Kewajipan Berkhatan Bagi Perempuan
Soalan: Kerajaan United Kingdom telah menggubal peraturan Female Genital Mutilation (FGM) Act 2003 sebagai Serious Crime Act 2015 dengan memasukkan FGM Protection Order yang berkuatkuasa bermula 31 Oktober 2015 yang mana sesiapa yang melakukan FGM, jika didapati bersalah boleh dipenjarakan sehingga 14 tahun dan dikenakan denda atau kedua-dua sekali. Manakala sesiapa yang gagal untuk melindungi anak perempuan di bawah umur 18 tahun daripada risiko FGM akan dipenjarakan sehingga 7 tahun dan dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.
Female Genital Mutilation dikenali juga sebagai Female Genital Cutting atau Female Circumcision ataupun berkhatan bagi anak perempuan merupakan isu sensitif berkaitan tuntutan agama Islam. Peraturan ini adalah melibatkan pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam yang menuntut di United Kingdom yang berkahwin atau yang merancang hendak berkahwin.
Sehubungan dengan itu dipohonkan pandangan dan fatwa Pehin Mufti mengenai perkara ini untuk dijadikan sebagai panduan dan rujukan oleh pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam yang menuntut di luar negara.
Jawapan: Female Genital Mutilation (FGM) atau diertikan dalam bahasa Melayu sebagai berkhatan bagi perempuan merupakan satu tuntutan yang telah disyariatkan dalam agama Islam. Hukum berkhatan adalah wajib bagi perempuan sebagaimana disebutkan oleh para ulama mazhab asy-Syafi‘i dalam kitab-kitab mu‘tabar mereka, antaranya:
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn:
Ertinya: Dan wajib berkhatan atas perempuan dengan (memotong) sedikit daripada daging yang ada di atas faraj.
Dalam kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab juga disebutkan:
Ertinya: Dan mazhab (pendapat) yang shahîh dan masyhûr yang dinashkan oleh Imam asy- Syafi‘i Rahimahullâhu Ta‘âlâ dan jumhûr ulama memutuskan: Bahawa berkhatan itu wajib ke atas lelaki dan perempuan.
Manakala Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh berkata pada matn kitab I‘ânah ath- Thâlibîn:
Ertinya: Dan wajib berkhatan bagi perempuan dan lelaki bagi yang tidak dilahirkan dalam keadaan berkhatan.
Berdasarkan perkataan para ulama di atas jelas menunjukkan bahawa berkhatan bagi kaum perempuan itu adalah wajib dan ia merupakan satu perbuatan yang dituntut dalam agama Islam.
Bilakah Diwajibkan Anak Perempuan Berkhatan?
Kebiasaan amalan berkhatan bagi kaum perempuan di Negara Brunei Darussalam dilakukan ketika mereka masih anak kecil lagi. Amalan ini bertepatan dengan perbuatan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila mengkhatankan cucu-cucu Baginda yang disebutkan dalam riwayat Jabir Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah mengaqiqahkan Hasan dan Husain (Radhiallâhu ‘anhumâ) dan mengkhatankan kedua-duanya pada hari ketujuh. (Dikeluarkan oleh al-Baihaqi)
Adapun mengkhatankan anak pada hari ketujuh setelah kelahirannya adalah sunat (mustahabb) dilakukan oleh para ibu bapa sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam an- Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab:
Ertinya: Sunat (mustahabb) bagi wali untuk mengkhatan anak kecilnya ketika masih dalam usia yang kecil, kerana itu yang paling baik untuknya.
Di samping itu, beberapa orang ulama juga menjelaskan tentang perkara tersebut sebagaimana yang dinukilkan dalam kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab dan I‘ânah ath- Thâlibîn bahawa sunat berkhatan pada hari ketujuh setelah kelahiran dengan syarat anak kecil itu hendaklah dalam keadaan yang sihat yakni tidak lemah. Jika anak kecil itu dalam keadaan yang lemah yakni tidak berkeupayaan untuk menanggung khatan tersebut, maka hendaklah dilewatkan sehinggalah dia berkemampuan untuk menanggungnya. Jika berkhatan tersebut tidak dilakukan pada hari ketujuh, maka sunat dikhatankan pada hari keempat puluh setelah kelahirannya. Jika berkhatan tersebut terlewat juga, maka sunat dikhatankan pada umur tujuh tahun, kerana waktu berumur tujuh tahun inilah dia diperintahkan untuk bersuci dan juga sembahyang.
Walau bagaimanapun, sebaiknya kita ketahui juga, bilakah hukum wajib melaksanakan khatan itu menurut hukum syara‘.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab, katanya:
Ertinya: Sesungguhnya tidak wajib berkhatan melainkan setelah dia bâligh. Jika dia sudah bâligh, (maka) dia wajib dengan segera (berkhatan).
Di samping itu, menurut al-‘Allâmah as-Sayyid Abu Bakar ad-Dimyathi al-Bakri Rahimahullâh dalam kitab Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn menyebutkan bahawa wajib berkhatan setelah anak tersebut bâligh dan berakal, kerana tiada taklîf (kewajipan mentaati perintah dan larangan Allah Ta‘ala) ke atas mereka sebelum bâligh dan berakal. Inilah sebab diwajibkan khatan setelah bâligh dan berakal dengan segera.
Namun begitu, para ulama seterusnya menerangkan bahawa sekiranya seorang yang sudah bâligh itu lemah kejadiannya dan jika dia dikhatankan juga ditakuti akan mendatangkan kemudharatan padanya, maka dalam keadaan ini tidak harus dia dikhatankan dan hendaklah ditunggu sehingga keadaannya selamat untuk berkhatan.
Berdasarkan keterangan di atas, dapat difahami bahawa kewajipan berkhatan bagi anak lelaki dan anak perempuan adalah sama iaitu bermula sesudah anak itu bâligh dan berakal. Apabila dia sudah bâligh dan berakal, kewajipan berkhatan itu berjalan dengan serta-merta melainkan jika sekiranya berkhatan itu ditakuti akan mendatangkan kemudharatan kepadanya. Maka, dalam hal ini, kewajipan berkhatan hendaklah ditangguhkan sehingga dipastikan keadaan anak tersebut selamat untuk dikhatankan. Manakala hukum berkhatan pada masa tujuh hari setelah kelahirannya sehinggalah sebelum mencapai umur bâligh dan berakal adalah sunat sahaja. Ini adalah pendapat shahîh yang masyhûr yang dipegang oleh jumhûr ulama.
Pandangan dan Irsyâd
Merujuk kepada maklumat yang disertakan, difahami bahawa kerajaan United Kingdom telah menggubal peraturan Female Genital Mutilation (FGM) Act 2003 sebagai Serious Crime Act 2015 dengan memasukkan FGM Protection Order yang berkuatkuasa bermula 31 Oktober 2015 yang mana sesiapa yang melakukan FGM, jika didapati adalah bersalah, boleh dipenjarakan sehingga 14 tahun dan dikenakan denda atau kedua-dua sekali. Manakala sesiapa yang gagal untuk melindungi akan anak perempuan di bawah umur 18 tahun daripada risiko FGM akan dipenjarakan sehingga 7 tahun dan dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.
Adalah dimaklumi bahawa peraturan ini akan melibatkan para pelajar Negara Brunei Darussalam yang menuntut dan menetap di United Kingdom yang berkahwin atau yang merancang hendak berkahwin. Apabila melihat kepada peraturan FGM yang berkuatkuasa di United Kingdom, mengkhatankan anak perempuan merupakan satu kesalahan serius dari segi undang-undang negara tersebut. Ini bererti sesiapa sahaja yang melakukan khatan bagi anak perempuan mereka di sana akan menjadi satu kesalahan yang boleh didakwa di Mahkamah. Bahkan bagi para pelajar atau para petugas Negara Brunei Darussalam yang menetap di United Kingdom juga tidak boleh sama sekali melakukan khatan bagi anak perempuan mereka sama ada di dalam atau di luar United Kingdom.
Sebagaimana yang telah dijelaskan di atas, kewajipan berkhatan sama ada bagi anak lelaki atau perempuan adalah setelah bâligh dan berakal. Dengan kata lain, apabila anak perempuan tersebut telah bâligh dan berakal, maka kewajipan berkhatan itu berjalan dengan serta merta. Inilah waktu yang wajib ke atas para wali untuk mengkhatankan anak perempuan mereka jika tidak mempunyai apa-apa halangan yang memudharatkan. Manakala mengkhatankan anak perempuan sebelum sampai waktu bâligh dan berakal seperti pada hari ketujuh setelah kelahirannya adalah dihukumkan sunat sahaja sebagaimana yang lazim dilakukan oleh orang-orang kita di Negara Brunei Darussalam.
Apabila melihat kepada tempoh masa penuntut yang menuntut di sana, kebiasaannya mereka menetap di United Kingdom mengikut tempoh pengajian yang dipilih iaitu dalam masa setahun hingga lima tahun. Dalam tempoh masa pengajian itu, jika mereka berkahwin atau merancang untuk berkahwin, anak yang dilahirkan di sana dalam tempoh 5 tahun tersebut belum lagi mencapai umur bâligh dan berakal. Ini bererti, melakukan khatan bagi anak tersebut belum lagi dihukumkan wajib dan sudah tentu berkhatan bagi anak perempuan tersebut boleh dilakukan di Negara Brunei Darussalam apabila telah selesai pengajian dan pulang secara tetap ke Negara Brunei Darussalam.
Jika sekiranya anak perempuan tersebut telah pun bâligh dan berakal dan mereka masih lagi menetap di United Kingdom sama ada atas urusan pengajian atau pekerjaan, maka kewajipan berkhatan tersebut harus ditangguhkan sehinggalah mereka pulang secara tetap ke Negara Brunei Darussalam. Penangguhan ini adalah semata-mata untuk menjaga kemashlahatan keluarga dan anak perempuan tersebut daripada undang-undang FGM kerana larangan melakukan FGM di United Kingdom hendaklah dipatuhi kerana ia merupakan satu kesalahan jenayah bagi negara berkenaan. Dengan kata lain, undang-undang FGM yang dikuatkuasakan itu menjadi satu halangan atau kesusahan bagi mereka untuk melakukan kewajipan berkhatan bagi anak perempuan mereka. Oleh kerana itu, menangguhkan kewajipan berkhatan sehinggalah pulang secara tetap ke Negara Brunei Darussalam merupakan satu mashlahat jalan keluar untuk memelihara tujuan syara‘.
Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâh di dalam kitab al-Mustashfâ, tujuan syara‘ bagi manusia itu ada lima perkara, iaitu:
1. Memelihara agama. 2. Memelihara nyawa. 3. Memelihara akal. 4. Memelihara keturunan. 5. Memelihara harta.
Menurutnya lagi, setiap perkara yang mengandungi maksud memelihara lima perkara tersebut di atas adalah mashlahat dan setiap perkara yang mengancam perkara-perkara ini adalah kerosakan dan menjauhkannya adalah satu mashlahat.
Di samping menjaga tujuan syara‘ dan memelihara kemashlahatan dalam kehidupan manusia, terdapat kaedah fiqhiyyah yang boleh digunakan apabila menghadapi kesukaran atau halangan kerana dipaksa atau terpaksa melakukan sesuatu yang bercanggah dengan syara‘ sebagaimana disebutkan oleh Imam as-Suyuthi Rahimahullâh dalam kitab al-Asybâh wa an- Nazhâ’ir:
Ertinya: Kesukaran itu dapat mendatangkan kemudahan.
Dasar kaedah tersebut adalah bersandarkan kepada firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (Surah al-Baqarah: 185)
Dan lagi, firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamaNya) dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. (Surah al-Hajj: 78)
Berdasarkan kaedah fiqhiyyah di atas, kesukaran atau halangan melakukan kewajipan berkhatan kerana penguatkuasaan undang-undang FGM di United Kingdom memberikan keringanan kepada mereka untuk menangguhkan waktu berkhatan tersebut. Dengan kata lain, dalam keadaan keterpaksaan mematuhi undang-undang FGM di United Kingdom, mereka diharuskan menangguhkan khatan anak perempuan mereka bagi memelihara kemashlahatan kehidupan mereka di sana. Namun jika kesukaran atau halangan itu telah hilang seperti mereka telah pulang secara tetap ke Negara Brunei Darussalam, maka kewajipan untuk berkhatan itu wajiblah dilakukan dengan serta-merta.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12446
