Membaca atau Menulis Mafhûm atau Tafsiran sahaja tanpa Membaca atau Menulis Ayat Suci Al-Qur’an
Soalan: Apakah hukum hanya membaca mafhûm atau tafsir satu-satu ayat daripada ayat suci al- Qur’an (tidak membacakan ayat suci al-Qur’an tersebut) di dalam khutbah Jumaat, khutbah ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha, khutbah nikah, di dalam ceramah, syarahan, ucapan alu-aluan dan di dalam apa jua bentuk penulisan?
Jawapan: Al-Qur’an al-Karim ialah Kalâmullâh ‘Azza wa Jalla yang diturunkan dalam bahasa Arab kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melalui perantaraan Jibril ‘Alaihissalâm. Turunnya al-Qur’an dalam keadaan yang demikian itu dapat diketahui menerusi makluman daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sendiri.
Allah Ta‘ala telah berfirman:
Tafsirnya: Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Qur’an) sebagai kitab bacaan dalam bahasa Arab supaya kamu memahaminya. (Surah Yusuf: 2)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: Dan sesungguhnya al-Qur’an ini adalah diturunkan oleh Tuhan Pencipta dan Pentadbir sekalian alam. Ia dibawa turun oleh ar-Ruh al-Amin (Malaikat Jibril). Ke dalam hatimu (wahai Nabi Muhammad) supaya engkau termasuk orang-orang yang memberi peringatan. (Ia diturunkan) dalam bahasa Arab yang fasih dan jelas. (Surah asy-Syu‘arâ’: 192-195)
Para ulama telah secara ijmâ‘ mengatakan bahawa yang dinamakan al-Qur’an itu ialah lafaz dan maknanya sekali. Makna sahaja tidak dinamakan sebagai al-Qur’an kerana cabaran mendatangkan yang seumpama al-Qur’an adalah dengan lafaz dan makna. Sesiapa yang menyalahi ijmâ‘ para ulama dalam hal ini dianggap menyalahi perkara yang sudah dimaklumi dalam agama.
Al-Qur’an Wahyu yang Wajib Disampaikan
Asy-Syeikh az-Zarqani Rahimahullâh dalam Manâhil al-‘Irfân fî ‘Ulûm al-Qur’ân telah menyebutkan bahawa Jibril ‘Alaihissalâm sebenarnya tidak ada hak terhadap al-Qur’an selain daripada menyampaikannya kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam semata-mata. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pula tidak ada hak terhadap al-Qur’an selain daripada memelihara dan menghafaznya, kemudian menerangkan dan mentafsirkannya, seterusnya mengamalkan kandungannya dan melaksanakan petunjuk-petunjuknya.
Para ulama telah menyatakan bahawa al-Qur’an itu diturunkan dengan matlamat-matlamat untuk menjadi hujjah bagi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bahawa sesungguhnya Baginda itu pesuruh Allah Ta‘ala, undang-undang bagi manusia yang mengambil petunjuknya dan sebagai ibadat bagi sesiapa yang membacanya. Al-Qur’an itu juga telah diturunkan sebagai mu‘jizat kenabian Sayyidina Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Matlamat-matlamat ini akan terpenuhi apabila keistimewaan-keistimewaan al-Qur’an itu dipelihara, dan cara memeliharanya adalah dengan mengekalkan lafaz-lafaznya sebagaimana ia disampaikan oleh Jibril ‘Alaihissalâm kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan sebagaimana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyampaikannya kepada para sahabat dan sebagaimana para sahabat menyampaikannya kepada para tâbi‘în dan sebagaimana pula para tâbi‘în menyampaikannya kepada generasi selepas mereka dan begitulah seterusnya sehingga ke hari ini.
Asy-Syeikh az-Zarqani Rahimahullâh berkata: “(Al-Imam) as-Suyuthi, Ibnu Baththal dan al- Hafizh Ibnu Hajar Rahimahumullâh dan lain-lain berkata: “Sesungguhnya wahyu itu wajib disampaikan, akan tetapi ia terbahagi kepada dua bahagian; bahagian pertama wajib menyampaikan dengan nazhm (susunan lafaz) dan maknanya sekali dan itulah al-Qur’an, dan bahagian kedua sah dan boleh menyampaikan maknanya sahaja tanpa lafaznya dan itulah selain daripada al-Qur’an. Dengan yang demikian sempurnalah tablîgh (penyampaian) itu.”
Dalam keterangan lain, az-Zarqani Rahimahullâh juga menyatakan bahawa tidak harus meriwayatkan al-Qur’an dengan makna sahaja ( ال روايةِبمل ع ى ) secara ijmâ‘ umat Islam. Meriwayatkan yang dimaksudkan dalam hal ini boleh juga diertikan sebagai membaca atau menuliskannya.
Sekiranya dibenarkan al-Qur’an itu disampaikan dengan makna sahaja - sama ada dengan membaca atau menulisnya - nescaya akan hilanglah i‘jâz al-Qur’an itu dan akan berlaku pindaan, pengubahsuaian serta percanggahan asas-asas hukum syara‘ dan terhadap apa yang dinamakan al-Qur’an.
Al-Imam as-Suyuthi Rahimahullâh pula dalam al-Itqân fî ‘Ulûm al-Qur’ân telah berkata: “Tidak harus (haram) membaca al-Qur’an dengan makna (sahaja tanpa membaca lafaznya) kerana Jibril ‘Alaihissalâm telah menyampaikan al-Qur’an (kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) dengan lafaz dan tidak dibenarkan bagi Jibril menyampaikannya dengan makna.
Al-Imam as-Suyuthi Rahimahullâh juga telah menjelaskan bahawa rahsia di sebalik al- Qur’an tidak boleh disampaikan kecuali dengan lafaz-lafaznya adalah kerana lafaz-lafaz al- Qur’an itu menjadi ibadat apabila ia dibaca. Lafaz-lafaznya itu adalah juga suatu mu‘jizat. Tiada sesiapa pun yang mampu mendatangkan lafaz-lafaz yang boleh menggantikan tempat lafaz-lafaz al-Qur’an itu kerana di dalam setiap huruf al-Qur’an terkandung makna yang tidak terhitung banyaknya. Oleh sebab itulah dikatakan bahawa tidak akan ada sesiapa pun yang boleh mendatangkan gantian kepada lafaz-lafaz al-Qur’an yang meliputi keseluruhan kandungannya itu.
Demikian pendapat-pendapat daripada sebahagian para ulama berkenaan larangan meriwayatkan, membaca atau menyampaikan al-Qur’an dengan makna tanpa menyampaikan lafaznya. Secara amnya, pendapat para ulama terutamanya para ulama dalam bidang ‘ulum al-Qur’an adalah sekata dalam hal berkenaan. Asy-Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf Rahimahullâh dalam tulisan beliau Kalimah Haul Tarjamah al-Qur’ân al-Karîm bahkan telah menyebutkan kesepakatan para ulama mengenainya.
Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, jelaslah bahawa apabila seseorang penceramah, pensyarah, pembaca khutbah atau penulis hendak menyampaikan sesuatu yang menyentuh atau berkait dengan apa-apa keterangan atau ayat dalam al-Qur’an sama ada dalam ucapan, syarahan, khutbah atau tulisan mereka, adalah tidak memadai untuk menyampaikan mafhûm atau makna ayat al-Qur’an itu sahaja. Bahkan wajib disampaikan juga lafaz ayat al-Qur’an yang asal di dalam bahasa Arab. Keterangan-keterangan di atas menunjukkan bahawa tuntutan ini berasal daripada perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri di samping adanya kesepakatan para ulama mengenai tegahan meriwayatkan, membaca atau menyampaikan al-Qur’an dengan makna tanpa menyampaikan lafaz ayat al-Qur’an itu sekali.
Menyebutkan ayat al-Qur’an yang asal sebelum menyampaikan makna, maksud atau huraian ayat berkenaan sama ada dalam ucapan atau tulisan adalah amalan para ulama. Dalam kata lain, amalan tersebut menjadi etika dalam menyampaikan isi kandungan al-Qur’an. Etika inilah yang membezakan cara menyampaikan isi kandungan al-Qur’an dengan cara menyampaikan teks ilmu-ilmu yang lain termasuklah nash-nash hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Dari sudut lain, menyebutkan pengertian, makna atau mafhûm ayat al-Qur’an semata-mata boleh membawa kepada kesan-kesan negatif yang tidak sepatutnya berlaku. Sebagai contoh, sesetengah penceramah atau penulis ada kalanya didapati menyatakan dalam ucapan atau tulisan mereka ungkapan-ungkapan seperti “Allah Ta‘ala berfirman..” atau “dalam al-Qur’an disebutkan..”, setelah itu yang dibawakan hanyalah pengertian atau maksud ayat sahaja tanpa menyebutkan atau menulis ayatnya yang asal. Ada juga yang mengatakan atau menulis: “Maksud firman Allah Ta‘ala..” atau “dalam al-Qur’an disebutkan yang maksudnya..” tanpa menyebutkan nash asal ayat berkenaan.
Sama ada tanpa disedari atau sebaliknya, kelakuan seumpama itu boleh mencemarkan kesucian dan kehormatan al-Qur’an kerana sesetengah pendengar atau pembaca akan beranggapan bahawa pengertian atau maksud yang dibawakan itulah al-Qur’an atau firman Allah Ta‘ala itu sendiri, walhal makna atau mafhûm bukanlah ia al-Qur’an.
Lebih membahayakan lagi, menyampaikan pengertian atau makna ayat al-Qur’an semata-mata boleh membawa kepada perbuatan menterjemahkan al-Qur’an yang ditegah di sisi agama.
Asy-Syeikh az-Zarqani Rahimahullâh berkata: “Apabila meriwayatkan al-Qur’an dengan makna menggunakan bahasa Arab adalah ditegah secara ijmâ‘, begitu juga terjemahan (al- Qur’an menurut pengertiannya secara ‘urf) ditegah dengan mengqiyâskannya kepada ijmâ‘ berkenaan, bahkan ia lebih utama untuk ditegah disebabkan perbezaan terjemahan itu dengan bahasa (al-Qur’an) yang asal.
Asy-Syeikh Hasanain Makhluf Rahimahullâh pula mengatakan bahawa tidaklah jauh tersasar apabila dikatakan bahawa terjemahan al-Qur’an itu membawa kepada perbuatan mengubah fitrah Allah Ta‘ala yang telah menciptakan al-Qur’an menurut fitrahnya itu kerana ia adalah mengubah keadaannya yang berbahasa Arab, meluputkan hukum beribadat ke atas siapa yang membacanya dan menghilangkan i‘jâz nazhm atau susunan lafaz-lafaznya.
Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz telah memberikan amaran bahawa perbuatan membaca terjemahan al-Qur’an sahaja tanpa membaca ayat al-Qur’an sebagai sesat dan bid‘ah. Perbuatan menterjemahkan al- Qur’an itu pula adalah dianggap sebagai mengubah dan meminda al-Qur’an yang boleh membawa kepada kufur. Dalam fatwa beliau, Allahyarham berkata:
“Sekarang dengan adanya fitnah terjemahan al-Qur’an, orang-orang Islam tidak membaca ayat al-Qur’an dalam bahasa Arab dalam syarahan, khutbah Jumaat, dalil dan ceramah, mereka membaca terjemahan ayat-ayat al-Qur’an. Ini sesat dan bid‘ah yang dibuat oleh orang sekarang mengikut perasaan orang-orang Eropah yang mengkaji kebudayaan Islam yang tujuan mereka hendak memesongkan umat Islam dari ajaran Allah dan Rasul dan perjalanan umat.”
“Menterjemahkan al-Qur’an perbuatan mengubah al-Qur’an dan mengubah dan meminda al- Qur’an suatu perbuatan sesat dan membawa kufur bahkan kufur. Bagaimana kata ulama Islam telah lalu sebutannya, kerana meminda satu huruf yang telah tsabit dari al-Qur’an adalah kufur.”
Adapun jika yang dialih bahasa atau diterjemahkan itu ialah tafsiran al-Qur’an yang diberikan oleh para ulama yang mu‘tabar, maka itu harus dilakukan kerana ia tidak termasuk dalam kategori menterjemahkan al-Qur’an yang ditegah.
Asy-Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf Rahimahullâh berkata: “Sesungguhnya menterjemahkan al-Qur’an al-Karim secara harfiyyah tidak harus dan penyebaran risalah Islam itu tidak bergantung kepada terjemahannya, bahkan terjemahan ini tidak membawa manfaat...”
“... Benar, adalah harus menterjemahkan al-Qur’an secara terjemahan tafsîriyyah, iaitu terjemahan berbentuk penjelasan makna dan tafsir tanpa mengusik nazhm (susunan lafaz) yang asal dan tertibnya dengan syarat terjemahan (tafsir itu) diambil sandarannya daripada hadits-hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, ilmu bahasa Arab dan asas-asas yang digariskan dalam kitab-kitab syari‘ah Islam.”
As-Sayyid ‘Alawi bin as-Sayyid ‘Abbas al-Maliki Rahimahullâh dalam Faidh al-Khair wa Khulâshah at-Taqrîr menyebutkan bahawa terjemahan tafsîriyyah ma’nawiyyah bagi hukum-hukum al-Qur’an adalah harus hukumnya secara sepakat kata ulama, dengan syarat pemindahan makna dilakukan dengan tepat dan mengambil kira pendapat para sahabat, tâbi‘în dan ulama-ulama ahli sunnah yang menjadikannya sebagai tafsiran secara ringkas, benar dan mengikut kadar yang termampu oleh pentafsir. Tafsir al-Qur’an itu hanya dianggap sebagai suatu penjelasan bukannya sebagai al-Qur’an dan ia adalah penyampai hukum-hukum al-Qur’an bukannya suatu kemu‘jizatan.
Sehubungan dengan hal ini, adalah sayugianya dinyatakan atau dijelaskan bahawa tafsir atau terjemahan terhadap tafsir al-Qur’an itu sebagai tafsir atau terjemahan tafsir al-Quran bukan al-Qur’an sendiri atau terjemahan al-Qur’an, bagi mengelakkan orang yang mendengar atau membaca beranggapan bahawa apa yang disampaikan itu adalah al-Qur’an atau firman Allah Ta‘ala.
Perlu sekali lagi diingatkan bahawa apabila perkara yang hendak disampaikan itu menyentuh atau berkait dengan apa-apa keterangan atau ayat daripada al-Qur’an, maka lafaz asal al- Qur’an yang berbahasa Arab wajiblah juga dibaca, ditulis dan disampaikan sebelum tafsir atau terjemahan tafsir itu disampaikan. Sebagaimana telah dijelaskan, tuntutan ini berasal daripada kewajiban menyampaikan al-Qur’an sepertimana yang telah dilakukan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri. Begitu juga, menyampaikan lafaz al-Qur’an itu bererti keistimewaan al-Qur’an itu terpelihara dan dengannya matlamat-matlamat al-Qur’an itu diturunkan iaitu sebagai hidayah, ibadat dan mu‘jizat akan dapat dicapai.
Ayat al-Qur’an Ditakuti Terdedah Kepada Pencemaran
Adapun dalam hal ayat suci al-Qur’an ataupun nama-nama yang diagungkan (al-Asmâ’ al- Mu‘azhzhamah) jika ditulis dikhuatiri mendatangkan kesukaran untuk menjaganya dan ada zhann serta anggapan ia akan terdedah kepada penghinaan, maka menulisnya wajar dielakkan demi menjaga kesucian dan kemuliaannya. Adalah haram mendedahkan apa yang wajib dimuliakan dan dihormati seperti ayat suci al-Qur’an ataupun nama-nama yang diagungkan kepada perkara-perkara yang boleh mencemarkan kemuliaan dan kehormatannya.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh ketika mengulas kata-kata Imam Ibnu Shalah Rahimahullâh yang telah memfatwakan bahawa tidak harus menulis sesuatu daripada al- Qur’an pada kain kafan demi menjaganya daripada terkena shadîd (nanah bercampur darah) mayat, beliau berkata:
Ertinya: Bahawa sesungguhnya al-Qur’an dan setiap nama-nama yang diagungkan seperti nama Allah Ta‘ala dan nama NabiNya wajib dihormati, dimuliakan dan diagungkan. Tidak diragukan lagi bahawa menulisnya (ayat al-Qur’an dan nama-nama yang diagungkan) dan meletakkannya pada kafan mayat merupakan satu penghinaan yang sangat berat baginya kerana tiada penghinaan seberat penghinaan mencemarkannya dengan najis. Kita tahu dengan sendirinya bahawa kafan mayat itu pasti akan terkena darah mayat, nanah yang bercampur darah dan lain-lain lagi daripada benda-benda bernajis yang terdapat dalam perut mayat. Maka oleh sebab itu, pengharaman meletakkan sesuatu daripada nama-nama yang diagungkan (dan juga ayat suci al-Qur’an) sayugia menjadi suatu perkara yang tidak pertikaikan lagi.
Asy-Syeikh az-Zarqani Rahimahullâh setelah menerangkan tentang kedudukan kehormatan dan keagungan al-Qur’an yang begitu tinggi yang tidak pernah diberikan kepada mana-mana kitab, beliau menjelaskan selanjutnya bahawa kerana tuntutan menjaga kehormatan dan keagungan tersebut juga menyebabkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang Mushhaf al-Qur’an itu daripada dibawa masuk ke negeri musuh jika dikhuatiri ia akan jatuh ke tangan mereka. Perkara yang sama juga menyebabkan para ulama memfatwakan tentang kufurnya orang yang melontarkan Mushhaf al-Qur’an pada tempat yang kotor atau najis dan tentang hukum haram menjual Mushhaf al-Qur’an kepada orang kafir sekalipun orang kafir dzimmi. Para ulama juga telah menerangkan tentang kewajiban bersuci ke atas sesiapa yang menyentuh al-Qur’an dan membawanya, begitu juga ke atas sesiapa yang menyentuh dan membawa peta, sampul dan kotak yang terdapat ayat-ayat suci al-Qur’an padanya menurut pendapat yang shahîh.
Secara keseluruhannya, keterangan-keterangan di atas menunjukkan bahawa hukum yang asal adalah wajib menyampaikan al-Qur’an dengan lafaz dan makna sama ada pada ucapan atau tulisan. Walau bagaimanapun, dalam keadaan dikhuatiri ayat-ayat al-Qur’an akan terdedah kepada penghinaan atau pencemaran, maka adalah wajar bahkan wajib perkara tersebut dielakkan terutamanya dengan mengelakkan ayat al-Qur’an itu ditulis pada tempat-tempat yang dikhuatiri akan mendedahkannya kepada penghinaan dan juga pencemaran seperti di surat-surat khabar, kad-kad jemputan dan sebagainya. Adalah memadai menyatakan tafsirannya sahaja.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12450
