Hukum Memasang Alat Komunikasi di Menara Masjid
Soalan: Apakah hukum memasang alat komunikasi di menara masjid dengan tujuan memberi kemudahan kepada penduduk persekitaran?
Jawapan: Masjid merupakan tempat yang dimuliakan dalam Islam. Sudah tentunya tempat yang mulia hendaklah dipelihara adab dan dihindari larangan berkaitan dengannya. Masjid didirikan adalah untuk tujuan mengingati Allah, bertasbîh dan mendirikan sembahyang di dalamnya. Kegiatan selain tujuan ia didirikan adalah dilarang. Malah, melakukan perniagaan di dalamnya termasuk perkara yang dilarang. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: (Cahaya itu bersinar terutamanya) di rumah-rumah ibadat (masjid) yang Allah perintahkan supaya dimuliakan dan disebut nama Allah di dalamnya. (Orang-orang yang beriman) bertasbîh kepadaNya di dalamnya pada waktu pagi dan petang. (Iaitu) orang-orang yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak juga oleh jual beli daripada mengingati Allah dan daripada mendirikan sembahyang serta membayar zakat, mereka takutkan Hari (Kiamat) yang padanya hati dan pandangan berbolak-balik (disebabkan huru-hara Hari Kiamat itu). (Surah an-Nûr: 36-37)
Hadits daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya ia (masjid) adalah (tempat) untuk mengingati Allah ‘Azza wa Jalla, sembahyang dan membaca al-Qur’an.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menerangkan dalam Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi, masjid dibina adalah untuk mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, mendirikan sembahyang, melakukan akitiviti berunsurkan ilmu pengetahuan, mengadakan perjumpaan bagi perkara-perkara berkebajikan di dalamnya dan seumpamanya berdasarkan hadits daripada Buraidah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya seorang lelaki melaungkan suara di dalam masjid dengan berkata: “Sesiapa dapat menemukan unta merah?” Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Semoga engkau tidak menemukannya, sesungguhnya masjid-masjid didirikan hanya untuk tujuan ia didirikan.”
Hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mendengar seseorang melaungkan suara kerana mencari barang yang hilang di dalam masjid, maka hendaklah dia mengatakan semoga Allah tidak mengembalikannya kepadamu. Sesungguhnya masjid-masjid tidak dibina untuk tujuan ini.
Imam al-Qurthubi Rahimahullâh menerangkan dalam al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân, dalil tersebut menunjukkan larangan melakukan kegiatan selain daripada tujuan masjid didirikan iaitu selain sembahyang, berzikir dan membaca al-Qur’an.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menerangkan dalam kitab al-Majmû‘, antara kegiatan yang makruh dilakukan di dalam masjid itu ialah berjual beli, sewa dan akad-akad (mu‘âmalah) seumpamanya sebagaimana pendapat ash-shahîh (الصحيح) lagi al-masyhûr (املشهور). Dalilnya ialah hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Jika kamu melihat ada orang berjual atau membeli di dalam masjid, maka kamu katakan kepadanya: “Allah tidak akan memberi untung ke atas perniagaan kamu.” Dan jika kamu melihat ada orang melaungkan suara di dalamnya (masjid) mencari barang tercicir (hilang), maka kamu katakan kepadanya: “Allah tidak akan mengembalikan (atau memulangkan) barang kamu yang hilang itu.”
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Diriwayatkan daripada ‘Amr bin Syu‘aib daripada ayahnya daripada datuknya:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang berjual dan membeli di dalam masjid. (Hadits riwayat Abu Daud)
Adapun memasang peralatan telekomunikasi di menara masjid tidak ada kena-mengena dengan ‘tujuan’ mendirikan masjid, hanya ia satu benda lain bagi kemudahan perhubungan di persekitaran semata-mata. Ini sama juga seperti memasang kipas angin atau air condition atau alat-alat sound system di masjid. Cuma bezanya, peralatan telekomunikasi itu bukan untuk kegunaan masjid, sedang memasang kipas angin atau air condition atau alat-alat sound system di masjid adalah untuk kegunaan dan untuk menjalankan fungsi masjid. Namun dari segi hukum syara‘ tiadalah mengapa memasang peralatan telekomunikasi kerana ia dianggap hanya ‘menumpang’ manfaat masjid sahaja. Walau bagaimanapun, masih sahaja tertakluk pemasangan peralatan itu kepada:
- Hendaklah tidak mengganggu fungsi masjid.
- Hendaklah tidak menutupi menara atau lain-lain syi‘âr masjid.
- Hendaklah tidak mencemari masjid.
- Hendaklah tidak menjejaskan keindahan masjid.
- Hendaklah tidak membayangi kemuliaan masjid.
Turut tertakluk juga ialah penilaian tentang kesesuaian ataupun tidak pemasangan itu oleh pihak masjid sendiri.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12430
