Kepercayaan Terhadap Kempunan pada Pandangan Syara‘
Soalan: Kita mengetahui bahawa maut itu di tangan Allah. Namun masih ramai yang percaya tentang kempunan, selalunya kempunan makanan dan minuman. Apakah hukum tentang perkara ini? Apakah hukumnya pula menjamah makanan kerana takut kempunan?
Jawapan: Kepercayaan terhadap kempunan atau juga disebut “kapunan” wujud di dalam masyarakat Melayu Brunei. Menurut Kamus Bahasa Melayu Nusantara, kapunan bermaksud mendapat kecelakaan yang dipercayai akibat menolak atau menangguhkan ajakan seseorang untuk menjamah makanan atau minuman. Kepercayaan ini diamalkan oleh sebahagian masyarakat Brunei dengan menjamah makanan jika dipelawa kerana takut kapunan iaitu ditimpa kecelakaan atau apa jua musibah yang tidak diingini berlaku.
Perkataan kapunan ini juga digunakan bagi maksud merasa kecewa kerana tidak mendapat sesuatu yang diingini atau diidamkan, akan tetapi ia tidak dikaitkan dengan kecelakaan.
Kempunan Menurut Hukum Syara‘
Kepercayaan akan mendapat kecelakaan atau apa jua musibah jika tidak menjamah makanan sehingga perlu atau apabila diajak makan, seseorang itu terpaksa menjamahnya supaya tidak ditimpa kecelakaan atau nasib malang sebagaimana yang terbiasa dibuat dalam masyarakat kita adalah menyerupai kepercayaan masyarakat Arab yang telah pun wujud sejak zaman Arab jahiliah lagi. Mereka mempercayai akan mendapat kecelakaan melalui petanda burung iaitu (ath-thiyarah) “ الط ََيََة ” sehingga tidak meneruskan hajat yang hendak mereka laksanakan agar tidak ditimpa kecelakaan.
Kebanyakan orang Arab jahiliah akan mendapatkan burung yang berada di sarangnya kemudian mengejutkan burung tersebut apabila mereka mempunyai suatu hajat untuk mendapatkan petunjuk daripada pergerakan burung tersebut. Jika burung itu terbang ke sebelah kanan mereka, maka mereka akan meneruskan hajat mereka. Sebaliknya jika burung itu terbang ke sebelah kiri, maka mereka berpatah balik untuk tidak meneruskan hajat mereka itu. Mereka mempercayai adanya sial dan nasib malang melalui petunjuk burung tersebut sehingga ia sering menjadi penghalang untuk menunaikan kepentingan-kepentingan mereka.
Islam melarang umatnya daripada berbuat perkara demikian sebagaimana hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan daripada Umm Karz Radhiallâhu ‘anhâ beliau berkata:
Maksudnya: Aku mendengar Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Biarkan burung itu tetap di tempatnya.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Maka syariat Islam menafikan dalam ajarannya perbuatan mempercayai adanya sial atau nasib malang bersandarkan kepada petanda daripada arah burung terbang sehingga menyebabkan mereka meninggalkan sesuatu perbuatan atau usaha kerana kepercayaan tersebut. Menurut Islam, perkara itu tidak ada apa-apa kaitan langsung untuk memberi sebarang kesan sama ada baik atau buruk sebagaimana ditegaskan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Tidak ada jangkitan dan tidak ada kepercayaan sial melalui petanda burung. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam hadits lain pula, yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Mempercayai sial atau nasib malang melalui petanda burung itu adalah syirik (Nabi mengucapkannya sebanyak tiga kali). Tidaklah seorang pun daripada kami melainkan (muncul dalam hatinya sangkaan malang dan nahas), tetapi Allah menghilangkannya dengan tawakkal. (Hadits riwayat Abu Daud)
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh hadits ini bermaksud bahawa jika seseorang mempercayai adanya sial atau nasib malang melalui petanda daripada pergerakan arah burung terbang dengan i‘tiqâd bahawa petanda burung itu memberi kesan manfaat atau mudharat sehingga dia melakukan atau meninggalkan suatu perkara kerana kepercayaan itu, maka i‘tiqâd sedemikian adalah i‘tiqâd yang mensyirikkan kuasa Allah. Ini kerana menjadikan petanda burung itu ada kuasa (seperti berkuasanya Allah) dalam menentukan sesuatu.
Hadits ini juga menjelaskan, bahawa sekiranya terlintas di dalam hati seseorang sangkaan sial dan nasib malang melalui petanda burung tersebut kerana sudah kebiasaannya berlaku demikian, maka Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menyuruhnya supaya bertawakkal sebagai ubat bagi menghilangkan dan menghapuskan lintasan tersebut.
Dalam syariat Islam, perkara baik dan buruk adalah ketetapan daripada qadha’ dan qadar Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagai dugaan kepada hambaNya bukan datangnya daripada selain Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Kemudian apabila datang kepada mereka kebaikan (kemakmuran), mereka berkata: “Ini adalah kerana (usaha) kami.” Dan jika mereka ditimpa kesusahan (dengan kelaparan dan kekurangan makanan), mereka melemparkan sebab sial dan malang itu kepada Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. Ketahuilah, sesungguhnya sial dan malang mereka itu adalah ketetapan dari sisi Allah tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui. (Surah al-A‘râf: 131)
Ayat ini menjelaskan tentang sikap Firaun serta pengikut-pengikutnya yang kufur dan derhaka bahawa mereka mengatakan kebaikan yang mereka dapat adalah memang selayaknya untuk mereka manakala kecelakaan yang berbentuk sial dan nasib malang yang menimpa mereka adalah disebabkan oleh Nabi Musa ‘Alaihissalâm dan pengikut-pengikut Baginda. Kemudian ayat ini menegaskan bahawa semua yang menimpa mereka sama ada yang baik ataupun yang buruk adalah dengan qadha dan qadar Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Maka, dalam hal kepercayaan kepada kapunan sebagaimana yang ditanyakan di atas, jika perbuatan menjamah makanan atau minuman kerana mempercayai kapunan iaitu adanya kecelakaan jika tidak dilakukan perbuatan menjamah makanan atau minuman ketika dipelawa, maka perbuatan itu adalah hukumnya haram berdasarkan larangan-larangan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam di dalam hadits-hadits di atas mengenai kepercayaan terhadap ath-thiyarah iaitu petanda burung yang memberi kesan kebaikan dan kecelakaan.
Jika seseorang itu menjamah makanan atau minuman yang dipelawa kerana mempercayai kapunan dengan i‘tiqâd bahawa jika dia tidak menjamahnya akan menjadi sebab datangnya mudharat atau kecelakaan, maka perbuataan itu berdosa dan kepercayaan tersebut membawa kepada syirik. Akan tetapi jika hanya terlintas di hatinya perasaan takut ditimpa kecelakaan kerana tidak menjamah makanan atau minuman kemudian dia berlindung kepada Allah daripada ditimpa sebarang kejahatan dan memohon kebaikan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta bertawakal kepadaNya maka tidaklah mengapa berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila Baginda ditanya oleh sahabat Baginda Mu‘awiyah bin al-Hakam Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Wahai Rasulullah, ada di kalangan kami orang-orang yang mempercayai sial dan nasib malang. Rasulullah bersabda: “Ia adalah kepercayaan yang memang ada dalam jiwa kamu akan tetapi jangan sampai ia menghalang kamu (daripada meneruskan hajat kamu).” (Hadits riwayat Ahmad)
Sayugia dianjurkan bagi orang yang ada perasaan takut akan kapunan atau kempunan itu untuk membaca do‘a yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kepada orang yang terlintas pada hatinya sangkaan akan berlaku kecelakaan iaitu:
Maksudnya: Ya Allah, tidak ada yang berkuasa mendatangkan kebaikan melainkan Engkau dan tidak ada yang berkuasa menolak keburukan melainkan Engkau. Dan tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan kekuasaanMu jua. (Hadits riwayat Abu Daud)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12442
