Hukum Tatu
Soalan: Dengan penuh hormat dipohonkan fatwa Pehin Mufti mengenai tatu.
Jawapan: Tatu ialah mencucukkan jarum atau sebagainya di belakang telapak tangan, pergelangan tangan, bibir atau selainnya di tubuh badan sehingga darah mengalir. Kemudian di atas kulit badan yang telah dicucuk jarum itu diisi atau ditabur dengan celak, kapur tohor (kapur hidup), nila atau lain-lain bahan supaya tempat itu menjadi hijau. Pengertian tatu ini dinyatakan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi dan al- ‘Allâmah as-Sayyid Abu Bakar ad-Dimyathi al-Bakri Rahimahullâh dalam kitab Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn.
Sebagaimana yang diketahui, pembuatan tatu adalah sebagai perhiasan, adat atau kerana tujuan keagamaan dengan mengukir gambar-gambar, lambang, nama kumpulan atau sebagainya di tubuh badan. Namun, di sebalik perbuatan tersebut, tatu boleh memberi kesan yang buruk kepada kesihatan orang yang bertatu. Kesan-kesannya adalah seperti berikut:
1. Alahan pada jenis pigmen atau pewarna yang digunakan. Simptom seperti bengkak dan gatal-gatal pada bahagian yang mempunyai kesan merah akibat mentatu.
2. Jangkitan penyakit Hepatitis B.
3. Jangkitan HIV dan Hepatitis C boleh berjangkit sekiranya jarum yang tercemar digunakan.
Hukum Tatu Menurut Syara‘
Hukum orang yang membuat tatu dan orang yang minta ditatu adalah haram. Perbuatan tersebut tergolong di dalam kategori dosa-dosa besar sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh di dalam kitab az-Zawâjir. Malahan orang yang membuat tatu dan orang yang minta ditatu itu juga mendapat laknat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Perkara ini jelas disebutkan dalam beberapa hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, antaranya:
Diriwayatkan daripada ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu, perempuan-perempuan yang meminta dirinya untuk ditatu, perempuan-perempuan yang meminta bulu keningnya dibuang dan perempuan-perempuan yang mengikir giginya (semua ini semata-mata) untuk kecantikan iaitu perempuan-perempuan yang mengubah ciptaan Allah Ta‘ala. (Setelah itu Ummu Ya‘kub bertanya kepada ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu mengenai hadits yang beliau melaknat perkara tersebut, beliau menjawab:) “Bagaimana aku tidak melaknat sesiapa yang dilaknat oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sedang dia ada dalam Kitab Allah. (Firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Hasyr ayat 7 yang tafsirnya): {Dan apa jua suruhan yang diberikan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kepada kamu maka terimalah (amalkanlah)} sehingga (dan apa jua yang kamu dilarang melakukannya) {maka tinggalkanlah}.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ katanya:
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaknat perempuan yang menyambung rambutnya, perempuan yang meminta supaya rambutnya disambungkan, perempuan yang mentatu kulit dan perempuan yang meminta supaya kulitnya ditatu. (Hadits riwayat Muslim)
Hadits di atas jelas menunjukkan bahawa perempuan yang bertatu sama ada orang yang membuat tatu ataupun orang yang minta dibuatkan tatu semata-mata kerana kecantikan adalah dilaknat oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya.
Larangan bertatu itu tidaklah terbatas kepada perempuan sahaja bahkan kepada lelaki juga. Adapun jika kanak-kanak dibuatkan tatu ke atas anggota badannya, maka orang yang melakukan tatu itu akan menanggung dosa atas perbuatannya, sementara kanak-kanak tersebut tidaklah berdosa disebabkan belum ada taklîf (kewajipan mentaati suruhan dan larangan agama) ke atas mereka pada ketika itu sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Fath al-Bârî bi Syarh Shahîh al-Bukhari dan Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi.
Tempat Ukiran Tatu di Tubuh Badan Menanggung Najis
Di samping hukum haram, dosa besar dan menerima laknat Allah Ta‘ala dan RasulNya ke atas orang yang mentatu dan orang yang minta ditatu, perlu diketahui juga, hasil tatu yang dibuat akan mengakibatkan orang yang bertatu itu menanggung najis pada tempat tatu yang terukir di tubuh badannya itu. Ini adalah kerana perbuatan menyucuk kulit badan dengan jarum tajam, pasti akan mengeluarkan darah. Ini menjadikan pewarna yang dimasukkan di bawah kulit itu bercampur dengan darah tersebut.
Maka pewarna walaupun asalnya suci yang sengaja dimasukkan di bawah kulit itu adalah menjadi najis kerana telah bercampur dengan darah. Ini jelas menunjukkan bahawa dengan adanya tatu, tempat anggota badan yang ditatu itu akan menyebabkan orang yang bertatu itu menanggung najis.
Apabila orang tersebut telah menanggung najis, maka ibadat sembahyang yang dilakukannya adalah tidak sah kerana tidak memenuhi syarat sembahyang iaitu badan, pakaian dan tempat untuk bersembahyang hendaklah suci dan bersih daripada najis sebagaimana disebutkan dalam kitab-kitab fiqh mazhab asy-Syafi‘i.
Hukum Menghilangkan Tatu
Setelah mengetahui bertatu itu adalah haram dan pemiliknya menanggung najis, timbul pula persoalan, adakah tatu yang sudah terukir di tubuh badan itu wajib dihilangkan?
Perkara membuang dan menghilangkan tatu ada diterangkan oleh para ulama asy-Syafi‘iyyah. Antaranya disebutkan dalam kitab berikut:
1. Al-‘Allâmah as-Sayyid Abu Bakar ad-Dimyathi Rahimahullâh berkata dalam kitab Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn, bahawa wajib dihilangkan tatu itu kerana pemilik tatu tersebut telah pun menanggung najis, selagi membuangnya tidak ditakuti berlaku perkara yang menyusahkan, yang membolehkan pemilik tatu tersebut bertayammum dengan sebab terdapat perkara yang menyusahkan itu. Namun, jika menghilangkan tatu itu ditakuti mendatangkan kesusahan, yang membolehkan pemilik tatu tersebut bertayammum, maka ketika itu, tidak wajib ke atasnya untuk menghilangkan tatu berkenaan secara mutlak.
2. Imam al-Bujairimi Rahimahullâh berkata dalam kitab Hâsyiyah al-Bujairimi ‘ala al- Manhaj bahawa jika seseorang itu melakukan tatu ketika tiada taklîf ke atasnya seperti ketika kanak-kanak atau orang yang hilang akal, maka tidak wajib ke atasnya menghilangkan tatu berkenaan. Begitu juga, jika dia melakukan tatu dalam keadaan taklîf dan dia sangat berhajat kepada tatu berkenaan, maka dia tidak wajib menghilangkannya. Dalam keadaan lain, jika dengan menghilangkan tatu itu ditakuti akan timbul perkara yang menyusahkan, yang membolehkan bertayammum dengan sebab ada perkara yang menyusahkan itu, maka dia tidak wajib menghilangkan tatu berkenaan. Jika dengan menghilangkan tatu itu tidak ditakuti menimbulkan perkara yang menyusahkan, yang membolehkan pemilik tatu tersebut bertayammum, maka wajib dihilangkannya dan jika tidak dihilangkannya, maka perbuatannya itu tidak akan dimaafkan dan tidak sah sembahyangnya bersama tatu itu.
3. Syeikh Muhammad asy-Syarbini al-Khathib berkata dalam kitab Mughni al-Muhtâj bahawa apabila seorang yang mukallaf (bâligh dan berakal) bertatu dengan kerelaannya, maka adalah wajib ke atasnya untuk menghilangkan tatunya itu selagi tidak ditakuti berlaku kemudharatan ke atas dirinya pada tahap yang mengharuskan dia bertayammum. Jika dengan menghilangkan tatu itu ditakuti berlaku kemudharatan ke atas dirinya sehingga pada tahap yang mengharuskannya bertayammum, maka tidak wajib ke atasnya untuk menghilangkan tatu berkenaan tetapi hendaklah dia bertaubat untuk diampunkan dosanya.
Berlainan halnya apabila seorang yang tidak mukallaf bertatu dengan cara paksaan, maka tidaklah wajib ke atasnya untuk menghilangkan tatu berkenaan. Dalam perkara ini, sah sembahyangnya, sah sembahyang jemaahnya jika dia menjadi imam dan dia tidak dikira menangung najis pada tempat ukiran tatu yang ada di tubuh badannya itu.
4. Imam Bujairimi Rahimahullâh berkata dalam kitab Bujairimi ‘ala al-Khatib bahawa jika seorang yang mukallaf bertatu dengan kehendaknya dan mengetahui keharaman hukum tatu itu dengan melakukannya tanpa hajat, tetapi berkemampuan untuk menghilangkannya, maka wajib ke atasnya untuk menghilangkan tatu berkenaan. Jika seseorang itu bertatu semasa zaman kanak-kanak atau melakukannya dengan cara paksaan atau jahil mengenai keharaman hukum tatu itu atau melakukannya kerana ada hajat dan takut jika dihilangkan tatu berkenaan akan berlaku perkara menyusahkan yang membolehkannya bertayammum, maka tidak wajib dihilangkan tatu berkenaan, sah sembahyangnya dan sah sembahyang jemaahnya jika dia menjadi imam. Bagi orang kafir yang bertatu dengan kerelaan hatinya, kemudian dia masuk Islam, maka wajib ke atasnya untuk menghilangkan tatunya itu kerana dia dianggap sebagaimana keadaan orang mukallaf.
5. Disebutkan dalam kitab Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi bahawa jika seseorang dapat atau mampu untuk menghilangkan tatunya melalui perubatan atau pembedahan, maka wajib dia menghilangkan tatu berkenaan. Jika dia tidak dapat atau tidak mampu untuk menghilangkan tatu berkenaan kecuali dengan cara yang menyusahkan atau menyulitkan, maka dalam hal ini, dilihat kepada dua keadaan berikut:
(i) Jika perkara tersebut ditakuti akan mendatangkan kesan yang buruk seperti rosak atau hilang anggota, ataupun rosak atau hilang fungsi anggota, ataupun menyebabkan keadaan anggota zahirnya menjadi buruk dan jelik, maka tidak wajib ke atasnya untuk menghilangkan tatu tersebut dan tidak berdosa walaupun keadaan tatu itu masih nyata dapat dilihat.
(ii) Sebaliknya, jika proses menghilangkan tatu tersebut tidak ditakuti akan berlaku kemudharatan seperti yang tersebut di atas atau yang seumpamanya, maka wajib dia menghilangkan tatu tersebut dan berdosa hukumnya jika dia melambat-lambatkannya.
6. Disebutkan dalam kitab Fath al-Bârî bi Syarh Shahîh al-Bukhari bahawa wajib ke atas orang yang bertatu itu untuk menghilangkan tatunya jika dia mampu untuk menghilangkannya walaupun dengan cara pembedahan melainkan jika dia takut akan kesan daripada menghilangkan tatu itu seperti rosak atau hilang fungsi anggota, maka harus dikekalkannya tatu berkenaan dan memadailah dia bertaubat untuk menghilangkan dosanya.
Daripada perkataan para ulama di atas, dapat dirumuskan seperti berikut:
(i) Seseorang yang mukallaf (bâligh dan berakal) bertatu dengan kehendak atau kerelaannya:
- Jika dia dapat atau mampu menghilangkan tatu itu melalui perubatan atau dengan cara pembedahan, maka wajib dia menghilangkan tatu berkenaan. Namun, jika dia takut akan kesan atau mudharat daripada menghilangkan tatu itu seperti rosak atau hilang fungsi anggota, maka harus dikekalkannya tatu berkenaan dan memadailah dengan dia bertaubat dengan taubat yang sebenar-benarnya untuk menghilangkan dosanya.
- Jika dia dapat atau mampu untuk menghilangkan tatu berkenaan dengan cara yang menyusahkan atau menyulitkan dan proses menghilangkan tatu itu tidak ditakuti akan berlaku kemudharatan atau kesan yang buruk seperti rosak atau hilang anggota, ataupun rosak atau hilang fungsi anggota, ataupun menyebabkan keadaan anggota zahirnya menjadi buruk dan jelik, maka wajib dia menghilangkan tatu tersebut dengan segera. Namun jika proses menghilangkan tatu itu ditakuti akan berlaku kemudharatan atau kesan buruk seperti yang dinyatakan di atas, maka tidak wajib ke atasnya untuk menghilangkan tatu tersebut dan dia tidak berdosa walaupun keadaan tatu itu masih nyata dapat dilihat.
- Jika menghilangkan tatu itu tidak ditakuti akan menimbulkan perkara menyusahkan yang boleh bertayammum dengan sebab ada perkara yang menyusahkan itu, maka wajib dihilangkannya. Jika tidak dihilangkannya, maka perbuatannya itu tidak akan dimaafkan dan tidak sah sembahyangnya bersama tatu itu. Manakala, jika dengan menghilangkan tatu itu ditakuti pula akan timbul perkara menyusahkan yang membolehkan tayammum, maka tidak wajib ke atasnya menghilangkan tatu berkenaan dan tidak ada dosa baginya setelah dia bertaubat.
(ii) Seseorang yang dipaksa untuk bertatu bukan kehendak atau kerelaannya sendiri, adalah tidak diwajibkan ke atasnya untuk menghilangkan tatu di tubuh badannya itu.
(iii) Seseorang yang melakukan tatu dalam keadaan taklîf dan dia sangat berhajat kepada tatu itu, maka dia tidak wajib menghilangkannya.
(iv) Orang yang belum ada taklîf ke atasnya seperti kanak-kanak dan orang gila, jika dia bertatu ketika keadaannya belum ada taklîf, maka tidaklah diwajibkan ke atasnya untuk menghilangkan tatu berkenaan.
(v) Orang kafir yang memeluk agama Islam, jika dia bertatu dengan kerelaannya sebelum dia memeluk agama Islam, maka wajib ke atasnya menghilangkan tatu tersebut, sebagaimana keadaan orang yang mukallaf bahagian (i) di atas.
Bagi orang yang baru memeluk agama Islam (mu’allaf), jika dia membuat tatu itu semasa dia belum memeluk agama Islam, maka tidak ada apa-apa dosa ke atasnya, kerana dengan Islam itu telah menghapuskan dosanya yang terdahulu berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Allah memaafkan apa yang telah lalu. (Surah al-Mâ’idah: 95)
Hadits yang diriwayatkan oleh ‘Amru ibnu al-‘Ashr Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Islam (itu) menghapuskan apa-apa yang ada sebelumnya daripada dosa- dosa. (Hadits riwayat Ahmad)
Kesan Tatu dalam Perkara Syara‘
Pemilik tatu hendaklah mengetahui dengan jelas sama ada tatu yang dimilikinya itu wajib dibuang atau sebaliknya. Perkara tersebut adalah penting dan mustahak kerana ia bersangkut-paut dengan banyak perkara syara‘ sebagaimana yang diterangkan oleh para ulama asy- Syafi‘iyyah, iaitu seperti:
1. Bersuci.
Orang yang diwajibkan menghilangkan tatunya, jika dia bersuci sedang tatunya belum hilang, maka dia masih dalam keadaan bernajis. Ini kerana anggota-anggota yang ditatunya itu mengandungi najis disebabkan darah yang bercampur dengan dakwat atau celak tatu tersebut.
Adapun orang yang tidak diwajibkan menghilangkan tatunya, jika dia bersuci, maka dia akan dihukumkan suci kerana anggotanya yang ada tatu itu dimaafkan najisnya.
2. Sembahyang.
Orang yang diwajibkan menghilangkan tatunya, jika dia mengerjakan sembahyang sedang tatunya belum hilang, maka hukum sembahyangnya adalah tidak sah. Demikian juga tidak sah apabila dia menjadi imam.
Adapun orang yang tidak diwajibkan menghilangkan tatunya, jika dia mengerjakan sembahyang, maka hukum sembahyangnya adalah sah dan dia boleh menjadi imam.
3. Urusan Jenazah.
Menurut Imam al-Bujairimi Rahimahullâh dalam kitab Bujairimi ‘ala al-Khathib, apabila orang yang diwajibkan menghilangkan tatunya itu meninggal dunia sebelum sempat dia menghilangkan tatunya, maka pada ketika itu, haram hukumnya menghilangkan tatu mayat tersebut. Ini kerana kewajipan untuk menghilangkan tatu bagi mengerjakan ibadat sembahyang telah pun luput dan pada ketika itu, menjaga kehormatan mayat tersebut pula adalah menjadi satu kewajipan.
4. Kesaksian.
Disebutkan dalam kitab Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn bahawa antara syarat untuk menjadi saksi hendaklah mempunyai sifat al-‘adâlah iaitu tidak fâsiq. Orang yang fâsiq itu adalah orang yang melakukan dosa-dosa besar atau berterusan melakukan dosa-dosa kecil.
Dalam hal ini, sebagaimana yang disebutkan di atas, perbuatan membuat tatu atau minta ditatu adalah termasuk di dalam kategori dosa-dosa besar. Ini bererti, orang yang membuat tatu atau orang yang minta ditatu itu adalah orang yang fâsiq kerana telah melakukan dosa besar. Oleh kerana itu, jika dia menjadi saksi, maka tidak akan diterima persaksiannya melainkan setelah dia bertaubat daripada perbuatannya itu.
5. Wali nikah.
Disebutkan dalam kitab Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn juga bahawa antara syarat untuk menjadi wali nikah itu ialah hendaklah mempunyai sifat al-‘adâlah iaitu tidak fâsiq.
Dalam hal ini, sebagaimana yang disebutkan di atas, orang yang fâsiq itu antaranya ialah orang yang melakukan dosa-dosa besar dan perbuatan membuat tatu dan minta ditatu itu adalah termasuk dalam kategori dosa-dosa besar. Ini bererti, orang yang membuat tatu atau orang yang minta ditatu adalah orang yang fâsiq kerana telah melakukan dosa besar. Oleh kerana itu, tidak sah jika orang yang membuat tatu atau orang yang minta ditatu menjadi wali nikah melainkan setelah dia bertaubat daripada perbuatannya itu.
Kesimpulan
Setelah melihat kepada penerangan hukum tatu dan kesan tatu dalam perkara-perkara syara‘ di atas, dapat dirumuskan bahawa bertatu dalam apa jua keadaan, melainkan ada sebab-sebab untuk menghilangkan mudharat atau kerana hajat yang diharuskan, adalah haram. Dengan bertatu itu juga mengakibatkan pemiliknya menanggung najis sekaligus menyebabkan ibadat sembahyangnya tidak sah menurut syara‘. Lebih dilarang lagi sekiranya perbuatan bertatu itu akan menghalang air untuk sampai ke kulit kawasan yang ditatu. Perkara tersebut akan menjadikan orang berkenaan terhalang daripada bersuci daripada hadats kecil atau hadats besar.
Oleh itu, sebaiknya, sebelum membuat sesuatu perkara hendaklah berhati-hati agar tidak termasuk dalam perkara haram dan laknat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Janganlah hanya disebabkan kecantikan atau trend kehidupan terkini, seseorang itu sanggup tidak mahu tahu soal hukum mengenainya sehingga boleh menjerumuskan dirinya sendiri kepada melakukan perbuatan dosa-dosa besar dengan mengetepikan suruhan dan larangan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ketahuilah bahawa azab seksa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu amatlah pedih lebih-lebih lagi jika sesuatu perbuatan itu juga menerima laknat daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya. Seseorang yang dilaknat akan berada jauh daripada mendapat rahmat, taufîq, petunjuk Allah dan jauh daripada segala kebaikan. والعياذ ِبلل
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12434
