Kedudukan Sumbangan ke Tabung Masjid untuk Mashlahat Penta‘mîran Masjid
Soalan: Jabatan Hal Ehwal Masjid telah menerima permohonan daripada sebuah syarikat untuk memasang peralatan Telekomunikasi di Menara Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampong Sungai Kebun, Bandar Seri Begawan. Kawasan berkenaan memerlukan pemasangan alat komunikasi bagi memberikan kemudahan penduduk-penduduk persekitaran berhubung dengan baik.
Pihak syarikat juga akan membuat sumbangan ke tabung masjid setiap bulan bagi membantu penta‘mîran masjid berkenaan.
Sehubungan dengan itu, dipohonkan pandangan dan fatwa daripada Pehin Mufti mengenai kedudukan sumbangan ke tabung masjid tersebut.
Jawapan: Masjid merupakan tempat yang dimuliakan dalam Islam. Para ulama telah menggariskan adab dan larangan bagi memelihara kehormatan masjid. Pemasangan peralatan telekomunikasi di menara masjid bagi memberikan kemudahan perhubungan untuk penduduk-penduduk persekitaran adalah harus tertakluk bahawa ia tidak mengganggu fungsi masjid, tidak menutupi menara atau lain-lain syi‘âr masjid, tidak mencemari masjid, tidak menjejaskan keindahan masjid, tidak membayangi kemuliaan masjid dan juga hendaklah mengambil kira penilaian yang dibuat oleh pihak berkenaan masjid itu sendiri sama ada sesuai ataupun tidak pemasangan itu dilakukan.
Membuat sumbangan ke tabung masjid untuk mashlahat penta‘mîran masjid pula, hukumnya adalah harus. Imam an-Nawawi Rahimahullâh menerangkan dalam Raudhah ath-Thâlibîn:
Ertinya: Harus bagi orang Islam dan orang dzimmi berwasiat untuk menta‘mîr Masjid al- Aqsha dan masjid-masjid selainnya, menta‘mîr perkuburan nabi-nabi, ulama-ulama dan orang-orang salih kerana dengan penta‘mîran ini tujuannya menggiatkan ziarah dan memperolehi berkat.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘ menyebutkan hukum meng‘imârah masjid adalah sunat berdasarkan hadits daripada ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata: “Saya telah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang membina sebuah masjid kerana Allah, nescaya Allah akan membina untuknya (binaan) seumpamanya di syurga. (Hadits riwayat Muslim)
Adapun kedudukan sumbangan yang hendak dibuat oleh pihak syarikat berkenaan setiap bulan ke tabung Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampong Sungai Kebun, Bandar Seri Begawan, bagi membantu penta‘mîran masjid berkenaan adalah perkara yang baik dan hukumnya harus. Kita mendo‘akan semoga sumbangan yang akan dihulurkan dikurniakan ganjaran berlipat ganda oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12438
