak ataupun sedikit, maka percampuran buah pala ke dalam masakan tersebut tidak lagi akan memberi sebarang kesan negatif atau kemudharatan terhadap kesihatan tubuh badan manusia.

Hukum Memakan Buah Pala Menurut Para Ulama

Hukum memakan buah pala ada disebutkan oleh beberapa ulama di dalam kitab-kitab karangan mereka. Perbincangan mereka mengenai pekara ini adalah berkisar kepada persoalan adakah buah pala mempunyai hukum yang sama seperti benda memabukkan yang lain seperti ganja, opium (candu) atau tumbuhan beracun? Di bawah ini disebutkan antara ulama mu‘tabar yang menyebutkan perkara ini:

Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam kitab al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah dan kitab az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir menyebutkan bahawa ketika terjadi perselisihan di antara ulama Haramain (Makkah dan Madinah) dan ulama Mesir mengenai kehalalan dan keharaman buah pala, maka timbul persoalan, adakah di antara para imam atau para pengikutnya yang mengharamkan memakan buah pala? Lalu menurut Imam Ibnu Daqiq al- ‘Id menyebutkan bahawa buah pala itu sesuatu yang memabukkan. Para ulama daripada mazhab asy-Syafi‘i dan al-Maliki menukil pendapat daripadanya dan mereka sepakat mengatakan buah pala merupakan sesuatu yang memabukkan. Bahkan Ibnu al-‘Imad menjadikan hukum ganja itu diqiyâskan dengan hukum buah pala. Oleh itu, menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh, memakan sesuatu yang memabukkan dan suci seperti ganja, candu, tumbuhan beracun dan buah pala adalah berdosa besar. Kesemua itu merupakan benda-benda yang memabukkan dan yang dimaksudkan dengan ‘memabukkan’ itu adalah yang boleh menutupi (menghalangi) kewarasan akal fikiran manusia.

Menurut Imam al-Bujairimi Rahimahullâh ketika menerangkan perkataan Imam Ibnu Hajar dalam kitab Bujairimi ‘ala al-Khathib, buah pala jika digunakan dalam kadar yang banyak, maka ia menyamai seperti ganja, tumbuhan beracun, candu ambar yang berlebihan dan za‘farân (safron atau koma-koma) yang berlebihan. Apa yang dimaksudkan dengan memabukkan itu ialah seperti ganja kerana ia boleh menghilangkan akal dan apa yang disebut pada pengharaman buah pala dari segi memabukkan adalah dengan erti menyamai seperti yang diterangkan di atas.

Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, salah seorang ulama dalam mazhab asy-Syafi‘i, ketika ditanya tentang hukum memakan buah pala, beliau menjawab dalam fatwanya bahawa harus memakan buah pala dalam kadar yang sedikit sahaja. Namun, haram memakan buah pala dalam kadar yang banyak.

Menurut Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaili Rahimahullâh bahawa haram memakan buah pala kerana ia merupakan antara jenis benda memabukkan yang boleh menutupi akal, memudharatkan kesihatan dan merosakan akhlak. Walau bagaimanapun, tidak mengapa mencampurkan buah pala kepada makanan sebagai bahan masakan atau penambah rasa dengan kadar yang sedikit sahaja.

Resolusi Seminar Ke-8 bagi Organisasi Ilmu Kedoktoran Islam di Kuwait yang diadakan pada 22-24 Dzulhijjah 1415/22-24 Mei 1995 menyatakan bahawa boleh menggunakan buah pala dan sejenisnya sebagai bahan dalam masakan dengan kadar yang sedikit yakni tidak sampai pada kadar yang dapat menyebabkan lemah atau tidak sedar.

Kesimpulan

Walaupun buah pala mempunyai pelbagai manfaat dalam perubatan dan menjadi salah satu bahan dalam masakan, tetapi ia juga mempunyai kesan yang memudharatkan kepada tubuh badan atau nyawa penggunanya jika diambil dengan cara berlebihan. Maka untuk memperolehi manfaat-manfaat buah pala tersebut, penggunaannya perlu mengikut sukatan yang betul. Ini menunjukkan bahawa kadar sukatan dalam pengambilan buah pala adalah penting untuk menentukan hukumnya dari segi syara‘ kerana apa-apa yang memudharatkan kepada tubuh badan atau nyawa manusia amat dilarang di dalam Islam.

Bahkan dilihat, bukan sahaja buah pala, terdapat banyak bahan pemakanan lain yang perlu diambil dengan kadar yang terkawal (tidak berlebihan) atau dengan sukatan yang telah ditentukan oleh pakar pemakanan atau perubatan, kerana jika diambil di luar kawalan, ia akan memberi kesan mudharat kepada pengguna atau pemakannya.

Sebagai contoh:

• Ubat batuk. Ia dipreskripsikan oleh para doktor dari pusat-pusat kesihatan untuk diberikan kepada pesakit yang mengalami batuk. Walaupun ubat batuk diketahui bermanfaat untuk mengubati batuk, namun jika diambil dalam dos yang berlebihan atau disalah-guna, ia akan menyumbang kepada kebinasaan atau kemudharatan tubuh badan atau nyawa penggunanya. Menurut artikel Medline Plus Medical Encyclopedia bertajuk ‘Dextromethorphan Overdose’, antara kesan mudharat yang timbul jika meminum ubat batuk seperti dextromethorphan secara berlebihan ialah pening, muntah, halusinasi, penglihatan yang kurang jelas, kekejangan otot dan koma.

• Za‘farân. Secara umumnya memang diketahui bahawa za‘farân mempunyai pelbagai khasiat sama ada untuk kegunaan ubat-ubatan ataupun sebagai bahan dalam masakan. Namun, menurut artikel WebMD-Better Information Better Health bertajuk ‘Saffron: Uses, Side Effects, Interactions and Warnings’, jika za‘farân ini diambil dengan kadar sukatan yang tidak terkawal yakni melebihi sukatan yang disarankan oleh pakar pemakanan atau pihak pengeluar produk za‘faran, maka ia akan mendatangkan kesan yang tidak selamat kepada tubuh badan kerana boleh mendatangkan mudharat seperti keracunan yang membawa kepada muntah-muntah, hidung berdarah, penyakit kulit dan penyakit mata. Bahkan, jika diambil dengan kadar penggunaan 12 hingga 20 gram, maka ia boleh menyebabkan kematian.

Dalam hal ini difahami bahawa walaupun makanan atau ubat-ubatan itu berkhasiat, namun pengambilannya perlu mengikut kadar yang teratur dan tidak mengambilnya secara berlebihan kerana menurut pakar pemakanan atau perubatan jika diambil melebihi batasan atau sukatan yang sewajarnya, maka ia akan menimbulkan kesan mudharat yang mengancam tubuh badan atau nyawa penggunanya. Menimbulkan sebarang kemudharatan atau kebinasaan kepada tubuh badan manusia amatlah dilarang di dalam Islam sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an bahawasanya Allah Ta‘ala amat melarang dengan tegas dan sekeras-kerasnya daripada menghampiri apa-apa jua perkara yang mendatangkan mudharat atau kebinasaan kepada tubuh badan atau nyawa.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu sengaja menjerumuskan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan. (Surah al-Baqarah: 195)

Dalam ayat yang lain:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri (atau membunuh orang lain). Sesungguhnya Allah Maha Pengasih terhadap kamu. (Surah an-Nisâ’: 29)

Di samping itu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga melarang mengwujudkan mudharat atau bahaya sebagaimana yang disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tidak boleh memudharatkan dan tidak boleh saling memudharatkan. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Berdasarkan ayat al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam di atas, menerangkan bahawa apa jua perkara yang menyumbang kepada kebinasaan atau kemudharatan tubuh badan atau nyawa manusia adalah haram dan dilarang di dalam Islam.

Apabila dirujuk kepada penjelasan di atas, difahami bahawa buah pala merupakan salah satu jenis makanan yang biasa dimakan oleh manusia, serupa juga dengan makanan lain seperti kekacang, lada hitam, lada putih, garam, kunyit dan gula. Secara umumnya, kesemua makanan itu memberi khasiat dan boleh dimakan oleh setiap orang. Namun menurut pakar pemakanan, jika makanan itu dimakan secara berlebihan, maka tidak syak lagi, ia juga boleh mendatangkan kesan negatif atau kemudharatan kepada kesihatan tubuh badan atau nyawa manusia seperti penyakit buasir, penyakit kulit, penyakit gout, penyakit diabetes dan penyakit tekanan darah tinggi.

Maka dalam hal ini, dapatlah disimpulkan bahawa apa jua jenis makanan yang biasa dimakan dan ini termasuklah juga buah pala adalah harus dimakan menurut syara‘ tetapi jika menurut pakar pemakanan atau kesihatan, andainya makanan tersebut dimakan secara berlebihan ia boleh mendatangkan mudharat, maka hendaklah diikut nasihat pakar tersebut.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12426